KOLUM | Majikan tanya, boleh cakap Inggeris di Scotland?
Ada perbezaan besar antara yakin menggunakan bahasa Melayu di persada antarabangsa, dengan tidak menggunakannya kerana tidak mahir berbahasa Inggeris.
Saya tidak tahu apakah Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man yang memilih menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021, baru-baru ini adalah kerana beliau yakin menggunakan bahasa Melayu, atau memang kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
Ada perbezaan yang sangat dasar apabila seseorang itu yakin dan percaya untuk menggunakan bahasa Melayu di persada antarabangsa. Saya pernah ditawarkan oleh penerbit antarabangsa untuk menulis dan menerbitkan buku dalam bahasa Inggeris. Kalau saya perlahan-lahan menulis dalam bahasa tersebut, dan diterbitkan, mungkin saya beroleh nama dan pengiktirafan dengan cepatnya.
Akan tetapi saya memilih untuk menulis fiksyen dalam bahasa Melayu, meskipun banyak tulisan akademik saya (kerana tuntutan kerja) ditulis dalam bahasa Inggeris.
Ini kerana saya percaya hasil kesusasteraan harus dikarang dalam bahasa asal bangsanya (melainkan ada kondisi malang yang tertentu). Sebab itu saya tabik dengan Ngugi wa Thiong'o penulis Kenya yang memilih untuk mengarang dalam bahasa suku Gikuyu demi menyelamatkannya dari kepupusan. Ngugi wa Thiong'o bukan tidak boleh menulis dalam bahasa Inggeris, malah sudah pun terkenal dan saban tahun dicalonkan anugerah Nobel, tetapi dia memilih dengan yakin kerana percaya dia perlu dan mesti menulis dalam bahasa ibundanya.
Jadi saya mungkin sejenis dengan Ngugi wa Thiong'o yang percaya dengan bahasa Melayu. Ia malah pilihan politikal.
Bahasa Melayu mempunyai sebab untuk diketengahkan ke persada antarabangsa. Jika kita merujuk sejarah pelayaran Antonio Pigafetta of Vicenza yang berada di Melaka pada tahun 1521, kita tahu beliau telah mempelajari bahasa Melayu daripada Henrique (Awang), hamba nakhoda Magellan yang berasal dari alam Melayu. Selain Henrique, Pigafetta juga memanfaatkan seorang hamba, Manoel, berbangsa Melayu yang beragama Kristian. Hamba tersebut merupakan milik Pedro Alfonso de Lorosa yang pernah berada di Tidore.
Pigafetta menyusun sebuah kamus yang bertajuk ‘Vocaboli de Questi Popoli dan terdapat lebih empat ratus patah perkataan yang dianggap penting oleh pelayar-saudagar Eropah. Kehadiran kamus tersebut menjelaskan kepada kita yang bahasa Melayu pada tahun 1521 itu adalah bahasa lingua franca yang mana ia menjadi bahasa utama pemodal dan pendana.
Bangsa Indonesia hari ini menggunakan bahasa Indonesia di persada antarabangsa kerana mereka yakin dan percaya akan bahasa itu.
Di antara negara yang bertutur bahasa Melayu, terdapat satu pertubuhan serantau yang namanya Mabbim, iaitu singkatan untuk Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia yang ditubuhkan sebagai badan kebahasaan serantau. Ia konon berperanan merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu di rantau ini. Majlis ini dianggotai tiga negara, iaitu Brunei, Indonesia, dan Malaysia. Manakala Singapura negara pemerhati sehingga kini.
Indonesia mahu tinggalkan Mabbim
Pihak yang terlibat dalam Mabbim ini tahu yang Indonesia sudah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Mabbim kerana ingin bersendirian membawa bahasa Indonesia ke persada internasional. Indonesia tidak lagi menganggap bahasa Indonesia itu bahagian dari bahasa Melayu. Kita tidak boleh menyalahkan Indonesia. Ini kerana mereka yakin dan ada tekad. Jadi kalau Jokowi berucap di New York dalam bahasa Indonesia, itu tidak menghairankan. Ini kerana ia dilakukan dengan sedar, dan yakin.
Malah kesedaran dan keyakinan itu diterjemahkan di republik itu sesungguhnya. Bahasa Indonesia diupayakan. Sastera Indonesia ditulis oleh semua suku kaum dalam bahasa Indonesia. Bahan bacaan dalam bahasa Indonesia mengandungi ilmu ajaran Kristian, Hindu, Buddha dan macam-macam lagi.
Di Malaysia, tak ada prasarana dan keyakinan seperti itu. Orang Kristian tidak boleh menggunakan bahasa Melayu untuk berkristian, dengan alasan ada akar kata bahasa itu dari Islam. Maka kata iman dan dakwah misalnya jadi satu milik khas. Bukan itu sahaja bahasa Melayu itu dilekatkan sebagai bahagian dari identiti Melayu (yang dalam perlembagaannya mestilah Islam). Malah hari ini sastera Melayu itu sinonim dengan sastera Islam.
Jika Tuan Ibrahim Tuan Man berada di Scotland pada tahun 1521 dan berucap dalam bahasa Melayu, orang akan memujinya kerana dia akan dianggap yakin dan percaya dengan bahasa Melayu. Ini kerana memang bahasa Melayu itu satu bahasa global.
Ia berbeza dengan menggunakan bahasa Melayu kerana tidak mahir berbahasa Inggeris.
Kalau saya ke seminar sastera antarabangsa dan berkeras untuk menggunakan bahasa Melayu ketika berucap siapa yang akan mendengar saya sekarang? Maka karat-karat bahasa Inggeris pun saya dayakan dengan bertutur dalam bahasa Inggeris kerana ia keperluan. Pun, saya yakin dengan bahasa Melayu, sebab itu saya menulis dalam bahasa Melayu. Ia pilihan politik.
Saya berpendidikan pengajian syariah di peringkat sarjana muda. Saya kurang terdedah dalam bahasa Inggeris kerana lebih harus banyak menggunakan bahasa Arab. Tuan Ibrahim Tuan Man seperti saya, cuma saya lulusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (1998). Beliau graduan Pengajian Islam tahun 1985, dan 1996. Tetapi saya segera tahu bahawa untuk mendunia dalam pengajian Islam, saya mesti menggunakan bahasa Inggeris. Maka saya pelajari bahasa ini sungguh-sungguh. Beza saya dengan sesetengah ustaz di universiti ialah mereka hanya berani membentang kertas akademik di Malaysia, atau Indonesia; tetapi tidak begitu berani ke Eropah atau Amerika Syarikat. Saya memilih untuk mesti berbahasa Inggeris ketika berwacana akademik dalam bahasa Inggeris. Ini kerana ia penting supaya maklumat sampai, dan penting untuk saya menimba ilmu, dan penting untuk saling berbincang bagi mengkayakan pengetahuan. Bukan kerana saya tidak yakin dengan bahasa Melayu.
Ia berbeza dengan menggunakan bahasa Melayu kerana tidak mahir berbahasa Inggeris.
Saya telah katakan, saya tidak tahu apakah Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man yang memilih menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021, baru-baru ini adalah kerana beliau yakin menggunakan bahasa Melayu, atau memang kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
Pasaran kerja
Akan tetapi bayangkan kalau kamu itu siswa yang baru lulus di universiti dan akan masuk pasaran kerja. Salah satu kemahiran yang ditanya bakal majikan dalam temuduga adalah, selalunya: Bolehkah saudara berbahasa Inggeris (kadang diminta bahasa Mandarin juga). Ia dinamai persaingan di medan terbuka.
Jika siswa itu menjawab saya kurang boleh berbahasa Inggeris, kerja itu mungkin terlepas dari tangannya dan beroleh ke orang yang kelihatan yakin bertutur ketika temuduga dalam bahasa Inggeris. Kedua-dua siswa itu harus diingat, yakin dengan bahasa Melayu, dan tidak pun menolak bahawa bahasa itu bahasa kebangsaan. Cuma, bahasa Inggeris memang tuntutan pasar waktu ini. Pada tahun 2021, bahasa Inggeris itu lingua franca, dan bahasa Melayu bukan lagi seperti di tahun 1521.
Seorang menteri adalah politikus yang digajikan rakyat, iaitu kita pengundi. Kita adalah majikan para menteri. Jika siswa yang tidak boleh berbahasa Inggeris tidak beroleh kerja, dan kalah dalam persaingan, maka adilkah menteri yang tidak boleh berbahasa Inggeris diberikan kerja oleh kita sebagai pengundi.
Ia tidak sama kalau menteri/politikus tidak boleh berbahasa Melayu. Semua menteri mesti boleh berbahasa Melayu kerana ia penting untuk bersemuka dengan pengundi, dan juga berurusan dalam kerajaan dan Dewan Rakyat atau Negeri.
Adakah Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man yang memilih menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021, baru-baru ini adalah kerana beliau yakin dan percaya keutamaan bahasa Melayu?
Atau memang kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik?
Sebagai majikan kepada menteri ini adakah patut kita meletakkan mereka di posisi menteri sedang mereka tidak boleh berbahasa Inggeris, sedangkan anak-anak kita yang ingin memohon pekerjaan diwajibkan mesti boleh berbahasa Inggeris (kadang juga Mandarin)?
Kalau Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man itu percaya dan yakin malah bersemangat dengan bahasa Melayu ala-ala Jokowi baguslah. Jadikanlah Malaysia seperti Indonesia. Benarkan Bible dibaca dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Akan tetapi kalau beliau itu berbahasa Melayu di Scotland kerana memang tidak reti berbahasa Inggeris, saya ingin menasihatkan beliau (kerana saya seorang pendidik), seperti mana saya menasihati anak-anak siswa tahun satu di Fakulti Pengajian Islam UKM, belajarlah berbahasa Inggeris. Ia bahasa penting.
Itu tadi nasihat saya kepada pelajar saya yang mengambil kursus citra. Malah saya menambah begini: “Tambah-tambah kalau kamu kelak masuk PAS dan berangan ingin jadi menteri.”
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai