KOLUM | Mengenang guru sasteraku
Sepanjang kehidupan, sering kita alpa untuk menghargai sesuatu yang masih ada. Hanya apabila sudah tiada, barulah kewujudan "sesuatu" itu benar-benar dihargai.
Guru, misalnya. Seorang pendidik yang berdedikasi akan mengukir ingatan dalam fikiran pelajarnya sepanjang hayat.
Ini bukan karangan belasungkawa tetapi rasa ralat pada diri sendiri yang sering alpa.
Jumaat lalu, guru sastera saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan. Seusai subuh itu, saya dan isteri sempat menziarahi jenazah di rumahnya.
Cikgu Naimah Ali mula mengajar di Sekolah Menengah Sultan Abdulah di Chenderong Balai pada 1978. Itulah sekolah pertamanya sebagai guru. Tidak banyak yang saya ketahui sejarah latar belakangnya.
Itu pun nasib baik ada maklumat dikongsikan Cikgu Masmuda kepada saya sementara kami menunggu waktu jenazah Cikgu Naimah disolatkan. Cikgu Masmuda guru Pendidikan Jasmani saya di sekolah yang sama dengan Cikgu Naimah.
Pada 1980, Cikgu Naimah mengajar saya mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Pada masa itu, Kesusasteraan Melayu adalah subjek berasingan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Tidak seperti hari ini apabila Kesusasteraan Melayu terdapat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Maknanya, kami mempelajari sastera agak lebih mendalam.
Marah jika acuh tak acuh
Cikgu Naimah mengajarkan kami Kesusasteraan Melayu dari tingkat empat hingga lima. Ia merupakan dua tahun yang sangat bermakna dalam pembinaan dunia kesusasteraan di jiwa saya.
Kesusasteraan adalah sebahagian daripada budaya manusia bermasyarakat. Ia adalah penampilan diri dan manifestasi seni manusia melalui bahasa. Ia juga mempunyai unsur yang mampu mengungkapkan makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang tersusun sama ada dalam bentuk prosa atau puisi.
Guru sastera kami itu memang agak garang dan tegas kepada pelajar yang culas. Oleh kerana tekun dan bersungguh cikgu mengajar, kami sangat terkesan dengan pengajarannya.
Kami begitu terpesona dengan keindahan tentang dunia sastera yang menyentuh jiwa secara halus. Ketika itulah saya bercita-cita menjadi seorang sasterawan yang menulis puisi bagi menzahirkan hasrat jiwa.
Hingga kini, saya nekad membawa seni dalam medan politik yang gersang akan kehalusan jiwa insani.
Guru sastera kami itu mengajar puisi melalui kajian teks Titian Zaman yang disusun oleh Sasterawan Negara Usman Awang dan Ismail Ahmad. Di situlah kami belajar tentang puisi klasik dan puisi moden.
Dari syair, gurindam hingga puisi kabur.
Guru kami itu akan marah jika kami bersikap acuh tak acuh semasa dia mengajar. Pernah suatu ketika Cikgu Naimah memarahi kami dengan nada suaranya yang tinggi. Kecut kami dibuatnya.
Cikgu Naimah memperkenalkan kami kepada perkembangan sastera Indonesia dan Malaysia. Di situ saya mulai membaca karya-karya Shahnon Ahmad, A Samad Said, Chairil Anwar, Marah Rusli, Sutan Takdir Alisjahbana, Pramoedya Ananta Toer dan sebagainya.
Pengajarannya membuatkan kami berasa betapa sastera Indonesia itu adalah sebahagian daripada kami.
Cikgu Naimah masuk kelas tidak berlenggang saja. Dia akan membawa bersamanya buku-buku tambahan untuk dikongsikan dengan kami. Maknanya dia bukan setakat bercakap saja, tetapi dia membawa buku yang diceritakan. Sastera itu adalah jiwanya.
Suatu hari saya tanya kepadanya: "Cikgu ada novel Atheis karya Achdiat Karta Mihardja tu tak?"
Keesokan harinya Cikgu Naimah menyerahkan buku itu kepada saya sambil berpesan: "Ingat, buku ini haram!"
Saya faham kata-katanya itu. Saya harus baca berhati-hati agar tidak tersesat. Banyak juga yang saya pinjam buku daripada Cikgu Naimah. Beberapa hari kemudian saya pulangkan Atheis kembali.
Ketika itu, saya bersemangat mahu jadi novelis pula.
Menyala-nyala dalam kegelapan
Pada suatu masa sekolah saya menganjurkan pertandingan menulis puisi. Cikgu Naimah jadi guru yang menggerakkan inisiatif itu. Mungkin kerana dia guru Persatuan Bahasa Melayu dan Sastera.
Saya menghantar tiga puisi - satu atas nama saya sendiri dan dua saya bagi kepada kawan yang lain. Akhirnya apabila keputusan diumumkan, ketiga-tiga puisi itu masing-masing memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga.
Kemudian saya membuka rahsia kepada Cikgu Naimah. Konon-konon saya mahu tunjuk kebolehan kepadanya. Sayangnya saya tidak ingat bagaimana reaksi Cikgu Naimah.
Apabila mengajar, Cikgu Naimah seolah-olah aktor di atas pentas yang melakonkan wataknya. Kelas Cikgu Naimah hidup dan bertenaga. Ketika itu, hakikatnya kami sedang belajar memahami kehidupan manusia dari kaca mata seni dan sastera.
Setiap butir katan Cikgu Naimah bagaikan menyala-nyala dalam kegelapan hidup kami. Mungkin ia kenyataan yang agak keterlaluan tetapi hakikatnya itulah yang saya rasai hingga saat ini.
Cikgu Naimah pernah menjadi pengetua di sekolah tempat isteri saya mengajar. Cara Cikgu Naimah mentadbir sekolah, menguruskan guru, kakitangan serta pelajar memang mantap.
Meskipun begitu jiwa sasteranya yang halus tetap tercermin daripada perhubungan harian di dalam atau di luar pejabat.
Pernah kami berkunjung ke rumahnya. Pada kesempatan itu saya berikan buku tulisan saya. Saya nyatakan kepadanya, saya tulis namanya. Dalam kata pengantar buku Diari Black 14 dan Pembunuhan Di Tanah Perkebunan saya catatkan nama Cikgu Naimah sebagai guru yang memberi inspirasi dalam kehidupan dan karya saya.
Saya bangga pernah diajar oleh seorang guru yang sangat berdedikasi, bersemangat dan kuat.
Rasanya sebelum saya pergi ke UK untuk melanjutkan pengajian saya sempat memohon doa restu daripada Cikgu Naimah. Dia menghadiahkan dua helai tuala dan kami membawanya ke tanah Inggeris itu.
Seribu tahun takkan sama
Memang tidak kami pakai selalu kerana kami menghargai pemberian seorang guru.
Cikgu Naimah berkahwin dengan Cikgu Nazeri yang juga rakan guru di Sekolah Menengah Sultan Abdulah. Cikgu Nazeri mengajar saya mata pelajaran Sivik semasa saya di tingkatan dua.
Beliau meninggal dunia agak awal kerana penyakit leukemia, kalau tak silap.
Cikgu Naimah juga adalah anak murid kepada arwah bapa di surau Pekan Baru, Teluk Intan. Bapa saya mengajar agama seminggu sekali di situ.
Kadangkala Cikgu Naimah memberi sumbangan kewangan untuk sekolah yang diusahakan bapa. Ketika bapa sakit, Cikgu Naimah datang melawat di rumah bapa. Bahkan sewaktu bapa meninggal dunia, Cikgu Naimah datang memberi penghormatan terakhir.
Semasa di rumahnya pagi itu, saya menyapa seorang anak muda yang berusia lebih 20-an atau mungkin awal 30-an. Saya kira pemuda itu warisnya. Rupa-rupanya bukan.
Anak muda itu ialah bekas anak murid Cikgu Naimah yang kini bertugas di Kuala Lumpur. Dia datang ke Teluk Intan semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir buat Cikgu Naimah.
"Encik, rakan guru Cikgu Naimah ke?" tanya anak muda yang tidak sempat saya tanyakan namanya itu.
"Tak, saya anak murid Cikgu Naimah," kata saya.
Terkilan sungguh saya kerana gagal menziarahi Cikgu Naimah sewaktu akhir hayatnya. Kalau seribu tahun pun saya berdiri di depan pintu rumahnya, tidak akan sama sesaat jika saya berdepan dengan Cikgu Naimah semasa hayat di kandung badan.
Mohon hadiahkan bacaan al-Fatihah buat guru kami itu. Dia adalah guru sastera bangsa buat kami.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai