Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Siapa di belakang Taliban?

Mengejutkan, dalam tempoh tiga minggu sahaja sembilan wilayah penting Afghanistan berada bawah kawalan pemberontak, yang dikenali sebagai tentera Taliban.

Sehingga artikel ditulis, hanya dalam masa tujuh hari, 11 bandar utama termasuk Kandahar dikuasai oleh Taliban.

Apa yang lebih mengejutkan ia berlaku sebelum 3,000 tentera Amerika berundur sepenuhnya daripada Afghanistan pada 11 September nanti.

Beberapa persoalan penting seharusnya difikirkan, mengapa keadaan ini berlaku, bagaimana Taliban mendapat kekuatan yang luar biasa dalam tempoh masa yang sangat singkat.

Bendera Taliban kembali berkibar di negara itu

Mengapa tentera Amerika berundur di saat negara tersebut masih kucar-kacir.

Dan yang paling penting adalah, apa yang dilakukan oleh Amerika selama dua dekad menjajah dan menghancurkan negara berdaulat tersebut.

Biden mengotakan janjinya semasa pilihan raya presiden pada April yang lalu. Jumlah 3,000 tentera dengan bajet perbelanjaan mencecah trilion dolar adalah jumlah yang amat besar.

Amerika sudah tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk peperangan selama dua dekad sejak 2001.

Peperangan yang dicetuskan dari tragedi World Trade Centre 9/11 hingga menyebabkan Sudan, Somalia, Iraq dan Syria juga tersungkur.

Malah Iran dan Korea Utara berada dalam senarai seterusnya.

Selama tempoh tersebut juga, sekurang-kurangnya 2,500 tentera dan warga Amerika menjadi korban dan siri serangan hendap dan tawanan oleh militia Afghanistan yang kesemuanya dikenali sebagai Taliban.

Siapa Taliban?

Muncul kelompok panglima militia yang melawan pendudukan Russia sekitar 1979 hingga 1989.

Kelompok ini dipimpin oleh dua nama besar iaitu Burhanuddin Rabbani dan Gulbuddin Hekmatyar.

Panglima tentera inilah yang mengalahkan Rusia dan menguasai kepimpinan kerajaan Afghanistan.

Kelompok-kelompok ini dibiayai oleh Amerika dalam perang proksi mereka terhadap USSR ketika itu.

Wanita Afghan dalam kuarantin Covid-19

Kelompok ini akhirnya berperang sesama sendiri merebut kuasa dan menjadikan Afghanistan sebuah negara yang paling tidak selamat.

CIA dan agensi risikan Pakistan (ISI) menyatukan kelompok-kelompok ini dan membentuk satu kelompok yang dikenali sebagai Taliban.

Pada tahun 1996, Taliban menguasai Afghanistan dan membentuk kerajaan tetapi akhirnya ditumbangkan oleh Amerika pada 2001.

Kelompok ini diperangi selama 20 tahun dan masih terus bertahan hingga kini.

Bagaimana Taliban mempunyai kekuatan luar biasa?

Agak pelik, bagaimana Taliban mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam tempoh masa yang singkat.

Selama dua dekad Amerika menekan, menyerang, membunuh dan menghancurkan tentera Taliban, tetapi mengapa mereka masih gagal menguasainya.

Taliban sebenarnya didanai oleh Amerika secara sembunyi.

Laporan oleh agen risikan selain CIA jelas menunjukkan bagaimana sejumlah besar wang disalurkan melalui Bagram Airbase untuk mendanai Taliban.

Dengan cara tersebut, perang Afghanistan akan diakui perlu, dan kestabilan rantau tersebut akan terus diragui.

Selain itu, Taliban juga berjaya menjadikan Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar dunia dalam masa yang cukup singkat.

Laporan agensi risikan CIA juga mengakui bahawa sejumlah besar dadah ini dibawa masuk ke Amerika melalui pangkalan tentera yang berjaya melepasi kawalan keselamatan sama ada di Afghanistan mahupun Amerika.

Taliban juga mengenakan cukai untuk pengeluaran heroin oleh warga Afghanistan yang amat bergantung kepada industri ini untuk kelangsungan hidup.

Laporan oleh WHO menyatakan, lebih dua pertiga keluaran heroin dunia berasal daripada Afghanistan dengan pendapatan sekitar 1.16 billion pada suku berakhir 2020.

Perang berterusan terhadap pengganas

Kebangkitan Taliban dijangka akan merancakkan semula aktiviti keganasan di seluruh dunia. Sekali lagi Afghanistan akan menjadi pusat latihan dan operasi sebagaimana yang dilakukan oleh Osama Laden sekitar 80 hingga 90-an.

Lokasi Afghanistan yang bersebelahan dengan Iran adalah penting dalam penguasaan geopolitik Asia Barat.

Selagi wilayah teroris wujud, selagi itulah Amerika mempunyai alasan untuk menyerang negara-negara yang dikira sebagai the axis of evil.

Agenda perang melawan teroris tidak akan tamat hinggalah Amerika dan sekutunya mencapai agenda untuk mengaut keuntungan dan kekal berkuasa atas kerosakan dan kehancuran sesebuah negara.

Dasar pecah dan perintah seperti yang dilakukan di Afrika dan Asia Barat akan diteruskan di Afghanistan.

Siri seterusnya adalah kemasukkan ‘jihadis’ ke Afghanistan untuk latihan dan melawan Amerika yang mana akhirnya akan dikembangkan ke Iran, Turki dan negara Asia Barat lainnya.

Hanya yang boleh menyekat agenda ini adalah China, kebangkitan kuasa ‘naga’ dan konflik yang timbul antara Beijing dan Washington dijangka akan mengalihkan perhatian dunia berkaitan isu terrorisme dalam dekad mendatang.

Ulangi kesilapan Perang Vietnam

Amerika nampaknya bakal dicop sekali lagi sebagai gagal dan kalah dalam peperangan.

Selama dua dekad 1955 hingga 1975, sekurang-kurangnya 50,000 korban di pihak Amerika terjadi dalam perang Vietnam.

Ketika era tersebut, teknologi persenjataan masih belum secanggih kini. Akan tetapi era milenium ini menyebabkan angka kematian menjadi rendah, walaupun kemusnahan adalah sangat besar.

Malah kematian di pihak musuh juga adalah besar terutamanya apabila senjata kimia dan biologi digunakan dalam peperangan sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Syria.

Perubahan kepimpinan Amerika menyebabkan dasar luar mereka juga berubah. Biden melalui kenyataan media bertarikh 10 Ogos menyatakan Afghanistan bukan lagi masalah Amerika.

Joe Biden

Ia perlu diselesaikan oleh warga Afghanistan sendiri.

Keadaan yang sama juga apabila Amerika di bawah Presiden Trump mengambil keputusan keluar daripada Iraq dan Syria.

Jelas Amerika bertindak sedemikian selepas terbukti mereka gagal dalam peperangan yang dicetuskan oleh mereka sendiri.

Pemimpin Amerika bersikap lepas tangan meninggalkan negara tersebut setelah terbukti mereka tidak mampu memenangi peperangan tersebut.

Jelas sekali, Taliban gagal dimusnahkan oleh Amerika walaupun bertapak selama 20 tahun di negara tersebut.

Bukan sahaja Amerika, Nato juga menerima tempias, dimalukan dengan kegagalan mengawal sebuah negara kecil yang miskin dan tidak mempunyai teknologi secanggih mereka.

Malah kelihatannya Amerika dan Nati mempunyai agenda peribadi apabila keluar dari Afghanistan dan membiarkan Taliban menguasai negara tersebut.

Keupayaan luar biasa yang dimiliki Taliban juga menunjukkan bahawa Amerika dan sekutunya dengan sengaja membiarkan Taliban berkembang, mendanai malah menyediakan strategi berkaitan agar kerosakkan di Afghanistan akan berterusan.

Natijahnya nanti, Amerika dan sekutunya mempunyai alasan untuk menyerang semula negara ini atau menjadikan Afghanistan sebagai hub untuk menjatuhkan Iran dan lain-lain ‘musuh’ yang dikenal pasti berdasarkan kepentingan geopolitik mereka.


MOHD MIZAN ASLAM berkhidmat sebagai profesor pengajian keselamatan di Naif Arab Universiti for Security Studies, Riyadh, Saudi Arabia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.