Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Nisan generasi muda

KOLUM | Selepas tiga hari meninggalnya Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin, menyusul pula takdir penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin menghadap Ilahi.

Penuh paparan media sosial tentang kematian mereka. Ucapan takziah dan simpati hadir bersilih ganti.

Ucapan takziah juga datang daripada Yang di-Pertuan Agong, bekas perdana menteri Najib Razak, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amana Mohamad Sabu dan lain-lain.

Masing-masing melahirkan kesedihan dan berkongsi rasa atas pemergian mereka.

Bermula 6 Julai 2021, jumlah kematian akibat Covid-19 mencatat angka melebih 100 buat kali pertama apabila data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan 106 orang meninggal dunia. Sejak itu, kematian terus berada pada kadar tiga angka.

Hanya terdapat beberapa hari sahaja jumlahnya kurang daripada 100 orang. Pada awal 2021, kematian dicatatkan lebih kurang 10 orang sehari. Keadaan semakin meningkat hingga mencapai angka yang mengerikan.

Meski jumlah yang divaksin semakin bertambah dan memuaskan, kadar jangkitan dan kematian terus membimbangkan. Proses vaksinisasi awalnya mengalami kelewatan sehingga menimbulkan kritikan daripada pelbagai pihak.

Bagai sebuah Boeng 777 jatuh terhempas setiap dua hari dan semua penumpang dan kakitangannya terkorban. Itu kapal terbang bersaiz besar. Jika kapal terbang AirAsia yang menyediakan perkhidmatan domestik, hampir setiap hari ada sahaja pesawat udara yang mengalami nasib malang.

Pernah sampai ke gerai

Masihkah kita mengingati tragedi MH 370 yang mengorbankan lebih 200 orang? Apakah kita sudah melupai insiden begitu sahaja? Apa yang berlaku pada hari ini adalah tragedi lebih 10 kali ganda besarnya. Apakah angka-angka itu sekadar data tanpa makna?

Saya secara peribadi agak rapat dengan Shazni Munir terutama sejak dia dilantik menjadi Ketua Pemuda Amanah. Walaupun begitu, saya mengenali anak muda berkenaan jauh lama sebelum itu kerana dia pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Kami sama-sama ditarbiah dalam PMIUM sewaktu belajar di universiti tertua itu meski berbeza era. Shazni Munir ibarat anak kepada saya dari segi usia.

Berbeza dengan Siti Sarah. Saya hanya mengenali dia sebagai penyanyi yang pernah berduet dengan Jamal Abdillah dalam lagu Sandarkan Pada Kenangan yang sebelum itu popular sewaktu saya muda belia.

Ketika itu lagu berkenaan didendangkan Jamal bersama Ogy Ahmad Daud.

Saya muda ketika bapa Siti Sarah, Raissuddin Hamzah, aktif menempa nama dalam industri hiburan. Saya pernah sampai ke gerainya di Kuala Lumpur dan restorannya di Kuala Selangor kerana menemani Mahfuz Omar. Sekadar itu saja.

Shazni Munir dan Siri Sarah adalah antara lebih berbelas-belas ribu warga tanah air ini yang menjadi mangsa Covid 19. Mereka adalah mangsa atas kegagalan pendekatan penguasa negara dalam berhadapan serangan koronavirus.

Keluar dari penjara perkauman

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, golongan wanita mengandung yang meninggal dunia kerana Covid-19 setakat ini ialah kira-kira 70 orang. Sebahagian besar mereka adalah wanita muda yang belum mendapat vaksin.

Di Selangor, van jenazah diganti dengan lori khas yang diubah statusnya untuk membawa korban Covid-19 untuk dikebumikan. Bagi rumah pengurusan jenazah bukan Islam, dikhabarkan ada mesin pembakar yang mengalami kerosakan kerana dibebani jumlah yang luar biasa.

Memang tanah perkuburan masih mencukupi seperti jaminan menteri agama. Masalahnya, kita perlukan manusia untuk hidup bukan tanah perkuburan bagi mengisi orang mati yang menjadi mangsa kegagalan sistem pengurusan kesihatan awam.

Sudah matikah jiwa nurani untuk menghargai kehidupan?

Sebahagian yang meninggal dunia itu adalah anak muda yang bakal mencorakkan tanah air ini. Pada merekalah kita sandarkan harapan membawa tanah air ini keluar dari penjara perkauman, mencipta politik yang dinamik, melestarikan kehidupan beragama dan budaya yang menghargai kepelbagaian.

Darurat diisytiharkan untuk memerangi virus yang mengancam kehidupan rakyat. Setelah darurat berakhir, angka mangsa Covid-19 bukannya semakin menurun bahkan mencanak hari demi hari.

Setelah darurat berakhir, suhu politik juga tidak menurun, bahkan semakin hangat dan langkahnya diatur di atas timbunan angka korban Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam ciapannya menulis: Mari bersatu hati, gabung usaha, kritik dan solusi, ketepi dulu perbezaan, utamakan negara dan semua rakyat jelata.

Kenyataan itu benar tetapi kata-kata itu ibarat istana pasir yang tidak memiliki kekuatan apa-apa. Ia adalah halwa telinga buat rakyat yang buta jiwa.

Tragedi terburuk negara

Seperti yang dikongsi doktor pakar, Dr Rafidah Abdullah, dari hantaran kenalannya yang menyebut: Pandemik Covid-19 semakin memuncak, tidak ada tanda-tanda surut. Macam silap strategi, tetapi menangis tiada guna. Mungkin juga ada strategi baru, kita nantikan kesannya.

Satu lagi ciapan Rafidah yang bertugas di hospital kerajaan menyebut: Kematian demi kematian depan mata saya. Umur 20-an, 30-an. Kami sangat terkesan. Pihak berwajib tidak rasa bersalah walau sedikit pun ke agaknya?

Wajarkah seorang doktor perubatan meluahkan rasa kesal, kecewa dan marahnya di tengah-tengah angka mangsa yang semakin meningkat? Ini bukan soal keluhan golongan barisan hadapan yang menguruskan kes di hospital dan tempat kerja mereka.

Ini adalah soal kemanusiaan dan soal tanah air kehilangan warganya dalam skala besar. Ini adalah tragedi terburuk dalam sejarah negara.

Pemergian Shazni Munir pada usia 34 tahun berlaku ketika negara memang memerlukan tenaga dan kepimpinan anak muda. Dia generasi pelapis yang sejak zaman kampus sudah memulakan aktivitinya sebagai pemimpin.

Begitu juga dengan Siti Sarah yang berusia 37 tahun, menjadi usahawan dan artis yang mempunyai potensi masa hadapan untuk lebih cemerlang. 

Dari kehidupannya sebagai anak yang membantu bapanya berniaga hingga membina perniagaan sendiri serta berkeluarga untuk keluar dari lingkaran kemiskinan bandar.

Shazni Munir, Siti Sarah dan korban Covid-19 yang sudah mencecah lebih 12,000 setakat hari ini adalah kesan daripada strategi yang salah dan solidariti yang tidak tergapai.

Shazni Munir dan Siti Sarah adalah batu nesan buat generasi masa hadapan tanah air ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya. Amin.


MUHAIMIN SULAM ialah pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Amanah Nasional. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.