Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Kerana Jebat mengamuk di Melaka

Perseteruan yang berlaku di antara Paduka Negeri (PN) dengan Mangku Negeri (MN) berlaku di hadapan mata kita semua seperti kian sampai di kemuncaknya. Masing-masing mempunyai hulubalang terbilang. Segala pencak silat dan mentera sudah bersikukuh dalam dada.

Memang PN dan MN berasal dari tembuni yang sama. Apabila semakin membesar dan tulang-temulangnya keras, langkah masing-masing panjang dan besar. Lalu mereka bertembung dan tersandung, sesama sendiri dijatuhkan dan menjatuhkan.

Justeru untuk mengelak daripada dituduh sebagai petualang (dalam konteks ini, bermaksud orang yang mendapatkan sesuatu dengan cara menipu atau secara tidak jujur) mereka mewujudkan kambing hitam untuk dituduh di tengah malam.

Kali ini Melaka akan menjadi medan menguji ilmu di dada masing-masing. PN dan MN lalu mempertaruhkan nyawa rakyat jelata. Sudah hampir 30,000 jiwa rakyat melayang pergi ke alam lain.

Entah berapa ramai pula yang menjadi balu dan anak yatim. Namun satu pilihan raya - yang sepatutnya tidak diperlukan - kemudian dipaksakan.

Tanah yang sekangkang kera bakal menjadi gelanggang untuk hulubalang mempamerkan segala apa yang ada. Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan atas alasan mahu mendaulatkan kuasa dan menghidupkan demokrasi.

Ada yang memberitahu bahawa Hang Jebat ialah ikon prodemokrasi. Hang Jebat sanggup menderhaka demi menegakkan keadilan untuk rakyat. Jebatlah rakyat biasa pertama berkuasa di istana.

Lupa tawarikh sendiri

Kini semua ingin menjadi Hang Jebat. Ingin menawan istana yang menjadi lambang kaum feudal yang berkuasa.

Khabarnya semua itu adalah angkara perdagangan menambak pinggir selat dan membesarkan pantai negeri. Berdagang atas angin dan menyelam sambil minum air memang suatu perniagaan yang mudah mengamit rasa dengki dan tamak haloba sesama sendiri.

Sudah berbenteng-benteng pasir timbul dan batuan kerikil tenggelam di Kota Melaka, pantai Klebang hingga ke muara Sungai Linggi. Para nelayan, pembuat perahu, pengait jala dan penjual udang galah menumpang di tanah sendiri.

Ikan dan geragau pun enggan berenang-renang di tepi pantai. Berdekad-dekad dulu hilang sudah kampung pesisir pantai atas nama pembangunan ekonomi negeri. Satu demi satu anak negeri menyisih pergi.

Sayangnya setiap lima tahun, anak Melaka sering terlupa tawarikh sendiri.

Karangan ini hanyalah untuk mengingatkan kembali tentang kota Melaka yang metropolitan. Kota tumpuan dunia. Ia pernah menjadi pusat kebudayaan dan ketamadunan yang akhirnya jatuh ke tangan Portugis angkara raja yang zalim, rasuah, birokrasi jahat dan saudagar bermain kayu tiga.

Semuanya khianat kepada amanah yang diberikan.

Sejak berlakunya Langkah Sheraton yang penuh pengkhianatan, entah apalah yang menimpa ini negeri. Belum habis awal, datang lagi bala yang lain pula. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Mungkin kerana berturut-turutan tiada berjumaat, sudah tiada lagi salam atau peluk cium dalam rahmat. Solat tiada lagi bertemu kaki dan pengajian di masjid sudah tidak serancak dulu.

Biar sampai ke pangkal

Mungkin kerana Timah disangka Fatimah, puteri Rasullulah yang mulia. Mungkin kerana tragedi Adib tertutup kesnya. Atau mungkin kerana jumlah cabutan khas judi ditambah demi mengelak maslahah yang lebih besar.

Tiada siapa tahu.

Saya hanya melontarkan semua itu sebagai kemungkinan asbab yang mengundang bala datang bertimpa-timpa.

Kini, setelah lebih lima kurun berlalu, mari menelaah kitab lama kita semula.

Memang sudah dicatat dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah bahawa Hang Jebat bukan saja mabuk dan berfoya-foya di istana Melaka bahkan selepas ditikam sahabat baiknya, dia mengamuk.

Habis dirodoknya tubuh rakyat jelata yang ditemui. Dari pasar masuk ke kampung; dari lorong hingga ke jambatan. Ada yang sempat lari, ada yang tidak. Lelaki perempuan sama saja kena. Cina, India, Jawa, Bugis atau siapa saja - diharungnya semua.

Kecil atau besar memang bukan lagi menjadi hitungan orang yang mengamuk. Bagi orang yang dirasuk amuk, alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Tiga hari tiga malam Jebat mengamuk selepas keris Taming Sari menusuk ke perutnya. Akhirnya Tuah berkata pada sahabatnya itu: "Hai Jebat. Padalah engkau membunuh orang yang berpuluh-puluh ribu ini? Kerana engkau pun mati juga. Sudahlah."

Jebat mengamuk sendirian. Dia memuaskan hati dan perasaan marahnya sahaja. Keadilan yang diperjuangkan hanya apabila saudaranya dizalimi. Tidak diperturunkan segala kebijaksanaan berpolitik yang diajar oleh mahaguru mereka, Aria Putera.

Jebat bukan mahu menjadi presiden empayar Melaka. Jebat bukan prodemokrasi. Jiwa feudal dan aristokrat Jebat padat. Jebat hanya mahu mengajar raja zalim yang tiada berhati perut, menghukum tanpa usul periksa terhadap sahabat seperguruannya, Tuah.

Bagi Jebat, raja yang adil itulah raja disembah. Raja zalim, raja disanggah.

Sejengkal tak cukup

Ketika Jebat berkuasa di istana, dialah raja, dia jugalah bendahara. Dia juga laksamana. Jebat membolot segala khazanah yang dapat dikautnya selama berkuasa.

Begitulah Jebat-Jebat yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di Melaka ini.

Rupanya sejarah permainan kuasa dan takhta sejak zaman anak Nabi Adam hingga kini tidak banyak berubah. Sejengkal berkuasa, sedepa nafsu ingin menambahkannya. Sudah sedepa bertakhta, sejauh mata memandang pula mengidam kuasa.

Tetapi itulah politik mainan para kayangan. Rakyat jelata hanya menjadi bidak-bidak yang menghiburkan mereka. Pemberian segala bantuan dan kemudahan hanya untuk tontonan mata.

Para pemimpin diusung dan mengusung diri merata tempat.

Jebat mengamuk kerana mengikutkan hatinya. Jebat mengamuk kerana tidak puas hati. Jebat mengamuk kerana kepentingannya terjejas. Jebat mengamuk kerana singkat akalnya. 

Jebat mengamuk kerana kebebalannya. Jebat mengamuk bukan kerana mahu membela rakyat.

Usah diikut lagak Jebat.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penyair dan pengarang buku Menang Dan Terbuang – Demokrasi, Deep State dan Darurat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.