Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Gagalkah pengurusan risiko kita

Tulisan ini tidak bertujuan untuk mengkritik kerajaan, akan tetapi sebagai ahli akademik yang cintakan negara dan berpeluang duduk diluar negara ketika pandemik ini melanda serta pulang ke tanah air dan melalui semua prosedur berkaitan, maka saya terpanggil untuk berkongsi pandangan ini dan diharapkan kerajaan akan mengambil pandangan marhaen yang cintakan tanah air ini.

Peningkatan kadar kes Covid-19 di Malaysia sejak akhir Disember hingga kini amat membimbangkan. Di saat kebanyakan negara negara sudah mampu mengawal pandemik ini dan sudah bersedia untuk memulakan program vaksin dalam komuniti masing-masing, tetapi berbeza dengan Malaysia.

Secara tidak langsung bolehlah dikatakan panic button telah ditekan oleh perdana menteri hingga memaksa DYMM Yang di-Pertuan Agong mengistiharkan darurat mulai 13 Januari hingga 01 Ogos 2021. Peningkatan yang mendadak ini menimbulkan persoalan terhadap sistem pengurusan risiko kesihatan kebangsaan, apa sudah jadi? Adakah kita tidak bersedia atau gagal?

Jika kata tidak bersedia, sebenarnya semua negara di dunia ini tidak bersedia menghadapi pandemik Covid-19 termasuklah kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Akan tetapi dalam masa yang sama, semua negara belajar bagaimana mengawal pandemik ini secara bersama dan membangunkan satu sistem pengurusan pandemik berdasarkan kapasiti masing-masing. Keadaan yang sama juga dihadapi oleh Malaysia, kita tidak bersedia pada awalnya hingga memaksa PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac 2020, seterusnya dalam keadaan bertatih-tatih tersebut kita mempersiapkan diri dan membangunkan SOP serta pengurusan yang cekap hingga diiktiraf dunia termasuk WHO. Dalam kegawatan politik dan kecelaruan sistem pentadbiran, tetapi barisan hadapan negara berjaya mengekang penularan wabak ini dengan jayanya.

Di saat kita dibuai kejayaan tersebut, sedikit demi sedikit kealpaan dan kelemahan mula nampak. Ia secara jelas menunjukkan kegagalan negara kita dalam menguruskan pandemik. Mungkin ada yang tidak bersetuju, akan tetapi perlu diakui bahawa kita sebenarnya gagal mengawal pandemik ini hingga pada gelombang ketiga menyebabkan keadaan menjadi semakin parah dan kes sudah mencecah 3,00 sehari.

Jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kes Covid boleh mencecah antara 5,000 hingga 8,000 kes per hari sekitar April dan Mei tahun ini. Mari kita telusuri mengapa kegagalan ini berlaku.

Pelan Tindakan Bencana Negara

Pertama, negara tidak membangunkan satu sistem pengurusan pandemik selepas kejayaan mengekang gelombang 1.0 yang lalu iaitu sekitar April/Mei 2020. Ya memang keadaan sudah berlaku, akan tetapi masih belum kelihatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Bencana Negara (Nadma) mencadangkan satu langkah konkrit untuk mengekang penularan wabak ini pada masa-masa akan datang.

Seharusnya ada mesyuarat yang melibatkan pelbagai agensi dan pakar dalam dan luar negara jika diperlukan untuk duduk bersama-sama membincangkan best-practice yang perlu diimplementasikan dalam negara ini untuk kebaikan bersama. Akhirnya jawatankuasa ini boleh mencadangkan satu pelan tindakan yang boleh dipraktikkan dan diangkat ke atas, jika perlu hingga kepada YDPA.

Pengurusan imigran, Pati

Perkara kedua yang perlu diakui adalah betapa lemahnya pengurusan pendatang asing dan imigran di Malaysia. Malah dapatan pelbagai kajian pada ketika ini termasuk yang dinyatakan oleh Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Asia juga jelas menyatakan bahawa pendatang asing adalah penyumbang utama kepada peningkatan kes Covid yang tinggi di negara ini.

Tindakan tidak tepat kita menyebabkan kes Covid di kalangan imigran dan Pati menjadi tidak terkawal. Kita gagal mengurangkan kadar Pati dan imigran malah dalam masa yang kita menjadikan kes Covid semakin meningkat dalam negara. Saya pernah menyatakan betapa harusnya kita belajar daripada Singapura dalam menguruskan pendatang asing di negara mereka.

Memang pengurusan imigran di Singapura bukanlah yang terbaik di dunia tetapi sekurang-kurangnya kita mempunyai satu benchmark yang boleh diguna pakai. Tiada satu kenyataan yang jelas dari agensi-agensi berkaitan berkenaan untuk mengawal imigran ini.

Mengapa tidak belajar dari Asia Barat termasuk Arab Saudi yang mempunyai rekod di mana sahaja imigran dan ekspatriat dalam negara mereka. Semuanya dilakukan dengan aplikasi dan sistem yang integrated dengan pelbagai agensi berkaitan.

‘Overreact’

Ketika tulisan ini dibuat, saya sedang menjalani kuarantin wajib kerana baru pulang dari luar. Sedih melihat betapa teruknya keadaan frontliners kita yang terpaksa bertugas lebih dari kebiasaan. Saya bersimpati kerana melihat sebdiri betapa teruknya eadaan yang dialami oleh bukan sahaja frontliners malah rakyat Malaysia dan luar negara yang masuk ke negara ini.

Semua ini berlaku kerana kita overreact kepada virus ini. Ada perkara yang tidak perlu dilakukan malah boleh diambil peranan oleh sistem atau aplikasi dan peranan agensi seperti Rela dan APM di dalam komuniti.

Akan tetapi apabila kita membuat sistem yang dirasakan tepat tetapi dalam masa yang sama kadar jangkitan semakin meningkat, ini jelas menunjukkan bahawa ada yang tak kena kepada sistem dan SOP yang kita praktikkan kini.

Penjara

Seterusnya reformasi pengurusan Jabatan Penjara, agensi bawah KDN perlu dilakukan dengan segera. Lihat semula SOP dan pelaksanaan hukuman yang boleh mengakibatkan para banduan ini terdedah kepada Covid ataupun lain-lain virus.

Memang setakat ini kita tidak melihat kematian di kalangan banduan diakibatkan oleh pandemik ini, akan tetapi berkampungnya pada frontliners hingga mereka keletihan dan hilang masa dengan keluarga serta terdedah juga kepada virus ini adalah suatu pilihan.

Ia boleh dielakkan dengan dilakukan satu proses koreksional kepada sistem penjara bukan koreksi kepada banduan semata-mata. Saya berkesempatan melihat sendiri sistem penjara di Eropah dan New Zealand, jelas sekali ia adalah jauh lebih baik dan bersistematik. Kita boleh mengubahnya dengan langkah yang tepat dimuai dari sekarang.

Politik

Tidak dapat dinafikan sama sekali bahawa ahli politik kita secara tidak langsung menyebabkan Covid meningkat dalam komuniti. Terkadang yang di atas perlu juga melihat diri sendiri, SOP dan sebagainya bukan hanya untuk rakyat bawahan sahaja, pemimpin juga perlu mengikuti semua prosedur dan peraturan yang dibangunkan.

Rakyat melihat dan memandang apa yang berlaku di atas dan refleksi ke dalam komuniti. Jika hukuman boleh dikenakan kepada pemimpin yang melanggar peraturan atau hukuman sama seperti yang dikenakan ke atas masyarakat, maka rakyat akan timbul rasa gerun dan tidak berani sama sekali melanggar peraturan yang ada.

Pimpinan politik adalah contoh dan teladan kepada nagara ini. Wakil rakyat perlu juga mengakui segala kesilapan yang dilakukan jika perlu agar rakyat juga mempunyai rasa hormat keatas mereka.

Kepakaran tempatan, ubat alternatif

Seperkara lagi yang seharusnya diakui adalah kepakaran tempatan gagal diambil kira dalam pengawalan pandemik. Ketika ini sepertinya kita hanya bergantung kepada kepakaran luar dan menjadi penerima sekunder sahaja.

Usaha yang lebih giat lagi sebenarnya perlu dilakukan teruatamanya dengan pembangunan vaksin melalui tenaga tempatan. Malah perlu dilihat juga keupayaan ubat-ubatan tradisional dalam membantu pengawalan wabak ini.

Apabila pihak kejaraan Thailand melalui kementerian kesihatan mereka membenarkan penggunaan herba hempedu bumi sebagai rawatan alternatif untuk Covid, ini seharusnya satu tamparan hebat kepada kita. Malah yang lebih mengecewakan apabila kita tidak turut bersama-sama mengiktiraf ubatan herba ini sebagai kaedah rawatan alternatif atau mungkin boleh dipraktikkan untuk pesakit Covid tahap satu dan dua.

Jika keadaan ini dapat dipraktikkan, sekurang-kurangnya tekanan kepada frontliners akan dapat dikurangkan dan dalam masa yang sama mengangkat keupayaan ubatan alternatif dan tenaga tempatan. Semua pihak perlu digerakkan mengikut kepakaran masing-masing agar dapat membantu kerajaan menangani wabak ini dengan lebih baik dan berkesan bukan semata-mata dibebankan kepada petugas kesihatan semata-mata.

Kesepaduan kerajaan-pembangkang

Ketika ini, masih belum kelihatan satu usaha pihak kerajaan untuk mengumpulkan kekuatan bukan berdasarkan kepentingan politik semata-mata. Inilah ketikanya kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang duduk semaja untuk mencari jalan terbaik dari masalah ini. Ketepikanlah pandangan politik buat sementara waktu, rakyat amat memerlukan satu tatacara yang tepat dan insentif yang dapat membantu golongan yang tengah tersepit ini.

Ramai bawah ini yang susah dan disusahkan dengan kemunculan pandemik ini. Malah yang menjadi malapetaka kepada negara dan rakyat ialah apabila pemimpin politik masih bertelagah di tengah-tengah kesusahan rakyat. Di saat negara lain sudah memulakan skim vaksin dalam komuniti, kita masih bertelagah tentang harga vaksin, kontrak dan tender pembelian serta kaedah penyimpanan.

Cukup-cukuplah, tolong duduk semeja dan cari jalan penyelesaian sebaiknya. Kerajaan tidak boleh menyombng hingga menyebabkan ketidakpuasan hati pembangkang yang akhirnya membantutkan usaha dan kerja keras kerajaan.

Malah pmbangkang pun tidak boleh dibiarkan berterus-terusan menyerang kerajaan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Akan tetapi apa yang perlu adalah compliment antara keduanya demi kelestarian ekonomi dan keselamatan rakyat dan negara ini.

Undang-undang

Inilah aspek penting yang sering dipandang enteng. Walaupun denda RM1,000 akan dikenakan kepada yang melanggar SOP, akan tetapi berapa ramai yang didenda? Dan berapa ramai pula yang dibiarkan walaupun melanggar SOP?

Saya melihat sendiri bagaimana negara luar yang mengenakan denda tanpa budi bicara kepada yang gagal mematuhi undang-undang. Malah kadar dendaan juga seharusnya maksimum kepada premis-premis yang jelas tidak menghormati undang-undang negara ini dan mencabar institusi raja.

Setiap hari kita didedahkan dengan laporan puluhan dan ratusan orang yang ditahan di kelab malam atau rumah urut dan pusat pelacuran, mengapa masih ada dan masih dibuka tempat-tempat ini? Bukan sehari, berhari-hari malah berterusan sejak dari awak PKP dilaksanakan di negara ini.

Apa kata dengan dengan kadar RM1juta dikenakan kepada pemilik premis tersebut dan tangkapan dibuat bawah Sosma kepada mereka yang mencipta ‘kluster kelab malam’ dan ‘kluster rumah urut’.

Akhir sekali, semua ini hanya mampu dilakukan degan tindakan bersepadu, jitu dan diintegrasikan oleh semua agensi di dalam negara ini. Satu pelan tindakan yang bijak dan berani perlu diwujudkan untuk kebaikan semua.

Ketika ini, kita hanya bertindak melawan Covid-19 tetapi kita tidak menyelesaikan masalah asasnya. Selagi punca Covid-19 berkaitan dengan pengurusan yang gagal ini tidak diselesaikan, maka selagi itulah kita akan berterus-terusan melawan Covid hingga akhirnya kita akan kepenatan dan pasrah. Fikir-fikirkanlah.


MOHD MIZAN ASLAM (PhD) berkhidmat di Pusat Kajian Terrorisme dan Ekstremisme, Naif Arab University for Security Sciences di Riyadh, Arab Saudi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.