Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Raya haji sakit hati

"Kang dapat haji kat KLIA," kata Yaakub, pegawai Tabung Haji yang juga merupakan sahabat kami. Sahabat zaman lama-lama dahulu.

Yaakub sudah lama kerja Tabung Haji. Beliau berasal dari Sungai Lembing, iaitu kawasan lombong bijih yang terkenal di seluruh dunia kerana kedalaman lombong itu.

Beliau menceritakan kepada kami bagaimana keluarganya berasal dari Sarawak. Kami ketawakan saja kerana berdasarkan loghat yang digunakan, terang menunjukkan beliau adalah orang Pahang.

Kemudian daripada itu, Fitri - sahabat kami yang juga berasal dari Sungai Lembing - bermati-matian mendakwa yang keluarga beliau juga berasal dari Sarawak.

Pun kami ketawakan juga namun dalam diam-diam kami mula jadi mencurigai akan kepandaian diri sendiri.

Ruslan Khalid yang rajin membeli makanan - dan membaiki apa saja yang rosak ketika kami di Studio Rajawali - juga berasal dari Sungai Lembing. Seperti Yaakub dan Fitri, Lan Khalid juga mendakwa bahawa keturunan beliau datang dari Sarawak.

Lan Khalid malah menambah bahawa nama penuh keturunan beliau ialah dari sebelah Merpati Jepang.

Tentu saja kami ketawakan beliau kerana Jepang adalah sebutan Jepun bagi orang Indonesia. Mengaku Sarawak namun keturunan mereka digelar sebagai Merpati Jepang.

Namun kecurigaan kami terhapus apabila kumpulan orang Sarawak yang menetap di Sungai Lembing mengadakan sambutan bagi mengenang ketibaan datuk nenek mereka ke situ. Acara yang diadakan setiap tahun itu hanya sampai kepada kami semenjak akhir-akhir ini dengan bantuan media sosial.

Malah ketua menteri Sarawak juga kerap hadir dalam keraian berkenaan.

Sahlah mereka memang berasal dari Sarawak. Dulu-dulu generasi lebih awal datang ke Sungai Lembing untuk bekerja di lombong bijih, menikahi orang tempatan dan mula menggunakan loghat Pahang.

Nama tak ada dalam senarai

Lan Khalid, Fitri dan Yaakub langsung tidak boleh berbahasa Sarawak dan - tidak seperti Caprice - ketiga-tiga mereka ini bercakap dalam loghat Pahang yang agak pekat.

Antara mereka bertiga itu hanya Yaakub yang masih berulang-alik ke Sarawak kerana isteri beliau berasal dari sana.

Geli-geleman kami dibuatnya setiap kali mendengar cara budak Caprice itu kalau bercakap.

Sebagai sahabat yang baik hati, Yaakub memberi amaran kepada kami pada waktu itu apabila kami mahu mengeluarkan wang di Tabung Haji. Apabila ditanya mengapa kami mahu berbuat demikian, kami menjawab bahawa kami mahu menunaikan haji.

Beliau segera mengetik komputer dan memberitahu kami bahawa nama kami tidak ada dalam senarai jemaah haji Malaysia untuk tahun tersebut.

"Aku pergi swasta," kata kami. Kerana jawapan itulah Yaakub meningatkan kami. Beliau takut kami ditipu sindiket.

Asalnya memang kami - melalui ejen Tabung Haji dan dua atau tiga minggu sebelum datang musim haji - telah diberitahu bahawa kami akan berangkat sekian sekian hari bulan.

Maka bersiaplah kami dengan segala keperluan namun sekitar satu minggu sebelum berangkat, kami diberitahu oleh ejen yang kemungkinan untuk kami ke Mekah adalah tipis kecuali kami mengambil satu lagi pakej yang memerlukan bayaran tambahan.

Oleh kerana telah bersiap, maka kami pun mengambil keputusan untuk mengikut saja nasihat ejen. Menurut beliau, kami akan diberikan visa 'furada', sejenis visa khas yang katanya diperolehi oleh ejen berkenaan yang mempunyai hubungan baik dengan pihak yang berkenaan.

Ejen mengatakan mereka diberikan kebenaran membawa 500 orang ke Mekah menggunakan visa berkenaan.

Pada hari yang dijanjikan kami pun ke lapangan terbang. Dalam hati berdebar-debar juga apabila mengingatkan kata-kata Yaakub. Bimbang juga nanti digelar sebagai 'Haji KLIA' namun kami gagahkan juga.

Sayugia kami ceritakan bahawa semuanya berlaku seperti yang dijanjikan.

Menangis bagai anak kecil

Kami terbang dengan pesawat Singapura. Kerana itu pesawat berkenaan singgah di Kota Singa tersebut untuk mengambil sebahagian lagi jemaah haji dari negara tersebut.

Setibanya di Jeddah, kami terpaksa menunggu agak lama unuk mendapatkan bas ke Mekah. Mungkin ini adalah biasa oleh kerana sibuknya kawasan tersebut pada waktu itu.

Memasuki Mekah semasa musim hari tidak sama dengan waktu kita mengerjakan umrah. Lebih banyak sekatan jaran raya dan kita juga akan disambut oleh petugas dengan setiap orang diberikan sedikit hadiah.

Setiap bas yang memasuki Mekah perlu pergi ke sebuah stesen. Di situ akan ada petugas yang naik dan mengucapkan kata-kata aluan sambil setiap penumpang diberikan sebungkus hadiah. Kami lupa apa isinya. Mungkin sedikit kurma dan beberapa barang lain.

Tak kira betapa kutunya kamu, atau betapa kerasnya hati kamu, demi terlihat saja Kaabah itu segala kebesaran diri yang pernah kamu rasa akan segera gugur.

Kami sudah mengerjakan umrah sebelum menunaikan haji. Namun setiap kali memasuki Masjidil Haram dan demi terlihat akan Kaabah, akan berderailah air mata.

Nampak seperti klise, macam mengada-ngada, namun perasaan melihat Kaabah untuk pertama kali adalah pengalaman yang amat luar biasa. Kami mencadangkan kepada semua orang - tanpa mengira siapa - untuk setidak-tidaknya pergi ke sana walau sekali untuk melihatnya sendiri.

Kerana hal itu jugalah kami tidak hairan apabila ramai orang yang mahu ke sana pada setiap masa.

Menangis, terpegun, teruja dan sebagainya apabila melihat Kaabah bukan hanya terjadi kepada orang kita. Kami melihat manusia dari seluruh dunia pun begitu. Bahkan ada yang terus terduduk dan menangis teresak-esak bagai anak kecil demi mereka melihat Kaabah.

Semua itu bukannya dibuat-buat. Kita di Malaya ini mungkin agak 'mudah' untuk ke Mekah. Dengan bayaran sekitar RM5,000 atau RM6,000 kita sudah boleh berangkat. Namun bagi banyak orang dari negara lain, ianya mungkin usaha seumur hidup.

Kami tidak tahu sama ada di negara kita ini ada perkhidmatan berhutang untuk umrah dan haji seperti disediakan oleh bank komersial. Namun di Indonesia, jika kami tidak silap, ianya adalah perkara biasa. Kerana itu juga kini terdapat ramai jemaah haji dan umrah dari Indonesia dalam kalangan muda-mudi.

Sedikit gossip: muda-muda ini sewaktu di dalam pesawat udara akan sangat ranggi. Sejurus sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah, mereka akan bersesak-sesak ke tandas pesawat bagi menukar kepada pakaian yang lebih tertib. Hal yang sama juga berlaku ketika perjalanan pulang. Sejurus masuk ke pesawat, mereka akan kembali meranggi.

Jemaah muda-mudi Malaya pula biasanya memang tertib berpakaian. Yang berlebihan mungkin muda-mudi perempuan dan sangat gemar memakai purdah apabila di Tanah Suci.

Oh! Mereka juga gila memakai cermin mata hitam sewaktu di sana tanpa mengira di mana mereka berada. Melindungi diri daripada kasyaf agaknya.

Hotel penginapan kami terletak lebih kurang 100 meter dari pintu masjid. Di situ terdapat ramai jemaah dari negara kita bersama sedikit jemaah negara lain.

Setiap kali waktu sembahyang seluruh kawasan itu akan dipenuhi dengan jemaah sehingga lobi hotel di dalam kawasan berkenaan juga dijadikan kawasan solat.

Pada suatu hari semua orang bergegas mahu sembahyang Jumaat. Maka berpusu-pusulah jemaah masuk ke lobi hotel kami dan membuatkan keadaan sedikit tegang.

Akibat marah atau pun beliau berpangat di tanah air, seorang jemaah kita bangun dan memarahi beberapa lelaki dari Afrika yang mahu menumpang bersembahyang.

"You don't even have the right to breath the air in this hotel!" katanya.

Agak meresahkan apabila ada satu dua orang lagi - juga dari tempat kita - mula menyokong. Berlakùlah perang mulut. Kumpulan lelaki berkenaan pun keluar dari kawasan lobi hotel kami.

Menanglah kumpulan yang merasakan hanya mereka yang membayar mahal saja layak untuk menyedut udara di dalam hotel kami. Puaslah hati mereka.

Mungkin kebetulan, mungkin sebagai teladan, keesokan hari hotel kami telah dihuni oleh berpuluh-puluh jemaah dari India. Mereka menjadikan hotel kami seolah rumah sendiri. Mereka memasak dan menyidai kain sesuka hati.

Hampir seluruh udara 'istimewa' yang dipertahankan oleh lelaki tadi disedut oleh jemaah dari India.

Kami lihat sejak itu lelaki yang garang tadi hanya akan duduk di satu sudut di luar hotel sambil menghisap rokok. Tidak ada lagi tempat bagi beliau di lobi hotel. Jenis memalukan para perokok.

Tak pulang dua hari

Di Arafah, secara kebetulan khemah kami bersama dengan seorang ustaz yang popular. Beliau ditugaskan untuk memberi sedikit tazkirah. Ustaz berkenaan memang gemar membuat jemaah menangis semasa mendengar dia bercerita kisah-kisah sedih dengan suara sebak.

Hampir semua yang mendengar syarahan beliau mengalirkan air mata, tetapi tidak kami.

Di Mina, kami berkongsi khemah dengan jemaah dari Indonesia sewaktu di tempat melontar. Kami tidak duduk bersama jemaah Malaya kerana tidak menggunakan khidmat Tabung Haji. Tabung Haji juga tidak mahu mengambil tanggungjawab apabila salah seorang ahli jemaah kami demam.

Beliau tidak dibenarkan ke klinik Tabung Haji. Lalu kami membawa beliau ke Hospital King Abdul Aziz.

"Kalau tiada tag Tabung Haji, kita bukan orang Malaysia ya," kata petugas Tabung Haji apabila ditanya bagaimana untuk mendapatkan khidmat kesihatan untuk jemaah tersebut.

Kawasan khemah kami berdekatan dengan jemaah dari China. Satu hal yang baik ialah apabila kami dapati jemaah China akan memasak makanan untuk diberikan kepada jemaah lain yang ada di kawasan sekitar mereka.

Ia dilakukan dalam skala besar. Khemah jemaah negara China akan sentiasa sibuk seolah-olah sedang mengadakan kenduri. Mereka akan sentiasa memanggil siapa sahaja yang melintas untuk datang. Ianya pemandangan yang mengharukan.

Salah seorang jemaah kami - Pok Mang namanya - tidak pulang ke khemah selama dua hari. Anak, menantu dan isteri beliau mencari ke sana ke mari dan tidak putus-putus berdoa namun Pok Mang masih juga tidak ditemui.

Selepas dua hari Pok Mang muncul sendiri. Apabila ditanya ke mana beliau pergi dan bagaimana makan minumnya, Pok Mang menjelaskan beliau kehilangan arah. Justeru beliau menumpang di khemah jemaah China kerana di sana sentiasa ada disediakan makanan.

Sebenarnya khemah jemaah China hanya sekitar 200 meter dari khemah kami. Kami sendiri memang selalu duduk di sekitar kawasan berkenaan kerana gemar melihat mereka menguruskan makanan untuk orang ramai.

Mungkin kerana pemandangannya sama sahaja di mana-mana, ditambah dengan jutaan manusia, Pok Mang menjadi 'gelap mata'.

Pok Mang juga dikenakan denda kerana semasa beliau bertawaf umrah, beliau sakit perut dan telah pulang ke hotel untuk melepaskan hajat. Setelah selesai, beliau pun mandi. Sejurus keluar dari hotel beliau terus kekedai gunting rambut tanpa menyelesaikan umrahnya.

Kerana itu juga semasa kami di Madinah, beliau tidak mahu ke mana-mana. Hanya berkurung di dalam bilik hotel sehinggalah beliau diyakinkan bahawa semua jemaah ke Madinah hanya untuk berziarah. Dan tentu saja untuk membeli-belah.

Setelah diterangkan barulah Pok Mang sedikit tenang, dan sempat masuk ke Raudhah sekali, jika kami tidak silap.

Setelah mengerjakan haji dengan jemaah swasta kami kini menyimpan harapan untuk mengerjakan haji menggunakan khidmat Tabung Haji dan menerima layanan servis kelas pertama seperti yang diceritakan orang.

Diharap kami tidak perlu menunggu sehingga umur kami 134 tahun untuk ke sana bersama Tabung Haji.

Selamat menyambut hari raya haji jauh dari kampung kepada semua jika kamu bukan orang Kelantan. Semoga ini raya yang terakhir yang kita rayakan dalam suasana penuh sakit hati.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan perantau sepi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.