Cerita orang muda: Dari pembantu penyelia kepada pemandu grab
Saya pergi servis kereta. Selepas tinggalkan kereta dekat bengkel, saya hubungi Grab Car untuk pulang ke rumah.
Sejurus Nissan Almera pun tiba jemput saya. Asalnya saya niat nak duduk di kerusi co-pilot, tapi tak jadi kerana nampak ada 'food box'. Jadi saya terus ke belakang. Lagipun SOP pada masa sekarang ni, memang satu Grab Car untuk satu atau dua penumpang sahaja. Dan penumpang kena duduk di belakang.
Pemandu budak muda. Adli Samat namanya.
Naik- naik sahaja, saya mula dengan salam. Lepas tu dia tegur saya... "Macam kenallah bang..."
"Adalah tu jumpa kat mana-mana kot..." saya jawab selamba.
Kami berborak-borak, bagi mesra. Saya tanya dia tinggal di mana. Katanya dekat Ladang Makmor.
Bermula bulan Mei baru-baru ini, Adli mula buat 'full time' memandu Grab. Sambil-sambil tu buat Grab Food sekali. Sebab itu lah ada 'food box' dekat dalam kereta. Nak elak penumpang rasa kurang selesa dengan bau makanan kalau-kalau ada kiriman pada hari yang sama.
"Saya dah 11 tahun kerja kat Liebherr bang. Last sekali jadi assistant supervisor. Tapi saya quit sebab ada beberapa tekanan kerja bila masuk musim PKP..." Adli buka cerita.
"Saya ada try berniaga bazar juga sebelum ni, tapi nampak tak boleh maintain lama. So, sekarang saya buat full time Grab," sambung Adli lagi.
"Alhamdulillahlah bang... sehari bolehlah dapat bersih RM100 lebih kalau keluar pagi balik malam," Adli cerita rutin kerjanya.
Saya beritahu Adli, saya biasa ke Ladang Makmor tu. Sebab saya memang hampir setiap hari turun Paloh, pusing sana sini.
Adli mula cam sesuatu. "Abangg buat apa kat Paloh ya?" tanya dia lagi.
"Office saya kat Jalan Abu Bakar. Boleh kata tiap-tiap hari saya turun Paloh, buat kerja kebajikan..." saya balas ringkas.
"Laa... Patut la macam biasa nampak. Abang ni Sheikh Omar Ahli Parlimen Paloh kan?" Adli nampak teruja! Dia dah mula perasan saya.
Betul tu dik. Saya YB Sheikh Omar. Tapi saya bukan Ahli Parlimen Paloh. Paloh bukan kawasan parlimen. Saya Adun saja!
"Sorry lah bang... saya kalau kerja memang banyaknya ulang alik Ladang Makmor ke Kluang aja. Jarang ke Paloh. Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas saya tak sempat nak undi. Dah daftar nama tapi belum masuk senarai undi.
"Tapi PRU lepas memang saya dengan kawan-kawan semua ada bincang politik. Kat tempat kerja, semua memang bincang politik. Kita orang semua masa tu nak ubah!
"Tapi sayang masa PH jadi kerajaan, tak sempat nak tunjukkan kerja-kerja dia orang sebab dua tahun aja..." Adli kongsi cerita.
Perubahan politik
Macam tulah ceritanya.
Saya fikir sejenak.
Siapa kata anak muda naif politik? Mereka tahu, mereka faham.
Macam saya selalu kata, anak muda ambil peduli sebab merekalah golongan paling terkesan apabila pengurusan negara tidak betul, ekonomi tidak baik, peluang pekerjaan menguncup dan sebagainya.
Hari ini saya saksikan depan mata kepala saya sendiri. Adli yang sudah berkerja lama dalam industri, ada jawatan yang selesa, terpaksa berhenti dan ambil keputusan untuk bawa Grab.
Ini bukan suatu perkara pelik di Malaysia sekarang ini. Hatta seorang pilot pun ada yang bertukar menjadi 'pilot' Food Panda demi sesuap nasi.
Kita belum sempat pulihkan Malaysia. Pakatan Harapan (PH) belum sempat pulihkan ekonomi negara. Kini kita diuji pula dengan krisis kesihatan yang memburukkan lagi ekonomi sedia ada. Ditambah pula mutakhir ini, negara kita makin tercemar dengan budaya buruk politik 'scheme of things' demi kuasa. Bukan lagi berpaksikan kepentingan rakyat.
Kerajaan yang ada - yang entah apa namanya sekarang ini - yang dahulunya membedil pentadbiran Pakatan Harapan dengan propaganda sempit keagamaan dan perkauman, akhirnya senjata itu telah memakan tuannya sendiri.
Perebutan kuasa, kemaruk jawatan, mengumpul laba... akhirnya telah menimbus segala propaganda palsu mereka atas nama Melayu-Islam.
Tak apalah Adli... InsyaAllah dengan adanya anak-anak muda yang sedar seperti awak, saya percaya Malaysia masih punya harapan dan masa depan. Asalkan kita tak putus asa dan sentiasa percaya masih ada cahaya di hujung terowong.
Bagi saya, PH berhasrat lakukan yang terbaik selepas menang pada PRU14 lalu. Sebagai pakatan politik yang sangat baru dalam pengalamannya mentadbir kerajaan, memang banyak ujiannya. Kami belajar dan akan terus belajar untuk lakukan yang terbaik.
Saya percaya, kami akan kembali. Dan apabila kami kembali nanti, kami akan mentadbir dengan lebih gagah dan kuat lagi demi rakyat dan tanah air tercinta ini.
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh merangkap naib pengerusi DAP Johor dan ketua Pemuda negeri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai