Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Dari kakang untuk Pemuda

[Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Nasional mengadakan pemilihan ketua dan timbalan ketua Pemuda barunya bagi menggantikan Shazni Munir Mohd Ithnin. Shazni meninggal dunia pada 6 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19. Hasbie Muda terpilih sebagai ketua yang baru, manakala Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan sebagai timbalannya.]

Kakang percaya sudah segunung kata tahniah yang kalian perolehi. Tidaklah untuk Kakang menambah-nambah himpunan ucapan itu pada karangan ini. Jauh sekali untuk menjadi halwa telinga atau santapan kata.

Ini adalah suatu pesanan daripada seorang kakang.

Dalam sistem demokrasi, kepimpinan bukanlah warisan dari darah keturunan, kumpulan atau kelas. Bahkan dalam dunia feudal sekalipun, kepimpinan menuntut kualiti seseorang untuk membawa mereka yang di bawahnya ke satu arah yang dicita-citakan.

Pemimpin sering memberikan inspirasi dan memiliki aspirasi.

Awalnya Pemuda Amanah diuji apabila nakhodanya mabuk laut saat ombak bergelora semasa Langkah Sheraton. Namun bahtera terus berlayar, meredah samudera nan luas.

Syabas anak muda yang mempunyai tekad berjuang dan tidak tenggelam dengan gelombang kehidupan.

Apabila Shazni Munir lebih disayangi Tuhan dan dijemput pergi menjadi tetamu syahid Covid-19, Pemuda Amanah tentu lebih memahami makna harga sebuah kesempatan yang diberikan oleh Tuhan.

Muda atau tua hanyalah angka-angka yang diberikan nilai tertentu. Sedangkan Tuhan memiliki nilai ukuran yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Belajar daripada yang awal

Shazni Munir pergi meninggalkan kita sebelum dia menapak lebih jauh. Namun jika diamati perjalanannya sebelum dia menerajui Pemuda Amanah dan Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir telah melakar sejarah perjuangan yang kukuh.

Bahagiannya sudah selesai. Hanya bahagian kita yang belum.

Hasbie, kini kamu harus menjadi ketua kepada seluruh anak muda, mahasiswa, remaja, pekerja, peniaga muda, penganggur, gelandangan dan segala kerencaman kelompok anak muda.

Pecahkan segala garis pemisah antara parti politik, kelas, agama, budaya dan apa jua hal yang menjadi tembok antara kita semua.

Bukan hanya sekadar menjadi ketua kepada sayap parti politik. Atau sekadar mencukupkan bilangan korum dalam mesyuarat.

Belajarlah daripada Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Mohd Sany Hamzan dan lain-lain yang lebih awal menerajui sayap pemuda dahulu.

Dan kamu, Nik Razak, tentu sekali tahu bagaimana membantu ketua meneraju bahtera. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Ingat juga pepatah lain yang menyebut: biduk berlalu, kiambang bertaut. Pujangga sudah berpesan lama.

Usah dibuang tarbiah yang kalian lalui di kampus dahulu, di kampung dan di jalanan. Jangan dilupa pesanan tok guru, murabi kita. Sejarah dan kenangan juga adalah guru pengalaman paling berharga.

Ada kaitan harga diri

Kalian jadilah pemimpin kepada seluruh rakyat dari Tanjung Puteri hingga ke Padang Besar. Dari Banjaran Crocker hingga ke Lembangan Sungai Rajang. Menjadi Laut China Selatan yang menyatukan tanah benua Asia dengan pulau besar Borneo. Renunglah di halaman pantai rumah kamu.

Pinjamlah kebijaksanaan Lukman al-Hakim dan sarunglah keberanian Saidina Ali Abi Talib. Kerana keberanian tanpa kebijaksanaan ibarat ke medan perang tanpa senjata.

Berapa ramai anak muda yang hilang arah kerana hidupnya sarat dengan emosi? Berapa ramai anak muda yang mengecewakan lantaran fikiran dan tindakannya dangkal dan gelojoh?

Tanpa menafikan, hal-hal tersebut ada kaitan dengan kaburnya harga diri dan identiti. Di samping kurangnya ilmu di dada dan sahsiah yang rapuh. Banyak yang perlu kamu isi dan berikan pada kesempatan ini.

Memimpin bukan kedudukan atau sekadar jawatan.

Kerana kakang pernah muda suatu ketika dahulu. Dan sering terasa ingin muda. itu sahaja pesanan buat kalian sejurus kamu memikul tanggungjawab besar ini.

Sekian, terima kasih.

Kang Min.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli jawatankuasa Amanah Nasional dan juga naib pengerusi Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.