KOLUM | 'No Good' yang menangkap
Setiap terdengar lagu-lagu dari album Desire oleh Bob Dylan, kami akan dibawa 'pulang' ke zaman semasa kami masih kuat, masih panas dan masih tidak peduli.
Lagu Sara mengingkatkan bahawa kami ini ada dua adik perempuan, Rose dan Indah. Kedua-duanya kini sudah tua dan masih kekal tidak cantik seperti dulu-dulu.
Mujurlah mereka sudah mula rajin bersembahyang dan membaca al-Quran. Seri keimanan pada waktu menjelang akhir kehidupan menutup kesan-kesan jerawat yang selama ini mereka tutup dengan alat solek yang dibeli dengan sebahagian besar daripada gaji masing-masing.
Dua anak perempuan kami, kami namakan sebagai Sarah dan Maisarah. Kedua-duanya sama cantik dan akan bertambah ayu jika mereka membuang anting-anting pada hidung mereka.
Salah kami juga. Apabila mereka meminta izin berbuat demikian, kami iakan saja. Mujurlah semasa mereka datang meminta izin untuk bertatu keinginan itu sempat kami halang.
Apabila difikirkan, sepatutnya kami izinkan sahaja. Mana tahu mereka akan tular kerananya dan menjadi terkenal sedangkan menjadi popular adalah impian kita semua hari ini.
One More Cup Of Coffee pula menggambarkan diri kami sendiri yakni satu watak tenang yang kami impikan. Namun jika mahu berkata benar, maka kami ini masih dalam latihan untuk mencapainya.
Rindu pada kelembutan
Dengan sifat mudah terbakar, kami masih belum menjadi lelaki tenang sedangkan tenang adalah salah satu sifat ahli sorga.
Kami hampir saja mengingati semua peristiwa sewaktu pertama kali mendengar album itu berserta dengan bau yang dihidu pada waktu itu. Wangi dan alami.
Album Desire Bob Dylan kekal sebagai kumpulan lagu yang paling kami gemari sehingga kini. Jika mahu mengarang atau melukis, kami akan mendengar muzik yang sesuai bagi mewujudkan suasana yang diperlukan.
Melayan lagu-lagu Iwan Fals sebelum beliau jatuh cinta pula adalah kegemaran apabila kami sedang menghasilkan lukisan yang kurang ajar, manakala alunan suara Ebiet G Ade pula akan membuai jiwa resah kami apabila rasa rindu pada kelembutan datang menyentuh.
Mengenai Ebiet, mutakhir ini apabila terdengar lagu Zaman, entah mengapa ia mengingkatkan kami Bang Jad di Australia sana, dan juga seorang speaker parlimen negara antah berantah ini.
Berada dalam suasana yang betul pada saat yang benar adalah amat penting.
Untuk menjadi manusia yang baik maka kita perlu menempatkan diri dalam kalangan manusia yang baik juga, kerana untuk menjadi jahat kita tidak perlu berbuat apa-apa.
Kejahatan itu ialah sentiasa mahu menunjuk-nunjuk manakala kebaikan pula gemar kepada sembunyi.
Cukup sekadar memandang keliling dan - cepat atau lambat - kita pun akan dipengaruhi kejahatan, manakala untuk berbuat baik kita perlukan sedikit pengorbanan.
Dengan dengus nafas keletihan
Lagu-lagu yang popular hari ini hampir semuanya menceritakan cinta. Sama ada bagaimana mencaŕinya, bagaimana akibatnya dan bagaimana menikmatinya. Tidak sedikit pula yang menceritakan bagaimana untuk melempiaskan beban nafsu serakah atau dari ruang lopong mana mahu ditusuk objek tumpul yang selamanya digambarkan sebagai lebih besar daripada cita-cita.
Lagu-lagu berunsur agama juga tidak mahu ketinggalan dalam menceritakan tentang pencarian cinta insan dengan insan. Dihalalkan cerita asmadana ini dengan sedikit kata basmallah atau alhamdulillah sedang perkataan yang sesuai untuk semua lagu nasyid moden ini ialah astaghfirullah.
Melagukan kecintaan kepada tuhan tidak lagi menjadi pilihan terkini seperti kita semua nikmati semasa mula-mula mendengar lagu-lagu Raihan beberapa puluh tahun dulu.
Bahasa dalam lagu juga makin kasar dan angkuh. Sombong dan bangga menjadi kata popular. Mendabik dada kerana sudah berjaya walau dulu berasal dari rumah pangsa atau sibuk mengimbau zaman susah semasa di Rembau misalnya.
Kerendahan hati sudah jadi perbuatan 'berdosa' dan semua itu - kita rasa - harus dilagukan dalam dwibahasa.
Ditambah pula dengan lagu budak-budak hipster yang seolah-olah dirakam saat mereka menunggu kematian. Lagu-lagu mereka semuanya disampaikan dengan dengus nafas keletihan seperti hidup mereka tidak ada apa yang boleh diraikan.
Bahkan kami sampai hati mencadangkan agar lagu-lagu mereka itu dimainkan nanti saat mereka terbaring menunggu maut bagi menambah penyesalan selama mereka menjalani hidup.
Seperti kata Ebiet dalam lagu Zaman: "Lengkaplah kegagalan."
Kita tidak dapat lari daripada dipengaruhi oleh lagu-lagu yang kita dengar setiap hari. Namun alangkah moleknya jika ada lagu yang menceritakan hal sebenar keadaan negara kita ini.
Bermegah dengan kereta baru
Kami dicadangkan oleh anak lelaki kami yang berambut jingga, Umer, untuk mendengar lagu-lagu dari kumpulan No Good iaitu kumpulan trio muzikal yang memainkan muzik punk dalam loghat Kelantan.
Lagu-lagu dari kumpulan No Good ini 'is so good'. Jika bukan kerana mudah semput (ditambah dengan sedikit gendut) pasti kami akan bangkit terkinja-kinja berpogo.
Jika kami ingin berkata benar (sekali lagi) maka ia juga membuatkan kami teringin - untuk pertama kali dalam hidup ini - menghisap ganja.
Selain muziknya yang sangat menangkap, liriknya juga adalah amat memberontak dan hampir semuanya adalah sangat politikal. Perhatikan bagaimana mereka mengatakan bahawa:
"Bo bo lah
layae menteri baloh
bo bo lah
layae cerita parti
pah bilo tahu nok mati."
Lagu Bo Bo Lah dari album Punk Gong tentu saja lebih baik liriknya daripada mana-mana lagu ketuhanan yang popular sekarang ini. Mereka menceritakan betapa kita harus berhenti daripada memberikan perhatian pada cerita politik di negara.
Hal itu kerana cerita ahli politik dan partai di negara ini tidak ada tarikh luput. Akan selamanya mereka berebut kuasa sambil kita pula dipaksa menanggung biangnya.
Dalam lagu lain pula mereka berkata:
"Aloh la YB
aik pangkat doh ko loni
gi masjid naik Mercedes
beli banglo di Ostrolia
beg LV lain peseng
napok YB tubik berita
masuk van putih pakai baju oren
tok leh sko
tok leh kato
dugaae di ibu koto."
Di sini sambil menceritakan kegelojohan ahli politik No Good juga berlaku adil apabila tidak menyalahkan ahli politik 100 peratus. Mungkin terpengaruh dengan kawan sekeliling, politikus yang berjiwa murni awalnya boleh tiba-tiba digoda dengan jawatan dan gaya hidup rakan satu pakatan.
Lalu tentu saja jika selama ini mereka hanya megah dengan Toyota Unser lalu mahu juga berbangga dengan Vellfire.
"Koto Baghu rama
hok gilo iseng
cahayo air sungai
meh meh teh beng."
Itu pula adalah kata mereka dalam lagu Koto Baghu Belong To Me yang pasti akan membuatkan kita semua tersenyum. Masalah air di Kelantan bukan rahsia dan ianya tidak pernah dapat diselesaikan.
Entah kerana masalahnya memang rumit atau kerana ia ditakdirkan untuk kekal menjadi modal politik kepada kawan dan lawan partai yang bertanding di sana.
Kepekaan kepada keadaan sekeliling adalah sesuatu yang amat penting untuk mana-mana seniman. Dan No Good membuktikan keperihitinan mereka itu melalui album Punk Gong.
Mereka mengkritik namun pada masa yang sama menghulurkan salam pendamaian seperti kata mereka dalam lagu Toksey Gocoh Toksey Baloh.
Mereka menceritakan kebenaran di samping meluahkan rasa sedih atas apa yang berlaku, atau yang dilakukan oleh mereka yang mendapat kuasa di negara ini.
Bukan tidak ada lagu mengenai kegalauan cinta dalam album itu namun memberi semangat pemberontakan yang diperlukan oleh generasi hari ini mendominasi lagu-lagu yang mereka karang.
Memberi harapan yang baik
Generasi lembik dengan rambut longkang dan berbelang pada hari ini perlukan suatu tamparan untuk menyedarkan mereka daripada hayut ke dalam dunia yang sibuk mencari popular.
Mereka harus disergah untuk menyedari bahawa menjadi terkenal dengan menayangkan punggung dan mengoyangkan buah dada bukanlah cara hidup sepatutnya.
Muda-mudi hari ini harus bangkit mempersiapkan sebuah negara yang lebih baik sebagai warisan kepada anak cucu mereka.
Kami tidak ada cukup perkataan untuk memuji kumpulan No Good ini. Mereka menjadikan kami kembali bersemangat. Pun begitu ia tidak sehebat semangat bekas pegawai kerajaan yang membeli motosikal kuasa tinggi dengan duit gratuiti, ke hulu ke hilir perasan Hells Angels sedang orang keliling menyuruh mereka go to hell.
Tetapi sekurang-kurangnya ia memberi harapan yang baik kepada dunia muzik negara kita. Tahniah kami ucapkan kepada mereka.
Kulit album No Good direka oleh pelukis terkenal Kide Baharudin. Kide dikatakan sebagai pelukis muda yang diserap semangat lama kerana selain menghasilkan karya-karya matang, beliau juga berjaya mengambarkan satu suasana yang hampir tidak wujud lagi pada zaman ini.
Karya-karya beliau kini menjadi rebutan para peminat seni catan negara kita. Album penuh kumpulan ini boleh didengar melalui saluran YouTube. Semua foto dalam artikel ini diambil dari Facebook rasmi kumpulan No Good.
ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai