Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Mahu bersara?

Apabila sampai waktunya, kita akan bersara dari pekerjaan atau bisnes yang diceburi. Ada yang bersara awal dan ada bersara lambat.

Dalam waktu ini, saya tidak ingin bersara lagi walaupun menjadi seorang OKU yang terpaksa berjalan terhegeh-hegeh disebabkan perkara itu.

Selepas terkena strok, memang saya ada rasa untuk bersara daripada kerja-kerja keusahawanan yang dijalankan di Dubai.

Saya terbaring lumpuh, kemudian sedikit demi sedikit boleh duduk, bergerak dengan kerusi roda, jalan bertongkat dan akhirnya tidak perlu lagi bantuan.

Lantas saya memikirkan, apa yang harus dilakukan dengan usia yang agak muda, tidak tua. Bersara?

Kebanyakan kita memilih hidup tenang di hari tua dengan melayan cucu. Tidak perlu berbuat apa-apa dan berehat sahaja setiap hari, makan dan minum. Apalagi ketika PKP atau nama barunya, fasa pertama pemulihan.

Kebanyakan kita memilih hidup tenang di hari tua dengan bertemu rakan-rakan yang masih bernafas secara Zoom atau Google Meet, untuk reunion, bertanya khabar sekiranya mereka masih baik dan tidak menghidapi penyakit.

Masing-masing menanti berakhirnya pandemik untuk berjalan-jalan di dalam dan luar negara, selain menghabiskan masa tua yang tersisa dengan solat, baca Quran, berwirid dan berdakwah. Hidup selesa dan aman menanti kematian.

Begitulah pemikiran kebanyakan kita. Perkara ini sudah menjadi fenomena dan kebiasaan. Buat apa lagi sibuk. Biar orang muda pula mengambil-alih.

Walaupun belum bersara kita merasa sudah sampai waktunya untuk tidak aktif. Apalagi dengan penyakit yang mula memamah tubuh.

Sudah menjadi perkara normal untuk hilang ghairah, arah, matlamat dan minat. Sudah sampai masa untuk bersara dan meninggalkan segalanya.

Apalagi kalau tinggal berseorangan. Lebih baik duduk berehat dan tenang dengan dunia yang bergelora.

Saya duduk berfikir dan berfikir. Saya tidak mahu bersara dengan meninggalkan rangsangan untuk bergiat dalam masyarakat yang makin mencabar.

Saya bertanya diri sendiri, dalam ajaran Islam, adakah istilah persaraan untuk orang yang boleh terus bekerja?

Adakah bentuk pemikiran pada usia yang semakin singkat? Apakah Islam berkata tentang waktu bersara wajib bagi kita semua?

Ada jawaban dalam Quran surah Al-Inshirah (94), ayat 7 dan 8 yang berbunyi:

"Apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain)." (94:7).

"Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah, hendaknya engkau berharap." (94:8).

Ulang baca al-Quran

Saya mengulang baca untuk memikirkan apakah maksud ayat yang tertera. Saya membaca tiga terjemahan. Mungkin kefahaman saya salah dan silap untuk penghujahan.

Saya kembali mengingati kitab Sirah Nabawiyah yang mengutarakan Nabi Muhammad memulai hidup baru di umur 40 tahun, kehidupan baru untuk usia yang matang.

Pada usia 40 tahun, Nabi Muhammad sendiri tidak mengetahui bahawa Baginda akan menjadi Rasul. Ini membuktikan kerasulan bukanlah pilihan Nabi SAW bahkan menjadi pilihan Allah SWT dengan hikmah tersendiri.

Begitulah sahabat-sahabat Baginda seperti Abu Bakar Siddiq yang muda dua tahun enam bulan. Di umur itu, Baginda dan para sahabat memasuki perjuangan baru dengan meninggalkan zon selesa dan tenteram. Itulah yang selama ini mereka rasakan dan garapi.

Harta yang ada semua diinfak dan diwakafkan. Martabat manusia yang perjuangkan bukannya secara bersantai dan terpaku pada kedudukan selesa. Mereka makin aktif dan dinamik dalam masyarakat.

Di usia tua Baginda tidak sibuk dengan bersolat, membaca al-Quran dan berwirid sahaja. Dari umur 53 tahun Baginda makin aktif membina hubungan sesama manusia dan pergaulan lebih serasi dengan masyarakat.

Baginda turut membina dan membangun masyarakat madani di kota Madinah. Baginda melakukan tidak hanya hubungan dengan Allah bahkan juga hubungan dengan manusia yang sama-sama bernafas.

Baginda makin bermasyarakat dengan pelbagai bangsa dan makin terlibat dalam kehidupan sosial. Dalam kata lain, memasuki umur persaraan seperti hari ini bukan alasan untuk melepaskan diri dari kehidupan sosial. Apalagi cuma sibuk dengan diri sendiri dan keluarga sahaja.

Hingga akhir hayat Baginda tidak pernah diam dan tidak juga ingin berehat daripada segala kerja. Baginda tidak mendiamkan diri tanpa peduli orang lain.

Baginda tidak meninggal dunia dalam keadaan kaya raya dan tidak juga dalam keadaan bersara sebab Baginda tetap memimpin umatnya.

Persaraan Baginda adalah bila tiba kematian, dengan meninggalkan dunia ini.

Tidak terkecuali sahabat-sahabat Baginda yang lain. Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Thalib.

Berperang pada usia 93 tahun

Bahkan sahabat Abu Ayyub al-Anshari pergi berperang dengan puak Byzantium pada umur 93 tahun, usia yang lanjut pada perkiraan kini.

Semakin bertambah umur makin merambah dunia dengan aktiviti, jika kesihatan mengizinkan. Harus terus berfaedah dan bermanafaat untuk insan lain yang lebih muda. Tidak hanya berfikir untuk hidup santai dan sekadar menghabiskan waktu dengan hal-hal yang kurang berfaedah dan kurang jelas apa tujuannya.

Semakin pasif seseorang maka semakin cepat nyanyuk dan pelupa. Kita boleh lihat orang yang mempersiapkan hari tua makin tidak keruan.

Hingga sampai saatnya, menutup mata dan ditanam, tiada kata terlambat untuk memulai kehidupan baru dan mengembangkan bakat yang ada.

Usia tua bukan alasan untuk berputus asa dan berhenti melakukan apa yang kita gemar untuk masyarakat. Kalau sudah merasa tua, itu hak masing-masing.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR, kini OKU pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.