KOLUM | Sendawa durian RM30
"Jaga-jaga, tengok orang sebelah. Mana tahu dia SB. Saya tahu ramai SB yang datang dengar ceramah saya."
Itu adalah kata-kata yang paling dibenci selama kami rajin mendengar ceramah politik suatu masa dulu.
Penceramah dari kumpulan pembangkang waktu itu - pada hemat kami - terlalu yakin dengan diri sendiri. Yakin kepada akan berkesannya pesanan politik yang mereka ucapakan sehingga mereka berasakan setiap tutur kata itu diambil berat oleh kerajaan.
Pada waktu itu, kami akan segera meninggalkan majlis sebaik saja siapa pun yang berceramah menyebutkan kata-kata tersebut. Mual dan bodoh ya amat pada pendapat kami apabila kamu sepatutnya hanya perlu bercakap benar dan tidak perlu mengangkat diri kononnya kamu terlalu penting.
Tidak jarang penceramah yang entah dari mana datangnya mengucapkan kata-kata sebegitu hanya untuk memberitahu khalayak akan pentingnya mereka di pentas politik negara.
Pada suatu sudut lain kegusaran mereka itu ada benarnya. Kita semua tahu bahawa semua kita ini sentiasa diperhatikan. Sementelah pula jika kita ini orang politik.
Pihak yang memegang kuasa akan sentiasa menggunakan apa jua cara yang dirasakan perlu bagi mencari sedikit jaminan bagi mengepung musuh politik mereka.
Ada lubang dipecahkan
Lihat saja bagaimana kebocoran pita rakaman tidak senonoh yang sentiasa menjadi alat ugutan dan juga jalan menjatuhkan lawan setiap kali datangnya acara berbahagi kerusi politik negara. Semua ini bukan datang daripada orang ramai macam kita.
Itu cara bergurau kasar sesama mereka yakni orang politik yang kebulur untuk memegang kuasa. Mereka berkelahi sesama mereka, tapi bontot mereka dituding kepada kita.
Cerita durian RM30 yang dibongkar hari ini juga tidak sepatutnya kita ketahui. Semua orang tahu bahawa mereka sudah lama berjual dan berdagang beli durian. Mereka makan diam-diam.
Namun kerana hari ini mereka itu laparkan durian sekebun maka tawaran durian sebutir walaupun bernilai RM30, maka lubang dipecahkan.
Apa mahu dihairankan? Pihak yang menawarkan durian itu sendiri datangnya dari beberapa kumpulan yang sudah membeli durian dan kini mereka memperdagang durian itu. Memang begitu pun jalan mereka mencari kuasa sejak zaman berzaman lamanya.
Malah berita yang tidak sohih yang selalu dinafikan itu mengatakan bahawa ada pihak yang menerima durian yang bernilai RM90. Akibatnya, sendawa kumpulan ini tidak habis-habis membusuk sehingga hari ini.
Sendawa itu begini sifatnya tuan-tuan dan puan-puan. Kepada yang memakan durian, sendawa adalah nikmat sementara. Paling lama ia bertahan ialah setelah selesai si pemakan menikmati apa jua juadahnya.
Namun kepada orang lain, sendawa mereka adalah bau busuk, menggangu, kurang ajar dan sombong yang berpanjangan.
Partai politik yang menggunakan pihak berkuasa untuk kepentingan diri pula adalah kelompok pengamal ajaran yang jahat. Biasanya ia digunakan oleh negara-negara yang kita anggap mundur. Ada pemimpin di Afrika misalnya pernah menggunakan tentera untuk membantai rakyat sendiri.
Di India pula kita lihat bagaimana sebahagian politikus yang korup sentiasa menggunakan polis dan tentera untuk menyelesaikan masalah busuk yang mereka sendiri mulakan.
Berjenaka mengenai kematian
Rakyat Thailand hari ini pula sedang meniti jambatan anarki - juga disebabkan oleh amalan politik yang bebal.
Penentangan rakyat biasanya berlaku apabila mereka melihat betapa tidak adilnya sesuatu kerajaan. Misalnya apabila kerajaan lebih mementingkan perut sendiri berbanding kepentingan negara.
Tindakan pemberontakan oleh rakyat selalunya adalah pilihan terakhir. Tidak ada siapa pun yang waras akan berani bertempur dengan pihak berkuasa. Selain faktor kelengkapan senjata, kita - orang biasa ini - tentu saja akan berfikir berpuluh-puluh kali sebelum keluar ke jalan untuk bergelut meminta keadilan.
Namun setelah melihat orang politik masih senyum dan ketawa besar, sibuk membeli atau menyewa kereta baru, berjenaka tentang kematian sedang di keliling kita sahabat dan jiran tetangga mati satu demi satu, perniagaan ditutup, segala jenis kehidupan dihentikan. Justeru apa pilihan yang kita ada?
Kita pun menyuarakan apa saja yang kita rasakan sebagai kebatilan dalam pemerintahan melalui saluran yang ada. Baik di dunia nyata mahupun di alam maya. Ia dibuat dengan sedikit harapan bahawa nanti mereka yang sibuk berebut kuasa itu ada hati perut lalu melakukan sesuatu yang terbaik bagi memulihkan kekalutan yang ada.
Sayang seribu kali sayang, ahli politik kita semua duduk di alam sebalik mata. Mata hitam mereka sudah terbalik dan sedang sibuk memandang tengkorak sendiri sambil mencari-cari otak yang tidak mungkin ada.
Yang terlihat oleh kita cuma mata putih mereka yang kenikmatan kerana dapat berkuasa.
Lalu mereka jadi mudah sakit hati. Orang tua di hujung kampung yang mungkin tergoda dengan media sosial lalu meluahkan segala rasa sebal atas semua ketidakadilan pun menjadi musuh berat kepada ahli politik bodoh. Habis diheretnya orang tua itu ke balai.
Entah siapalah yang memberi makan kambing dan lembu pak cik berkenaan selama beliau ditahan.
Tapi itulah, orang mati pun boleh menjadi bahan jenaka, apa sangatlah ayam itik orang banyak yang tidak berjaga, ye dak?
Ironi atas segala ironi ini adalah, mereka itulah yang suatu masa dulu sibuk menuduh kerajaan ketika itu menyalahgunakan kuasa dengan memperalat badan perisikan negara untuk memerhatikan kegiatan mereka. Kononnya.
Mereka itulah juga jika berceramah, selang dua ayat, akan menyebut mengenai kehadiran SB dalam kalangan orang ramai. Kemudian dari itu sibuk pula mengarahkan sukarelawan menghulur tabung derma perjuangan.
Si penyokong pula habis segala harta benda diberikannya. Harapan mereka ialah agar sumbangan itu membawa kepada jalan pembangunan negara yang akan ditadbir insan takutkan Tuhan.
Hari ini mereka ke hulu dan ke hilir dengan Mercedes hitam atau merah dengan siri terbaru, sedang penyokong mereka kekal dengan Toyota Unser yang sudah pecah kaburatornya.
Mereka tidak lebih sedikit pun berbeza daripada apa yang mereka kecam suatu masa dulu. Malah mereka sebenarnya lebih pengecut. Mereka kini segera lari lintang-pukang berlindung di belakang tembok kuasa setiap kali pelipis mereka ditarik orang.
Mengelar diri sebagai pejuang agama, bangsa dan negara, tetapi dikritik sedikit, habis sekampung dikerah untuk membalas dendam. Sambil awak bersenang-lenang ke hulu ke hilir melaram dengan kereta (sewa) baru.
Tersengeh bagai kerang busuk. Pejuang Isley jenis tahi kucing.
ABDULLAHJONES ialah seorang penulis, pelukis dan pengembara.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai