Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Kutu, mat disko dan Mamat Khalid

KOLUM | Mereka yang lahir sekitar 1950-an dan menjadi remaja sekitar 1960-an dan 1970-an adalah kelompok yang paling layak digelarkan sebagai kutu.

Itu pun bergantung pula kepada apa kecenderungan muzik yang mereka anuti. Jika lebih gemar kepada muzik pop yang masyhur waktu itu, maka mereka adalah mat disko.

Jarang ada kutu yang mahu atau boleh masuk ke kumpulan mat disko kerana perbezaan ketara dalam selera mereka.

Sesiapa yang lahir sekitar 1960-an dan menjadi remaja sekitar 1980-an sehingga 1990-an tidak boleh mendakwa diri mereka sebagai the original kutus. Mereka adalah generasi peralihan dari zaman kutu kepada zaman rock kapak.

Kutu lebih meminati kumpulan seperti Deep Purple, Uriah Heep, Led Zappelin dan yang seangkatan dengannya, manakala mat disko pula menghala kepada kumpulan seperti Bee Gees, dan selepas itu kumpulan-kumpulan kecil seperti Boney M dan juga penyanyi Donna Summers.

Pakaian mereka juga berbeza. Kutu gemar mengenakan seluar jeans lusuh dan kemeja T serta berjeket sambil menggayakan kasut kanvas atau but ala koboi, manakala mat disko lebih selesa dengan seluar bellbottom dengan kemeja sendat berkolar besar. Jeans kaki besar yang digemari oleh kutu disebut sebagai bootcut.

Dalam filem Kembara Seniman Jalanan, hanya Ito, Imuda dan Pyanhabib yang bergaya kutu sementara M Nasir pula membawa gayanya yang tersendiri. Kerana itu M Nasir tidak boleh dikategorikan sebagai kutu dalam Kembara Seniman Jalanan.

Ada wakil bawa suara

Mungkin beliau mewakili Melayu Singapura yang sehingga kini masih kuat kemelayuannya walaupun tinggal di bumi yang tidak lagi memandang penting penduduk asal tanah itu.

Ito yang layak digelar sebagai 'Bapa Kutu Semalaya' itu hilang sedikit taringnya apabila sibuk dengan agenda penghapusan cetak rompak. Hal itu kerana membeli kaset cap kaki berharga RM3 setiap satu itu adalah sifat kutu. Hanya mat belia yang sanggup mengeluarkan RM14.90 untuk sebuah kaset.

Kutu mungkin akan berbaju kurta namun tidak sesekali mengenakanya dengan seluar batik. Kurta dan salwar khameez biasanya dikenakan oleh kumpulan hippies.

Namun apabila M Nasir keluar dengan kumpulan Kembara, beliau lalu diangkat oleh gerombolan kutu sebagai mewakili suara mereka.

Dalam kesibukan suara mendayu-dayu Uji Rashid, Sharifah Aini, Hail Amir dan beberapa penyanyi lain, Hati Emas menyadarkan ramai kutu bahawa kini mereka telah adalah wakil yang membawa suara hati masing-masing kepada masyarakat.

A Ali, S Sahlan dan M Nasir bercerita mengenai kisah orang biasa dalam lagu-lagu mereka. Dari buruh kasar kepada petani dan nelayan. Mereka juga bercerita mengenai ayah dan ibu di samping membawa semangat nusantara yang lama dilupakan.

Lalu setelah itu mereka dianggap sebagai hero oleh remaja pada waktu itu.

Bagaimanapun, kutu sebenarnya terlebih dahulu mendapat suara melalui kumpulan Blues Gang. Tetapi kumpulan itu hanya menjadi tumpuan setelah lagu Ibu menjadi popular. Sebelum itu kumpulan Blues Gang hanya digemari sebilangan kutu sejati.

M Nasir - yang terlebih dulu dikenali sebagai pembuat lagu-lagu merayu untuk Alleycats - diangkat sebagai hero rakyat marhaen setelah hadir sebagai Kembara. Ia kerana sebilangan besar daripada kita pada waktu itu kebosanan dengan lagu-lagu yang tidak habis-habis dengan kisah putus cinta.

Orang biasa kita jumpa 

Beliau kemudian membentuk satu identiti untuk dirinya, dan setelah lama 'berjuang' membela nasib orang bawah, sesuai dengan usianya, beliau pergi pula mencari Tuhan.

Seperti Ramli Sarip, perlahan-lahan jalan mereka menuju Tuhan menjadi sehala. Namun hal itu memerlukan satu artikel yang lain untuk bercerita mengenainya.

Atas sebab yang sama juga, apabila Mamat Khalid keluar dengan drama tivi dan siri filemnya yang lari daripada tema basi berkelahi kerana berebut laki, berebut harta, berebut menantu, berebut kekasih, merogol dan sejuta jenis kelahi lain, beliau dilihat sebagai seorang tokoh pembaharuan.

Karya-karya arahan Mamat adakalanya berjaya dan ada juga yang gagal. Namun semua orang bersetuju bahawa Mamat ialah pengarah yang sedikit sebanyak membuatkan kita kembali sudi untuk menonton drama dan filem Melayu.

Ketika dunia drama dan filem Melayu sedang asyik mencari watak gagah, sado, ayu, jelita dan bodoh, Mamat datang dengan pelakon yang kelihatan seperti manusia yang biasa kita jumpa di mana-mana.

Antara lain ialah - seperti kata pengusaha kedai Sidang Kopi yang popular di Kuala Lipis dan Gua Musang Encik Firdaus Abdillah - di mana lagi kita boleh lihat orang yang wajahnya mirip jiran sebelah rumah menjadi pelakon kalau bukan dalam filem Mamat.

Kita akui bahawa ada keperluan untuk mengambil pelakon yang kacak lagi jelita bagi tujuan melariskan produk. Dunia seni antarabangsa menunjukan jalan melalui bintang terkenal seperti Tom Cruise atau Hugh Jackman yang segak itu.

Namun siapa pula boleh menyangkal kebolehan lakonan Steve Buscemi atau nyanyian Nina Simone? Kedua-dua mereka itu tidak memiliki wajah bernilai jutaan pengikut, namun kehebatan masing-masing sudah lama dibuktikan.

Begitu juga pelakon-pelakon yang dipilih Mamat. Kita lupakan Awie atau Bell Ngasri yang memang sudah lama popular itu. Kita ambil pelakon yang membawa watak Pak Jabit, Yeh Sekupang, Kuda, Wani dan Nayan misalnya.

Pergi ketika masih dikenang

Kekuatan lakonan mereka setanding dengan pelakon-pelakon berbadan sasa dan jelita yang ada di tanah air kita. Malah adakalanya penghayatan watak oleh pelakon pilihan Mamat mengatasi watak-watak dilakonkan oleh aktor terkenal semasa.

Semua pelakon yang diambil oleh Mamat membawa watak mereka dengan begitu bergaya. Mereka juga telah berjaya lekat di hati para pengemar filem tempatan.

Malah jika bukan kerana Mamat, penyanyi Mus dari kumpulan May tidak mungkin diambil oleh sesiapapun untuk menjadi pelakon.

Sebelum Mamat, telah ada filem-filem lain arahan Yasmin Ahmad yang cuba membawa kehidupan seharian kita ke layar perak namun karya-karya arwah itu kelihatan sedikit elit, terutamanya dalam hal pemilihan pelakon.

Sharifah Amani misalnya tidak mungkin kita lihat sebagai sebahagian daripada orang banyak, dan penyanyi Adibah Noor pula telah meletakkan dirinya dalam satu kumpulan yang terlalu asyik dengan bahasa Inggeris.

Tidak ada salahnya pada kedua mereka namun untuk meletakkan Sharifah Amani atau Adibah sebagai kawan, teman dan sahabat adalah sesuatu yang mungkin tidak tercapai.

Kerana itu kita berasakan satu kehilangan apabila Mamat meninggal dunia. Kesedihan yang dirasakan seumpama kehilangan seorang teman yang sentiasa datang untuk mengembirakan.

Dan biasanya teman-teman sebegini hanya akan dirasai kehilangannya apabila mereka telah tiada.

Nanti kita akan berulang-ulang mengingat akan 'perangai' sahabat kita yang satu itu lalu kita sama-sama ketawa. Dan kemudian mengalirkan air mata mengingatkan betapa dia telah tidak ada lagi di antara kita.

Mungkin kerana diberikan usia yang mewah maka M Nasir pun perlahan-lahan berubah mengikut masa. Untungnya Mamat adalah, beliau pergi semasa masih dikenang orang sebagai sebahagian daripada masyarakat bawahan.

Beliau tidak memandang tinggi segala pencapaian yang dikecapi malah kekal berakar menjadi sebahagian daripada kita semua, baik dari sudut penghasilan karya mahupun sebagai manusia sebagaimana selayaknya.

Beliau bukan P Ramlee nombor dua tetapi beliau adalah Mamat Khalid yang pertama.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan peminat Hail Amir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.