Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Andai Maszlee ‘perform’ macam Radzi

Bayangkan, seandainya Dzulkefly Ahmad selaku menteri kesihatan menangani wabak Covid-19 sebagaimana Adham Baba, apakah yang akan terjadi terhadap beliau?

Atau, Wan Azizah selaku menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat melaram dengan baju kurungnya di pejabat sebagaimana Rina Harun, apakah pula yang akan diperkatakan?

Atau, Mujahid Yusof Rawa selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencedok sikap dan pendirian Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika berdepan dengan pertikaian seperti pemandu mabuk, LGBT, kasino dan SOP solat di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagaimana pula reaksi masyarakat?

Itu pun belum Maszlee Malik, jikalau prestasinya sekadar tahap Radzi Jidin, yang kelihatan berserabut ketika membuat keputusan untuk persekolahan sepanjang musim penularan Covid-19 – barangkali sudah lumat digiling media. Malah, andainya Maszlee Malik mengajak siswa-siswi untuk menyertai pertandingan Tik Tok sebagaimana Noraini Ahmad, wartawan hampir pasti akan berada di situ untuk menjerat dengan soalan susulan “Adakah KPM akan mengadakan bengkel Tik Tok di universiti?”, supaya apa pun jawapan menteri – “Ya”, “Tidak”, “Akan dikaji kemudian” – dijadikan bahan ketawa orang ramai.

Setahun PN memerintah

Hampir setahun kabinet Muhyiddin Yassin ditubuhkan. Berbanding penilaian prestasi kabinet Pakatan Harapan sempena ulang tahun pertama, apakah prestasi kabinet Perikatan Nasional lebih terserlah? Jikalau Teresa Kok dipersendakan lantaran saranan “sehari sesudu minyak sawit” selepas setahun mengetuai Kementerian Industri Utama, apakah pula yang terlintas dalam otak kita ketika menyebut nama penggantinya, Khairuddin Aman Razali?

Jikalau kita tidak berpuas hati dengan prestasi Anthony Loke selaku menteri pengangkutan, apakah pula prestasi Wee Ka Siong yang memahat dalam ingatan kita, setelah hampir setahun beliau mengambil alih portfolio ini? Jikalau Syed Saddiq terlalu mentah untuk mengetuai sesebuah kementerian, bagaimana pula isu belia dan sukan ditangani oleh Reezal Merican, yang jauh lebih berusia dan berpengalaman berbanding “budak hingusan” itu?

Kabinet Muhyiddin ketika mesyuarat atas talian

Cuba pejam mata, dan tampilkan menteri-menteri PN yang kita ingat sepanjang tempoh setahun ini, bersama kejadian yang menggilap nama mereka dalam ingatan kita. Hishamuddin Hussein, hisap vape dalam sidang Dewan Rakyat? Ismail Sabri, SOP yang semua orang pening? Zuraida Kamaruddin, memakai PPE ketika menyembur cecair nyah kuman atas jalan raya? Annuar Musa, bertiga ketika bersenam sedangkan SOP menetapkan dua sahaja? Tuan Ibrahim, seruan agar penduduk Kelantan manfaatkan air hujan?

Untuk berlaku adil, mungkin terdapat seorang dua menteri PN yang dilihat melakukan kerja dengan sebaik mungkin, misalnya Khairy Jamaluddin, yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Tidak dinafikan juga adanya menteri PH yang hanya boleh kita menggelengkan kepala.

Namun, tepuk dada tanya selera, benarkah kabinet PN, dengan 32 orang menteri, ditambah dengan tiga orang duta khas bertaraf menteri, dan 38 orang timbalan menteri, berfungsi dengan jauh lebih berkesan, berbanding kerajaan Pakatan Harapan?

Masalah kekal bawah PN

Tanpa kayu ukur yang objektif, penilaian prestasi kabinet mungkin dianggap subjektif, bergantung kepada pendirian politik masing-masing. Misalnya, penyokong PH mungkin tidak berpuas hati dengan pendekatan Tengku Zafrul Aziz mengendalikan isu moratorium, sementara penentang PH akan menyindir betapa “kedekutnya”Lim Guan Eng ketika menyandang jawatan menteri kewangan, sehingga PH dilabel sebagai “kerajaan e-wallet RM30”.

Saya tidak berniat untuk menilai prestasi PN bertitik tolak dari pendirian politik. Cuma, ingin saya ketengahkan pandangan bahawa apa pun gandingan parti politik yang memerintah, tetap akan ada masalah yang timbul, dan mengambil masa untuk diselesaikan. Isunya sentiasa lebih rumit daripada apa yang terbayang, mengambil kira latar belakang masyarakat yang berbilang, dan kumpulan berkepentingan yang pelbagai. Contohnya, isu judi, arak, hudud, sekolah pelbagai aliran dan sebagainya – mustahil diselesaikan dengan retorik yang berapi-api.

Malah, ada kalanya, untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan semata-mata pun bukan tugas yang mudah. Ambil contoh kes kematian anggota bomba arwah Muhammad Adib, yang dikerah sepenuhnya oleh pemimpin PAS dan Umno ketika PH memerintah – kekal tidak selesai setelah PH tumbang, dan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas digantikan seorang Melayu-Muslim.

Namun, perasankah kita, bahawa kehangatan dan keterdesakan isu-isu yang tersenarai tadi, semakin meluntur ketika pemerintahan PN? Dari mufti, ustaz, KOL (pemimpin pendapat), ahli akademik, hinggalah saudara-mara yang berkongsi mesej berhubung kelemahan PH dalam menangani masalah-masalah tersebut dalam kumpulan WhatsApp, apakah mereka masih aktif? Adakah mereka masih terhanyut-hanyut dalam ilham tidak bertebing untuk berpuisi menjelang pagi Jumaat? Adakah mereka masih gusar kerana Islam terancam apabila berlakunya kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk? Adakah mereka masih menjuarai kempen BMF (Buy Muslim First)? Atau mereka sudah bertaubat, tidak mahu berpolitiking dan nak move on?

Jikalau mereka neutral, dan tidak menyebelahi mana-mana gandingan parti politik, maka kita ingin tahu, apakah pendirian dan penilaian mereka, ketika berdepan dengan masalah yang kononnya gagal diselesaikan PH, tetapi juga gagal diselesaikan PN setelah hampir setahun? Juga, adakah mereka lebih selesa dengan sebuah kerajaan yang gagal memberi kata dua dalam isu “imbas atau tidak MySejahtera di stesen minyak”? Atau, adakah mereka lebih berpuas hati dengan seorang menteri yang “buat dulu, fikir kemudian”, mengumumkan sekolah dibuka semula sebaik ibu bapa memerah segala-gala yang ada untuk membeli peralatan seperti komputer riba atau tablet bagi anak-anak mereka?

Rakyat dihasut pada zaman PH

Nampak? Sememangnya saya tidak bersetuju untuk menyerang mana-mana kerajaan dengan isu perkauman dan agama. Saya menolak andainya PH cuba merampas semula kuasa dengan meludah balik air liur daripada pemimpin Umno-PAS kepada pemimpin Umno-PAS.

Jikalau kita merenung sedalam-dalamnya, isu BMF adalah isu ekonomi yang menuntut penyelesaian tuntas, mempertingkat daya saing perusahaan kecil dan sederhana tempatan tanpa perlu mencungkil sentimen perkauman. Begitu juga isu pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), Sekolah Menengah Persendirian Cina, Dong Jiao Zong dan sebagainya, ia harus kembali kepada soal pendidikan – diukur dari segi kualiti, kelayakan, hak kaum minoriti dan sebagainya. Isu ini muncul lebih awal sebelum tertubuhnya PH, dan sudah tentu masyarakat Malaysia memerlukan lebih dialog untuk mencari muafakat sebelum ditemukan jalan keluarnya.

Justeru itu, tibanya masa kita menilai semula, apakah keresahan dan kegusaran yang ditimbulkan sepanjang tempoh 22 bulan PH berkuasa itu, adalah sesuatu yang sahih dan benar? Atau ia semata-mata diada-adakan untuk menghasut emosi kita, agar kemarahan dan kebencian yang tercetus, membuatkan kita hilang kesabaran dan pertimbangan yang waras ketika menilai, sehingga kita sanggup memberi laluan kepada pengkhianat (mandat rakyat) untuk menawan Putrajaya melalui pintu belakang (atau tebuk atap)?

Sesungguhnya, sesebuah negara akan menjadi makmur dan sejahtera seandainya ditadbir kerajaan yang cekap dan berkesan. Namun, mustahil juga sesebuah negara bertambah baik jikalau kualiti rakyatnya menjunam – kurang kesedaran, mudah terpedaya dan gagal membezakan antara yang benar dan yang batil.

Ya, sememangnya Langkah Sheraton adalah percaturan sekerat politikus oportunis yang bermuslihat. Namun, perlu diakui juga bahawa proses ini tidak akan berjalan lancar tanpa restu rakyat. Ia didasari kegusaran dan keresahan masyarakat Malaysia, yang dihasut secara terancang untuk mengatur setiap langkah ke arah itu.

Muhyiddin dalam pertemuan di Hotel Sheraton yang menjadi pemula kepada penjajaran baru politik tanah air

Rakyat perlu menjadi matang, diasah otaknya untuk berfikir secara berdikari. Hindari segala berita palsu, ucapan kebencian yang membakar emosi kita. Belajar untuk menyemak fakta – apakah sebenarnya yang berlaku, dan bukannya terikut-ikut dengan khabar angin yang belum pasti kesahihannya.

Akhir kata, kita mendapat apa yang memadai untuk diri kita. Jikalau anda menganggap prestasi Adham Baba, Rina Harun, Radzi Jidin, Wee Ka Siong jauh lebih baik berbanding Dzulkefly Ahmad, Wan Azizah, Maszlee Malik, Anthony Loke, tahniah. Tetapi jikalau anda bertanggapan sebaliknya, adakah anda pernah berkongsi berita palsu dan mesej berbaur kebencian dalam tempoh 22 bulan itu? Jika jawapannya ya, adakah anda menyesal sekarang?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.