Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Tradisi demokrasi dan politik matang di Johor

KOLUM | Lagi beberapa hari sahaja lagi, kita akan meninggalkan tahun 2020 yang penuh cabaran.

Tatkala dunia mengingati tahun 2020 sebagai tahun menularnya pandemik yang melumpuhkan seluruh negara di peringkat global, rakyat Malaysia pastinya mengenang tahun 2020 sebagai tahun pergolakan politik terbesar dalam sejarah Malaysia moden.

Kerajaan yang dipilih secara demokratik hanya mampu bertahan selama 22 bulan sebelum runtuh disebabkan paling tadah rakan sendiri dan permainan politik tidak bermaruah oleh lawan politik.

Perkembangan terbaru pula menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan di negeri Perak Darul Ridzuan, apabila  jawatan menteri besar bertukar tangan dari Ahmad Faizal Azumu (Bersatu) kepada Saarani Mohammad (Umno) yang meruncingkan lagi kemelut politik yang sudah sedia terjadi.

Peristiwa ini telah mencatatkan sejarah dalam arena politik negara apabila pentadbiran negeri berubah sebanyak tiga kali dalam satu penggal, sehingga mendapat teguran daripada baginda Sultan Perak.

Berikutan perkembangan Perak, terdapat ancaman ‘balas dendam’ pula yang diberikan oleh parti Bersatu kepada Umno, bahawa parti serpihan Umno itu akan melakukan perkara yang sama di negeri Johor.

Jikalau ini terjadi tempoh hari, sekali lagi perubahan kepimpinan negeri akan berlaku. Pada hemat saya, perkongsian kuasa antara Umno dan Bersatu ini adalah ibarat tidur satu bantal, tetapi mimpi lain-lain.

Berbanding negeri-negeri lain, negeri Johor mempunyai tradisi pentadbiran awam yang panjang.  Dalam konteks sejarah, Johor merupakan negeri pertama yang mempunyai struktur birokrasi awam moden.

Malahan, Johor turut merupakan negeri pertama yang mempunyai perlembagaan bertulis pada tahun 1895. Ini bermaksud, negeri Johor mempunyai tradisi demokrasi yang panjang berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Amalan demokrasi di Johor

Bersandarkan faktor nilai demokrasi yang sudah berakar dalam tradisi politik Johor, saya berpendapat ahli politik di negeri ini sudah mencapai tahap kematangan tertentu dalam berpolitik. Oleh yang demikian, kepentingan rakyat semestinya diutamakan oleh semua pihak berbanding kepentingan peribadi.

Kedudukan terkini Dewan Negeri Johor menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguasai 29 daripada 56 kerusi DUN. Manakala pihak pembangkang pula mempunyai 27 kerusi.

Perbezaan dua kerusi menjadikan pihak kerajaan mentadbir dengan majoriti yang paling tipis dalam sejarah politik negeri. Ternyata situasi ini ibarat ‘blessing in disguise’ buat Johor apabila ia menjadikan pihak kerajaan - suka atau tidak - terpaksa mengambil sikap lebih responsif dalam tadbir urus negeri.

Seperti yang saya nyatakan, tradisi demokrasi yang berakar dalam politik Johor menjadikan semua pihak bersikap ‘gentlemen’ dalam melaksanakan tugas masing-masing tanpa bertelingkah berkenaan isu remeh-temeh.

Sebagai contoh, penjajaran politik yang berlaku di negeri-negeri seperti Perak, Kedah dan Melaka hampir 10 bulan yang lalu menyebabkan berlaku rombakan bukan sahaja di peringkat anggota pentadbiran, bahkan turut mengakibatkan pertukaran Yang Dipertua Dewan Negeri.

Namun, perkara yang sama tak berlaku di Johor. Yang Berhormat Tuan Suhaizan Kayat dari Pakatan Harapan (PH) bahkan masih diberi kepercayaan untuk mempengerusikan sidang Dewan.

Ini membuktikan bahawa budaya politik di Johor agak unik dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor kekal menjadi panduan dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Peranan pembangkang

Amalan demokrasi yang baik menuntut pihak pemerintah untuk mengambil kira peranan pihak pembangkang untuk membangun negeri. Dalam sidang DUN mengenai pembentangan belanjawan negeri yang lalu, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan akan disalurkan kepada Adun pembangkang sebanyak RM 200,000 untuk kawasan masing-masing.

Kita tidak menafikan bahawa keputusan ini wajar dipuji, namun terdapat beberapa perkara lagi - yang tak kurang pentingnya - perlu dipertimbangkan demi memperkukuh amalan demokrasi dan urus tadbir negeri yang baik.

Antara pembaharuan yang perlu dilakukan ialah dengan melibatkan pihak pembangkang dalam proses perbincangan berkaitan program pembangunan dan perlaksanaan polisi-polisi negeri yang lain.

Contohnya, di peringkat Jawatankuasa Tindakan dan Pembangunan Daerah (JTPD), ia perlu turut dianggotai oleh wakil rakyat dari pembangkang. Dengan ini, wakil rakyat dari pembangkang dapat menyampaikan aduan di kawasannya dan memberikan input yang positif secara langsung kepada agensi kerajaan negeri yang bertanggung jawab.

Perlu diingat, pihak pembangkang ketika ini mewakili 48 peratus rakyat negeri Johor dari keseluruhan 56 kawasan DUN.

Sejajar dengan prinsip urus tadbir yang baik, pihak kerajaan negeri juga harus menimbangkan penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) ataupun Tetap misalnya berkenaan ekonomi, perumahan, kerajaan tempatan dan lain-lain yang difikirkan perlu, yang dianggotai oleh ahli Dewan daripada pihak kerajaan serta pembangkang.

Ini bagi membolehkan ‘engagement’ antara pihak kerajaan dan pembangkang dapat dilaksanakan demi agenda pembangunan negeri Johor.

Konsep rakan strategik bukanlah sekadar bersama dalam satu perikatan politik, walaupun ia bukanlah juga sesuatu yang mustahil. Namun, apa yang lebih penting ialah, pihak kerajaan dan pembangkang dilibatkan bersama secara holistik untuk memainkan peranan terbaik dalam proses pembangunan negeri.

Gabungan besar politik

Dewasa ini, konsep gabungan besar politik sering diwar-warkan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Konsep gabungan besar politik pernah dilaksanakan di negara maju seperti Jerman dalam usaha memperbaiki perpecahan politik negara dan pada masa yang sama menggembeleng tenaga semua pihak untuk membangunkan negara.  

Sebagai contoh, Jerman di bawah pentadbiran Canselor Angela Merkel pada penggal 2005-2009 telah mengabungkan beberapa parti yang secara konseptualnya berbeza ideologi iaitu Christian Democratic Union (CDU), Christian Social Union of Bavaria (CSU) dan Social Democratic Party (SPD) dalam sebuah kerajaan.

Konsep Große Koalition sedikit sebanyak memberikan ruang perundingan melibatkan suara pelbagai pihak dalam mencapai usaha yang sama.

Menariknya, konsep Große Koalition ini tidak tertakluk kepada perubahan di peringkat Persekutuan semata-mata, bahkan kerajaan juga terbentuk daripada gabungan parti-parti di peringkat negeri contohnya di negeri Mecklenburg-Vorpommern dan Niedersachen yang melibatkan parti CDU dan SPD.

Oleh itu, tidak salah jika wacana gabungan besar rentas parti ini dilaksanakan di Malaysia dengan menekuni model Jerman. Walaubagaimanapun, mengambil kira kesulitan mencapai situasi 'menang-menang' dalam konteks politik Malaysia, konsep rakan strategik adalah memadai untuk diamalkan sehinggalah pilihan raya umum yang akan datang.

Apa yang penting, kepentingan rakyat didahulukan berbanding kepentingan politik.

Dalam konteks negeri Johor, situasi kerajaan yang ada pada ketika ini adalah ibarat ‘duduk di pucuk rebung, bergerak patah, digerak pun patah’. Berdasarkan fakta ini, kerajaan harus lebih bersikap responsif dan melibatkan pihak pembangkang sebagai rakan strategik pembangunan negeri berbanding melayan kami umpama musuh yang perlu dijauhi.  

Kedua-dua pihak adalah bertanggungjawab secara langsung kepada rakyat yang mahukan perkhidmatan terbaik. Justeru, dalam mendepani cabaran situasi pandemik kini, pihak kerajaan dan pembangkang perlu sama-sama bersatu hati seperti kata bidalan ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Kerana pada akhirnya, kematangan demokrasi dan politik kita tergantung sejauh mana kepentingan rakyat dan negeri dapat mengatasi kepentingan sempit survival politik kepartian semata-mata.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI merupakan Adun Paloh dan ketua Pemuda DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.