Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Duta cap ayam

Duta bukan barang mainan, bukan juga barang dagangan malah bukan juga bahan yang boleh menjadi jenaka kawan mahupun lawan. Duta adalah imej, lambang dan martabat negara. Bukan kaleng-kaleng title duta ni. Duta secara mudahnya bermaksud utusan atau wakil kerajaan.

Bagi sesebuah negara yang berdaulat, duta adalah entiti penting yang ditempatkan di negara asing untuk mempertahankan segala kepentingannya. Duta, kedutaan, perdutaan dan penduta mempunyai maksud yang berbeza tetapi berada dalam linkungan maksud wakil atau ambassador di negara luar.

Pastinya posisi yang paling penting di kedutaan luar negara adalah duta. Bagi pegawai-pegawai di kedutaan, mereka berfungsi membantu duta dan menjalankan tugas-tugas penting meliputi hubungan diplomatik, perdagangan, imigresen dan lain-lainnya.

Duta adalah pegawai diplomatik tertinggi pangkatnya yang dihantar oleh kerajaan atau negara ke sesebuah negara asing untuk tinggal menetap di sana (selama beberapa tahun) sebagai wakil kerajaan. Duta akan mewakili kerajaan dalam perjumpaan, lawatan rasmi, mesyuarat, perbincangan isu-isu diplomatik dan lain-lainnya.

Duta juga adalah mata dan telinga kerajaan, menyampaikan dasar-dasar luar kerajaan dan dalam masa yang sama memahami dasar dan polisi negara yang mana mereka bertugas. Malah duta memegang kerahsiaan yang sangat tinggi hingga diberikan status yang luar biasa oleh PBB serta dikebalkan dan mendapat imuniti dalam keadaan tertentu.

Duta juga mestilah seorang yang bijak dan terpelajar bukan cap ayam, dungu atau lemah mental mahupun fizikal. Tugas duta bukan sahaja perlukan energi, malahan harus cerdas akal dan minda. Keupayaan negosiasi dan mengawal tingkah laku serta ‘amarah’ adalah penting dan menjadi keutamaan.

Silap-silap langkah boleh retak hubungan dua hala dan diplomatik yang tersemai sekian lama. Silap sebut, salah bicara, khilaf tingkah menatijahkan masalah. Duta bukan sahaja perlu cerdik malah berilmu dan waras dalam pemikiran dan tindakan.

Duta empayar China Kuno

Sejarah membuktikan, kerajaan China menghantar pegawai diplomatik terbaik mereka untuk berurusan dengan Kesultanan Melaka. Laksamana Cheng Ho atau Zheng He untuk adalah komander tentera, perisik, pakar diplomasi, pegawai tinggi dalam kerajaan dinasti Yongle. Malah sesetengah pendapat mengatakan beliau beragama Islam, dan atas dasar itulah dihantar ke Melaka untuk berurusan dengan Sultan Muzaffar dan Megat Iskandar yang beragama Islam.

Tugu Cheng Ho 

Cheng Ho mengepalai 200 buah kapal dengan kekuatan 28,000 pegawai, kelasi dan tentera untuk ke Melaka. Malah kehadiran rombongan besar ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam sejarah hubungan diplomatik China-Melaka hingga kini. Tugu Cheng Ho dibina di Melaka sebagai mengiktiraf jasa dan peranan duta hebat ini.

Berkemungkinan besar Malaysialah satu-satunya negara di dunia yang mengabadikan seorang duta dalam bentuk tugu sebagai pengiktirafan tertinggi atas peranan yang dilakukan oleh laksamana Cheng Ho.

Duta zaman nabi, sahabat

Zaman sebelumnya lagi, Rasulullah SAW dan para sahabat juga hanya menghantar duta dari kalangan sahabat yang bukan sahaja cerdik, malah tinggi ilmu dunia dan akhirat mereka. Duta utusan terpilih ini bukan sahaja berjaya mengembangkan Islam ke serata pelosok dunia, malah juga berjaya menaikkan imej Islam hingga dipandang tinggi oleh empayar dan kerajaan besar lainnya.

Legasi duta yang bijak dan berilmu ini juga diteruskan oleh dinasti Umayyah, Abbasiyyah sehinggalah Turki Uthmaniyyah. Tiada kompromi dalam melantik duta, malah ibadah, akhlak dan tingkah laku mereka juga menjadi ukuran sebelum dipilih menjadi duta kerajaan Islam ketika itu.

Duta balas budi

Desas-desus bertiup kencang tentang hasrat kerajaan melantik duta baru iaitu Tajuddin Abdul Rahman, ahli parlimen Pasir Salak sebagai duta Indonesia dan Nazri Aziz, ahli parlimen Padang Rengas sebagai duta di Eropah (mungkin Perancis). 

Tajuddin Abdul Rahman

Atas alasan apakah pelantikkan ini dilakukan? Jika benar dikatakan bahawa lantikan adalah kerana membalas budi, ia amatlah tidak wajar sekali.


Baca: Sumber: Cadangan lantik Tajuddin, Nazri sebagai duta untuk 'balas budi'


Duta bukan posisi untuk membalas budi atau memberikan laba atas sokongan politik yang diberikan, tetapi duta adalah posisi penting mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia di luar negara. Semua kepentingan negara adalah dalam tanggungan dan bidang kuasa TYT duta.

Setakat ini tiga duta khas PM bertaraf menteri telah dilantik iaitu ke China, Timur Tengah dan Asia Timur terdiri dari Tiong King Sing; Abdul Hadi Awang dan Richard Riot Jaem. Ini semuanya adalah lantikkan politik atau memang berdasarkan merit? Adakah kerana mereka memberi sokongan kepada kerajaan maka diberikan posisi ini?

Duta-duta khas bertaraf menteri

Atau adakah kerana mereka benar-benar berkelayakkan dan yang paling penting melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya? Maaf cakap, masih belum kelihatan kejayaan yang dibawa oleh pak duta bertaraf menteri ini. Di saat negara sedang mengalami proses pemulihan pasca pandemik, adakah perlu berbelanja besar untuk lantikkan seperti ini?

Bukankah peranan yang sedia ada pada duta yang telah dilantik oleh Wisma Putra sudah mencukupi. Duta yang dilantik melalui proses sewajarnya adalah kakitangan kerajaan yang terpilih, cemerlang dan melalui pelbagai latihan hingga mampu menduduki jawatan tersebut.

Pembangkang kelihatannya berdiam diri, mengapa? Adakah kerana mereka menunggu hingga lantikkan ini benar-benar berlaku dan akan bermulalah siri serangan kepada pihak kerajaan. Ini adalah masa yang amat penting bagi pihak kerajaan menimbang dan memastikan perkara ini tidak menjadi isu yang boleh dijadikan senjata oleh pihak pembangkang.

Tetapi apa yang paling penting disini ialah kebijakkan kerajaan dalam melantik duta untuk negara Malaysia ini, duta yang melambangkan kedaulatan dan kehebatan yang dimiliki. Jangan lantik duta cap ayam, duta yang mulut celupar apatah lagi yang gagal dan sombong.

Cukup-cukuplah lantik duta sebagai membalas budi atau menghantar ahli politik untuk sejukkan mereka kerana keberadaannya di dalam negara boleh menjadi masalah dan isu yang boleh menghuru-harakan kerajaan. Jangan juga hantar duta yang hanya pandai main golf atau berehat / bercuti di luar negara semata-mata.

Lantiklah duta berkelas dunia, duta lulusan dari universiti terbaik dan hebat mengemudi negara terutamanya apabila berlaku isu yang boleh menggugat kedaulatan negara. Jika lantik duta cap ayam, negara pun cap ayamlah. Politik jangan dicampur adukkan dalam perlantikkan duta, ini jawatan penting yang tiada kompromi untuk perlantikkannya.


MOHD MIZAN ASLAM ialah pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MyRISS).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.