KOLUM | #KitaMintaLima gerakan cita sempurna
Sejak dua tiga hari lalu, tanda pagar #KitaMintaLima telah menghiasi sebahagian besar akaun di Twitter, dan Facebook. Pada mulanya saya menyangkakan ia adalah satu lagi kempen politik, dari politikus pembangkang. Pun, kelihatannya tidak ada siapa yang jelas mengenai asal kemunculannya. Sehinggalah Malaysiakini menjejaki pemula atau pencetus kempen tanda pagar ini.
Orangnya bernama Muhamad Alias dan beliau tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Itu sangat menarik. Itu menjadikan kempen ini jujur. Ia menjadikan tanda pagar ini demikian signifikan.
Alias memulai dengan menghimpun demikian banyak keluhan dan rungutan warganet yang beliau baca di Facebook Istana Negara. Bahkan kempen #KitaMintaLima di Twitter itu bermula dengan santai. Kempen beliau itu dibantu oleh seorang rakan yang menjadikan lima tuntutan itu menjadi satu poster yang mudah untuk dikongsikan di ruang media sosial lain seperti Facebook, dan Instagram.
Jika anda ketinggalan, #KitaMintaLima itu menuntut atau menggesa kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk:
- Pertama, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bersasar dan efektif.
- Kedua, sokongan penuh kepada petugas barisan hadapan dengan menyalurkan segala sumber bagi melawan Covid-19.
- Ketiga, moratorium bank secara automatik dan bantuan tunai kepada rakyat sepanjang PKP.
- Keempat, ‘penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara adil dan saksama.
- Kelima pula ialah, menuntut peranti dan data internet kepada semua pelajar dengan segera.
Dan jika tuntutan ini gagal dipenuhi dalam waktu terdekat, elok ditukar sahaja kerajaan tanpa majoriti yang sedang mentadbir negara ini. Adakah tuntutan ini ekstrem atau melampau?
Tidak. Malah menafikan hak rakyat untuk menuntutnyalah yang melampau dan ekstrem.
Gerakan atau kempen #KitaMintaLima ini adalah satu contoh apa yang disebutkan oleh Syed Hussein Alatas dalam karya monumental beliau, Cita Sempurna Warisan Sejarah; sebagai, usaha individu untuk membetulkan perjalanan negara atau masyarakatnya yang sedang menuju kehancuran.
Almarhum Syed Hussein menjelaskan, sebuah masyarakat yang sempurna ialah masyarakat yang dengan luhurnya inginkan kebaikan untuk seluruh manusia. Setiap masyarakat baik Islami atau tidak mempunyai hasrat untuk melihat persekitaran yang dihuninya ini baik. Setiap manusia, tanpa mengira kepercayaan menginginkan hak mereka dipenuhi.
Dalam masyarakat itu, mungkin ada yang kurang peduli; tetapi lebih penting terdapat individu yang percaya menjadi tanggungjawabnya untuk ikut ke lapangan mengkritik dan meluruskan apa yang bengkok. Syed Hussein menamakan ini sebagai ‘cita sempurna perseorangan’ di mana terdapat di dalam diri manusia itu sifat berkorban untuk menolong (sifat umatan).
Menggerakkan jiwa
Beliau mengaitkan sifat tersebut dengan cita sempurna sebagaimana petikan ini, “cita sempurna juga menggerakkan jiwa perseorangan, walaupun dalam keadaan di mana dirinya tiada dapat berbuat apa-apa untuk mencegah kezaliman dan penganiayaan.”
Menurut beliau lagi, “cita sempurna tidak hanya menggerakkan diri seorang menentang kejadian ganas dan zalim tetapi juga keadaan tertentu seperti ancaman nyawa.”
Syed Hussein Alatas seterusnya menyatakan pengaruh cita sempurna dapat dihidupkan dengan cara membangkitkan kesedaran rakyat tentang tujuan dan peranannya secara besar-besaran. Apabila rakyat faham fungsinya dalam negara iaitu bukan sekadar menurut dan membuntut, sebaliknya harus berpatisipasi maka negara akan selamat.
Rakyat yang sedar dan tahu akan tujuan dan peranannya akan dapat mempengaruhi tindakan golongan penguasa dan berupaya mencegah golongan tersebut daripada melakukan penindasan dan bertindak zalim ke atas mana-mana golongan masyarakat.
Di dalam karya terakhir beliau ini, Syed Hussein Alatas menjelaskan satu terma iaitu pemimpin jadong. Menurut Syed Hussein, jadong ialah pemimpin yang cenderung merosakkan masyarakat. Pemimpin dan pemerintahan jadong menurutnya banyak terdapat di Asia dan Afrika.
Pengaruh pimpinan jadong dan tindak tanduk pemerintahan mereka pula lebih luas pengaruhnya sehingga menyebabkan cita bencana yang besar sebagaimana yang disenaraikan oleh beliau seperti rasuah yang meluas, perang saudara, kebuluran, penyakit yang melanda, pemerintah tidak stabil dan rendah taraf kemajuan.
Bagaimana dapat dibanteras atau disekat cita bencana (iaitu kebalikan cita sempurna) dari mewabak? Syed Hussein menyarankan rakyat sendiri mengambil fungsi itu.
Caranya rakyat mestilah memandu pemimpin jadong ke arah kebaikan, mengingatkan mereka tugas mereka sebagai pemimpin bukan mesti jahat bodoh sombong (jadong).
Pada pandangan Syed Hussein Alatas, seorang pemimpin yang dipengaruhi oleh cita sejarah dengan nilai dan unsur moral yang tinggi serta penuh dengan nilai kemanusiaan akan dapat menghindarkan diri daripada unsur cita bencana seperti rasuah dan penindasan.
Hal ini ditekankan oleh beliau terutamanya bagi pemimpin tertinggi dengan kekuasaan yang sangat besar. Ini kerana cita sejarah yang sempurna menurut beliau akan memandu pemimpin atau penguasa ke arah yang benar.
Beliau menjelaskan jika seorang pemimpin dipengaruhi oleh cita sejarah dengan nilai moral yang lemah, maka akan berlakulah manipulasi terhadap agama dan memperalatkan segala-gala yang boleh untuk mendapatkan kuasa, menabur janji sewenang-wenang kepada rakyat dan memungkirinya atau melaksanakan secara ala kadar.
Bukan ahli politik
Hari ini pentadbiran Perikatan Nasional kelihatannya tidak pun dapat memenuhi hasrat cita sempurna ini. Parti Islam Semalaysia (PAS) yang sepatutnya menjadi hati nurani umat dengan citra keislamannya telah gagal sama sekali kerana ikut bersekongkol dengan pengkhianatan. Akibatnya rakyat seperti Alias yang menggerakkan kempen #KitaMintaLima telah menggerakkan rasa amarah mereka.
Alias, yang bukan ahli politik dan bukan juga mana-mana ahli parti menegaskan dalam temu bualnya dengan media:
Bbaca komen di laman Facebook Istana Negara, majoriti rakyat menolak kerajaan sekarang. Baca komen di laman Facebook Harakahdaily, majoriti maki parti Islam. Kerajaan kita tuan-tuan dan puan-puan.”
Manakala Bersatu dan Umno telah lama gagal menjadi pemimpin dengan tugas moral. Malah kata yang terbaik untuk kedua-duanya adalah ‘amoral’ atau tiada paksi moral.
Hari ini, keluhan rakyat selaku pipit sedang ditindas dan dinafikan haknya. Mereka diancam. Orang miskin di pedalaman yang kelaparan didenda, orang “tersangka mulia” melakukan apa saja. Syed Hussein Alatas dalam Cita Sempurna menyatakan, setiap manusia bebas untuk bersuara, menyatakan pendapat termasuklah pendapat agamanya asalkan tidak membawa dan meletakkan manusia ke dalam kancah atau konflik.’
Dalam hal ini, rakyat sedang aktif berpolitik dan menyatakan rasa tidak puas hati mereka di atas talian. Ingat, rakyat Malaysia jarang turun ke jalan. Justeru rungutan dan kemarahan di media sosial adalah satu keingkaran yang mesti diberi perhatian oleh mereka di atas.
Syed Hussein melihat pemimpin yang gagal mentadbir itu sebagai ciri menuju negara gagal dan juga gejala awal seorang pemimpin jadong menjadi pemimpin cita bencana seperti diktator, dan penzalim. Kata Alatas; “kewujudan dan fungsi aparat adalah untuk kepentingan umum demi menjaga keamanan hak manusia dan warganegara bukan untuk kepentingan peribadi mereka yang diamanahkan untuk menguruskannya.”
Hari ini kebencian rakyat ialah melihat politikus dan pemimpin dalam kabinet yang begitu ramai itu dibayar gaji besar, tidak berfungsi, malah mempunyai kekebalan undang-undang.Dalam masa yang sama rakyat berada dalam kesusahan dan tidak didengari, bahkan tidak dibantu.
Tindakan Alias sebagai individu perseorangan adalah tindakan yang dapat kita definisikan sebagai satu aksi cita sempurna. Beliau ingin meletakkan kembali peranan rakyat dalam fungsi bernegara di mana sebahagian besar suara rakyat telah dinafikan apabila Dewan Rakyat digantung.
Walid, Balban dan Muhammad Ibn Tughluk
Menurut Syed Hussein Alatas jika tiada anggota masyarakat membantah kejadongan pemimpin mereka, negara itu sedang menuju kepada cita bencana di mana “nilai institusi dan kepercayaan masyarakat” telah gagal.
Syed Hussein menamakan pemerintah jahat cita bencana itu antara lain Walid bin Abdul Malik, Balban dan Muhammad Ibn Tughluk yang cara memerintahnya “digerakkan oleh cita bencana kerana cita bencana sebenarnya telah tumbuh liar dalam dirinya.” Pemerintah yang baik bercita sempurna adalah seperti Saidina Ali KWHJ.
Oleh sebab Alias adalah seorang rakyat yang waras, beliau melakukan tuntutan #KitaMintaLima ini. Terdapat ramai juga yang menyatakan Alias meminta daripada mereka yang tidak peduli. Masa berjalan dan akan menjadi hakim dalam sejarah bahawa adakah pemimpin hari ini memilih untuk menjadi pemerintah jadong (jahat bodoh sombong) pendukung cita bencana yang berpihak kepada pemodal dan kapitalis; atau menjadi pemimpin cita sempurna yang inginkan kebajikan umat.
Masa sedang berjalan. Kita melihat apakah mereka mahu menjadi Balban pemerintah Delhi yang dikencingi pelawat makamnya, atau Amirul Mukminin Ali, yang dihurung pencinta sehingga beberapa abad lamanya.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai