Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | IPT tanpa pengaruh politik

Antara isu besar berkaitan pendidikan tinggi negara selain Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang mengekang kebebasan akademik dan siswa ialah campur tangan politik.

Perlantikan secara besar-besaran ahli politik menggangotai lembaga pengarah universiti pada zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadikan campur tangan politik dalam dunia pengajian tinggi semakin membarah.

Mungkin ada suara yang mengatakan bahawa pada zaman singkat Pakatan Harapan (PH) pun perkara seumpamanya berlaku. Ia tidak benar dan usaha PH untuk melakukan perubahan secara sistemik dan melalui perundangan untuk menghapuskan budaya campur tangan politik ini amat jelas.

Dalam artikel ini, saya akan kongsikan bagaimana usaha serius Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewaktu zaman PH untuk mengurangkan campur tangan politik melalui penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) pada 2019. Bagaimanapun usaha itu dibantutkan oleh perubahan kerajaan pusat.

Semenjak zaman Auku pada 1971 sehinggalah 2018, campur tangan politik ke atas pendidikan amat ketara. Antara usaha yang dilakukan oleh KPM pada zaman PH untuk mengatasi masalah ini secara berperingkat ialah dengan melakukan beberapa perubahan sama ada secara institusi mahupun di peringkat pengoperasian bagi tempoh 2018 dan 2019.

Antaranya menghidupkan semula pilihan raya kampus yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar, menghidupkan speaker’s corner (sudut pidato) di kampus-kampus, pindaaan Seksyen 15 Auku, usul pindaaan Akta 605 untuk memberikan kebebasan akademik kepada pensyarah, penubuhan Jawatankuasa Reformasi Institusi Pengajian Tinggi, penubuhan Jawatankuasa Intergiti IPT, penubuhan jawatankuasa untuk memansuhkan Auku, jawatankuasa penubuhan students union (kesatuan pelajar), dan usaha menghidupkan semula MPTN selaras dengan Akta 546 (1996).

Antara kesemua usaha tersebut, usaha yang paling signifikan ialah penubuhan semula MPTN yang boleh memandu sektor pendidikan tinggi ke tahap yang lebih mandiri dan professional. Melalui sesi libat urus yang berterusan, KPM menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan berkaitan pendidikan tinggi.

Apa perlu lagi MPTN

Antara cadangan dan juga gesaan yang diterima KPM daripada ahli akademik secara peribadi dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili ahli akademik pada waktu itu ialah agar KPM menghidupkan semula MPTN.

KPM bersetuju dengan cadangan tersebut dan meletakkan 2020 untuk penubuhannya secara rasmi setelah persiapan dibuat sepanjang 2019. Akhirnya, dalam surat saya bersiri KPM.YBM.100-4/3/1 Jld.2 (70) pada Okt 2019 saya mengarahkan Ketua Setiausaha KPM, Dr Ghazali Abas untuk segera menubuhkan MPTN.

MPTN termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546) dan seksyen 12(1) menyatakan fungsinya ialah:

  • Untuk merancang, membentuk dan menentukan dasar serta strategi kebangsaan bagi perkembangan pendidikan tinggi;
  • Untuk menyelaraskan perkembangan pendidikan tinggi;
  • Untuk memajukan dan memudahkan pertumbuhan teratur institusi pendidikan tinggi;
  • Untuk menentukan dasar dan menetapkan kriteria bagi penguntukan wang kepada institusi pendidikan tinggi;
  • Untuk menentukan dasar yang berhubungan dengan kemasukan pelajar ke institusi pendidikan tinggi;
  • Untuk menentukan dasar dan menetapkan garis panduan mengenai perkara yang berkaitan dengan struktur gaji dan sistem pengurusan kakitangan universiti dan kolej universiti yang ditubuhkan di bawah Auku 1971 [Akta 30];
  • Untuk menentukan dasar dan menetapkan garis panduan mengenai struktur fi;
  • Untuk menentukan dasar dan menetapkan garis panduan mengenai bidang atau kursus pengajian yang diusahakan oleh institusi pendidikan tinggi;
  • Untuk menentukan dasar dan menetapkan garis panduan mengenai perjalanan apa-apa kursus pengajian atau program latihan oleh institusi pendidikan tinggi bersesama atau secara bersama-sama dengan, penggabungan, secara usaha sama atau selainnya, dengan mana-mana universiti atau institusi pendidikan tinggi atau institusi pendidikan atau organisasi lain di dalam atau di luar Malaysia;
  • Untuk menentukan dasar dan menetapkan garis panduan mengenai penglibatan universiti dalam aktiviti perniagaan mengikut kuasa yang diberikan Auku 1971; dan
  • Untuk mengambil apa-apa tindakan atau melakukan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut atau perlu bagi membolehkannya menjalankan fungsi dan kuasanya dengan berkesan.

Seksyen 12 (2) juga menyatakan: “Apabila dasar, strategi dan garis panduan kebangsaan dibentuk dan ditentukan oleh majlis berhubungan dengan fungsinya di bawah perenggan (1)(a) hingga (k), menteri hendaklah melaksanakan dasar, strategi dan garis panduan itu sewajarnya.

Mungkin ada yang bertanya, bukankah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sudah ada untuk tujuan menasihat menteri dan para pegawai KPM berhubung isu-isu pendidikan? Mengapa perlu lagi kepada MPTN?

Merujuk kepada seksyen-seksyen yang dikemukakan dalam Akta 546, jelas bahawa fungsi MPTN berbeza dan tidak bertindih dengan MPPK. Saya merujuk pada Seksyen 11 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang menyatakan fungsi MPPK iaitu:

  1. Menteri boleh merujuk apa-apa perkara berhubungan dengan pendidikan kepada MPPK untuk mendapatkan nasihatnya.
  2. MPPK hendaklah - apabila apa-apa perkara dirujukkan kepadanya di bawah subseksyen (1) - mempertimbangkan perkara itu dan mengemukakan nasihatnya kepada menteri.

Sehubungan itu, Akta 550 tidak menetapkan peranan MPPK dalam pendidikan tinggi meskipun ia menyatakan “tanggungjawab menteri atas pendidikan tinggi” di bawah seksyen 70.

Namun ianya termaktub dalam undang-undang lain berkenaan pendidikan tinggi yang telah dinyatakan iaitu Akta 546, Akta 555, Akta 556 (mansuh), Akta 679 dan Auku 1971.

Cengkaman secara sistematik

Maka atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, KPM pada zaman PH memulakan usaha untuk mengaktifkan semula MPTN untuk merealisasikan aspirasi pendidikan tinggi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

Malah usaha ini jugalah yang telah digesa oleh Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) melalui pengerusinya, Prof Dr Zaharom Naim, pada Mei 2018 untuk menjarakkan pendidikan tinggi dari pengaruh politk dan orang politik.

Berpandukan kepada seksyen 4(a-i) dalam Akta 546 arahan penubuhan majlis tersebut diberikan kepada ketua setiausaha dan pimpinan tertinggi KPM pada Nov 2019. Usaha penubuhannya pula diserahkan ketua sekretariat berdasarkan Seksyen 20 akta berkenaan yang mengatakan: “Hendaklah ditubuhkan suatu sekretariat daripada Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan yang hendaklah membantu majlis dalam menjalankan fungsinya.”

Prof Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada ketika itu dilantik untuk menerajui sekretariat berkenaan atas kapasiti beliau sebagai pemangku jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang telah berpindah ke Kementerian Sains.

Beliau membentuk sekretariat yang terdiri daripada majoriti ahli akademik, dan juga beberapa wakil dari industri tanpa melibatkan mana-mana individu dari parti politik. Usaha ini diharapkan akan menjadi kejayaan bagi hasrat rakyat ingin melihat institusi pengajian tinggi di Malaysia yang bebas daripada cengkaman dan pengaruh politik secara sistemik.

Malangnya setelah pertukaran kerajaan, usaha ini seakan sepi dan tidak kedengaran lagi. Bahkan Mohd Saleh yang mempengerusikan sekrertariat itu pun telah ditamatkan perkhidmatannya serta-merta.

Lebih menyedihkan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diterajui Ahmad Noraini dan timbalannya Mansor Othman langsung tidak pernah menyentuh mengenai hal ini seolah-olah ia bukanlah keutamaan mereka.

Maka, sepatutnyalah sekarang ini KPT didesak semula untuk meneruskan usaha ini demi mengembalikan wibawa dan integriti pengajian tinggi di Malaysia.


DR MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan dan ahli parlimen Simpang Renggam.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.