Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Wanita dalam perang

Pada 1957 novel garapan Boris Pasternak, Dr Zhivago, muncul buat kali pertama dan menceritakan suasana perang pada zaman Revolusi Bolshevik.

Di dalamnya ada watak Lara Antipova si wanita malang pada zaman perang. Dia mencintai seorang lelaki curang yang menggunakan kuasa untuk membeli cinta.

Perang memaksa ramai orang berkorban diri sendiri demi kelangsungan hidup.

Dalam dunia ini, peperangan, pertempuran dan perkelahian biasanya adalah kerja lelaki yang mahu menunjukkan kepada dunia kualiti sejati mereka kepada umum. Namun tanpa disedari di sebalik ego lelaki itu, perempuanlah yang banyak menanggung derita kesan daripada pertelingkahan tersebut.

Wanitalah yang kemudian terpaksa meneruskan sisa hidup tanpa suami apabila perang meragut nyawa.

Di negara ini kita juga boleh melihat sasterawan berkisah mengenai perang dan kesannya kepada manusia. Arenawati pernah menghasilkan Sandera, manakala A Samad Said bercerita melalui Salina. Di negara jiran ada Pramoedya Ananta Toer yang berkisah dengan Keluarga Gerilya.

Untuk membaca buku ilmiah tentang kebangkitan orang Perak dan Terengganu dan kisah perempuan yang menjadi mangsa lelaki berkuasa kita boleh menyelak helaian-helaian naskhah Pasir Salak dan Kebangkitan Terengganu karya Prof Abdullah Zakaria Ghazali.

Generasi yang hidup selepas negara menikmati kemerdekaan wajib menghayati derita generasi perang dan pascaperang semasa mereka membangunkan tanah air.

Pada masa sama jangan terlalu celupar berbicara dan bermain api hingga menyinggung batas yang menjadi sempadan perbezaan pandangan. Luka perang terlalu lama untuk disembuhkan, terutama apabila perang itu melibatkan perbezaan agama, kaum dan bangsa.

Peristiwa tangkapan 11 pemimpin Melayu Sungai Manik selepas Jepun menyerah kalah ada diceritakan Yon Sopi beberapa dekad lalu. Katanya semua tahanan itu diletakkan di Sekolah Wah Keow, Langkap.

Kisah itu ada dicatat oleh wartawan Abu Bakar Sidek dalam Mingguan Malaysia pada 25 Mac 1984. Sebelas orang Melayu Sungai Manik yang ditangkap itu - semuanya lelaki - sebahagiannya suami orang manakala selebihnya orang bujang tetapi masih anak kepada wanita-wanita kampung.

Ada watak sebagai pemimpin

Ketika itu Yon dan rakannya Zainon berkerja dengan Bintang Tiga yang diketuai Lawamah di Langkap. Tugas mereka ialah menyediakan makanan kepada tahanan mengikut waktu yang ditetapkan. Di samping itu mereka terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan sekolah berkenaan.

Kadangkala mereka diminta untuk menghiburkan tentera Bintang Tiga seperti dengan menari dan menyanyi. Mereka berdua terpaksa bertugas dengan begitu bagi mengelakkan kesusahan hidup ditindas Bintang Tiga.

Disebabkan pekerjaan itu juga Yon dan Zainon mendapat permit khas untuk bergerak bebas. Permit itulah memudahkan mereka membantu orang kampung secara tidak langsung.

Sebelum Yon bertugas di Langkap, dia dilantik menjadi salah seorang kakitangan Bintang Tiga di Ayer Deras, Chikus. Bintang Tiga memilih Yon untuk tugas tersebut kerana dia mempunyai perwatakan sebagai pemimpin.

Antara tugas Yon ialah mengiringi penduduk Chikus pergi ke Langkap atas arahan Bintang Tiga. Seramai lebih kurang 150 penduduk kampung berjalan meninggalkan petempatan mereka dan dikurung di sebuah sekolah Cina di Langkap.

Sepanjang tempoh seminggu dalam tahanan di situ mereka diberi layanan yang buruk dengan tempat yang busuk dan makanan yang kotor.

Wanita juga berperanan penting di belakang tabir seperti merawat ahli keluarga yang cedera dalam pertempuran. Aishah Kadri pernah merawat suaminya, Salleh, yang putus pergelangan tangannya dek ditetak Bintang Tiga dalam pertempuran di Redang Punggur.

Wanita juga menjadi mangsa keganasan seksual lelaki. Mengikut catatan dan kisah lisan orang tempatan, Bintang Tiga ingin menjadikan wanita Melayu sebagai tempat pemuas nafsu tentera. Oleh sebab itulah perang berkenaan meletus.

Menjadikan wanita sebagai objek seksual dalam perang sering dibangkitkan ramai pihak. Kisah bagaimana wanita Muslim Bosnia menjadi mangsa serangan seks tentera Serbia pada 1993 mungkin boleh menjadi sebahagian gambaran di Sungai Manik sewaktu perang tersebut.

Oleh kerana itulah juga wanita-wanita muda di Sungai Manik dijadikan galang ganti keamanan bagi menyerang markas Bintang Tiga di Sungai Tungku.

Dalam keadaan biasa, wanita-wanita yang ingin diperlakukan begitu sudah tentu menolak tetapi dalam masyarakat yang meletakkan kuasa pada tangan lelaki, mereka terpaksa pasrah.

Pasukan perang Sabil membuat keputusan untuk menghantar wanita muda Melayu ke markas Bintang Tiga bagi memenuhi permintaan kumpulan tersebut.

Wanita muda itu beramai-ramai berjalan menuju ke markas Bintang Tiga. Namun dalam kalangan wanita itu terselit juga tiga lelaki yang menyamar dan mereka membawa misi menyerang secara kamikaze.

Setia menanti suami

Apabila emosi dan nafsu menenggelamkan kewarasan Bintang Tiga, perangkap itu segera mengena. Pada saat itulah serangan dilancarkan oleh tiga lelaki yang berada di belakang. Mereka mempertaruhkan nyawa sendiri demi keamanan kampung.

'Wanita' sekali lagi menjadi senjata paling ampuh menunduk lelaki dalam peperangan.

Ada juga wanita yang terkorban sewaktu perang. Antaranya yang sempat dicatat ialah Suhaibah Abdul Manap, seorang suri rumah di Chikus yang ditembak Bintang Tiga.

Jenazahnya dibiarkan selama beberapa hari di Sungai Bidor kerana keadaan yang tidak aman untuk orang kampung menguruskan jenazahnya. Namun akhirnya ia dapat disempurnakan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit 10, Chikus.

Pada zaman perang, kes wanita yang kehilangan suami atau anak tanpa khabar berita adalah lumrah. Seorang isteri boleh saja tiba-tiba terpaksa menanti tanpa penghujung kepulangan suami. Ia penantian yang amat panjang.

Jika mati, di mana kuburnya? Jikalau hidup, di mana beritanya? Begitulah yang berlaku kepada keluarga Ahmad Perang, Ismail Sungai Manik dan beberapa nama lagi yang hilang semasa zaman perang.

Maidin yang tinggal di Parit 2 Sungai Rambai ditetak di kepalanya semasa pertempuran dengan komunis di Pasar Senayan berhampiran Jambatan Degong.

Selepas seminggu menderita, akhirnya Maidin menghembus nafas terakhirnya di rumah. Isterinya, Neng Ngah Pandak Osman dengan seorang anak perempuan kecil terpaksa meneruskan kehidupan penuh getir selepas itu.

Ada beberapa kisah lain mengenai isteri yang kehilangan suaminya semasa zaman itu diceritakan kepada saya. Hingga akhir hayat, si isteri setia menanti suami. Perang sememangnya melukakan dan menyakitkan. Sangat.

Namun paling sakit adalah dendam yang tidak pernah terpadam.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.