Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Apa permainan Iran di Afghanistan?

Ada sesuatu yang membingungkan, mengenai penglibatan Iran dengan kerajaan Taliban 2.0 di Afghanistan. Ini kerana ketika pemerintahan Taliban 1.0 iaitu sebelum peristiwa 11 September dan pendudukan Amerika Syarikat di Afghanistan pada tahun 2001, Taliban tidak diiktiraf oleh Iran sebagai tetangganya. Bahkan Taliban dan Iran memang bergasak.

Akan tetapi dalam perkembangan baru ini, Taliban nampaknya menikmati penuh sikap ‘acuh tidak acuh’ atau ‘tidak peduli’ Iran tersebut. Iran malah masih menyimpan kedutaannya di Kabul, bersama-sama Pakistan, China dan Qatar. Apakah ada permainan tertentu yang sedang diusahakan oleh Iran di Afghanistan? Tambahan pula sayugia diingatkan Iran mempunyai kepentingan di Afghanistan.

Ini kerana pertama, sebarang masalah di Afghanistan akan melimpah ke Iran sebagai jiran. Keadaan sekarang misalnya menyebabkan kebanjiran pelarian Afghanistan di sempadan Iran. Kedua, Afghanistan mempunyai jumlah penduduk bermazhab Syiah dalam kalangan etnik Hazara yang signifikan, iaitu sekitar 20 persen. Iran seperti dimaklumi, populasi besarnya juga bermazhab Syiah. Ketiga, Iran perlu mengimbangi kemesraan Pakistan dan Qatar terhadap Taliban, dan memantau sebarang hubungan China-Taliban.

Iran kelihatan tidak begitu menunjukkan minat secara zahir untuk mencampuri Taliban, malah seakan-akan memesrai Taliban yang sudah menguasai sebahagian besar negara Afghanistan. Apakah sebenarnya permainan Iran di negara tersebut?

Ia kembali kepada tokoh militari besar Iran iaitu Qassem Soleimani.

Kedutaan Iran di Kabul

Jeneral Qassem yang terbunuh di Iraq pada 3 Januari 2020 telah secara peribadi menerokai satu pakatan dengan Taliban pada tahun 2015. Tidak diketahui secara jelas apakah inti kerjasama antara kedua-duanya. Namun yang pasti salah satunya adalah Tehran menghentikan kembalinya Briged Fatemiyoun ke Afghanistan. Briged ini mempunyai sumbangan besar menewaskan ISIS di Syria dan Iraq.

Terdapat dakwaan Taliban juga berjanji untuk melindungi etnik Hazara yang kebanyakannya bermazhab Syiah, akan tetapi belum kelihatan kebenaran dan kesahihannya, ini memandangkan akaun twitter Hazara.Net melaporkan dari masa ke semasa bagaimana tanah milik Hazara dirampas Taliban dan diberi kepada kaum Pashtun selain mereka diusir dari kampung halaman mereka.

Laporan mengenai pembunuhan ganas rakyat Afghanistan bermazhab Syiah juga semakin banyak muncul di media sosial.

Hubungan Iran dan Taliban meskipun tidak berbekas, tetapi masih ada jejaknya. Ketika pendudukan Soviet Union di Afghanistan, Iran turut mendanai sesetengah ‘mujahidin’ di Afghanistan khususnya yang bermazhab Syiah khusus dari Parti Hazara al-Wahdat. 

Hubungan itu berakhir sepenuhnya (buat seketika) pada tahun 1998 iaitu apabila Taliban membunuh 10 orang diplomat Iran (termasuk seorang jurnalis) di Afghanistan. Ia hampir-hampir menyebabkan Iran melancarkan perang ke atas Afghanistan.

Taliban 2.0

Akan tetapi kemunculan Taliban 2.0 kali ini berbeza.

Pada tahun 2015, Isis-K, sebuah cawangan Isis atau Daesh lahir di Afghanistan. Isis-K dan Taliban berbeza dari segi mazhab dan pendekatan. Isis-K adalah Wahhabi (mazhab yang sama dengan Arab Saudi) dan rata-rata bermazhab fikah Hanbali.

Sedangkan Taliban pula bermazhab Maturidi (justeru Sunni) dan fikahnya Hanafi. Puak Hazara, bermazhab Syiah banyak bertumpu di kota seperti Herat, Kabul, Bamiyan, Helmand, Ghazni dan tentu sahaja Mazar-i-Sharif.

Wanita etnik Hazara, gambar hiasan

Pada 2015, tahun yang sama munculnya Isis-K, sebuah rombongan Taliban tiba di Tehran. Ia diketuai oleh Mullah Abdul Ghani Baradar sendiri (ketua Taliban). Tahun tersebut juga, Qassem Soleimani melawat Afghanistan dalam sebuah rombongan yang tidak dihebah-hebohkan.

Antara isi perjanjian antara Soleimani dan Taliban ialah mencegah pembinaan sebuah kem militari Amerika Syarikat di perbatasan Iran, menghentikan penyeludupan (antara lain ganja candu) ke Negara Teluk menerusi Iran, dan menghentikan keganasan terhadap masyarakat Syiah di Afghanistan. Sebagai pulangan Iran dikatakan akan memastikan membantu pembanterasan Isis-K di negara tersebut.

Mullah Abdul Ghani Baradar dikatakan terdesak untuk memberikan imej baik untuk Taliban, dan memastikan citra hodoh itu hanya dimiliki oleh Isis-K. Akan tetapi ini tidaklah mudah kerana, dalam faksi Taliban juga ada kumpulan Salafi yang lebih bersimpati dengan Isis-K, dan tidak bersedia bekerja dengan Iran. Khabar angin yang mengatakan Ghani sudah terbunuh baru-baru ini menunjukkan cengkaman Taliban di Afghanistan masih dapat dihujahkan, rapuh.

Qassem Soleimani 

Justeru, dapat difahami sikap Iran di Afghanistan adalah lebih tunggu dan lihat, dan memantau kebangkitan atau lebih tepat keganasan Isis-K yang kini boleh berada di sempadan Iran.

Namun demikian, satu hal yang mungkin diabaikan ialah Iran bukanlah satu-satunya kuasa Syiah yang memerhatikan Afghanistan. Terdapat seruan yang semakin kuat agar Ayatullah Ali Al-Sistani yang berpangkalan di Najaf, Iraq melakukan sesuatu demi masyarakat Syiah di Afghanistan. Sistani meskipun berasal dari Iran, tidak menunjukkan sebarang attachment dengan negara asalnya, dan lebih kelihatan seperti seorang warga Iraq.

Sistani mendapat penghormatan sejagat oleh kebijaksanaannya meredam sektarianisme di Iraq, membuka jalan kejatuhan Saddam Hussein, mengawal tentera Sadr di Iraq, dan menemui Pope Francis. Sistani mempunyai suara yang besar di Iraq, dan beliau pernah menfatwakan agar Isis Iraq dimusnahkan pada tahun 2014 dengan kerjasama ketenteraan Iran. Maka terdapat semakin banyak usaha untuk Sistani melakukan sesuatu yang lebih, seperti campur tangan di Afghanistan demi menyelamatkan nyawa masyarakat Syiah di Afghanistan yang ditindas oleh Taliban dan Isis-K.

Syiah di Afghanistan

Sungguhpun demikian, Sistani, seorang marja’ Syiah yang terkemuka dijangka akan melakukan pertimbangan besar untuk memastikan sebarang perkiraan membela nasib masyarakat Syiah di Afghanistan perlu berimbangan dengan jangkaan hasilnya.

Memandangkan Syiah adalah minoriti di Afghanistan, dan kelihatannya Taliban tidak dapat mengawal ahli mereka yang berkecenderungan Salafi, sukar ditelah apakah Sistani akan benar-benar memberikan pengikraran untuk melakukan sesuatu yang drastik.

Tambahan pula Taliban memberikan isyarat bahawa mereka tidak bersedia untuk membiarkan apa-apa api Syiah menyala di Afghanistan menerusi pemusnahan patung ingatan masyarakat Hazara yang bertujuan dedikasi untuk Abdul Ali Mazari. Ini kerana Mazari adalah lambang perlawanan Syiah dan Taliban pada tahun 1990-an dan beliau terbunuh dalam tahun 1995 setelah diculik dan diseksa.

Patung Mazari yang dimusnahkan Taliban

Afghanistan akan menjadi medan yang menarik untuk diperhatikan dan setiap perkembangan kecil boleh membawa kepada sesuatu yang besar. Meskipun Amerika Syarikat telah berundur dari Afghanistan, negara ini belum benar stabil kerana Taliban masih perlu bersaing dengan Isis-K, dan belajar bersilat pencak politik dengan kuasa serantau. Cita-cita dan keinginan Qatar besar di Afghanistan tentu sahaja tidak akan didiamkan oleh Arab Saudi. Jika Isis-K semakin membengkak di negara itu, tidak mustahil pula negara-negara Barat akan kembali mendatangi Taliban, buat kali seterusnya dengan alasan pembasmian terorisme.

Di sebalik semua permainan ini, malangnya, yang terkorban dan terus terhimpit tentulah orang biasa yang tidak mengerti agenda politik antarabangsa. Mereka dibunuh dan ditindas di saat dunia belum ada penyelamatnya.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.