Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

CERPEN-ESEI | Bukan bunuh diri

MY dibuang kerja dalam bulan Ogos 2020. Dia sudah bekerja dengan firma arkiteksur tersebut kira-kira lapan tahun. Akan tetapi firma itu kecil-kecil sahaja. Kerja yang ada pun tidak banyak mana. Mereka hanya sempat menyelesaikan sebuah projek di Kota Warisan sebaik sebelum pandemik Covid-19 bermula. Sewaktu MY diberhentikan, dia menangis. Majikannya juga menangis. Bosnya orang yang baik. Kalau hari Jumaat selalu berbelanja makan. Bila ada keuntungan lebih, semua staf beroleh laba dikongsi bersama-sama.

“Kalau keadaan membaik, saya akan cari kamu MY.” Begitu kata bos.

Akan tetapi firma itu kecil sahaja. Kerja tidak begitu banyak. Majikannya pantang menyuap dan memberi rasuah. Jadi kerja tidak begitu ada. MY diberhentikan kerja dalam bulan Ogos 2020. Hujung tahun 2020 itu juga firma kecil tersebut tutup, lingkup. Dia dengar bosnya itu bercerai-berai. Serta menghilangkan diri kerana tidak mampu mengurusi hutang-piutang.

Orang, ramai mengatakan yang menguruskan semua ini gagal.

Selepas diberhentikan kerja, MY dijangkiti Covid-19. Dia sendiri tidak ingat dia beroleh dari mana. Akan tetapi jururawat yang mengendalikan kesnya di Sungai Buloh mengatakan dia beroleh daripada lapis generasi penjangkit berpunca daripada seorang agamawan. Kluster Pulut Serunding, kata jururawat itu. Ada majlis tahnik. Ada pulut serunding. MY fikir dia tentu trauma sampai bila-bila dengan kuih tersebut. Akan tetapi, jururawat itu berusaha meyakinkan; pulut itu menyelamatkannya.

Dia berada di wad Covid-19 selama lebih 34 hari, 21 hari di ICU. Dia ditidurkan. Dalam koma panjang itu dia didatangi ibu bapanya, yang tersenyum dan sering mengajaknya mengikut mereka.

"Jangan tunggu anakku. Ikutlah mak ke dasar Tasik Chini," kata ibunya seraya melakukan tekan tubi di tebing tasik yang sudah rata. Kenapa pula ibunya bersenam begitu? Aneh sekali.

Mengapa Tasik Chini? MY tidak tahu. Dia tidak mempersoalkan. Dia ingin membuka mulut bertanya tetapi bapanya akan mengatakan, "Anakku jangan mempersoalkan. Kita bangsa yang hanya boleh menerima. Kalau dihinjak sekalipun, ucapkanlah terima kasih. Bah, mari ikut kami ke Tasik…di sana hijau."

Dia tidak melihat hijau dalam mimpi itu. MY memilih untuk tidak menurut ibu bapanya. Mereka bukan dari dunia hijau tetapi kelihatan semuanya merah. Seakan planet Marikh. Atau seakan-akan debu merah bauksit. Jadi MY melawan. Hari ke-34 dia membuka mata. Jururawat manis itu ada di depan mata, ada seorang lain yang juga ayu kedengaran berbisik; "Pulut serunding dah jaga."

Ada lima orang saing dengannya ketika itu meninggal dunia. Mayat mereka tidak dapat ditatap keluarga. Jenazah mereka dibungkus di atas katil, dan didorong ke pusara. Gali, tanam, kambus. Orang, ramai mengatakan yang menguruskan semua ini gagal.

Ketika dia pulih, dia bersyukur dia masih diberi kesempatan hidup. Mungkin keadaan akan bertambah baik. Dia percaya orang bergelar yang bijak-bijak. Selama ini pun hidupnya atas kepandaian orang begini. Dia tidak percaya bila orang ramai mengatakan yang menguruskan semua ini bodoh.

Apabila orang seperti MY dibenar mengeluarkan duit simpanan pekerja, dia tidak berfikir panjang. Dia dengar seorang aci yang beratur di pejabat simpanan mengatakan begini, "Syukur kepada Ganesha, pengusir rintangan; rasa bersinar-sinar sekali bantuan ini."

Dia mengeluarkan simpanan dengan harapan keadaan akan membaik. Masa depannya di tangan orang pandai-pandai. Dia perlu memikirkan keadaan sekarang, bukan zaman hadapan. Kalau dia tidak dapat makan hari ini, bagaimana dia akan bernyawa esok hari. Begitu MY memikir. Dia percaya kepada ramai orang pandai-pandai akan membuat keputusan mengenai keadaan kesihatan masyarakat. Bahawa semua ini akan berakhir. Setiap penat tidak akan sampai tenat.

Wang simpanan itu pun digunakan untuk membayar sewa, dan membeli sebuah motosikal. Namun bantuan demi bantuan bersinar, yang dibuka semua; sudah diambilnya. Tetapi keadaan masih sama. Dia akhirnya memilih untuk menjadi seorang penghantar makanan. Sehari-harian dia mengulang kedai makan, restoran dan pelbagai jenis kafe untuk membawakan makanan kepada mereka yang memesan. Panas terik hujan ribut dia melawan arus. Meskipun demam dia tetap bertahan. Ada sekali dia dapat pesan menghantar kek cawan. Cantik kek cawan itu. Tentu lazat. Kek cawan itu untuk barisan hadapan. Meskipun dia kebulur dia bukan barisan hadapan. Sebagai marhaen aka murbawan dia terkira barisan corot.

Pun selaku penghantar makanan, benar-benar menekan perasaannya. Dia tidak boleh pergi terlalu jauh. Pernah sekali dia nyaris disaman kerana alamat pesanan melebihi 10 kilometer. Yang menahannya itu macam ada kenyit-kenyit mata sedikit menagih sesuatu. Apalah sesuatu yang dapat dikongsi? Memandangkan dia hanya dapat membuat untung 30 ringgit. Apabila pekerja penghantar makanan hanya diizin mengambil pesan dari pukul 8 pagi santak pukul 8 malam sahaja kesempatannya untuk beroleh lebih wang pendapatan tersengkang. Dia mati kutu. Dia buntu. Seharian bekerja separuh mati dia hanya beroleh tidak sampai seratus ringgit, dan belum tentu lepas dia dapat membayar sewaan rumah.

Tuan rumah pula enggan bertolak ansur. Katanya bank pun tidak peduli, maka tuan rumah itu pun suntuk. "Itu banker kata tak ada untung, faham?"

Orang, ramai mengatakan yang menguruskan semua ini "bodoh". Tapi, ada berapa orang mereka yang bodoh ini? Dia tidak tahu. MY tidak ambil peduli. Takkanlah boleh berkumpul sampai 60, 70 orang bodoh serentak. Tidak masuk akal.

Dia tidak boleh pulang ke kampung. Ke mana MY nak hala? Ibu bapanya telah meninggal dunia. Dia punya dua orang kakak, yang mustahil sama sekali dia dapat menumpang dengan mereka. Bila ditelefoni, salah seorang kakaknya mengeluh, anak-anak saudaranya tidak dapat belajar. Ada seorang beroleh hadiah telefon, meletup, terbakar, lantas tilam disambar api. Nasib baiklah dapat dipadamkan. Akan tetapi separuh rumah mereka dijilat api.

Pulang ke kampung? Lagipun dia nak pulang dengan apa? Mana wang untuk menampung kepulangannya. Negerinya jauh di Sabah sana. Malah ketika Pilihan raya Negeri Sabah pun dia tidak pulang. Dia dengar pengundi kawasannya memilih untuk bersatu-padu. Sebab ada dapat sekotak bir. Ada pula beroleh zink sekeping dua. Ada yang memang suka berjabat tangan dapat duit. Kelemahan orang miskinkan duit. Selepas perebutan kuasa yang pincang tersebut, kes Covid mendadak naik. Mujur juga MY tidak pulang.

Apabila dia jatuh motorsikal selepas kelelahan menghantar makanan, MY memilih untuk berhenti sahaja. Kesihatannya merosot teruk, pendapatannya tidak berubah, keadaan negara semakin memburuk. Kakinya luka akibat jatuh itu. Dia merawat kecederaan itu sendiri-sendiri. Curah ubat kuning, balut dengan kain pelikat. Dengan pendapatan tersengkang, dia hanya terbaring terkangkang di rumah. Serabut dia benar-benar serabut. Dia dengar ramai orang merayu supaya segala dewata kuning dan adiwira nusa bangsa menolongkan, atau melindungkan. Gunanya payung apabila hujan ribut ialah meneduhkan. Akan tetapi dia tidak melihat apa-apa yang konkrit.

Ada sekali dia bermimpi lagi arwah bapa mengajaknya menyelam ke dasar Tasik Chini. Ketika itu dia terfikir untuk mengikut sahaja orang tua itu. Mungkin ada ikan di sana. Boleh dibuat makan. Kalau masih ada ikan. Tetapi benarkah itu bapa, atau dia setan?

MY tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Pernah sekali dia meminjam dengan kawan sekolahnya. Akan tetapi dia tidak mampu membayarnya kembali. Teman lama itu sendiri dalam keadaan kusut telah memarahi dan asyik menuntut wangnya semula. Sekali dia pernah terfikir untuk pejam mata dan mengunjungi peminjam wang berlesen. Sebab katanya peminjam wang diperkasakan dalam keadaan sempit begini. Siapa yang memperkasakan? Orang, ramai mengatakan yang menguruskan semua ini bodoh.

Bukan MY tidak sembahyang. Dia selalu mengadu kepada Tuhan. Macam-macam dia doakan. MY menangis mengenangkan ibu bapanya. Dia mengharap ibunya akan datang membantu. Dia ingat pelukan hangat bapanya. Segala-gala makin kelam dalam dunia yang kian rusuh di luar sana. Satu kali selepas berdoa dia rasa lega sekejap sebab dia mendengar akan ada bantuan lagi. Katanya bantuan itu kelak akan mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam. Katanya ada agenda prihatin, dan khabarnya ada sokongan untuk perniagaan.

MY mengunjungi masjid untuk meminta bantuan zakat. Dia beroleh 200 ringgit. Dia beli nasi. Dia bayar hutang temannya. Di bank makanan, luar kedai runcit berdekatan flat murah inapannya, dia terpaksa berebut dengan seorang ibu tunggal. Wanita itu menangis memberitahu, dia dulu pramugari yang berjaya. Kini, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyuap nasi buat anak-anaknya. Suami perempuan itu meninggal dunia tiba-tiba. "Senanglah dia dah mati. Kita yang tinggal seksa."

MY berfikir, betul juga. Mati itu kemudahan di saat bencana begini. Kalau MY mati tak ada siapa akan menangisi. Dia dikira sebatang kara.

Akan tetapi selepas Ramadan, semuanya makin tidak teratur dan menjadi berat untuknya. Dia tidak fikir akan ada perubahan. Sinar yang dijanji menuju kegelapan bukat. Dia membaca di media, hatta doktor kontrak sudah berlonggok, mereka pun akan mogok. Bahkan berapa banyak perniagaan sudah menggulung tikar. Semakin ramai pula yang terbiar dan tidak diprihatini. Dia tidak fikir ada jalan lagi terbentang di hadapannya. Sebagai manusia paling rendah di telapak duli, dia merasakan dirinya tiada berguna dan amat sia-sia.

MY membaca mereka yang diharapkannya sebagai pelindung sudah divaksinisasi. Mereka sudah ke London, ke Paris, ke Mesir, ke Dubai. Apalah yang MY tahu. Dia bukan belajar tinggi. Dia dulu peon saja di sebuah firma arkiteksur. Mungkin dia bangsat. Seorang bangsat di Bangsar. Dia ada mendengar tentang pelan pemulihan. Akan tetapi dia tidak tahu bagaimana dia akan mendapat manfaat dari pelan tersebut. Kalau dia dibenarkan mengeluarkan wang sendiri, apa wang yang dia punya lagi. MY fikir ingin mencari Ebit Lew atau Caprice, dia dengar mereka suka membantu. Akan tetapi ada jemaah surau memberitahu, Ebit dan Caprice ada di Gaza. Jadi dia sudah tiada harapan.

Dia ada terfikir untuk ke Seputeh. Orang kata mungkin pemimpin di situ akan membantu. Dia ada mendengar sis Seputeh itu beri bakul makanan. Ada beri sedikit wang. Tetapi ada jemaah surau mencegah, "Eh jangan, Cina dia tu."

Dalam lif rumah flatnya yang umpama rumah merpati, ada seorang kakak mengeluh dengan kata kesat; sambil menjinjit sebuku roti; "Orang, ramai mengatakan yang menguruskan semua ini BANGSAT".

Dalam lif itu juga MY menangis. Tiba-tiba dia rasa tidak tahan. Dia keluar dari lif itu di tingkat 16. Dia berdiri pada jeriji besi berkarat flat perumahan kusam dan kumuh tersebut. Dia genggam jeriji besi itu. Dia benar-benar tidak tahu tahu apa yang dilakukan. Dia bangsat. Dia mendengar suara ibu dalam benaknya, "Moh anakku ke dasar Tasik Chini, ada banyak ikan untuk dimakan di sini." 

Bagai bergema bergaung dalam telinga; gesa bapanya, "Tasik Chini…Tasik Chini…"

MY menahan sedu, mengesat hingus. Jemaah surau yang tempoh hari melarangnya ke Seputeh mara ke depan, "Jangan bro, kita boleh bincang. Mereka dah bentuk jawatankuasa untuk mengkaji bro."

Kakak yang menjinjit sebuku roti bersuara, "Nah kalau boleh ambil ini…lagipun aku dah ambil sardin. Kita pergi minta kerja di kilang. Ada kilang macam sarung tangan plastik masih tetap buka tau..tak pernah tutup."

MY menggeleng. Siapa yang mengatakan itu adalah bunuh diri? Dia menganggap itu satu penyataan. Tahukah mereka yang gagal, bodoh, dan bangsat itu siapa Tarek el-Tayeb Mohamed Bouazizi. Bos firma tempatnya bekerja pernah menceritakan darihal Bouazizi.

Beberapa detik itu dia sempat mendengar satu suara yang sayup. Suara jururawat, mengingatkan: Pulut Serunding.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Cepen-esei ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.