Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Ada apa di sebalik tudung Hannah?

“Jikalau pemakaian baju Melayu dianggap sebagai tunduk kepada hegemoni budaya penguasa, mengapa kita tiada masalah ketika memakai baju kot? Bukankah ia juga dianggap sebagai tunduk kepada kuasa Barat yang pernah menjajah kita?”

Ini persoalan yang saya ajukan, beberapa tahun lalu, ketika ruang wacana hangat dengan pertikaian pemakaian baju Melayu oleh pemimpin politik Cina ketika Hari Raya Aidilfitri.

Malah, tidak tahan dengan sikap sesetengah pihak yang mahu mempertahankan “ketulenan” budaya Cina-nya, secara sarkastik saya mempersoalkan, “Mengapa tidak boikot sekali nasi lemak, yang juga sebahagian daripada budaya, agar lidah kamu tidak dijajah budaya Melayu?”

Hakikatnya, saya keberatan untuk terlibat dalam perbahasan tudung Hannah Yeoh baru-baru ini, kerana sesungguhnya 'pengitaran semula air liur' adalah tidak bersih, lebih-lebih lagi pada era penularan wabak Covid-19.

Namun, saya tidak tergamak untuk melihat perbahasan sedemikian diulang berkali-kali, tanpa ditemui jalan keluarnya. Apatah lagi, apabila ia diringkaskan dengan lojik yang dangkal, misalnya “bukan Muslim pakai tudung sama dengan hormati Islam”, atau “bukan Muslim tidak pakai tudung sama dengan tidak meraikan kepelbagaian” dan sebagainya.

Kenapa cetus pertikaian?

Ketepikan unsur “politiking” dalam isu ini, iaitu perselisihan antara Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dengan Dr Boo Cheng Hau (pemimpin Johor yang dianggap kritis terhadap anak bapa Lim dalam DAP), bagi mereka yang tahu sejarahnya.

Dan biar saya berterus-terang sebelum meneruskan tulisan ini, iaitu sememangnya wujud segelintir Cina yang tidak begitu senang dengan Islam, sebagaimana wujudnya sekelompok Melayu yang tidak selesa dengan Cina (dan agamanya). 

Mengaku sahaja bahawa kita gagal melunturkan prejudis kelompok ini terhadap kaum lain. Apa yang kita usahakan adalah menyekat penularan prejudis dan kebencian, dengan mematahkan hujah mereka.

Bagaimana mereka membina logik hujah mereka? Pertama, mereka tidak menolak Islam; kedua, mereka meraikan kepelbagaian. Jikalau begini logik mereka, mengapa pula tudung Hannah Yeoh mencetuskan pertikaian?

Pertikaian ini gagal difahami tanpa kita meneliti konteksnya. Konteksnya, mereka menganggap Islam-Melayu sebagai agama dan budaya yang berkuasa di atas bumi ini.

Islam-Melayu diangkat martabatnya pada kedudukan tertinggi, sehingga dianggap merendah-rendahkan agama dan budaya lain, dari sudut bacaan mereka. Pandangan ini menjelaskan mengapa sering kali mereka menganggap “Cina-bukan Muslim yang memakai baju Melayu/ tudung” sebagai mengerdilkan dirinya untuk mengambil hati Melayu-Muslim.

Malah, konsep “hormat-menghormati” juga perlu dibaca dalam konteks ini. Mereka menegaskan bahawa “hormat-menghormati” sepatutnya berlaku dalam dua hala, dan bukannya jalan sehala. 

Jikalau hanya satu pihak yang menghormati satu pihak yang lain, dan pihak lain itu tidak berbuat sebegitu sebaliknya, maksudnya “tunduk”, bukan “menghormati”.

Gambar hiasan.

Justeru itu, hujah yang sering kali digunakan adalah, “Pernahkah pemimpin Muslim berpakaian seperti seorang Kristian, atau penganut ajaran Buddha, ketika memasuki perkarangan rumah ibadat kami?”

Nampak? Di sini batas logik “bukan Muslim tidak pakai tudung sama dengan tidak menghormati Islam”, kerana jikalau logik ini digunapakai ke atas Muslim, ia akan menjadi “Muslim tidak pakai jubah bhikkhu sama dengan tidak menghormati Buddhist”, sedangkan kita tahu, realitinya bukan sebegitu.

Selagi kita tidak membina naratif yang lebih meyakinkan, pertikaian ini akan berlanjutan sehingga hari kiamat. Ia menjelaskan mengapa pemakaian tudung Hannah Yeoh dianggap “lakonan semata-mata” yang bersifat “kosmetik” dari kaca mata mereka.

Mereka akan terus menyindir, apakah Hannah Yeoh bakal menegur rakan Muslim-nya supaya menghormati hak bukan-Muslim untuk mengambil minuman keras, ketika menyantuni kelompok Muslim dengan tudungnya?

Tanpa merungkaikan persoalan (sungguhpun lebih bersifat sindiran) yang berlegar-legar dalam kelompok mereka, sebaliknya membalas dengan retorik “membina Malaysia yang majmuk dan sederhana”, gagal meredakan ketidakpuasan mereka, jauh lagi menyelesaikan masalah.

Untuk kelompok Cina-bukan Muslim ini, “sederhana” yang diseru hanya dituju kepada kelompoknya, dan bukan terhadap kelompok Muslim. Mereka mengganggap hujah ini tidak adil, lantas mereka terus menggunakan sentimen ini untuk mengolah persetujuan kelompok bukan Melayu-Muslim yang lain.

Jalan keluarnya?

Justeru itu, kita perlu membina semula naratif dalam isu ini. Saya mencadangkan kebebasan diberikan kepada semua individu untuk memilih cara tersendirinya bagi menghormati kelompok penganut agama yang berbeza, ketika menziarahi rumah ibadat, mahupun meraikan perayaan.

Seorang Muslim tetap seorang rakyat Malaysia yang menghormati kepelbagaian ketika tampil di perkarangan kuil Hindu, gereja Kristian atau tokong Cina dengan jubah dan kopiahnya; sementara “ke-Malaysia-an” seseorang bukan Muslim tidak diukur berdasarkan sama ada dia memakai tudung atau tidak ketika memasuki perkarangan masjid.

Yang penting, rakyat Malaysia sedar di mana batasnya supaya tidak melanggar adat dan budaya masing-masing. Rasa hormat itu harus zahir dari hati yang tulus, tanpa paksaan.

Lebih penting, kita perlu mewujudkan satu suasana yang adil, dan saling menghayati untuk semua, agar tiada ruang untuk percambahan benih kebencian.

Saya masih ingat bagaimana penyampai berita Cina stesen televisyen dihujani sindiran dan kritikan ketika memakai baju Melayu pada Hari Raya Aidilfitri, beberapa tahun lalu.

Suara-suara sedemikian hanya ditenggelamkan apabila penyampai berita Melayu juga berpakaian Cina tradisional ketika Tahun Baru Cina. Jadi, bukan mustahil untuk mematahkan fahaman sempit, cuma ia mengambil masa dan menuntut kesabaran.

Sesungguhnya, politik identiti akan menghantui masyarakat Malaysia buat satu jangka masa yang panjang, jika bukan selama-lamanya. 

Gambar hiasan.

Saya cukup tidak selesa, malah jelik dengan gelagat sesetengah politikus yang meraih populariti hanya dengan penampilan luaran yang bersifat kosmetik.

Hannah Yeoh yang kita kenali tidak tergolong dalam kelompok ini, kerana beliau sememangnya seorang pemimpin yang bergaul rapat, memahami sensitiviti dan keperluan kelompok dari pelbagai etnik dan agama, sejak beliau melangkah masuk dunia politik lagi. 

Untuk berlaku adil kepada Dr Boo Cheng Hau, sungguhpun kenyataan beliau tidak diolah dengan seeloknya, beliau bukanlah seorang yang rasis sebagaimana yang dilabel.

Saya mungkin tidak bersetuju dengan pandangan beliau, tetapi saya mengganggap adalah wajar pandangan itu ditelaah dalam konteks yang saya tuliskan di atas.

Akhir kata, ingin saya bangkitkan bahawa wujudnya sesetengah politikus yang menonjolkan diri sebagai pemimpin sederhana dan meraikan kepelbagaian dengan pemakaiannya, tetapi misinya selesai selepas gambar diambil.

Tidak lebih dari itu. Terdapat pemimpin yang boleh tahan ketebalan prejudisnya terhadap kaum lain, tetapi bergambar dengan baju Melayunya ketika Hari Raya Aidilfitri.

Sebaliknya, terdapat juga wakil rakyat keturunan Cina yang memberi peruntukan untuk masjid, surau, sekolah agama di kawasannya, tetapi jarang tampil dengan baju Melayu ketika perayaan. Apakah beliau kurang kemalaysiaan? Atau apakah beliau pekat kecinaannya?

Bukankah ia amat dangkal andainya kita menggunakan kayu ukur sebegitu? Yang penting sebenarnya, adalah penghayatan kita terhadap nilai-nilai saling menghormati dan menghargai.

Siapapun diri kita, sama ada wakil rakyat, pemimpin politik, agamawan, rakyat marhaen, selagi kita menghormati setiap individu sebagai insan yang bermaruah, memberi hak kepada mereka yang berhak, membela mereka yang terpinggir dan tersisih, agar mereka hidup di atas bumi ini sebagai seorang insan yang bermaruah, terbela dan gembira, maka itulah kemalaysiaan pada tahap kemuncaknya.

Dan seandainya kekayaan, kemegahan, kegembiraan dan kebahagiaan kita boleh dikongsi bersama, bukankah itu juga sebahagian identiti yang dikongsi bersama? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.