Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Ingatkan 'demam urat', rupa-rupanya positif Covid-19

Pada pagi 25 Januari lalu, emak call saya dan bagi tahu abah sudah dua hari demam. Saya cepat-cepat ke rumah abah dan plan nak bawa ke hospital untuk swab test. Tapi bila periksa suhu abah, rupanya abah tidak demam. Cuma badan saja rasa kurang segar.

Saya bawa abah ke klinik dan ambil ubat.

Pada 27 dan 28 Jan, saya pula demam. Badan rasa sakit-sakit dan lenguh-lenguh. Tapi saya tak pergi buat swab test kerana sangkakan 'demam urat' sahaja.

Sebab kebetulan pada 27 Januari, saya berkebun tanam pokok di rumah. Saya cangkul sana sini, angkat pasu, angkat tanah dan lain-lain. Orang kata, kalau jarang-jarang buat kerja berat, boleh jadi demam urat.

Pada 29 Jan,badan saya kembali ok. Sihat semula.

Tapi pada pagi 31 Januari pula, deria rasa dan bau saya mula hilang. Saya makin sangsi. Apa sebenarnya ini? Tapi badan sudah ok. Sudah lama tidak demam lagi. Cuma macam lenguh-lenguh saja.

Saya terus buat keputusan untuk ambil swab test pada 11.30 pagi tarikh yang sama. Pada lewat petang keesokan harinya (1 Februari), saya dapat keputusan positif Covid-19.

Bila keputusan positif, saya kena kemas kini sejarah pergerakan saya melalui MySejahtera. Saya juga kena senarai dan laporkan kontak rapat saya sepanjang tempoh dua minggu ke belakang.

Antara yang paling hampir dengan saya ialah emak abah saya, keluarga kakak dan pastilah beberapa sukarelawan DUN Paloh termasuklah PA saya, Majid.

Majid boleh dikatakan sentiasa bersama saya dan paling dekat dengan saya dalam setiap gerak kerja Paloh.

Mereka semua jalani ujian swab.

Emak dan abah saya didapati positif. Selain itu, isteri saya dan dua daripada empat orang anak kami juga didapati positif (baki lagi dua anak keputusan positif). Kami memang sudah jangka, sebab kami serumah, paling rapat antara satu sama lain.

Tapi ajaibnya kuasa Tuhan, anak ketiga dan keempat keputusannya berbeza. Hasan anak yang nombor tiga negatif, Amin yang nombor empat positif. Sedangkan kedua-duanya menyusu badan emaknya. Subhanallah!

Apapun, saya syukur sangat sebab kontak rapat sukarelawan petugas Paloh yang menjalani swab test kesemuanya mendapat keputusan negatif. Termasuklah Majid.

Ada beberapa lagi petugas yang saya aturkan untuk lakukan rapid test, juga didapati negatif. Alhamdulillah.

Cuma meskipun negatif, mereka diarahkan untuk jalani kuarantin kendiri di rumah supaya benar-benar memastikan tiada penularan wabak.

Amalkan norma baru 

Bila difikirkan semula, tak pasti Covid-19 yang menyerang saya dan keluarga ini berpunca dari mana. Cuma bila berbual-bual dengan beberapa rakan, mereka kata virus Covid-19 ni sudah berada dalam komuniti kita. Hidup bersama-sama dengan kita.

Sebab itu penting untuk embrace norma baru dalam kehidupan sehari-harian kita.

Alhamdulillah, pada 9 Feb yang lalu, saya sudah selesai menyempurnakan 10 hari kuarantin di rumah. Sudah potong gelang.

Tetapi, disebabkan isteri serta dua orang anak saya yang positif telah membuat ujian swab lewat dua hari dari saya, mereka hanya telah potong gelang pada 11 Feb.

Pun begitu, doktor minta kami semua melengkapkan kuarantin kendiri di rumah dan elakkan kontak rapat dengan orang lain dahulu sehingga hari ke 14.

Dan disebabkan saya tinggal di rumah bersama isteri dan anak-anak, doktor juga minta saya bersekali menyempurnakan tempoh kuarantin dengan mereka iaitu sehingga 15 Februari.

Emak dan abah saya telah jalani kuarantin 14 hari di wad Hospital Kluang.

Syukur, hari ini 15 Feb. Lengkaplah tempoh kuarantin kami semua sekeluarga.

Saya rancang hendak ke Pejabat DUN Paloh pada 10 pagi hingga 12 tengah hari ini. Saya difahamkan ada ramai warga Paloh hendak minta tolong saya tandatangan beberapa dokumen untuk mereka.

Kita kekal jaga SOP. Jaga penjarakan sosial, sanitasi tangan kita bersih-bersih, pakai pelitup muka dan elakkan daripada bersesak-sesak.

Pada kesempatan ini, saya nak ucapkan terima kasih pada semua petugas barisan hadapan khususnya Dr Sangeetha and pasukan Covid Assessment Centre (CAC) dekat Pejabat Kesihatan Kluang.

Alhamdulillah. Asbab positif Covid-19 ini juga saya dapat jumpa Dr Shamsudin Kasmori, adik junior saya masa di SMKA Segamat dan Kisas dulu dan HO Dr Baizura, cousin saya.

Terima kasih juga para doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang lain.

Kebanyakkannya kami berhubung menerusi telefon untuk kemaskini perkembangan dari semasa ke semasa sepanjang kuarantin. Terima kasih juga atas kerja keras anda semua untuk menjaga emak dan abah saya sepanjang dirawat di wad Hospital Kluang.

Terima kasih juga Dr Nizam - Pengarah Kesihatan Kluang.

Tidak lupa seluruh ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan seperjuangan serta sahabat-sahabat baru dan lama. Bila kita ditimpa ujian sakit sebegini, baru kita perasan ramai sahabat-sahabat di luar sana yang sentiasa mendoakan kita.

Terima kasih juga seluruh keluarga besar #PalohKita yang saya amat kasihi, yang selalu mendoakan saya dalam pelbagai bahasa, bangsa, agama dan budaya.

Tuhan rahmati anda semua.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI merupakan Adun Paloh dan ketua Pemuda DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.