Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Korban Bintang Tiga

Salah satu kesukaran mengkaji perang ini adalah mendapatkan data yang tepat daripada penduduk kampung. Masing-masing menyatakan maklumat secara umum tetapi biasanya gagal menyebut nama atau perinciannya.

Dalam usaha menjejaki mangsa perang Sungai Manik yang berlaku selepas Jepun menyerah kalah, saya temui Haji Ibrahim Che Lah, bekas tentera Inggeris. Beliau mengagahkan dirinya untuk menunjukkan kepada kami lokasi tujuh orang yang terkorban dalam perang tersebut.

Beliau sudah berusia lebih 80 tahun. Mula berkhidmat sebagai tentera pada 1954 dan bersara pada 1973 sebagai Pegawai Waran 1.

Berpuluh tahun berlalu maka makam itu tidak dijaga. Oleh itu, Haji Ibrahim bersama jawatankuasa Masjid Chikus pada tahun 2000 membuat batu peringatan. Ia menjadi ingatan dan untuk tatapan generasi akan datang bagi menghargai perjuangan di kampung.

Di situ Haji Ibrahim memimpin bacaan tahlil dan saya membaca doa. Makam itu terletak berhampiran beberapa rumah orang kampung.

"Dulu-dulu adalah juga yang datang ziarah. Sekarang dah tak ada," kata mak cik yang tinggal berhampiran kubur itu dengan dialek Mandailing yang pekat.

Lama benar saya tidak mendengar dialek sebegitu. Hilangkah juga nanti dialek itu seperti hilangnya sejarah penghuni makam berkenaan?

Mereka terkorban berhampiran jambatan besi Chikus yang merentangi Sungai Batang Padang. Mereka dikebumikan dalam satu liang lahad dan disempurnakan sebagai mati syahid.

Ke Langkap nak berbincang 

Jambatan itu sebahagian besinya dicuri oleh orang miskin jiwa dan tiada harta. Curi besi buruk buat isi perut anak bini, apalah sangat kalau dibandingkan dengan curi duit negara, kan?

Makam itu terletak di jalan ke Madrasah Jamiatul Banat wal Banin dan berhampiran dengan bekas landasan kereta api. Sekolah yang diasaskan Yahya Subhan dan menjadi tempat Ustazah Sakinah Jonid bertugas sebagai guru. Begitu juga dengan Ustaz Othman Abdullah, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat. Mereka bekerja di sekolah yang sama.

Ketujuh-tujuh orang itu terkorban ketika mereka dalam perjalanan ke Langkap. Mereka dikatakan diserang oleh annggota Bintang Tiga di jambatan besi kereta api Chikus.

Kejadian itu bermula apabila salah seorang ulama kampung, Haji Ali Ahmad didatangi Bintang Tiga yang menawarkan perdamaian dengan penduduk kampung.

Kemudian di rumahnya Haji Ali mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga dan beberapa penduduk kampung. Mereka memutuskan untuk bersetuju berdamai dan pergi ke Langkap bagi membincangkan perdamaian tersebut.

Haji Ali pergi ke Langkap diiringi Ghazali Adam dan Abdul Hamed Kari. Sesampainya mereka di Masjid Chikus, Ghazali mengetuk kerantung mengajak penduduk kampung lain keluar dari rumah untuk ke Langkap.

Hanya Talib Ali, Zakaria Mat Amin dan Haji Abdul Hamid Abdul Ghani keluar dari rumah dan bersetuju untuk pergi bersama ke Langkap. Turut serta dalam rombongan itu ialah Haji Dahlan Ali, bapa mertua Haji Abdul Hamid.

Beliau adalah seorang ulama tempatan.

Haji Ali - dengan berpakaian jubah hitam dan bertongkat yang diikat dengan kain putih - mengetuai rombongan itu ke Langkap. Kain putih itu menandakan mereka bersetuju ‘menyerah diri’ untuk berdamai.

Namun sesampai sahaja mereka di jambatan besi berkenaan, mereka ditembak satu persatu oleh Bintang Tiga yang datang sebagai pengiring.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi suatu Jumaat. Tidak diketahui mengapa perkara itu berlaku. Sedangkan rombongan yang diketuai Haji Ali itu bersetuju untuk berdamai.

Kemudian semua jenazah diikat secara berangkai dan direndam di dalam Sungai Batang Padang. Kejadian itu disaksikan oleh Mohd Noor yang mengendap di celah-celah ketebalan hutan.

Mohd Noor bergegas lari memberitahu ahli keluarga dan orang kampung lain.

Takut ditembak Bintang Tiga

Setelah itu, empat penduduk kampung Chikus pergi ke tempat kejadian dan menguruskan jenazah terbabit. Mereka yang terkorban itu dikebumikan dengan pakaian yang ada di badan masing-masing.

Tiada kain kafan dan mereka disempurnakan selayaknya orang mati syahid. Tiada maklumat siapa yang memutuskan status kematian mereka sebagai mati syahid perang ataupun syahid bil qital.

Mereka dikebumikan dlam satu liang lahad dan urusan menyempurnakan jenazah berkenaan selesai menjelang Maghrib. Terdapat juga sumber yang menyatakan dua daripada mereka yang terkorban itu dikebumikan di tanah perkuburan Parit 1 Sungai Manik oleh ahli keluarga mereka.

Ibrahim Che Lah

Satu sumber lain menyatakan bahawa jenazah dimandi dan dikebumikan oleh Haji Asmuni Saleh bersama tiga orang lain. Haji Asmuni ialah salah seorang penduduk tempatan yang terselamat daripada terbunuh kerana tidak turut serta bersama ke Langkap.

Menurut Haji Asmuni yang dipetik daripada laporan Abu Bakar Sidek, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi Jumaat. Pada ketika itu, ramai penduduk tidak berani keluar rumah kerana bimbang ditembak Bintang Tiga.

Haji Asmuni ditugaskan menjaga keselamatan ahli keluarganya sahaja.

Seramai 7 orang terkorban dalam kejadian tersebut. Mereka adalah:

  1. Haji Ali Ahmad (ulama)
  2. Haji Dahlan Ali (ulama)
  3. Haji Abdul Hamid Haji Abdul Ghani
  4. Abdul Hamed Kari
  5. Talib Ali
  6. Zakaria Mat Amin (remaja)
  7. Ghazali Haji Adam (remaja)

Mereka dikebumikan berhampiran jambatan keretapi di antara Degong dan Chikus yang merintangi Sungai Batang Padang. Sebuah papan tanda diletak bagi memudahkan orang ramai mengetahui kedudukan makam tersebut.

Papan tanda itu dibuat atas inisiatif jawatankuasa masjid yang menyedari kepentingan sejarah perjuangan masyarakat dahulu untuk tatapan generasi baru.

Sehari selepas pembunuhan itu, Bintang Tiga menangkap 11 orang kampung termasuk Khalifah Haji Bakri yang hadir dalam majlis perdamaian di Langkap.

Ini memang menambah-nambah ketakutan orang kampung. Kisah ini akan dikongsi pada artikel berasingan.

Terdapat seorang lagi nama yang terkorban iaiu Sidang Mat Dili yang berasal dari Kunci Air 12. Beliau merupakan ketua suku Mandailing. Haji Ismail Pekan Rabu juga terkorban dan dikebumi di tanah perkuburan Parit 1 Sungai Manik oleh Haji Abdul Rahman, Timbalan Khalifah Perang Sabil.

Md Yusuf Saad

Manakala Ibrahim dengan anaknya, Junid, dari Parit 2B Sungai Manik juga dibunuh oleh Bintang Tiga dan dikebumi di hadapan rumah mereka. Junid lebih dikenali dengan nama Mat Grouk.

Saad Man yang mengebumikan mereka secara tergesa-gesa tanpa disembahyang dan dikafan bagi mengelakkan terserempak dengan Bintang Tiga.

Menurut cerita Yusuf Pancho pula, pada masa itu penduduk kampung berlindung di celah-celah londang keladi di belakang rumah mereka.

Seorang tukang gunting rambut Mohamad Karim terbunuh ditembak dan dikebumi di belakang stesen kereta api kampung tersebut. Tiada keterangan lanjut mengenai arwah melainkan bekerja sebagai tukang gunting rambut di kampung Sungai Tukang Sidin.

Ada juga wanita yang terkorban di tangan Bintang Tiga. Antaranya yang dicatat ialah Suhaibah Abdul Manap, seorang suri rumah di Chikus dan dari suku Mandailing.

Suhaibah meninggalkan suaminya, Ontok, dan dua anak mereka, Maimunah dan Jaafar. Jenazah wanita malang itu dibiarkan selama beberapa hari di Sungai Bidor kerana keadaan yang tidak aman. Namun akhirnya dapat disempurnakan dan dikebumikan di tanah perkuburan Parit 10, Chikus.

Usaha menjejaki sejarah perang ini masih berjalan. Semoga yang gugur dan yang telah pergi dicucuri roh mereka dengan rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.

(Artikel ini sebahagian daripada kandungan dari kajian Antropologi Politik Kampung Sungai Manik yang diusahakan oleh penulis dengan berasaskan temu bual dengan Shafei Ariffin, Haji Ibrahim Che Lah, Md Yusuf Saad, Ahmad Shafie Mohamad, Badrol Hisham Sabri, Marzuki Siran dan rujukan lain. Penulis mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan bagi memperbaiki kajian ini. Sila hubungi: [email protected]. Gambar di permulaan artikel ini merupakan batu peringatan yang tertulis nama mangsa Perang Sungai Manik.)


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei serta buku dan sekarang sebagai koodinator Melaka 5 Minit yang menerbitkan video dokumentari di media sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.