KOLUM | Profesor main bomoh
Lama dahulu apabila saya diberitahu oleh seorang profesor dalam bidang kimia yang ramai profesor di universiti rajin bermain bomoh; saya menarik nafas berat dan semacam tidak percaya. Apatah lagi yang memberitahu saya itu seorang Profesor A dalam bidang sains yang tidak pun mempertimbangkan alam Melayu yang penuh kemistikan. Saya jadi lebih tidak percaya kerana profesor itu selalu sahaja menyindir bidang saya - ‘pengajian Melayu’ – sebagai bidang yang tiada gunanya.
Akan tetapi profesor itu bersungguh-sungguh meyakinkan saya bahawa memang ada profesor rajin bermain bomoh. Salah seorang profesor yang bermain bomoh itu katanya orang kuat sebuah parti mengaku Islam-Islami.
Saya tertawa dan membalas, “Argh canda.”
Pun, sang profesor nampaknya tidak pun terlihat cuak, atau pun terkesan oleh pandangan enteng saya itu. Dia hanya mengulang, “Ramai profesor di universiti bermain bomoh. Untuk jadi dekan bermain bomoh. Untuk jadi timbalan naib canselor bermain bomoh. Untuk jadi Naib Canselor bermain bomoh. Untuk dipandang Menteri bermain bomoh. Untuk dapat jadi pengarah kualiti bermain bomoh. Untuk berebutkan siswa mereka bermain bomoh. Untuk berdepan dengan peperiksaan lisan pelajar bermain bomoh. Sebelum mesyuarat besar bermain bomoh. Untuk menyambung kontrak bermain bomoh. Pendek kata bomoh bomoh bomoh.”
Kata-kata profesor itu mati andar begitu sahaja. Beberapa tahun berlalu dan saya bertugas di universiti dengan penuh semangat. Akan tetapi apabila perubahan-perubahan intelektual yang saya hasratkan semakin kelihatan meleset, saya menjadi hampa. Terlalu banyak budaya anti pemikiran demikian subur. Terlalu banyak rasional dikebumikan di tanah perkuburan sepi. Terlalu banyak juga integriti ditabur di Taman Rashidah Utama.
Sehinggalah satu hari, ketika PKP mereda dan kantin boleh menyaji makan sarapan semula; seorang penyelidik muda, pegawai sains di sebuah fakulti telah menceritakan kepada saya perihal penyelianya, seorang profesor (rapat dengan pimpinan parti Islam) yang telah meminta dia mencarikan seorang poyang. Pegawai tersebut menanyakan kepada saya jika-jika saya ada mengenal mana-mana poyang.
Untuk nota pembaca, Poyang bukanlah kata lelaki untuk moyang.
Saya menelan air liur. Jika benar profesor itu bermain poyang, nyata itu sudah parah. Poyang adalah bomoh Orang Asli. Kebiasaan poyang itu magisnya terlebih dan mutu perawatannya berharga ribuan ringgit. Satu masa dahulu Profesor Roland Werner yang bertugas di Universiti Malaya antara tahun 1967 sehingga 1973 pernah menceritakan ‘kehebatan’ atau ‘kesaktian poyang’. Beliau, seorang orientalis yang amat terkesima dengan dukun dan bomoh begitu mengharapkan orang Melayu kekal berpawangan.
Kisah magis bomoh Poyang itu berkenaan satu kejadian di mana seorang abang dan adik telah bersetubuh melakukan sumbang mahram. Mereka melakukannya berkali-kali di dalam hutan, di bawah pohon, di dalam semak, di tebing sungai sehinggalah satu malam, mereka melakukan di atas rumah dan tubuh mereka terlekat tidak boleh dipisahkan. Orang kampung telah memanggil poyang dari kampung sebelah yang telah membuatkan sepili atau Hantu Ular Sumbang. Poyang telah membawa sepili semacam pisau berkepala dua tetapi bercantum menjadi satu bilah lantas mengikatkan sepili pada tubuh pasangan tersebut. Kedua-duanya diseret ke sungai dan dilemaskan. Puak Jah-Het percaya pasangan itu kemudian menjadi ular air.
Bukan sahaja sepili di atas digunakan untuk merawat, pernah juga Poyang menggunakan Hantu Gigit Pinggang yang terlihat seperti salib tetapi diukir kepala, mata dan mulut di kedua-dua hujung belah. Ia juga dinamai Bes Tangkap Wang yang mana jika hantu ini dilepaskan di dalam hutan, ia akan mengakibatkan kesakitan kepada mangsa di tulang punggung dan kedua belah kakinya lumpuh.
Poyang berbeza dengan bomoh, kerana poyang tidak bercakap terus kepada pesakit. Sebaliknya berbicara dengan pembantunya iaitu biduan. Ketika acara menurun, pembantu akan bercakap dalam bahasa yang tidak diketahui seperti bahasa Greek, Rusia, Jerman, Portugis dan acara itu memakan masa sehingga dua malam.
Jadi ceritanya begini, profesor yang dikatakan rapat dengan pimpinan parti yang kelihatan Islam-Islaman itu telah mengajak si pegawai muda untuk menemankannya bertemu seorang poyang. Maka pada satu malam yang demikian hening ketika darurat diisytiharkan dengan tergesa-gesa, sang profesor dan pegawai muda itu telah merentas daerah dan negeri ke sebuah kampung di pedalaman. Desa itu sangat jauh ke dalam dan mereka perlu melintasi kebun durian Musang King yang hutan dara itu ditarah dan sengaja ditanami buah tersebut demi memenuhi nafsu makan pelancong Cina, juga melepasi beberapa ekar kebun yang ditanami timun subur.
Dalam gelap malam, kereta mereka berhenti di sebuah rumah kayu yang terpisah dari kediaman Orang Asli yang lain. Terdapat pelita yang tampak berbalam-balam apinya, dan asap mengepul. Asap dari lingkaran ubat nyamuk yang kelihatan dibakar di beberapa sudut sedang digelek angin. Di dinding rumah Poyang tergantung bendera dacing yang sudah lusuh, dan kepam.
Poyang itu sudah demikian tua, dan matanya sudah tidak berapa jelas. Usianya barangkali menyamai usia Dr Mahathir. Dia telah menyaksikan pelbagai episod sejarah dan dengan seloroh (entah betul entahkan tidak) memberitahukan dia telah membantu sekian ramai ahli politik untuk menjadi menteri termasuklah beberapa orang dari pentadbiran sekarang.
Pegawai muda itu hanya menjawab gurau itu dengan satu kata; “Lumayan”.
Poyang itu nampaknya tersinggung dan membundarkan mata penuh jegil.
Sang profesor telah memberitahu niatnya untuk terpilih menjadi naib canselor di sebuah universiti tempatan. Jika tidak pun dapat menjadi naib canselor, paling koman pun timbalan naib canselor Akademik dan jaringan antarabangsa kerana isterinya Ustazah AH suka berjalan-jalan dengan kelas bisnes.
Poyang nampaknya faham dan mengeluarkan sepili. Dia bertanyakan siapakah saingan terdekat sang profesor dan setelah diterangkan si anu si anu, Poyang nampaknya mengangguk. Poyang kemudian bertanyakan kesanggupan mereka untuk tidur di situ selama dua malam. Pegawai muda sudah naik pucat dan mulai resah kerana tidak menyangka ritual perbomohan itu akan memakan masa lebih 24 jam di kala darurat sudah mulai berjalan. Pegawai muda melihat rumah Poyang itu tidak teratur dan ada kampit-kampit beras dan gula yang tertepek muka tembam seorang menteri wanita dengan senyuman terkepit.
Poyang meyakinkan pegawai muda itu bahawa orang besar-besar sendiri adalah pelanggannya, manakala profesor pula membuatkan pegawai itu percaya bahawa dia mempunyai hubungan dengan politikus parti keislaman yang kesilaman.
Ketika acara itu berjalan pada malam tersebut, poyang itu berteriak-teriak entah apa; dan pembantunya yang muncul dari gelap malam entah dari mana telah bercakap dalam bahasa semacam bahasa Korea. Pegawai muda itu agak nanar terdengar poyang itu ada menyebut nama-nama seperti Kim Seok-jin, Min Yoon-gi, Jung Ho-seok, Kim Nam-joon, Park Ji-min, Kim Tae-hyung, dan Jeon Jung-kook yang sebenarnya adalah nama-nama anggota kumpulan BTS dari Korea. Pun waktu itu pegawai muda tidak begitu perasan atau agak bosan apabila hari menjelang siang dan Poyang sudah mulai mengarut menyebut nama Won Bin (aktor terkenal Korea era 1990an), pegawai muda itu sudah nekad untuk cabut lari. Dia tahu poyang itu peminat K-Pop.
Pegawai muda itu telah menghidupkan enjin vannya dan memandu terus untuk pulang ke Bangi. Dia meninggalkan sahaja profesor itu di desa terpencil tersebut (yang tiada talian internet). Seminggu kemudian, Profesor tersebut telah mencari pegawai muda ini di kampus dan menggugut untuk menulis surat ke pihak pengurusan agar pegawai ini ditukarkan ke fakulti lain.
Itulah kisah pegawai muda yang sedang berpeluh dan menceritakan kepada saya kisah laranya yang kini penuh keinsafan. Cerita pegawai tersebut menyebabkan saya teringatkan sebuah tulisan Syed Hussein Alatas, profesor besar dalam bidang sosiologi.
Judul tulisan beliau itu ialah Philosophy and Practical Life in South East Asia. Di dalam tulisan ini Profesor Alatas mengatakan kepercayaan kepada bomoh pawang poyang inilah yang membantutkan perkembangan pemikiran di kalangan umat Melayu, atau Asia Tenggara amnya; the slow birth and development of the scientific attitude in Southeast Asian Societies. Tulisan beliau itu malangnya tidak terpakai. Malah diabaikan sehingga tahun 2021. Sebaliknya ketika itu, Roland Werner, orientalis yang gilakan ilmu bomoh telah bertugas di Universiti Malaya antara tahun 1967 sehingga 1973, mengambil tempat beliau.
Alkisah sang profesor yang berpoyang dan rapat dengan pimpinan sebuah parti keislaman itu nampaknya tidak sangkut pun jawatan naib canselor apatah lagi mana-mana jawatan pentadbiran di universiti. Ada khabar angin beliau tidak tersenarai akhir pun kerana penerbitan beliau menenggek pelajar dan nama beliau dalam kertas tunggangan itu kebanyakannya di tempat kelima, keenam atau ketujuh.
Sang profesor bagaimanapun diberi jawatan lain yang boleh juga dikatakan lumayan, dan masih boleh memenuhi impian isterinya untuk berjalan-jalan dengan kelas bisnes jika mereka diberi lebih awal vaksin dari orang lain dan dimurahkan rezeki untuk berjalan-jalan melakukan benchmarking di universiti-universiti luar. Akan tetapi pegwai muda itu, yang berada di tingkat bawah piramida perjawatan telah menerima nasib malang dengan dihantar bertugas di fakulti lain yang menuntut kesabaran baru kerana kini perjalanannya ke tempat kerja dari rumah akan memakan masa satu jam setengah di luar Covid, tetapi mungkin memakan masa dua jam setengah tanpa Covid.
Kata pegawai muda itu, paling tidak pun dia tidak dibomohkan oleh poyang itu. Dia fikir dia cukup bernasib baik.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai