Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Tali Merah dan Bunga Raya

Muda dan Embong adalah dua nama yang - apabila disebut - akan diketahui bahawa si orang itu pasti dan pasti berasal dari Terengganu. Atau setidak-tidaknya mempunyai pertalian darah dengan sesiapa dari negeri tersebut.

Ianya merupakan penjenamaan yang paling berjaya oleh penduduk Terengganu. Tidak kami ketahui dari mana asalnya nama berkenaan. Tentu sekali ia tidak memberi sebarang petunjuk yang nama tersebut dimanipulasi daripada nama-nama yang berasal dari Islam. Seperti Mamat, misalnya.

Satu lagi nama yang boleh juga disabitkan kepada penduduk Terengganu ialah Amar, namun nama tersebut tidaklah sekuat Muda dan Embong.

Pada zaman TikTok ini tentu saja sudah tidak ada sesiapa pun yang sudi untuk memberi nama berkenaan kepada anak-anak mereka. Hatta orang yang paling pekat Terengganunya sekalipun mungkin tidak akan sampai hati mengelar anak-anak mereka sedemikian rupa.

Malu seluruh keturunan gamaknya kalau begitu. Mungkin orang sekarang terfikir: Apakah mahu dibanggakan di media sosial nanti jika anak yang secomel itu hanya digelar sebagai Munah? Bapa dan ibu malu, malah datuk dan neneknya yang bernama Muda dan Semek sekalipun akan berasa amat aib.

Maka hari ini, jika kita hanya membaca nama anak-anak yang didaftarkan, pasti kita menyangka bahawa mereka itu anak yang dilahirkan hasil daripada percantuman benih pasangan Eropah, Arab, Melayu, dan mungkin malaikat. Kayla Izzah Anggun Zabaniah binti Mat Sopi, misalnya.

Kita memang selalu akan sangat tidak peduli kepada sesuatu yang dianggap sebagai lapuk sehinggalah ianya diambil atau diangkat oleh orang lain.

Basikal buruk atau almari kayu lama peninggalan arwah datuk kita itu hanya ada harga setelah ia dibaiki dan diperindah oleh pengumpul barangan lama. Setelah basikal yang kita jual sebagai besi buruk atau barang lusuh itu ditambah nilai lalu dijual semula - dengan harga yang tentu saja lebih mahal - maka kita pun segera menjerit konon sudah dipermainkan.

Tak ada siapa bising

Sebelum lupa, izinkan kami mengucapkan tahniah kepada Fazleena Hishamuddin dan Amar Amir atas kelahiran puteri mereka yang diberi nama Kesuma Hati.

Mereka menunggu lama untuk menimang buah kasih mereka itu. Cantik nama anak berkenaan. Diharap Kesuma Hati membesar sebagai manusia yang beriman, beramal dan berguna.

Tradisi memberi nama Melayu kepada arak pula sudah lama diamalkan. Bahkah telah terlalu lama dan ia bukanlah satu masalah. Lama sebelum wujud Timah, sudah ada jenama Tali Merah, Bunga Raya dan beberapa nama lain.

Sebelum Timah, tidak ada siapa pun bising dengan penggunaan nama berunsurkan Melayu sebagai jenama arak.

Mungkin kerana Tali Merah atau Bunga Raya tidak pernah menang apa-apa anugerah, atau kerana mereka terkenal di luar zaman media sosial, justeru kemudaratan daripada menggunakan nama dalam bahasa Melayu tidak begitu dirasakan.

Sebagai orang Islam, tidaklah layak kita untuk berasa bangga apabila negara kita disabitkan sebagai pengeluar arak yang terkenal serta diiktiraf dunia. Namun sebagai rakyat yang mahu melihat bahasa Melayu dimartabatkan, dalam keadaan serba salah kita pun berasa sedikit bangga apabila syarikat berkenaan menggunakan bahasa tanah asal pengeluar arak itu.

Kemudian kita menggunakan isu nama tersebut sebagai batu loncatan untuk memperkukuhkan lagi teori konspirasi yang telah lama kita yakini sebagai betul, yakni kononnya Cina di negara ini tidak ada kerja lain kecuali mahu memusnahkan ketuanan Melayu serta membenamkan keunggulan Islam yang malas kamu amalkan itu.

Kita bawa isu perkauman dalam semua hal. Kemudian kita pun mengaku sebagai seorang yang bencikan perbezaan berdasarkan warna kulit.

Naik pening kepala Cina di Malaya ini. Disuruh menggunakan bahasa Melayu namun apabila sudah digunakan, dituduh pula sebagai anti-Melayu dan Islam.

Maka jadilah kita orang yang menjual pusaka keluarga dan meroyan apabila pusaka yang diambil orang itu diperelok serta dihargai oleh orang lain. 

Dan memang menjadi suatu sifat orang Melayu pun iaitu suka menjual pusaka dan kemudian mengenang-ngenang kehebatan silam dengan penuh kemanisan zaman "Dulu tok aku kaya".

Datang hormat kemudian nanti

Sudah-sudahlah menganggap bahawa bahasa Melayu ini milik kamu yang hakiki. Ia adalah milik seluruh penduduk negara ini dan bebaslah mereka untuk menggunakannya bagi menjenamakan apa sahaja.

Mengatakan bahawa jenama arak tersebut menggunakan nama tersebut kerana mahu menghina anak kepada Nabi Muhammad SAW adalah suatu pakatan yang paling kurang ajar.

Hanya kepala jahat kita sajalah yang boleh sampai hati membawa keluarga yang mulia tersebut ke dalam kemelut pemikiran yang selamanya kita alami ini.

Kita lupa bahawa seluruh penduduk Islam di negara China sana adalah berpuluh kali lebih ramai daripada seluruh penduduk Islam di negara kita. Dan mereka semuanya menggunakan bahasa Cina. Apakah mereka kurang Islam daripada kita?

Berhentilah menjadikan bangsa dan juga agama sebagai apa-apa kenderaan tunggangan bagi mencapai tujuan politik atau jalan mudah menuju sorga.

Marilah kita ambil kembali nama-nama yang telah lama kita pinggirkan. Berhentilah menukar Perang Besar kepada Putrajaya, atau kawasan kepada precinct, misalnya. 

Nanti apabila kita sungguh-sungguh mempertahankan apa yang kita kata sebagai milik kita, mungkin akan datang hormat daripada orang lain semasa mereka menggunakannya.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan pengembara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.