Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Magis Islam Melayu

Beberapa hari lalu kami menelefon Ustaz Mohamza. Tidak ada sebarang sebab khusus sebenarnya kecuali untuk mengucapkan selamat hari raya kepada beliau.

Mohamza kami kenal sebelum beliau menjadi ustaz lagi, iaitu semasa masih budak yang sibuk mahu jadi gangster. Namun akibat fikiran jauh bapanya, semasa berusia lebih kurang 15 tahun Mohamza dihantar ke Kubang Ikan di Terengganu untuk mendalami al-Quran.

Setelah itu beliau pergi pula ke madrasah di Kubang Bujok, juga di Terengganu. Setelah menghafal al-Quran Mohamza melanjutkan pelajaran ke Mesir dan pulang selepas mendapat keputusan yang teramat baik.

Kembali dari Mesir, Mohamza mengikut ayahnya mengusahakan ladang kelapa sawit dan beliau pernah menguruskan ladang yang luasnya beratus ekar itu.

Namun kerana sukanya beliau kepada al-Quran, Mohamza mengambil keputusan untuk mengajar agama sepenuh masa. Kelas-kelas yang beliau usahakan sentiasa tidak mengenakan bayaran.

Kerana itu ada kalanya beliau kaya dan banyak kalanya miskin. Beliau selesa begitu. Ada sekali - sewaktu sedang kaya - Mohamza membeli selori durian bermutu tinggi dan menjamu seluruh penduduk taman tempat beliau bermastautin.

Terlanjur berbual pada hari itu, kami bertanya kepada beliau adakah perlu kami ke masjid pada masa gawat seperti sekarang ini. Mohamza berkata jika ianya dibenarkan - yakni masjid masih dibuka dan jemaah diizinkan - maka pergilah.

"Rugi besar kalau tak gi," kata beliau kepada kami.

Tetapi jika tiada keizinan, katanya, patuhlah dan sembahyanglah pada awal waktu di rumah iaitu tepat setelah azan selesai dikumandangkan.

"Mung jangan gelewak pulok," tambah beliau memberi nasihat kepada kami.

Bagaikan jentik-jentik di pentas

Semasa berbual itu sempat beliau berpesan mengenai sahabat kami, Batu, kini menjadikan bahagian kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan sebagai tempat tidur.

Jika kamu membaca tulisan ini dan ternampak akan si Batu itu, belanjalah beliau dengan sedikit minuman atau sekotak dua rokok. Jika rajin berbual, kamu akan dapati Batu adalah seorang yang sangat bijak.

Mohamza juga memberitahu yang beliau pernah viral sedikit hari dulu. Namun beliau berahsia daripada kami mengenainya kerana bimbang ia akan menjadi bahan kami menulis di Malaysiakini.

Lalu pada mukadimah artikel kali ini sengaja kami menyebut akan nama beliau. Padan muka apabila semua orang tahu beliau bersahabat dengan penulis Malaysiakini.

Orang Melayu Islam di Malaya ini adalah masyarakat yang agak unik jika dibandingkan dengan Muslim lain di mana-mana belahan dunia. Kita yakni umat Islam Malaya adalah pelopor dalam hal penyanyi perempuan yang ‘bertaubat’ akan memakai pakai yang menutup aurat, bertudung dan berjubah kemudian akan terus bergelek dan melentik bagai jentik-jentik di atas pentas untuk menghiburkan peminat.

Sebelum umat Islam Melayu melakukannya, kebanyakan penyanyi atau pelakon yang bertaubat akan meninggalkan terus dunia seni persembahan. Kini tidak begitu lagi.

Penyanyi dan pelakon dari indonesia juga kini kelihatan sudah menjadikan ‘tradisi’ ini sebagai ikutan. Ia tidak menghairankan kerana mereka dan kita adalah dari rumpun yang sama.

Peminat mereka pula akan bersyukur ke hadarat Ilahi apabila melihat penyanyi atau pelakon pujaan 'kembali ke pangkal jalan'. Ia dianggap kejayaan dan impian jadi nyata buat peminat.

Peminat memang mahu melihat perempuan yang kelmarin bergelek gerudi di pentas dengan tidak menutup aurat kini berubah penampilannya dan masih gigih menggegarkan buah dada di khalayak ramai.

Puji-pujian akan dihamburkan kepada penyanyi dan pelakon berkenaan dengan iringan doa yang baik agar mereka kekal menutup aurat (tapi dimohon agar istiqamah kekal bernyanyi, misalnya).

Anggap perbuatan mencabar

Para penghibur menjadi suatu faktor yang teramat penting untuk sebuah negara yang penduduknya tidak sampai 40 juta orang ini. Seluruh warga yang waras boleh menjadi gila hanya kerana berita nikah cerai ‘selebriti’ dan hal dalam dan luar kain mereka menjadi makanan yang perlu dijamah orang ramai.

Kerana itu juga selebriti itu berasa mereka berada di atas undang-undang serta sakit pening manusia lain. Mereka boleh ke sana sini untuk berbelanja atau berhari raya walapun semua itu dilarang undang-undang.

Jika berlaku sebaliknya yakni penyanyi dan pelakon kesayangan kembali tidak menutup aurat - dan ia memang sering terjadi - maka peminat akan termasuk dalam golongan yang paling kecewa kerana selebriti terbabit kembali menjadi bakal ahli neraka.

Kemudian dari itu kita ada pula kumpulan umat Islam yang akan mempertahankan agama ini apabila berasa ia diserang. Cina main mercun pada tahun baru misalnya dianggap sebagai perbuatan mencabar.

Mereka akan binggit mengatakan bahawa umat Cina kini tidak tahu diuntung. Menumpang di tanah Melayu dan gembira menyambut tahun baru Cina adalah dosa besar. Sama besarnya dengan dosa menghempas buah kelapa di jalanan kerana merayakan tarikh penting ajaran Hindu, misalnya.

Semua itu akan mengakibatkan kemarahan bangsa Islam Melayu di Malaya. Apabila marah maka mereka keluarlah beramai-ramai untuk menampar lelaki Bangladesh yang dikepung beramai-ramai sebagai membuktikan keberanian bangsa.

Tentu saja keganasan rejim Israel membantai rakyat Palestin menjadikan semua orang marah, namun ia tidak mungkin mengatasi kemarahan umat Islam Melayu.

Mereka akan segera membantah dengan sepenuh hati dengan langkah pertama tentu saja menggerakkan kempen memboikot apa saja yang ada kaitan dengan Yahudi.

Yang paling sering menjadi mangsa adalah rangkaian makanan segera McDonald's. Dan kalaulah benar kerja boikot mereka memberi apa-apa kesan, McDonald's telah menutup kedai mereka sejak 1979 lagi.

Oh, sebelum terlupa, setelah kempen Buy Muslim First dilancarkan, ramai umat Islam Melayu menjadi jutawan manakala khabarnya banyak tauke pasar raya Cina bankrap dan berfikir untuk membunuh diri.

Tidak ada samseng yang lebih samseng dalam dunia ini selain umat Islam Melayu jika kamu menjadikan sumpah seranah, maki dan ancaman sebagai perbandingan.

Malaikat bekerja ikut imaginasi

Islam Melayu akan terbakar apabila berasakan ada orang lain sedang menghalang jalan mereka menuju sorga. Dan ironi di atas segala ironi tentulah apabila mereka memaki kejahatan rejim Zionis itu melalui Facebook.

Semua kemarahan dan sakit hati itu mereka luahkan berselang-seli dengan serangan ke atas pasukan lawan dalam permainan video PUBG. Sambil itu mereka tekun mencarut dan memaki-hamun di merata kedai kopi.

Tidak ada kumpulam manusia yang lebih rela mati syahid daripada kumpulan itu kerana mereka ingat sorga itu bapa mereka yang punya.

Kamu sembahyang ikut waktu yang kamu suka, tapi ada hati nak mati syahid. Kamu agaknya orang yang dikatakan akan ditempelak Tuhan di Padang Mahsyar nanti.

Yang paling digemari oleh umat Islam Melayu pada waktu-waktu seperti sekarang ini ialah kisah-kisah magis. Betapa hari ini ada bom yang dilepaskan rejim Israel tidak meletup kerana 'disambut para malaikat' dan kegigihan orang bersembahyang senyap-senyap di masjid tidak akan mengakibatkan wabak merebak, misalnya.

Awak ingat malaikat ini kerjanya mengikut imaginasi awak? Bakpo bodo gitumo?

Akibat terlalu lama diceritakan tentang agungnya bangsa Melayu ini, kita semua berhenti berfikir untuk jadi manusia yang terbaik. Kita gemar menyalahkan orang lain dan begitu suka mencari jalan keluar yang bermukjizat.

Kalau handal sangat, hantarlah parang terbang kamu ke Israel atau pergilah terbang naik selempang kuning kamu ke sempadan Gaza. Inilah masanya untuk membuktikan segala macam ilmu yang kamu pelajari itu. Mahu simpan untuk apa lagi? Nak tunggu kena panah petir dulu kerrrr?

Setelah sekejap kaya dan sekejap miskin, Mohamza bertugas mengajar al-Quran di sebuah madrasah tahfiz milik kerajaan negeri. Beliau adalah orang yang diberi keistimewaan merentas negeri setiap hujung minggu kerana ada keluarga menetap jauh dari tempat bertugasnya.

Mohamza adalah contoh seorang Myang sangat mencintai al-Quran. Dan untuk seorang lelaki yang berkulit gelap, beliau seorang suami yang agak kacak.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengamal ilmu magis yang berjaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.