Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Pak cik Volkswagen tak ada Facebook

Kelmarin, sementara menunggu iqamah, pak cik di sebelah bertanya di mana kami tinggal. Kami pun menjawab seadanya.

Tanpa ditanya sebaliknya, pak cik itu berkata bahawa beliau berasal dari Kuala Pilah dan sekarang tinggal di tempat kami.

Kami mengelar beliau sebagai ‘pak cik’ kerana berdasarkan permerhatian kami dapati beliau sedikit tua daripada kami. Walaupun penggilan ‘abang’ lebih sesuai, kami dapati ‘pak cik’ adalah gelaran yang akan memberikan sedikit rasa hotmat para pembaca kepada beliau.

Kemudian beliau menambah - tanpa ditanya juga - bahawa beliau pernah berkerja sebagai penjaga projek. Bertahun lamanya beliau bekerja sebelum akhirnya mendapat tawaran untuk - dalam perkataan beliau sendiri: "bekerja dengan kerajaan Selangor."

Beliau berkerja di West Port sehingga bersara.

“Puduraya tu saya yang jaga. Kalau saya rasuah dulu, tentu dan runtuh bangunan tu,” kata beliau kepada kami.

Beliau berulang-ulang kali mengatakan bahawa beliau meninggalkan kerja ‘menjaga projek’ kerana tidak mahu terlibat dengan rasuah. Kerana kesungguhan beliau dalam mengelakkan korup, tuhan kemudian memberikan beliau jawatan dalam "kerajaan Selangor."

“Gaji kerja dengan kerajaan Selangor gaji enam kali lebih banyak daripada kerja jaga projek,” kata beliau lagi.

Seperti yang kami nyatakan tadi, beliau berulang-ulang bersyukur kerana tidak terlibat dengan rasuah.

Berkain pelikat, berbaju T

Sambil beliau bercerita, kami menjeling sedikit untuk melihat penampilan beliau. Kami dapati beliau sangat sederhana pakaiannya. Dengan baju Melayu yang diperbuat daripada kain nilon serta kain pelikat. Tidak ketinggalan sejadah yang biasa ada di rumah-rumah orang Melayu Islam lain.

Ia sejadah berharga sekitar RM20 hingga RM50. Pada mulanya kami mengandaikan beliau adalah pekerja atas sedikit daripada kumpulan B40, tetapi belum sampai kepada kumpulan M40.

Namun setelah melihat rantai kunci Volkswagen yang diletakkan di atas sejadah, kami menolak andaian yang kami putuskan tadi itu.

Jika tidak salah pemerhatian, di masjid kami hanya ada seorang yang memandu kereta Volkswagen dan pemandunya bukan beliau.

Kami tahu kerana kami kenal benar dengan pemilik kenderaan tersebut iaitu seorang makmum yang sentiasa berkain pelikat dan berkemeja T apabila datang di masjid.

Beliau akan berjalan dengan penuh yakin dan sejurus salam diberikan, beliau akan menjadi orang pertama keluar dari masjid. Kami tidak kenal beliau secara perbibadi dan tidak pernah bertegur sapa kecuali mengangguk tanda kenal setiap kali terserempak di kedai kopi di kawasan kami.

Kerana itu, kami membuat nota minda - nanti setelah sembahyang kami akan melihat-lihat di kawasan pakir sekiranya ada sebuah lagi kereta Volkswagen yang kami terlepas pandang.

Selama beliau bercerita semenatara menunggu iqamah itu kami hanya mengangguk dan mengucapkan alhamdulillah setiap kali beliau bersyukur tidak makan suap selama mana beliau pernah berkerja, sambil hati kami bertanya-tanya mengapa beliau meluahkan kesyukuran beliau melalui kami yang tidak beliau kenali ini.

Untuk semua orang tahu

Apakah kerana beliau berbangga dengan pencapaian tersebut dan berasa perlu menceritakan hal tersebut kepada siapa saja yang kebetulan duduk di sebelahnya pada hari itu?

Pada waktu yang sesingkat itu yakni antara beberapa minit yang memisahkan azan dan iqamah, beliau meluahkan sedikit isi hati kepada orang yang tidak dikenali.

Apa yang yang bermain di fikiran kami waktu itu ialah bahawa mungkin pak cik ini tidak ada Facebook.

Menceritakan kelebihan dan juga kekurangan diri kepada orang yang tidak dikenali sudah menjadi kemestian hari ini. Melalui media sosial kita hebahkan keagungan diri untuk semua orang mengetahuinya.

Seperti yang kita semua tahu, kegembiraan dan keuntungan jarang datang lalu kita dengan senang hati akan memberitahu seluruh alam maya akan kegusaran, kemalangan dan apa saja masalah yang kita alami dengan harapan akan ada yang bersimpati.

Setelah dirai atas kesenangan atau kesusahan hidup yang kita hebahkan, maka kita pun merasa sedikit aman kerana kita beranggapan yang kita sudah berjaya masuk ke hati mereka yang kita harapkan bersimpati.

Apa yang kita tidak tahu ialah mereka yang berpihak kepada kita dengan meninggalkan komen atau pesanan di Facebook, Twitter, Instagram atau apa pun akan selepas itu masuk tidur dengan selesa sambil menunggu esok untuk bersimpati lagi sambil meraikan kegembiraan dan keresahan orang lain pula.

Kegembiraan yang kita hebahkan itu pun berakhir sementara segala masalah atau kekurangan diri pula terus kekal bersama kita tanpa dipeduli sesiapa.

Sebanyak mana pun kegembiraan atau pun malang yang kita hebahkan kepada dunia, akhirnya kita hanyalah seorang daripada berjuta manusia yang sedang mengalami hidup.

Menceritakan kepada dunia akan hal tersebut tidak akan mengubah apa-apa selain daripada sekadar menjadi bahan bual untuk satu atau dua hari sebelum datang cerita lebih gembira atau lebih derita daripada penulis yang lain.

Setelah sembahyang, kami pun memandu perlahan sambil menjeling ke kawasan pakir masjid. Kami dapati memang ada sebuah lagi kereta Volkswagen yang diletak di satu kawasan yang jarang kami perhatikan.

Ianya adalah dari jenis Polo sedan. Dan dari situ kami putuskan bahawa pak cik tadi mungkin duduk dalam kumpulan M40.

Tadi sewaktu mengunggu iqamah kami tercari-cari di mana pak cik Westport bersembahyang. Kami dapati beliau duduk satu saf di hadapan kami.

Seperti kelmarin - sementara menunggu iqamah - beliau menegur jemaah di sebelahnya dengan pertanyaan yang sama beliau tujukan kepada kami. Setelah berbasa-basi, beliau pun menceritakan apa yang beliau ceritakan kepada kami kepada makmun di sebelah beliau.

Begitu agaknya menjadi orang tua. Berulang-ulang bercerita kepada sesiapa sahaja tanpa mahu peduli apakah ada orang mahu mendengar atau pun tidak.

Mujur kami belum tua (sangat).


ABDULLAHJONES seorang penulis, pelukis dan pencatat yang sedang berpuasa media sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.