Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Anjing, kucing dan jiwa sakit

Setiap hari, apabila saja kami membuka pintu rumah akan ada beberapa ekor kucing sedang menanti. Disambutnya kami dengan ngiau yang bising. Namun bila kami berada saja di luar, mereka akan segera lari.

Kucing-kucing itu adalah kucing yang tidak bertuan. Kawanan kucing berkenaan datang kerana tahu kami memang menyediakan makanan untuk mereka.

Hubungan kucing-kucing itu dengan kami tidaklah mesra dan mereka tahu sekiranya masuk ke rumah, kami akan mengejar mereka sehingga salah satu kemungkinan berlaku: kucing itu terkincit atau kami yang termengah-mengah.

Bukan kami tidak suka kepada kucing malah semasa kanak-kanak kami ada seekor kucing yang kami panggil sebagai Putih. Itu nama pendek. Nama panjangnya Siti Nurputihsiah.

Putih kami pelihara sejak kecil sehingga ia meninggal dunia. Maka antara yang kami harapkan sehingga hari ini ialah untuk bersama dengan Putih di syurga nanti.

Kami tidak suka akan najis kucing - walaupun menyediakan makanan kepada mereka - kerana itu tidak ada sebarang sajian disediakan jika kami dapati mereka 'membuang' di laman rumah.

Pelbagai cara kami lakukan untuk mengelak kucing-kucing yang banyak itu membuang najis merata-rata. Air merah dalam botol kami cuba. Mulanya kami gunakan warna akrilik yang biasa kami pakai buat melukis, tapi tidak berjaya.

Kerana memikirkan mungkin pewarna makanan yang sepatutnya digunakan, kami beli pula beberapa botol sirap ros. Juga tidak berjaya.

Buang air di padang lalang

Kemudian kami beli pula serbuk penghalau kucing yang dijual di kedai Daiso. Malangnya serbuk itu tetap tidak diendahkan oleh kucing-kucing berkenaan.

Omorq Iwan mencadangkan kami meletakan lidi sate yang dipotong-potong dengan bahagian tajam dibiarkan terpacak di tanah supaya nanti apabila kucing-kucing itu membetulkan duduk untuk melepaskan hajat, bontot mereka akan dicucuk.

Mungkin pada sesetengah orang, kami sesuai untuk melakukan kezaliman sedemikian kepada kucing-kucing tersebut namun percayalah, kami termasuk dalam kumpulan manusia yang mempunyai hati perut. Lalu kami selekehkan saranan Omorq itu.

Omorq juga mungkin tidak ada pengalaman melepas hajat di dalam semak. Kami harap dia merantaulah ke India atau Bangladesh dan cuba membuang air kecil atau besar di padang lalang.

Dengan itu mudah-mudahan tahulah Omorq betapa menyseksanya saranan dia itu kepada manusia dan juga binatang.

Akhirnya kami menggunakan siraman air yang berjadual bagi menghalau kucing-kucing berkenaan. Kami menggunakan apa yang dipanggil sprinkler. Daripada pemerhatian kami kucing-kucing itu akan membuang najis setiap kali selepas kami memberi makan.

Kerana itu kami akan membuka paip siraman setiap kali mereka habis makan. Sehingga hari ini kami tidak lagi menghadapi masalah kencing berak kucing.

Kucing-kucing liar di kawasan perumahan kami datangnya dari sebuah rumah. Tuan rumah ini adalah pencinta haiwan. Namun setelah beberapa lama memelihara berpuluh-puluh ekor kucing, minatnya bertukar kepada memelihara haiwan ternakan.

Kucing-kucingnya dilepas dan dibebaskan. Hobinya kini diganti dengan memelihara ayam, itik dan angsa.

Kerana itu kejiranan kami hari ini memang bersuasanakan kampung dengan setiap pagi akan ada ayam jantan yang berkokok menyambut subuh. Pada lain masa kami boleh mendengar suara ayam betina berketuk dengan girang bila dia mengeluarkan telur.

Angsa sebenarnya baik sebagai penggera keselamatan. Mereka akan berbunyi bising apabila dihampiri oleh orang yang tidak dikenali.

Tidak sabar kami menunggu bila ayam, itik dan angsa itu ditukar dengan kambing, kerbau dan lembu. Kami menunggu hari apabila kami dapat memandu perlahan-lahan di jalanan kawasan perumahan ini sambil menguji kecekapan mengelak najis lembu dan kerbau yang bertaburan.

Kami bimbang Kancil turbo kami yang selalu berkilat itu dicemar.

Begitulah kita - walau telah maju, masih asyik dengan kenangan syahdu. Sambil melayari internet, sambil menonton Midnight Diner di Netflix, kita masih mahu dengar suara ayam atau suara kambing yang kita harap akan menjadikan kita lebih sederhana.

Apabila hari telah sedikit cerah, akan datang beberapa kawanan gagak dan sekumpulan burung gembala kerbau. Mereka akan bertenggek di pohon kemboja dan juga di pagar rumah kami.

Kumpulan burung itu apabila datang akan sangat bising. Mereka akan berebut makanan kucing sesama sendiri. Mereka berkelahi, saling mengepak dan setelah kenyang - atau setelah habis semua makanan yang disediakan - mereka terbang untuk datang kembali esok pagi.

Kami masih belum dapat mencari jalan untuk mengelak mereka daripada membuang najis di bawah pohon kemboja dan juga di sepanjang pagar.

Selain kucing, ayam, itik, angsa dan burung, di kawasan kejiranan kami juga kamu akan dapati ada beberapa kumpulan anjing liar. Mereka datang menyelongkar tong sampah bagi mencari makanan.

Khabarnya mereka adalah tinggalan dari ladang-ladang kelapa sawit dan ladang getah di sekeliling kawasan kami yang baru dibangunankan. Ada juga orang kata, kami ini jika bermisai, saling tidak tumpah macam Manny 'The Pacman' Pacquiao iaitu petinju asal Filipina yang terkenal itu.

Lalu apabila saja mahu membeli makanan untuk anjing-anjing itu kami pastikan misai kami tidak dicukur supaya kelihatan gagah dan juga ‘tidak Melayu sangat’. Segan juga kalau orang tahu kami ini Melayu tetapi membeli makanan anjing.

Melayu ini kalau dia tidak gila, dia akan membenci anjing; dan kalau dia gila, dia akan mengaku bangsanya lebih tua dari Nabi Adam dan kemudian meletakan harga sebuah gong tua pada nilai RM6 juta.

Dia ingat RM6 juta itu banyak, padahal wang sebanyak itu sebenarnya hanya untuk belanja dapur bulanan isteri politikus kesayangan mereka saja.

Tak sesuai digelar kurap

Di kejiranan kami ada tiga orang pemelihara anjing. Pertama, seorang perempuan India yang sentiasa ceria dan rajin ke gereja. Dia akan membawa anjing kecilnya berjalan setiap pagi dan petang. Kedua seorang lelaki Cina yang kami selalu lupa bertanya namanya. Dia membawa anjingnya yang sederhana besar berjalan setelah pulang dari kerja.

Pada malamnya pula, seorang pemuda yang ‘nampak macam Melayu’ akan membawa anjingnya yang agak besar bersiar-siar. Dia dan anjing itu selalu kelihatan tergesa-gesa dan selalu mahu bersembunyi.

Di Istanbul terdapat lebih kurang 100,000 anjing liar. Ada yang mengatakan haiwan itu datang dari Turkmenistan dan ada juga mendakwa ia datang bersama Sang Penakluk Sultan Mehmed II.

Anjing dan kucing liar yang terdapat di kota tempat Kemal Bey dan Fusun memadu cinta mereka itu semua kelihatan agak terjaga. Istilah anjing atau kucing kurap adalah tidak sesuai buat mereka. Semuanya bersih dan gemuk. Mungkin kerana mereka tidak dimusuhi.

Peniaga dan orang ramai sentiasa menyediakan makanan kepada anjing dan kucing berkenaan manakala pili air yang digelar sebagai ‘pili sebil’ yang diwakafkan sejak lama dulu masih berfungsi dengan baik untuk melepaskan dahaga manusia atau haiwan di kawasan tersebut.

Bukanlah anjing dan kucing tidak bertuan itu tidak membawa masalah, malah pada abad ke-19 dulu, Sultan Abdulaziz pernah memutuskan untuk menghantar puluhan ribu anjing berkenaan ke Pulau Hayirsiz.

Pada 1911 pula gabenor Istanbul juga melakukan perkara yang sama bagi mengatasi masalah dihadapi bandar raya berkenaan.

Namun keputusan gabenor tersebut ditarik balik apabila Istanbul mengalami gempa bumi tidak lama selepas keputusan mahu 'mengusir' haiwan terbabit dibuat. Hal itu - kepada mereka - adalah isyarat marah Tuhan atas perbuatan tersebut.

Pulau Hayirsiz ialah sebuah pulau yang bertebing curam di laut Marmara yang menjadi tempat buangan para banduan kerajaan Byzantine.

Anjing dan kucing juga bebas keluar masuk ke kawasan masjid di Bangladesh. Cuma secara relatif kebebasan dilebihkan untuk sang kucing kerana haiwan itu boleh masuk sehingga ke tempat sembahyang berbanding haiwan menyalak hanya bebas di kawasan luar.

Jika berani-berani masuk ke dewan sembahyang, maka orang yang ada di dalam - seperti kami - imam, bilal, siak dan makmum akan mengejar anjing berkenaan sehingga mereka terkincit. Atau sehingga imam, bilal, siak dan makmum termengah-mengah.

Hubungan baik tidak mesti sentiasa diambil sebagai kasih sayang. Hubungan anjing dan jemaah masjid di Bangladesh serupa dengan hubungan kami dan kucing-kucing yang rajin datang kerumah.

Imam dan makmum akan sentiasa kelihatan memberi makan anjing-anjing namun tidak kelihatan mereka membelai manja akan haiwan yang dikatakan sebagai sahabat lelaki terbaik.

Cuma yang berbeza ialah anjing di Bangladesh memang kelihatan seperti anjing kurap. Letih dan selekeh. Tidak seperti rakan mereka di Istanbul.

Sedikit trivia, Manny Paquiao membina sejumlah besar rumah untuk penduduk di kampung halaman dia hasil daripada penglibatannya dalam sukan tinju.

Namun kesalahan besar The Pacman itu ialah apabila dia mula masuk dunia politik dengan beranggapan ia akan lebih memudahkannya membantu warga tempatan.

Kita semua tahu bahawa semua ahli politik di seluruh dunia bermula dengan idea murni sebegitu. Sehinggalah mereka tahu nilai kuasa dan juga wang ringgit.

Selepas itu mereka semua menjadi penjahat.

Paquiao juga dikatakan berketurunan Yahudi yakni satu bangsa yang sangat yakin dengan kemuliaan mereka berbanding bangsa-bangsa lain di dunia. Sama seperti keturunan orang yang mendakwa mereka sudah dijadikan lebih lama sebelum Nabi Adam. Macam yang kami sebut di atas. Kedua-dua bangsa ini sama gilanya.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pemenung yang gemar kepada bunga mawar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.