KOLUM | Di sebalik 1,000 ayam tua Aidiladha
Pagi hari itu masih awal. 3 hari sebelum Aidiladha. Seorang kawan cina Paloh menelefon saya.
"YB, orang Cina boleh kasi makan untuk raya Melayu ka," tanya dia.
"You nak kasi makan babi ke," saya usik nakal.
"Kalau babi, orang Islam tak boleh makan. Tak kira raya ke, tak raya ke, memang tak boleh makan ma," saya tambah lagi.
Dia faham saya melawak.
"You mau potong lembu tak? Kasi Melayu makan hari raya. Itu korban lembu kan," dia tanya sambil bagi isyarat yang dia faham pasal raya korban.
"Sekarang susah lah mahu buat korban. Satu hal, kita wang pun tak banyak. Nak potong lembu kalau takda wang pun susah juga," saya beritahu dia.
"Lagipun sekarang lembu banyak kuarantin lah," saya bergurau lagi.
"Ini macam lah. Wa kasi YB wang, lu kasi Melayu makan lah... esok sudah mau raya," kata kawan Cina saya ni.
Kawan saya si Cina ni nampaknya betul-betul nak menyumbang. Tapi saya fikir, kalau beli lembu dengan jumlah duit yang nak diberikan, mungkin tak dapat jumlah yang banyak untuk agihkan kepada rakyat di DUN Paloh yang sambut raya haji.
Dari sinilah datangnya idea untuk beli ayam tua dan agihkan kepada orang Melayu Muslim kat Paloh sempena Aidiladha. Boleh dapat kuantiti lebih banyak. Kata orang, lebih 'muai'.
Lagipun, kalau beli ayam tua lebih senang nak bajet duit sebab harga ayam tua ikut ekor. Tak payah timbang.
"Kalau kira jumlah wang yang nak disumbangkan, campur duit aku sekali, boleh lah 'push' untuk beli 1000 ekor ayam tua untuk orang Paloh masak raya," kepala saya mencongak.
Sedap masak rendang
Saya terus telefon Abang Atan, Nasir, Cikgu Omar, Pak Jalil dan beberapa yang lain. Mereka ni rakan-rakan saya di Paloh. Saya minta pandangan mereka.
"Orang kita marah tak kalau saya beri ayam tua seekor satu keluarga," antara soalan yang saya tanya.
"Ok je YB. Macam keluarga saya enam orang. Kak Oya (isterinya) kata kalau dia masak ayam tua pun, anak-anak boleh makan pagi sampai petang.
"Lagipun ayam tua sedap masak rendang time-time raya ni," respon Abang Atan konfiden selepas tanya isterinya.
"PKP ni pun, sedara mara bukannya boleh balik," tambah Abang Atan lagi.
Saya nekad beli ayam tua 1,000 ekor untuk diberikan kepada orang Paloh.
Hari yang sama juga kami telefon pembekal-pembekal ayam, runding harga termurah yang mereka boleh tawarkan.
Akhirnya kami dapat. Tengah hari tu juga saya terus pergi pasar, jumpa sendiri David, tauke ayam.
"Lu punya pasal, I kasi harga diskaun lah. Lagipun you mau tolong rakyat kan," kata David.
Saya buat selamba sahaja, mintak kurang lagi: "Ini 1,000 ekor bos, bukan 100 tahu. Kasi lah kurang lagi."
"Haiya... okay lah. You jangan mintak kurang lagi ya. Ini last kawtim punya tau," David setuju sambil mengeluh dalam terpaksa. Bunyinya pasrah.
Petang itu saya terus ke Paloh, bersidang dengan kawan-kawan. Kami buat check list kawasan-kawasan nak buat agihan, cari contact person untuk urusan penyerahan ayam nanti.
Alhamdulillah, Tok Mastor dari Niyor, Cikgu Aziz dan Tok Yasin dari Chamek, Tok Terazman dari GSA, Abang Hamzah dari Taman Puteri dan Hj Azman dari Kampung Gajah sambut baik rancangan kami dan sedia bantu untuk agihkan di kampung masing-masing.
Kampung-kampung lain, Abang Atan dan Nasir tolong susunkan. Kami juga ada contact yang biasa membantu di Ladang Bukit Paloh dan Kampung Melayu-2 Batu 6, Jalan Mersing.
Kat Felda Kahang Barat macam biasalah, Pak Jalil tolong uruskan. Taman Melati ada Wak Kem.
Dua hari menuju Aidiladha, kami pulun buat agihan di semua lokasi yang ada dalam list. Alhamdulillah, 1,000 ekor ayam tua, 1,000 orang penerima.
Saya minta maaf jika ada yang terlepas, tak terima sumbangan ayam tua kami.
Saya tahu, 1,000 ekor ayam pastilah masih tak mencukupi untuk diagih-agihkan kepada semua rakyat Melayu Muslim yang sambut Aidiladha di Paloh ni. Tapi, kami cuba sedaya upaya untuk pastikan keseluruhan besarnya dapat merasa.
Inilah cerita 1,000 ekor ayam tua untuk Aidiladha kali ni dekat Paloh. DUN yang saya wakili.
Kemanusiaan tak kenal warna kulit
Saya buat catatan ini sebab di sebalik sumbangan 1,000 ekor ayam, ada watak-watak si pemurah yang senang hati nak membantu rakyat menyambut hari raya musim-musim pandemik Covid-19 ini. Di kalangan mereka ada yang berlainan agama dan bangsa.
Rakan Cina saya yang membantu sumbangkan wang ringgit, David si tauke ayam yang berikan harga terendah untuk bantu rakyat makan. Ini semua adalah bukti bahawa rakyat kita sebenarnya faham bahawa kemanusiaan itu tak pernah kenal beza warna kulit.
Ini tidak termasuk rakan saya bekas ketua masyarakat Kampung Gajah - Saudari Goh Peng Horng yang keluar rumah awal pagi untuk pinjamkan Hilux kepada kami buat angkut ayam dari pasar.
Peng Horng ialah seorang wanita Cina yang ada tanggungjawab jaga suami, anak-anak dan orang tuanya. Pagi itu tidak macam pagi-pagi kebiasaan. Dia keluar rumah awal pagi sebelum siapkan sarapan untuk keluarganya sebab nak bantu kami. Nak tolong rakyat.
Budak-budak muda kampung dari group 'Set Cangkul' sanggup cuti kerja separuh hari untuk pinjamkan kami kenderaan '4 by 4'. Diorang pandukan kami, angkut ayam bawa masuk kampung.
Bahkan, Bro Mazerol si anak orang asli Pengkalan Tereh pon all out ikut bantu kami dari kampung ke kampung sehinggalah selesai.
Selepas selesai program agihan ayam tua Aidiladha, saya terima banyak respon positif. Yang komen di FB tu, tak usah dikira. Ada yang saya tak kenali, mesej ke telefon saya secara personal untuk ucap terima kasih dan penghargaan. Entah dari mana mereka dapat nombor saya.
Tiap kali mereka nyatakan rasa gembira, hati saya paling berbunga. Bukan sebab bangga diri, tapi kerana dapat lihat sendiri hati budi bangsa Malaysia yang saling membantu tanpa membeza-beza.
SHEIKH UMAR BAGHARIB BIN ALI ialah Adun Paloh merangkap Naib Pengerusi DAP Johor.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai