KOLUM | Rasuah - mencari kata lebih celaka
Sejak akhir-akhir ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerap menzahirkan rasa dukacita dan khuatir baginda akan gejala rasuah yang berleluasa.
Tentu, dalam banyak ucapan atau makluman baginda itu, ia agak tertumpu kepada negeri Selangor. Akan tetapi, ia seharusnya dibaca untuk dapat merentasi daerah dan negeri. Ia sewajarnya menjadi renungan ahli keluarga Malaysia dari Perlis ke Sabah. Lagi-lagi Sarawak.
Baginda antara lain kecewa apabila ada segelintir pegawai kerajaan negeri di Selangor terbabit dalam kegiatan rasuah. Juga, kemudian baginda ikut menyentuh peranan pihak SPRM di mana baginda mengharapkan agar penyiasatan yang telus dan teliti boleh menjurus untuk mendapatkan bukti-bukti yang kukuh. Ini bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tidak terlepas daripada menerima hukuman.
Kemudian, Sultan Selangor ikut menyeru supaya perbicaraan kes rasuah disegerakan dan tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh. Dalam laman Facebook Selangor Royal Office, baginda juga bertitah bahawa rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan berlarutan dan terlalu lama. Baginda menekankan pandemik rasuah ini dapat menjadi masalah yang lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa akan datang.
Kita tidak pasti adakah tuanku menegur perangai beberapa ahli politik dari parti kerajaan yang sering sakit dan masuk hospital, sehingga perbicaraan rasuah mereka tertangguh. Semuanya mungkin.
Teguran keras Sultan Sharafuddin Idris Shah serasa keras baru-baru ini, ketika ucapan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baginda bertitah, berbunyi:
“Beta kesal kerana masih ada yang tidak jujur di dalam melaksanakan amanah yang diletakkan kepada mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin politik walaupun telah seringkali beta ingatkan untuk tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan bangsa dan negara. Beta tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik dalam amalan rasuah ini."
Membaca kenyataan demi kenyataan tuanku Sultan Selangor dalam waktu yang sangat hampir, membuatkan kita tertanya. Malah, sebagai rakyat biasa kita mungkin dapat mengagak yang baginda barangkali sahaja mengetahui sesuatu yang kita tidak tahu.
Untuk rekod, dakwaan atau perbicaraan rasuah yang sedang berjalan melangkaui pemimpin dari parti pemerintah dalam kalangan Umno(parti Keluarga Malaysia), mahupun dalam kalangan parti pembangkang di mana tokoh-tokoh ikonik tua dan muda ikut sedang diadili. Manakala dalam kalangan pegawai kerajaan dan ahli perniagaan, kita membaca beritanya saban hari.
Ditujukan juga pada politikus
Oleh sebab tuanku menyebutkan pegawai kerajaan dan ahli politik, kita tidak dapat mengabaikan yang baginda sebenarnya mungkin mensasarkan semua mereka ini. Juga, oleh kerana baginda bertitah di Dewan Undangan Negeri, ia menunjukkan baginda juga sedang menujukan peringatan itu kepada para politikus yang sedang asyik berebut kuasa. Hanya, muka mereka tebal kerana ditebuk atap.
Sebetulnya kata rasuah mungkin berbunyi Islami. Maklumlah ia berasal dari bahasa Arab. Dek kerana ia ada bau Arab, orang lekas rasa ia Islami dan barangkali syurgawi. Maka rasuah bunyinya tidak menakutkan. Malah serasa harum mewangi.
Istilah dari bahasa Inggeris iaitu korupsi juga tidak ada kesan kuat. Ia seakan puitis. Bayangkan kita menyebutkan begini, ‘ahli politik usah korupsi.’ Bunyinya seakan tergalak, malah bagaikan retis. Seolah-olah dicabar agar diperbuat. Seakan eloklah korup atau korap, sebab ada si-sinya di belakang kata korupsi itu. Seperti keinggerisan. Serasa Federation of Malaya.
Dalam bahasa Melayu arkaik, kata rasuah ialah kekol. Ia bermakna sogokan atau suapan. Bunyinya ada sedikit menjengkelkan. Bunyinya seakan samdol, atau badigol.
Akan tetapi kata kekol itu kalau kita masyhurkan kembali, mungkin mengambil sedikit masa untuk dibiasakan. Ia juga akan berbunyi sedikit aneh kalau kita menukar SPRM kepada SPKM, Suruhanjaya Pencegahan Kekol Malaysia. Juga terasa asing kalau kita memanggil perasuah sebagai pengekol.
Yang lebih baik kata rasuah itu diganti sahaja dengan kata samun, rompak, atau kalau mahu - lanun. Maka perasuah itu lanun. Akan tetapi lanun itu biasa ditemui di laut. Nanti dikelirukan pula dengan lanun zaman dahulu yang kerjanya merompak di tengah laut sebelum diangkat menjadi ketua dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional. Payah juga. Yang lanun betul pun mungkin tersinggung. Lanun betul masih banyak di sana sini.
Pilihan yang ada ialah samun. Kata penyamun untuk perasuah. Bunyinya lebih jahat dan lebih celaka. Suruhanjaya Pencegahan Samun Malaysia (SPSM) juga bernada seimbang, bahkan telus. Jadi kalau ditangkap, kita laporkan berita ditangkap kerana menyamun. Jenis bahagi satu untuk engkau, satu untuk aku.
Kata samun lebih sedap dilaporkan dalam berita. Contoh, kita akan mengatakan “Kes Samun Bekas Timbalan Perdana Menteri Ditangguhkan Lagi”, atau “Sultan Selangor Minta Jangan Layan Penangguhan Perbicaraan Kes Samun”, atau “Ahli Politik Dijatuhkan Hukuman Penjara Kes Samun Bernilai Sekian Sekian”, juga mungkin begini, “Tokoh Politik Didapati Bersalah Kerana Menyamun”. Impaknya kuat dan mendalam, berbanding kata rasuah yang berbunyi seperti ada akal budi. Istilah rasuah ada nada glokal. Impaknya sekadar super ring. Padahal kata samun lebih dahsyat.
Tidakkah ia bunyi menyentak?
Bayangkan kalau Ketua Pengarah SPRM (atau SPSM) membuat sidang media, “Kami tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti samun di Putrajaya, atau Petrajaya.”
Tidakkah ia bunyi menyentak? Atau tuanku Sultan bertitah, “Berhenti Menyamun, Beta Tidak Reda.”
Istilah itu akan membuatkan kita akur. Bila pilihan raya datang kita senang membuat pilihan, ‘Boleh jangan pangkah calon Penyamun?”
Samun dalam bahasa Melayu itu juga bermaksud rompak, dan merampas dengan cara aniaya. Penyamun itu selalunya digambarkan bersembunyi di celah semak-samun, keluar tatkala orang lalu lalang tiada sedar dan merampas hak orang. Rasuah itu juga begitu. Korupsi itu juga begitu. Tapi samun paling aula.
Jika kita gunakan istilah samun, bukan sahaja ia menyentak orang Melayu. Ia juga membuatkan mereka yang berbangsa Cina, Iban, Kadazan, India, Mamak atau Peranakan Arab. Kata samun itu rentas bangsa dan makam. Kita akan rasa benci bila mendengar ‘kes samun di Pulau Pinang’, atau ‘Lebai ditahan menyamun di Kubang Krian’.
Saya kira kekerapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyentuh perihal rasuah (baca: samun) bukanlah datang tiba-tiba, atau minat baru baginda.
Bukanlah kebetulan apabila tiba-tiba kes-kes samun (rasuah) di mahkamah tertangguh dek alasan sakit, masuk hospital, digigit anjing atau terlupa.
Penyamun memang begitu.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai