Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Sastera, sasterawan dan pendidikan

Gemulah Arena Wati dalam Sandera pernah berpesan pada kita semua;

“Tiap bahasa dari bangsa yang beradab, ada kiasnya. Ada misalnya, ada bayangannya.”

Jika ditanyakan kepada saya, siapakah sasterawan? Pantas saya akan menjawab, sasterawan ialah seorang pelakar keabadian. Seorang sasterawan akan kekal megah mengangkat sauh budaya di tengah geloranya samudera, dan akan tekal menjunjung khazanah bangsa di tengah reruntuhan kota.

Sasterawan yang juga seorang penulis, seperti kata T Alias Taib, “di matanya duka berdesir, di jiwanya luka mengalir.” Kata-katanya ialah puing-puing kejujuran yang jatuh berderai setelah digunturkan kebenaran.

Sasterawan adalah secocok seperti yang pernah diungkapkan Baha Zain;

“dengan bunga kata, pantun, peribahasa dan teka-teki,

Teradun halus kasih sayang, ilmu, maruah, dan selebihnya peribadi.”

Sastera secara alamiahnya sangat dekat di hati saya. Saya bukan seorang sasterawan, tetapi saya membesar dengan longgok karya sasterawan-sasterawan. Mereka menyemai pemikiran dan arus fikir, dan mereka jugalah yang menumbuhkan segugus nurani dan setangkal peribadi.

Tanpa sasterawan, tanpa penulis, negara ini tandus dan mati. Tak guna kita bicara soal bangunan setinggi langit, tetapi nama seperti Usman Awang, Keris Mas, Arenawati, Kemala, Baha Zain hanya tinggal sejarah, sosok seorang Shahnon, seorang Zurinah, seorang Muhammad Hj Salleh, seorang Anwar Ridhwan, seorang A Samad Said, dan seorang Siti Zainun hanya mural tidak bernama.

Sastera Melayu akan semakin dilupakan sekiranya tiada langkah bijak memperkenal sastera secara lebih serius kepada rakyat Malaysia oleh pihak kerajaan, terutamanya melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jika tidak berikan perhatian serius, tidak mustahil suatu hari nanti sastera Melayu akan lenyap ditelan zaman. Makanya perhatian yang patut diberikan bukan hanya kepada inti kandungan sastera semata-mata, tetapi juga kepada para sasterawan yang merupakan ikon-ikon dan benteng perjuangan sastera itu sendiri.

Sebagai satu kemestian, saya akan pastikan bahawa nama para sasterawan beserta cuplikan kata-kata, ungkapan-ungkapan mahupun sajak-sajak mereka akan menjadi seri dan sendi di dalam ucapan-ucapan penggulungan menteri pendidikan di dalam tempoh 20 bulan. Biarlah handsard parlimen menjadi saksi. Malah di kala tidak menyandang jawatan, dan Ketika berdiri di barisan pembangkang sekalipun, untaian kata-kata para sasterawan negara akan sentiasa menjadi struktur penyeri wajib dalam ucapan-ucapan penggulungan saya.

Saya yakin, tertegaknya peradaban dan ketamadunan sesuatu bangsa adalah dengan berdiri teguhnya elemen Bahasa, sastera dan kemanusiaan bangsa tersebut. Tiada erti pembangunan material, mahupun binaan menancap buana dan mencakar langit lazuardi jika identiti kebangsaannya nihil, kesusasteraannya berlohong dan bahasanya terpinggir. Besar harapan saya cplikan kata beserta nama para sasterawan yang mengungkapkannya tidak lekang berkumandang di dalam perbahasan dewan rakyat dan dewan negara.

Sasterawan di zaman PH

Melihat kepada perkara ini, Kementerian Pendidikan di zaman Pakatan Harapan telah mengambil pelbagai Langkah pro aktif. Antaranya ialah mengembalikan semula peranan pro-aktif DBP di dalam menyemarakkan sastera Melayu kepada masyarakat. Antara peranan lain juga ialah menggabungkan aliran sastera serta sains di peringkat sekolah menengah demi menghasilkan lepasan sekolah yang tidak terjurus kepada satu aliran semata-mata, tetapi sebagai rakyat yang mempunyai sudut pandang yang mencapah hasil gabungan aliran sains dan sastera.

Sasterawan di sekolah-sekolah

Ketika saya menziarahi salah sebuah SJKT di selatan tanah air, saya ternampakkan banyak gambar mural tokoh tokoh yang tidak saya kenali di dinding-dinding sekolah. Terdapat beberapa buah SJKT yang saya lawati juga terdapat gambar-gambar tersebut. Saya sempat bertanyakan kepada guru besar, siapakah mereka. Saya diberitahu bahawa mereka adalah tokoh-tokoh Bahasa Tamil dan juga sasterawan dari India di mana sajak-sajak dan lagu-lagu mereka dihafal dan dipelajari oleh para pelajar SJKT.

Hal yang seumpamanya juga apabila saya ke SJKC. Wajah-wajah tokoh bahasa, tokoh Pendidikan dan sasterawan asing dan bukan tempatan terpapar di dinding-dinding sekolah. Tertera di sesetengah sudut pula ungkapan-ungkapan dan sajak-sajak dalam aksara Mandarin hasil nukilan tokoh-tokoh tersebut.

Hal ini membuatkan saya tertanya-tanya, di manakah wajah-wajah para sasterawan kebangsaan? Apakah sajak-sajak mereka juga turut dihafal dan dipaparkan di dinding-dinding sekolah? Apakah karya-karya mereka juga turut dikaji wajib dalam silibus bahasa Melayu? Apakah ungkapan-unkapan dan metafora-metafora mereka menjadi penyeri penulisan dan ucapan-ucapan rasmi negara?

Hasilnya, di dalam tahun 2019, saya telah keluarkan arahan sebanyak tiga kali di dalam mesyuarat pascakabinet KPM dan juga mesyuarat peringkat bahagian dengan pihak DBP dan bahagian sekolah harian (BPSH) agar setiap sekolah mempunyai sudut sasterawan negara, sajak-sajak mereka dipelajari dan dihafal seawal darjah satu sehingga ke tingkatan lima di dalam silibus Bahasa Melayu, dan gambar-gambar mereka menghiasi dinding-dinding sekolah dan papan-papan maklumat. Saya tidak pasti apakah arahan tersebut telah dijalankan, atau masih dijalankan? Ataupun ianya telah dilenyapkan seperti banyak polisi-polisi lain…

Sasterawan di universiti

Begitu juga berinspirasikan semangat yang sama, sasterawan negara ditempatkan di universiti awam di seluruh negara, ataupun yang lebih dikenali sebagai sebagai ‘sasterawan di fakulti’. Melalui program ini, universiti awam akan 'menempatkan' sasterawan negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan ini kepada negara. Setiap sasterawan dicadangkan menyumbang kira-kira 10 hingga 30 jam setahun bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang mendekatkan warga kampus dengan Sasterawan Negara seperti Bedah Buku dan Wacana Ilmiah. Program ini disokong penuh oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana ia dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengukuhkan Dasar Sastera Kebangsaan agar sastera tidak dipandang sesi dan dipinggirkan masyarakat.

Tidak sampai sebulan pelancaran usaha ini, hampir kesemua 20 buah universiti telah merealisasikannya dengan pendekatan masing-masong yang unik, seperti melantik mereka sebagai profesor adjung dan karyawan tamu selain dijemput dalam program penghayatan sastera. Program yang menyantuni sasterawan negara ini diisi dengan pengisian wacana sastera dan budaya, deklamasi puisi dan persembahan seni. Keberadaan sasterawan negara di universiti sekali gus menjadikan kecintaan pada sastera Melayu akan terus dipupuk di alam universiti pula. Karya-karya agung mereka selama ini yang mungkin diam dan tersembunyi di dalam perpustakaan dan rak buku akan kembali digeledah untuk diwacanakan kandungannya secara terbuka dan ilmiah.

Sasarannya walaupun para pelajar sudah tamat pengajian di peringkat menengah sekalipun, apabila sasterawan negara ditempat di universiti-universiti awam, maka karya kesusasteraan Melayu tidak akan putus. Realiti sebelum ini, sastera Melayu hanya diminati samada oleh para siswa lepasan jabatan sastera sahaja, ataupun ahli kelab debat atau kelab kesusasteraan yang mana mahasiswa yang berminat, boleh menyertai kelab tersebut sebagai salah satu silibus kokurikulum mereka.

Rasionalnya, jika sasterawan negara ditempatkan di setiap kampus, ia akan membuka horizon para siswa untuk menghargai khazanah negara yang mereka miliki. Langkah itu juga bertujuan untuk memantapkan lagi transformasi kesusasteraan negara ke tahap yang lebih tinggi setanding dengan negara Barat. Sasarannya juga ialah untuk membela nasib semua Sasterawan Negara yang terpinggir dan tidak dibela oleh kerajaan terdahulu. Melalui program ini juga diharapkan agar karya-karya para Sasterawan Negara yang selama ini hanya terperuk di dalam perpustakaan mahupun di kedai-kedai buku lama juga akan disebarkan, diwacanakan, dimeriahkan bukan sahaja di sudut universiti malah kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Objektif pewujudan program sasterawan di universiti adalah untuk menyemarakkan nilai kesusasteraan setiap warga tanpa mengira latar belakang ke tahap tertinggi dengan memperkasa stream (science, technology, reading, engineering, arts and maths). Di samping itu, langkah seumpama ini juga adalah untuk mengiktiraf penglibatan sasterawan negara di peringkat kementerian sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara, di samping mewujudkan integrasi dan sinergi antara para sasterawan negara dengan ahli akademik. Program sasterawan di universiti juga bertujuan untuk mengangkat para sasterawan negara agar menjadi ikon kepada komuniti ilmuwan di universiti dengan mencurahkan ilmu, perkongsian pengalaman khidmat nasihat dan lain-lain sepanjang keberadaan mereka di universiti, dan yang paling utamanya ialah untuk mengasah bakat pelajar dalam melahirkan sasterawan muda sebagai generasi pelapis pada masa akan datang, tanpa mengira dari jurusan apa pun mereka.

Semenjak program ini dilancarkan, universiti awam telah melakukan pelbagai inisiatif berbeza dalam menjayakan program ini demi mencapai objektifnya. Ada yang melantik sasterawan negara dan para karyawan sebagai profesor adjung, sasterawan tamu, karyawan tamu, pensyarah jemputan dan jawatan-jawatan lain yang bersesuaian di universiti. Begitu juga halnya, pelbagai aktiviti yang melibatkan sasterawan negara dan para karyawan telah dilaksanakan, seperti pewujudkan sudut sasterawan negara, sesi wacana ilmu, pameran karya-karya sasterawan, sesi bual bicara dan lain-lain lagi. Hari ini, jika kita melawat beberapa Ipta , kita akan berpeluang melihat sudut sasterawan tamu mereka. Saya berharap ia akan terus berdiri sehingga ke akhir masa.

Penutup

Baru-baru ini saya diberitahu bahawa program sasterawan di universiti ada yang masih lagi diteruskan di beberapa Ipta, dan ada juga yang tiada perkhabaran berita. Apa yang pasti di kala wabak melanda, dan di kala ketidaktentuan hala tuju pendidikan negara pascapandemik, nama para sasterawan dan ceritera mereka bagaikan terus suram, kelam dan ghuyub berlalu bersama kegilaan wabak yang yang melanda.

Apakah masih ada talian hayat buat sastera dan sasterawan di dalam dunia pendidikan bumi Malaysia ini, di waktu ini dan di masa hadapan?

Persoalan lagi, apakah kesinambungan dan juga penambahbaikan terhadap apa yang telah dimulakan dalam tempoh 20 bulan dahulu demi menjulang kembali sastera dan para sasterawan negara?

Kita tidak mahu, sastera menjadi seumpama ungkapan Dr Faisal Tehrani dari UKM, sebagai, ‘makanan anjing’….


MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.