KOLUM | Teratai layu di Tasik Chini
Eddie ialah sahabat yang memperkenalkan kami kepada aktiviti-aktiviti lasak. Masuk hutan, menjelajah pulau, menyelinap dalam gua dan sebagainya.
Namun suatu perkara yang harus kamu semua faham ialah, dalam kamus hidup Eddie, aktiviti lasak itu mesti dikerjakan dalam keadaan sangat bergaya. Bergaya yang kami maksudkan di sini ialah, katakan kamu ke hutan untuk berkhemah, maka apa yang paling penting ialah semua orang mesti kelihatan kacak.
Lama sebelum Taman Rimba Kenong menjadi popular, Eddie sudah berjalan berjam-jam untuk ke sana.
Segala peralatan juga mesti yang tercanggih. Dapur memasak dengan tong gas kecil, pisau Rambo yang akan digunakan untuk membunuh beruang jika kami diserang, tong Coleman saiz paling besar sebagai persediaan membawa pulang ikan kelah sesegar mungkin dan tentu sekali seluar yang banyak kocek jenama Camel Trophy menjadi pilihan utama.
Berdosa besar sekiranya pakaian dan peralatan yang dibawa adalah dari jenama yang tidak dikenali. Maka berhabislah kami demi memuaskan nafsu Eddie.
Sering berlaku, masa yang diambil untuk memilih pakaian yang menepati selesa Eddie jauh lebih lama berbanding aktiviti lasak itu sendiri.
Akan gegarkan panggung
Pernah sekali kami mengambil masa lebih kurang sebulan ke sana ke mari mencari pakaian dan barang kelengkapan untuk misi berkhemah selama satu malam.
Yang selalu menjadi juara dalam berkacak di dalam hutan ialah Saudi - atau Keng sempena wajahnya bersegi empat itu. Kemudian Abu, dan selepas itu Kepok.
Eddie, Keng, Abu dan Kepok adalah lelaki metroseksual pada zaman itu. Atau sekurang-kurang itulah yang mereka rasa. Kumpulan empat orang itu akan berusaha untuk menjadi kacak dalam semua keadaan.
Dan dalam semua keadaan mereka berusaha untuk dilihat sebagai klon Rano Karno, pelakon dari Indonesia yang menjadi pujaan ramai pada waktu itu.
Kecuali Abu, semua mereka lebih mirip Dono, Kasino dan Indro iaitu trio lawak - juga dari Indonesia - yang akan menggegar panggung setiap kali siri wayang gambar mereka ditayangkan.
Di belakang mereka ada Mohd Khodri. Khodri bukanlah tidak kacak namun kerana ada iras Mus dari kumpulan rock May, maka beliau sering dipinggirkan oleh 'gang of four' dari sekolah Sultan Abu Bakar itu.
Untuk tidak nampak kekampungan, Khodri meminta semua orang memanggil beliau sebagai Derry. Namun selain Khodri tidak ada siapa pun yang setuju memanggil beliau sebagai Derry.
Daripada Eddie kami berkenalan dengan Man iaitu sepupu beliau yang sebelum ini dibesarkan di Kuala Lipis sebelum melanjutkan pelajaran ke Ipoh. Dan hanya kerana itu - yakni kerana belajar di Ipoh - Man menjadi pengemar Metallica. Begitulah, apa lagi yang boleh dibanggakan oleh penduduk ibu negeri Perak itu selain rocknya.
Jika kamu percaya akan segala berita karut mengenai betapa rocknya Ipoh, pasti kamu akan terpedaya semasa mengambarkan bahawa penduduknya adalah penyembah syaitan yang setiap masa mendengar lagu-lagu keras dan memusnahkan.
Penggemar tegar siri komedi
Namun setelah kamu dengar semua lagu-lagu yang pernah dirakamkan oleh mana-mana band dari bandar raya itu, kamu akan dapati lagu-lagu yang mereka nyanyikan tidak lebih daripada apa yang pernah ditulis oleh 'Tuhan Harun'.
Kami menjadi rapat dengan Man. Dengan kemasukan Hasbullah atau Boon, kami membentuk satu kumpulan yang yang kerjanya tidak lain adalah untuk mentertawakan gaya pembawakan kumpulan Eddie, Abu, Kepok, Keng dan kadangkala Derry.
Bagaimana pun, Derry sesekali bersifat talam dua muka. Kadang-kadang beliau bersama kami mentertawakan 'Eddie and the gang' dan ada masanya beliau kami gelakkan apabila mendukung perjuangan - untuk sentiasa kelihatan kacak - kumpulan yang satu lagi itu.
Eddie juga memperkenalkan kami kepada Don dan Tat iaitu dua lelaki yang berasal dari utara tanah air. Don gemar - bahkan terlalu gemar - menghabiskan masanya menonton video. Paling menjadi pilihannya ialah mengulang-ulang menonton video siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Don akan ketawa berdekah-dekah setiap kali menonton ulang siri itu walaupun untuk yang beratus kali. Beliau juga hantu gusti. Setiap kali menyewa pita video gusti terbaru, beliau akan bergasak dengan dirinya sendiri di depan TV.
Tat dengan misai tebalnya - entah disengajakan atau tidak - yang mirip benar dengan Razis Ismail iaitu penyanyi yang agak popular pada waktu itu.
Selain Boon, pernah sekali semua nama yang kami sebut di atas pergi ke Tasek Chini. Namun kali itu bukanlah bertujuan untuk melakukan aktiviti lasak.
Jadi punca rezeki
Justeru kami memilih untuk menyewa chalet yang ada di sana. Kak Timah, Leha, Cik Tim Fook Yu dan Simoh yang cantik jelita itu juga ikut sekali.
Untuk kami yang pertama kali ke Tasik Chini, ianya pengalaman yang menakjubkan. Yang menjadi tarikan pada waktu itu adalah betapa ianya dipenuhi dengan bunga teratai.
Kebetulan pula waktu kami ke sana, teratai sedang galak berbunga. Maka seluruh permukaan tasik dipenuhi dengan daun dan bunga teratai sehingga bot yang kami naiki terpaksa bergerak perlahan.
Pada waktu itu juga kami baru tahu bahawa biji bunga teratai boleh dimakan dan rasanya seperti rasa kacang tanah.
Kami tinggal di tasik berkenaan sehingga lewat dan dapat menikmati keindahannya pada waktu petang. Ianya adalah permandangan yang sukar dilupakan.
Selain itu, kami juga pergi ke beberapa kampung Orang Asli yang ada di sana. Terdapat tidak kurang daripada 10 kampung kecil Orang Asli di sekitar tasik tersebut.
Pengalaman duduk mendengar cerita daripada mereka tentang bagaimana tasik itu menjadi punca rezeki kepada penduduknya adalah sesuatu yang mengharukan. Selain pendapatan daripada pelancong yang datang, penduduk Orang Asli juga bebas mengambil hasil hutan sama ada untuk kegunaan sendiri atau diniagakan.
Seluruh kehidupan mereka adalah di sekitar tasik yang banyak memberi itu. Penduduk setempat tidak perlu ke mana-mana untuk meneruskan kehidupan. Segalanya ada di persekitaran mereka.
Selain itu, yang paling menarik perhatian ialah apabila kami dibawa menelusuri sebatang sungai kecil menuju ke Sungai Pahang. Laluan itu amat cantik apabila ia dilitupi pohon-pohon besar yang menghalang cahaya matahari.
Ia menjadikan ‘pelayaran’ kami pada tengah hari itu amat nyaman. Di laluan itu juga kami diceritakan mengenai betapa pada suatu waktu dulu terdapat seekor ular besar mendiami kawasan tersebut.
Apabila lapar, ular tersebut akan mengangakan mulutnya dan menyedut apa sahaja yang lalu di depannya. Akibat ketakutan, orang tempatan melaporkan perkara tersebut kepada kerajaan waktu itu, yakni British.
Dan mengikut cerita, British menghantar sekumpulan tentera mengebom ular tersebut. Kami juga telah ditujukkan tempat ular tersebut dibunuh dan ianya seakan-akan sebayang parit besar yang amat panjang.
Tak jauh dari gigi air
Kenangan kali pertama ke Tasik Chini itu sentiasa kami ingati sebagai masa-masa bahagia. Ianya mengembalikan kami kepada suatu saat yang kami hargai.
Kerana itu kami juga pernah beberapa kali lagi ke kawasan berkenaan. Namun setelah kunjungan kali pertama itu, lawatan berikutnya kami seringkali menjadi manusia pemarah.
Kali terakhir kami ke Tasik Chini ialah tahun lepas iaitu untuk menjalankan suatu acara seni Lukis. Dalam acara yang digelar sebagai Gumumism kami menjemput seniman dari seluruh Malaya.
Tujuannya adalah supaya seniman-seniman terbabit dapat menikmati sendiri keindahan tasik tersebut.
Projek yang diketuai oleh Sukairi Shaari itu berjaya menarik kerjasama Balai Seni Negara dan juga Fakulti Sains Dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia antara program seni yang sempat dijalankan sebelum seluruh dunia diserang oleh Covid-19.
UKM mempunyai sebuah pusat penyelidikan di kawasan tersebut. Para petugas di pusat berkenaan memberikan seluruh tenaga mereka untuk mengkaji dan mempertahankan kawasan berkenaan. Malah sebahagian besar penyelidik berkenaan tinggal di pusat itu.
Namun kekecewaan bukanlah ayat yang betul untuk mengambarkan perasaan kami apabila melihat apa yang berlaku kepada tasik yang diiktiraf sebagai kawasan biosfera Unesco itu.
Berdasarkan gambar yang tular kelihatan hampir seluruh kawasan tasik yang menjadi tempat diamnya ratusan jenis flora dan flora unik ‘dibangunkan’. Hutannya digondolkan. Yang tinggal hanya pohon-pohon yang ada di sekitar tiga atau empat kaki dari gigi air.
Kami melihat itu sebagai suatu macam momokan. Mereka yang bertanggungjawab memusnahkan kawasan tersebut seolah-olah sedang ‘menganjing’ pihak yang mempertahankan Tasik Chini dengan membinasakan kawasan tersebut.
Air tasik juga keruh dan tiada lagi lautan teratai yang selama ini menjadi ikon kepada tasik tersebut. Hampir semua lelaki yang boleh bekerja dari kumpulan Orang Asli di sekitar tasik berkenaan kini terpaksa keluar dari situ untuk mencari rezeki.
Tidak ada lagi kebebasan untuk mereka mengusahakan tanah warisan nenek moyang. Semuanya kini milik syarikat yang nyata berahi mengaut kekayaan ketika hal kebajikan penduduk tempatan dipertanyakan.
Membawa sedikit simpati dengan kek
Foto keadaan Tasik Chini yang tular beberapa hari ini langsung tidak menghairankan kerana kami melihat sendiri betapa tasik yang pernah teramat cantik dan mendamaikan itu musnah akibat kerakusan mereka yang mengutamakan kekayaan.
Beberapa tahun sebelum datang ke Tasik Chini untuk acara Gumumism, kami pernah sekali lagi pergi ke sana. Pada waktu itu pun telah kelihatan kesan buruk daripada aktiviti perlombongan yang dijalankan.
Apa yang dibongkar hari ini adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan. Tasik berkenaan telah lama dikerjakan. Riuh rendah mengenai kemusnahannya hari ini dijangka akan segera reda dalam masa beberapa hari lagi.
Mereka yang mengambil laba darinya tahu benar akan hal ini. Lalu mereka tidak peduli apa pun kemarahan yang kamu suarakan. Mereka tahu kamu akan segera datang menyembah apabila saja mereka datang kepada kamu dengan membawa sedikit simpati dan beberapa keping kek berlapis air mata buat menutup mulut busuk kamu itu.
Jika selama ini kami akan ketawa hingga terkentut apabila mendengar tentang dongeng Tasik Chini, hari ini kami menjadi kumpulan orang yang percaya bahawa Tasik Chini ada naganya.
Eddie dan Keng telah lama meninggal dunia. Don sudah bersara. Tat hilang entah ke mana. Kali terakhir kami dengar beliau bekerja dengan Mesiniaga di Pulau Pinang jika tidak silap. Leha juga di Pulau Pinang menjadi guru.
Tim Fook Yu menikah dengan cikgu yang lebih lembut daripada beliau dan Kak Timah menikah dengan abang polis yang sentiasa disorok daripada kami sejak dulu.
Boon masih menjadi guru besar sementara Kepok entah apa kerjanya. Abu sekarang katanya lebih besar daripada beruang sementara Man pula menjadi orang besar Time Telecom.
Derry agaknya sudah menjadi profesor akibat lama bekerja di Universiti Islam Antarabangsa manakala kami mengharapkan Simoh tidak terpengaruh dengan tipu daya para bomoh sebaliknya tekun berdisplin mencucuk insulin bagi menjaga buah pinggangnya daripada dirosakkan oleh diabetes.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai