Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Selesaikan masalah dengan penumbuk

Cikgu Ghani masuk mengajar ke sekolah kami pada pertengahan penggal. Umur beliau ketika itu mungkin sekitar 20-an. Mungkin baru tamat latihan perguruan.

Dengan rambut afro besar, kemeja ketat dan seluar bell-bottom yang dipadankan dengan kasut tumit tebal, Cikgu Ghani kelihatan amat stylo. Beliau juga agak kacak untuk seseorang yang berasal dari Melaka.

Beliau menunggang basikal lipat roda kecil untuk ke sekolah. Terbongkok-bongkok beliau mengayuh sambil hujung kasut tumit tebalnya memijak pedal basikal. Bergaya sungguh. Dan beliau memusuhi kami.

Kami lupa apa puncanya namun Cikgu Ghani akan sentiasa mencari alasan untuk menghukum kumpulan kami. Kemuncaknya ialah apabila beliau mengajak kami bertumbuk.

"Engkau panggil geng engkau, akau panggil geng aku," kata beliau kepada kami pada suatu hari.

Bagi budak sekolah lelaki, apa lagi yang lebih menghiburkan selain daripada bertumbuk. Lalu cabaran Cikgu Ghani itu kami terima dengan hati terbuka.

Hari Sabtu itu, pagi lagi kami sudah keluar ke bandar menuju medan pertempuran yang dijanjikan. Kami menunggu Cikgu Ghani dan kumpulannya. Seorang dua daripada kami membawa buku lima tembaga, manakala yang lainnya hanya membawa tulang dan tenaga empat kerat.

Memang itu strategi pergaduhan yang kami amalkan. Yang memakai buku lima akan menyerang dulu, dan jika darah yang mengalir dari luka musuh tidak mengerunkan rakan-rakan mereka, barulah kami yang berbekal tulang empat kerat ini masuk menyerang.

Selalunya apabila melihat rakan mereka berlumuran darah, kumpulan lawan akan berundur. Namun ada juga masanya lawan tidak takut, sebaliknya akan bertindak lebih agresif.

Meluru lepas habis sekolah

Bertumbuk bukanlah perkara asing kepada murid mana-mana sekolah pun pada masa itu. Entah kerana pemakanan atau entah kerana kebebalan, segala masalah diselesaikan dengan pergaduhan.

Zaini Abdul Rahim - sahabat kami - berparut di hidungnya sehingga hari ini akibat bergaduh di panggung wayang. Dan penyesalan tidak terhingga yang kami kenang hingga ke hari ini adalah apabila Norbi dikeruyuk beramai-ramai di belakang sekolah ketika kami semua sedang enak menikmati mi kari 20 sen semangkuk di kantin sekolah.

Yang paling samseng di sekolah kami pada waktu itu ialah Wong How Run, Phua Kia Yen, Siew Onn Lam dan kawan-kawan mereka. Dengan kumpulan itulah kami akan sentiasa mencari sebab untuk bertumbuk. Berlaga bahu di koridor, jeling-menjeling waktu subjek pendidikan jasmani atau akibat kalah main ‘uli!’ (permainan seakan galah panjang tapi versi Cina) adalah antara puncanya.

Pada hari Jumaat sebaik loceng tamat waktu persekolahan dibunyikan, kami semua akan berlari ke belakang sekolah untuk bertumbuk.

Toh Boe Hoe ialah seorang anak Cina yang sentiasa ikut bertumbuk namun dia menyertai sebelah kami. Tanpa mengira siapa pun lawan kami waktu itu dia akan bertumbuk untuk kami.

Apabila Cikgu Ghani dan kumpulannya tiba, kami dapati sebahagian besar ahli kumpulannya kami kenal. Biasalah, bandar kami bukannya besar sangat dan kaki bertumbuknya bila dan di mana pun, selalunya orang itu, itulah juga.

Setelah berbincang, kami memutuskan untuk ke panggung wayang menonton cheap matinee. Selesai masalah. Itulah akibatnya apabila berjanji temu untuk apa pun pada pagi Sabtu di bandar kami. Semuanya berakhir dengan cheap matinee.

Faris, anak kapten askar Kem Batu 9, bukanlah dari kumpulan kami. Namun kerana keinginannya untuk dilihat sebagai kaki gaduh begitu tinggi, apabila berlaku apa-apa insiden pergaduhan dan guru sekolah tidak dapat menyelesaikannya, maka Faris dengan bangga akan menampilkan diri untuk mengaku sebagai kaki pukulnya.

Kami biasanya membiarkan saja beliau berbuat demikian. Ianya baik untuk rekod sekolah kami. Keinginan untuk dilihat sebagai samseng sampai ke kemuncak apabila beliau membawa pistol kepunyaan bapanya ke sekolah dan bergaya ala koboi dan mengancam.

Guru sekolah menelefon bapanya yang segera datang ke sekolah dan mengambil pistol berkenaan.

Pada suatu masa lain, pernah sekali sedang Faris mahu dikenakan hukuman rotan di khalayak ramai, bapanya datang meluru ke hadapan pentas dan mengambil rotan daripada guru displin kerana dia mahu merotan sendiri anaknya.

Kami lupa apa kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Namun guru-guru yang ada menahan bapa Faris daripada merotan anaknya. Kekecohan itu mengakibatkan hukuman tersebut terpaksa ditangguhkan.

Faris dan bapanya kemudian keluar dari kawasan sekolah untuk sama-sama merokok.

Ghana selalu jadi penyelamat

Kadang-kadang akan ada budak-budak yang belajar silat tiba-tiba ‘naik syeikh’ dan mula berpencak dengan tidak tentu hala. Untuk hal ini kami akan menyuruh Ghana - yang kami panggil sebagai Gajah kerana namanya Ghanarajah Thurairajah - untuk menyelamatkan keadaan.

Selain memiliki bentuk fizikal yang lebih besar berbanding pelajar lain, ada lagi yang menarik pada Ghana.

Semasa di tingkatan tiga, bulu kaki beliau dipercayai menyamai bulu kaki ayah Ranjit Singh, rakan sekelas kami yang mengilai John Travolta.

Ghana akan menempeleng budak yang tidak semena-mena ‘naik syeikh’ itu sehingga beliau sedar. Setelah sedar, kami akan bergilir-gilir melutu kepalanya sebagai amaran dan juga sebagai peringatan bahawa ‘naik syeikh’ tak tentu pasal bukanlah sesuatu yang mengerunkan kami.

Bakar - kawan baik Ghana - tentu akan bertindak berlebihan dek kerana yakin akan pertahanan yang akan ditawarkan oleh Ghana sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Kelibat brader yang bernafas seperti kerbau mengamuk dan mahu menyembelih budak Bangladesh kerana dituduh mencetak rompak kemeja T kumpulannya itu mengingatkan kami kepada kebodohan berzaman yang pernah kami lalui.

Alangkah baik sekiranya Gajah ada disitu sewaktu lelaki terbabit meronta-ronta mahu memukul orang.

Sewaktu asyik bergasak, kami masih dalam belasan tahun dan setelah itu kami pun meninggalkan perbuatan jahiliah berkenaan dengan seribu penyelasan.

Malu apabila bercerita akan hal tersebut. Tidak pernah lagi kami masuk ke dalam gelap yang sedemikian rupa sesudah itu.

Lelaki tersebut mengikut apa yang kami lihat mungkin berusia sekitar 45 atau 55 tahun. Beliau sudah terlalu tua untuk menyelesaikan masalah dengan penumbuk. Memakai baju ketat dengan lengan berketak tidak membolehkan kita memegang undang-undang dalam tangan sendiri.

Seperti yang selalu kami katakan, jika terlalu asyik memakan steroid dan mengikat tanjak terlalu kuat di kepala, banyak kebodohan boleh berlaku. Darah tidak berjalan lancar. Maka ia menghalang kamu daripada berfikiran waras.

Menggilai kegemilangan empayar Melayu suatu masa dulu pula adalah punca kedua. Tidak habis-habis dengan cerita kehebatan Hang Tuah sedang awak sendiri tidak melakukan apa-apa untuk mengembalikan kegemilangan itu selain berbangga dan berkokok.

Syarikat Nike dan Adidas rugi berbilion ringgit setiap tahun akibat cetak rompak. Ada kamu nampak mereka mengupah samseng pergi melanggar pasar-pasar malam yang menjual barangan mereka?

Kamu rugi berapa juta sehingga sanggup berkelakuan seburuk itu? Memukul orang sewenang-wenangnya hanya kerana kamu ramai.

Sepatutnya, dengan keyakinan atas kebenaran yang berpihak kepada kamu, laporkanlah kepada pihak berkuasa. Tahulah mereka menguruskannya.

Atau jika kamu tidak yakin dengan undang-undang, berlawanlah dengan cara yang lebih adil. Jangan pukul curi. Lawan satu sama satu, baru jantan. Bukannya datang satu lori untuk membantai budak yang berseorangan itu.

Kemudian kamu mengaku mewakili orang Islam. Habis jahanam nama Islam.

Malulah sedikit. Kita ini orang yang mengaku beriman. Bertindaklah mengikut landasan yang benar. Awak bukan budak-budak. Esok lusa dah nak meninggal.

Doa kuat hadapi dugaan

Bergasak bergocoh - tambahan pula pada bulan yang mulia ini - bukan perbuatan orang yang mengaku bertuhan. Kami cadangkan supaya brader tersebut banyakkan beristighfar dan juga rajinkan berselawat.

Ia adalah amalan yang sejuta kali lebih baik daripada ke sana ke mari dengan mendepang dada sambil mengaku sebagai pejuang bangsa dan agama.

Hari ini jika kebetulan lalu di Maran, kami akan singgah di Masjid Paya Bungor. Cikgu Ghani rajin berjemaah di situ. Tidak ada lain yang kami lakukan selain memberikan kunjungan hormat kepada guru kami.

Beliau masih mengenali sebilangan besar daripada kami. Wong pula sekarang mengendalikan kedai menjual kereta terpakai yang mempunyai beberapa cawangan di sana sini.

Beliau mengambil beberapa rakan sekolah kami sebagai jurujual syarikatnya. Kali terakhir kami ke kedai beliau, kami dapati Woon Chee Meng dan Azmi Yaakob ada di situ membantu menguruskan kedainya.

Phua - anak Cina yang handsome dan paling swag yang pernah kami kenali itu - pula berhijrah ke Australia.

Apabila difikir, cara Phua dan Acit berjalan ada sedikit persamaan. Kedua-keduanya berjalan dengan gelek yang mengasyikan. Ghana telah lebih 15 tahun meninggal dunia.

Kelmarin Norbi memberitahu kami yang Bakar baru saja mendapat tahu beliau diserang kanser paru-paru tahap tiga. Tentunya ada kesedihan disitu.

Kami mendoakan agar Bakar diberi kesihatan dan semoga beliau kuat menghadapi ujian.

Toh sekarang ini mengusahakan kedai muzik Yamaha. Ada juga sesekali kami mengajak beliau lepak minum kopi. Faris katanya sudah menjadi anggota tentera dan langsung sudah lupa akan kami semua.

Menurut Roslin - spy kerajaan yang pernah bertugas di Korea Utara - Faris hanya mengenali beliau dan apabila disebuat nama-nama rakan yang lain beliau seolah-olah tidak mengenalinya.

Mungkin itu adalah akibat daripada latihan komando yang beliau terima.

Roslin yang memiliki pistol itu berazam untuk menembak Siew Onn Lam jika mereka bertemu. Dendam bertumbuk pada zaman sekolah masih terpahat disanubari beliau.

Siew adalah satu-satunya rakan sekolah yang kami tahu pasti kekal menjadi samseng. Beliau telah beberapa kali dibuang daerah dan hari ini kami tidak lagi mendengar berita mengenai beliau.


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.