KOLUM | Sementara masih ada kasih sayang
Di negara kita ini, pekerja seni catan - atau lebih senang disebut sebagai pelukis - adalah antara golongan yang jarang mendapat perhatian masyarakat umum.
Walaupun terdapat persatuan seni lukis di semua negeri dan semua persatuan iitu duduk di bawah sebuah gabungan payung, suara mereka tetap jarang didengarkan.
Mereka tidak lebih dikenali kecuali oleh kalangan pelukis yang menjadi ahli pertubuhan tersebut.
Mungkin kerana persatuan-persatuan itu lebih gemar menjalankan aktiviti berkaitan seni lukis sesama sendiri saja, maka kegiatan amal bersama orang ramai - yang sepatutnya turut menjadi agenda penting - jadi terpinggir.
Persatuan-persatuan itu juga dilihat kurang melibatkan diri dalam perbincangan dalam apa-apa isu yang melanda negara. Mungkin juga kerana terlalu bergantung hidup kepada jabatan-jabatan kebudayaan justeru mereka tidak mahu dilihat sebagai sebuah entiti yang terlalu lantang.
Malah untuk mengucapkan takziah atas kematian pemimpin negara pun mereka agak keberatan.
Tidak boleh juga untuk kita menyalahkan mereka kerana sifir di negara ini memang sedemikian rupa. Kita diajar untuk menutup mulut dan memejamkan mata kalau mahu hidup menjadi lebih 'sempurna.'
Persatuan - atau sesiapa sahaja - yang mengeluarkan sedikit suara terutama yang tidak sealiran dengan pemerintah adalah menempah risiko disenarai hitam oleh pihak yang berkenaan.
Tak ada tempat mengadu
Persatuan Seniman yang mewakili penggiat dunia seni persembahan sentiasa dilihat berusaha keras membela nasib ahli-ahlinya. Mereka secara tegas mengusulkan kepada pihak kerajaan agenda-agenda yang diharap dapat meningkatkan lagi mutu hidup pelakon, penyanyi dan semua pekerja yang terlibat didalam industri tersebut.
Suara mereka dibuat bagi mewakili ahlinya dan diambil berat oleh kerajaan.
Perfima (Perusahaan Filem Malaysia) pula mengambil tanggungjawab memperjuangkan nasib mereka yang berkerja di belakang tabir sesebuah penerbitan.
Malah Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) yang diterajui penyanyi DJ Dave mampu menyediakan pencen bulanan kepada artis yang tidak lagi dapat menyumbang kepada industri mereka.
Hal sebegini tidak berlaku kepada pekerja dunia senia catan. Mereka tiada tempat mengadu yang khusus. Adakalanya mereka dipandang oleh Seniman, adakalanya tidak. YKAT pula terkhusus kepada mereka yang terlibat dalam dunia seni persembahan.
Dalam suasana yang tidak menentu sekarang, adalah agak menghibakan apabila kita tidak melihat sebarang gerakan bersungguh-sungguh oleh persatuan seni lukis negeri untuk membantu pelukis yang terkesan oleh Covid-19.
Pelukis yang diserang kesusahan terpaksalah bergerak secara bersendirian untuk mencari rezeki dan meneruskan kehidupan.
Menyedari hal itu, Persatuan Seni Rupa Malaysia (Perupa) iaitu sebuah pertubuhan pelukis yang berada di luar lingkungan persatuan seni lukis negeri, memulakan usaha untuk membantu seniman yang memerlukan.
Tabung Prihatin Perupa telah dilancarkan baru-baru dan penglibatan masyarakat dalam semua kedudukan adalah amat diharapkan. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Public Bank 39869 63504.
Bersamalah kita saling membantu dalam keadaan yang tidak menentu ini.
Dalam kisah yang lain, kami terbaca bagaimana seorang ustaz terlihat satu keluarga yang sedang berjalan kaki di lebuh raya.
Setelah ditanya, keluarga berkenaan mengatakan mereka menuju rumah ibu bapa setelah terpaksa keluar dari rumah sewa apabila tidak lagi mampu membayar sewa.
Ustaz berkenaan membantu keluarga tersebut dengan memanggil kenderaan sewa untuk menghantar mereka ke tempat yang tuju. Mereka juga dibekalkan sedikit wang.
Bersesak-sesak seperti sekarang
Cerita-cerita begini tidak lagi menjadi berita yang hanya sekali-sekala kita dengar. Bahkan ianya adalah cerita yang semakin menjadi kebiasaan. Ia boleh dianggap bahaya kerana semakin ramai daripada kita yang melihatnya tanpa berasa apa-apa.
Sementara masih ada lagi kasih sayang, kami menganjurkan agar kita semua menghulurkan bantuan dalam apa bentuk sekali pun kepada orang di sekeliling.
Kita semua tahu bahawa semua orang politik memiliki harta yang terlalu banyak. Jika tidak, masakan mereka boleh menyekolahkan anak kecil dan juga yang remaja di luar negara dengan perbelanjaan sendiri.
Mereka sendiri bermewah-mewah seperti tidak ada hari esok semasa semua orang hidup bersesak-sesak seperti sekarang ini.
Anak menteri dan bekas menteri yang entah apa kerjanya itu juga kelihatan masih bebas bergaya dengan kaya-raya.
Kerana itu, jika semua ahli politik yang pernah makan suap itu bergabung -secara senyap jika malu diketahui orang akan kejahatan mereka - dan mengeluarkan sedikit simpanan gelap masing-masing untuk diagihkan kepada rakyat yang sedang susah, kami rasa tidak ada siapa pun akan marah.
Malah mungkin mereka akan dipuji dan dipuja dan dilantik kembali menjadi menteri, misalnya.
Kami percaya jumlah wang yang mereka songlap itu bukan sedikit. Maka amatlah mudah bagi mereka untuk mengumpul dana sekitar RM100 juta atau RM200 juta untuk melancarkan kehidupan orang banyak dalam kalangan kita ini.
Pada agakan kami, dana sebanyak RM100 juta hingga RM200 juta itu tidak memerlukan ramai ahli politik bergabung pun. Mungkin dua tiga orang ahli politik sahaja sudah memadai.
Mana tahu akibat daripada sedikit amalan baik dengan hasil kerja jahat selama ini akan membuahkan hidayah dan kemudian nanti akan memudahkan perjalan ahli politik ini menuju negara abadi.
Tidak selamanya kita di sini. Akan dibaham tanah semuanya kita ini.
ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.
Tulisani ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai