KOLUM | Kisah hidup tanpa motif
KOLUM | “Dia dua sudah pencen. Anak ada tiga, dua sudah kawin. Semua tadak kerja,” kata Rafiq semasa dia mengajak kami bergosip.
Rafiq ialah lelaki Bangladesh paling murung yang pernah kami temui. Dengan muka yang mendung dan rambut yang kusut masai serta pakaian sangat lusuh dia akan berkeliling kawasan perumahan kami untuk mencari kerja.
Yang ingin diceritakan oleh Rafiq adalah mengenai tetangga kami yang mengambil beliau bekerja membantu itu dan ini. Kami hanya mendengar sambil-sambil mengandaikan apa pula cerita disampaikan beliau kepada jiran kami mengenai kami.
Rafiq menerima apa saja kerja yang ditawarkan. Daripada memotong atau kamu mahu pinggan mangkuk dicuci. Mahu mencuci tandas juga boleh, malah beliau juga sedia untuk mencuci pakaian jika kamu mahu.
Bayaran - tergantung kepada budi baik kamu. Rafiq tidak merungut jika dibayar sedikit kecuali merayu sekali untuk dibayar lebih. Jika kamu berkeras, beliau akan senyum dan berlalu pergi.
Rafiq juga mungkin merupakan satu-satunya lelaki Bangladesh yang merokok. Ini adalah sesuatu yang di luar daripada kebiasaan bagi warga Banglasdesh. Kami tahu kerana kami telah beberapa kali ke sana.
Jika melihat kereta Kancil turbo kami, dari jauh lagi Rafiq akan melambai dan biasanya kami akan berhenti untuk menghabiskan satu atau dua batang rokok bersama beliau.
Di Bangladesh, merokok masih dipandang sebagai perbuatan si lemah. Biasanya rokok dijual sebatang-sebatang. Mereka yang menghisapnya pula melakukan kegiatan itu sembunyi-sembunyi.
Sepuluh batang satu kotak
Kerana itu, jika kami di Bangladesh dan hanya kerana mahu melihat mereka terkejut dengan kegelojohan kami merokok, biasanya kami akan membeli beberapa kotak rokok sekali gus.
Tuan kedai akan bertanya berkali-kali sama ada kami benar-benar mahukan banyak rokok. Kami akan mengganguk dengan penuh keyakinan. Kami yakin beliau memandang kami sebagai seorang Islam yang sangat lemah.
Beberapa hari kemudian kami akan datang lagi dan membeli beberapa kotak rokok sekali gus lagi. Setelah beberapa hari semua bekalan rokok di kedai kecil mereka habis kami borong. Kebanyakan rokok di Bangladesh dijual 10 batang sekotak. Semuanya tidak sedap.
Ketekunan Rafiq berusaha mencari kerja, dan sekumpulan remaja yang duduk berkumpul di kedai mamak tempat kami biasa minum, mengingatkan kami kepada perjalanan ke Maghribi lama dulu.
Remaja-remaja itu duduk beramai-ramai di sebuah meja dan perbendaharan kata mereka dikuasai oleh ayat seperti "tembaklah, babi!" atau "babi, sial!" dan "tembak, siallah babi" tanpa memandang apa-apa kecuali skrin telefon masing-masing.
Mereka semuanya minum air dalam bekas plastik yang diletakkan di dalam mangkuk.
Sudah sampai ke situ rupanya peradaban kita yakni minum air di dalam mangkuk sambil saling membabi dan meyialkan rakan sendiri.
Kami terbang dari Heathrow di London ke Almeria di Sepanyol. Di Sepanyol kami menyewa kereta dengan tujuan untuk menempuh Portugal, Gibraltar dan seterusnya menaiki feri ke Maghribi.
Lebuh raya yang menghubungkan Sepanyol - Portugal hanya siap dibina pada 2010. Maka semasa kami di sana, kami melalui jalan-jalan lama yang menghubungkan kedua negara penjarah itu.
Kami melalui Granada, Cordoba, Malaga, Saville serta Huelva sebelum masuk ke Portugal dan berpusing kembali untuk ke Gibraltar.
Membeli arak dan rokok
Kami menghabiskan jalan sejaum 1,000km yang menghubungkan ketiga-tiga negara ini dalam masa beberapa hari.
Malaga adalah destinasi yang popular untuk rakyat Britain bercuti.
Dengan cuaca yang bagus serta tukaran wang yang menguntungkan, rakyat Britain menghabiskan banyak masa di Malaga, malah tidak kurang yang tinggal terus di Sepanyol selepas bersara.
Mereka datang untuk bercuti dan mabuk. Arak di Malaga jauh lebih murah jika dibandingkan dengan apa yang ada di Britain. Demikian juga harga rokok. Tembakau Golden Virginia yang biasa kami gunakan waktu itu berharga sekitar £8 hingga £9 di England manakal di Sepanyol ianya berharga sekitar £3 atau £4 saja.
Mike dan Tracy ialah dua tukang cuci yang kami kenal selalu ke Calais iaitu bandar sempadan England - Sepanyol. Mereka ke sana untuk membeli arak dan rokok serta tembakau untuk dijual di England.
Kami adalah pelanggan tetap mereka. Mike dan Tracy adalah ‘kedai Aceh’ kami semasa kami di Leicester. Selain itu kami juga boleh membeli tembakau dan rokok seludup ini di kedai-kedai ‘corner’ milik orang Gujerat.
Namun mereka terlalu berhati-hati kepada siapa yang mereka jual barang. Calais adalah bandar tempat ramainya berkumpul pendatang asing menanti peluang untuk menyusup masuk ke England bagi membina hidup baru.
Kami berhenti di pantai di Malaga untuk melihat perempuan yang tidak bercoli berjemur.
Pemandangan di sepanjang jalan pula dipenuhi dengan ladang-ladang zaitun dan ladang kapas. Kami sempat berhenti untuk melihat sendiri pohon zaitun untuk pertama kalinya.
Teknologi membantu dalam hal penuaian zaiton, maka ianya tidak memerlukan tenaga manusia yang banyak. Berlainan dengan kapas. Ladang kapas - yang luasnya beratus-ratus ekar - memerlukan manusia untuk memetik hasilnya.
Lalu kami dapati banyak bangunan kekal seperti hostel yang disediakan sebagai tempat tinggal pekerja ladang kapas.
Kelengkapan asas disediakan di semua hostel terbabit. Biasanya pekerja itu datang negara-negara berdekatan. Seperti di tempat kita, rakyat tempatan tidak lagi berminat untuk melakukan kerja-kerja manual yang berat. Justeru ia diisi oleh mereka yang datang dari negera-negara Eropah dan Afrika.
Air keluar tak berhenti-henti
Tidak ada bezanya memetik kapas di Sepanyol dengan memetik strawberi di England. Kedua-duanya memerlukan kamu membongkok dalam masa yang lama. Kecuali di England kamu tinggal di dalam kontena atau khemah selama mana kamu berkerja.
Menurut cerita yang entah betul entah tidak, setiap kali masuk waktu solat, patung singa yang terdapat di Dewan Singa di Alhambra akan mengeluar air dari mulutnya. Ia digunakan untuk mengambil air sembahyang.
Kami berhenti untuk melihat peninggalan kerajaan Islam yang memerintah lebih 700 tahun di bumi Eropah itu.
Semasa kami di sana, air pada mulut patung singa itu keluar tanpa henti. Menurut cerita hal itu terjadi kerana suatu ketika ada pihak yang mahu mengkaji teknologi bagaimana sistem air ini berfungsi.
Setelah membuka dan memasangnya kembali, keajiban teknologi masa lalu itu tidak dapat dikembalikan.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Dewan Singa itu asalnya milik sebuah keluarga Yahudi namun tidak diketahui sama ada ianya datang dahulu atau kemudian daripada kerajaan Islam Andalus.
Mungkin ada kebenaran dakwaan itu kerana patung haiwan bukanlah salah satu ciri seni bina Islam dan 12 patung singa itu mungkin mewakili 12 pecahan bangsa Yahudi.
Kota Alhambra dibina sebegitu rupa sehingga ianya adalah seperti gambaran sebuah sorga. Di dalamnya terdapat semua pohon yang diceritakan di dalam al-Quran. Justeru sudah tentu ada air yang mengalir "di bawah kaki-kaki mereka".
Ada sedikit rasa bangga pada kami apabila melihat kecantikan kota itu, dan sedikit kesedihan apabila kami pergi pula melihat bekas masjid Cordoba. Jarang masjid dijadikan gereja.
Bak sepatah kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz: "Ore isle ni biar dia papa sekali pun dia tak akan menjual masjidnya." Di England, sebaliknya banyak gereja yang dibeli oleh umat Islam untuk dijadikan masjid.
Setelah kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol, gereja yang dibeli, dibaiki dan dicantikkan untuk ditukar menjadi masjid kemudian dirampas kembali lalu dijadikan gereja semula.
Apa yang sedikit menyenangkan ialah apabila pihak gereja masih mengekalnya mimbar masjid lama itu, namun ianya diletak dalam satu kawasan yang dipagar.
Gereja dari bekas masjid itu adalah sebuah gereja yang masih berfungsi sehingga hari ini. Untuk masuk ke situ kamu harus mentaati segala penghormatan yang seharusnya kamu berikan kepada sebuah rumah ibadat.
Portugal pula merupakan negara yang santai dengan penduduk yang agak renek. Bukan semua mereka adalah sekacak Ronaldo. Kami juga sedikit hairan bagaimana negara yang sekecil itu berupaya menakluk sebuah empayar besar di Nusantara.
Mungkin mereka mendapat dukungan baik daripada raja dan gereja pada waktu itu lalu mereka bersungguh-sungguh berkerjasama demi untuk kemajuan negara.
Melihat bot-bot nelayan di tepi pantai di Gibraltar sambil beberapa lelaki membaiki jaring mengingatkan kami kepada Tanjung Api.
Bimbang artikel ini akan dipotong kerana terlalu panjang, kami terpaksa menyambung kisah perjalanan ini ke artikel berikutnya. Kami akan cuba menulis mengenai beberapa pengalaman semasa kami rajin ke sana ke mari.
Ketahuilah bahawa ianya hanya cerita mengenai hidup tanpa ada motif mahu mempolitikan apa-apa. Politik telah lama membebankan kita. Keluar, dan jadilah manusia.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pelancong yang berasakan dirinya pengembara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai