Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Buat projek di Pulau Tuba

Menurut cerita yang tidak dapat disahkan, Pulau Tuba adalah Pulau Langkawi sebenar. Namun kerana ianya hanyalah sebuah pulau yang kecil, pulau yang hari ini dikenali sebagai Pulau Langkawi dipilih untuk dimajukan.

Dengan kapasiti penduduk seramai lebih kurang 5,000 orang yang rata-rata adalah warga emas, Pulau Tuba berhak untuk berasa cemburu kepada jirannya, Pulau Langkawi, yang jauh lebih maju.

Perjalanan dengan bot dari pekan Kuah di Pulau Langkawi ke Pulau Tuba hanya mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit dengan tambang sekitar RM2 hingga RM3 setiap orang.

Gambaran bercuti di sebuah pulau sambil menikmati pantai yang indah tidak dimiliki Pulau Tuba. Hampir seluruh pantai di sekeliling pulau itu ditutup dengan lumpur dan batu-batu.

Ia justeru menghalang sebarang aktiviti berenang diadakan. Lautnya pula langsung tidak terdapat sebarang karang yang cantik.

Pulau Tuba menawarkan suatu pengalaman yang mengasyikkan jika kita memilih untuk datang bersantai bersama penduduk tempatan. Atau seperti kata seorang teman, ianya amat sesuai untuk dijadikan tempat persembunyian watak-watak yang shady dek terpencil dan ketersendirianya.

Jika kita gemar kepada aktiviti riadah yang ringan, memandu motosikal berkeliling pulau itu adalah digalakan, dan menelusuri jalan di sekitar Teluk Peluru adalah dicadangkan.

Tinggal dengan keluarga angkat

Di kawasan Teluk Peluru kita dapat bertemu dengan pantai yang dihiasi batu-batu yang unik. Sesetengahnya leper serta berkeping-keping manakala di tempat lain pula batu-batannya berwarna-warni.

Terdapat juga sebuah gua kecil yang digelar sebagai Gua Kecil yang tidak kurang menariknya. Dan makanan laut di pulau itu datang dalam keadaan yang amat segar.

Terdapat beberapa gerai menjual mi udang - hidangan yang popular di Pulau Tuba.

Bagi menarik pelancong, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) memulakan satu mencantikkan sejumlah rumah di kawasan Kampung Berembam dengan hiasan pelbagai warna.

Rumah-rumah itu kemudia dimasukkan ke program inap desa. Apabila ada pelancong datang ke Pulau Tuba, mereka boleh tinggal bersama penduduk setempat sebagai keluarga angkat.

Rata-rata pemilik rumah inap desa itu terdiri padadari ibu tunggal yang agak berusia. Dengan kadar sewa antara RM60 hingga RM70 untuk satu malam, pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman bagaimana penduduk tempatan menjalani kehidupan seharian.

Bayaran yang dikenakan itu termasuk untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

"Cucoq kami tak kigha," kata Charlie si lelaki yang ditugaskan untuk mengurus program inap desa tersebut.

Untuk menjadikan Pulau Tuba sebagai destinasi tarikan pelancong, Balai Seni Negara dengan kerjasama Pertubuhan Sahabat Geopark Langkawi (Flag) mengusahakan Projek Seni Tuba 2021 baru-baru ini.

Dari kaca mata orang luar 

Program itu asalnya dirancang untuk diadakan pada 2020 namun terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat penangan Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang.

Namun begitu dengan sedikit kelonggaran yang diberikan kerajaan, pada 3 April lalu sekumpulan pelukis bergerak ke pulau berkenaan bagi melaksanakan program tersebut.

Selama lima hari para seniman terbabit berkampung di Pulau Tuba.

Prof Madya Jalaini Abu Hassan dan Rafiee Ghani - dua tokoh seni catan tanah air - dilantik sebagai pengendali program mengumpul data visual mengenai Pulau Tuba.

Tajali Abdullah serta Subari Ismail pula bertindak sebagai penyelaras projek.

Projek Seni Tuba 2021 turut disertai para seniman yang sedang membina nama seperti Fauzin Mustafa, Marisa Ng, Che’ Ahmad Azhar, Badruddin Syah Abdul Wahab, Rozlina Khairi, Jendral (B) Shafee ‘The Chief’ Ramli, Hannah Nazamil dan juga Marini Taksu Bantaiyan serta panampilan istimewa oleh pelukis dan juga penulis penuh sensasi, Abdullahjones.

Peserta projek diamanahkan untuk merakam kehidupan seluruh Pulau Tuba mengikut kepakaran masing-masing. Selain penglibatan alam, penduduk tempatan juga mengambil bahagian secara aktif dalam program berkenaan.

Para pengumpul maklumat itu duduk bersama penduduk tempatan dan bekerjasama menjayakan acara-acara yang diadakan.

Setelah selesai mengumpul maklumat, peserta kemudian mempamerkan hasil dapatan masing-masing.

Penduduk tempatan pula begitu teruja apabila melihat hasil ‘karya-karya’ kajian tempat mereka dari kaca mata orang luar. Mereka juga menyambut baik usaha yang dilakukan Projek Seni Tuba 2021 dan berharap ia boleh diadakan setiap tahun.

Sebuah pameran besar-besaran hasil karya seniman yang terlibat dalam acara itu akan diadakan di Balai Seni Negara cawangan Langkawi setelah semua peserta acara menyiapkan tugasan mereka.

Setelah itu terdapat juga cadangan agar pameran tersebut dibawa ke Balai Seni Negara di Kuala Lumpur dan seterusnya ke beberapa galeri persendirian yang menyatakan minat untuk turut serta dalam projek berkenaan.

Pulau Tuba amat berpotensi untuk dimajukan sebagai sebuah pulau yang menumpukan kepada acara-acara seni catan. 

Walaupun rumah-rumah yang diwarnakan dengan meriah itu agak menganggu, kami percaya - dengan nasihat yang betul - pulau yang dihiasi sawah padi yang tidak lagi diusahakan serta kawanan kerbau menganggur yang banyak berkeliaran itu mampu menarik seniman dari seluruh dunia datang bagi menjadikannya tempat menghasilkan karya-karya agung mereka.

Dengan udara yang masih segar serta hampir tidak ada pencemaran bunyi ianya juga destinasi yang amat sesuai untuk para penulis duduk bersunyi-sunyi bagi menghasil novel misalnya.

Dan siapa tahu suatu hari nanti seniman dalam semua displin dari mana saja tidak akan berasa lengkap selagi mereka tidak menghasilkan karya di Pulau Tuba.

Syarikat-syarikat telekomunikasi juga seharusnya memberi perhatian kepada pulau itu kerana setakat hari ini hanya Celcom yang menyediakan capaian internet yang cekap di Pulau Tuba.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang turut berada di Pulau Tuba baru-baru ini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.