Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Wakil rakyat

Kamu adalah wakil rakyat.

Rakyat. Bukan selain daripadanya. Di dalam demokrasi berparlimen, rakyat masih dan adalah kekal segala-galanya. Maka kamu tidak akan mendengar selain daripada Rakyat. Di zaman tidak ada lagi Nabi, sabda sesiapa pun tidak harus kamu dengari.

Hanya rakyat.

Hilary Mantel (bawah), antara pengarang novel sejarah berbobot di United Kingdom pernah mengatakan; “Persoalannya bukan siapa yang mempengaruhi kamu; tetapi siapakah yang memberi kamu keberanian?”

Andaikan kamu sekarang berada di barisan paling hadapan satu pertempuran. Kamu perlu berani. Rakyat mengharapkan kamu. Ini kerana kamu adalah para jeneral dan komander perang. Satu kekhilafahan meletakkan kamu dalam malapetaka. Sebuah negara musuh, yang jahat, bengis dan tidak berperikemanusiaan sedang bersiap menyerbu. Kamu sudah meniti strategi perang selama berminggu lamanya, berbahas, membentak dan melakukan pelbagai daya usaha untuk berhasil kelak. Kamu adalah wakil rakyat di medan tempur itu. Apakah senjata kamu selain peluru kata-kata?

Sebagai wakil rakyat yang membezakan kamu dengan wakil babi misalnya ialah kamu ada akal. Babi tiada. Mungkin, antara kedua-dua kamu dan babi itu ada satu sifat yang sama; iaitu rakus dan menyondol, tetapi kamu masih bukan babi. Kamu tidak boleh menjadi babi. Kerana kamu wakil rakyat.

Di saat musuh akan menyerbu dalam perang paling taktikal yang telah kamu nantikan selama beberapa bulan apakah yang akan kamu lakukan apabila kamu perlu membuat keputusan?

Kamu adalah wakil rakyat. Rakyat. Bukan selain daripadanya. Di dalam demokrasi berparlimen, rakyat masih, dan adalah kekal segala-galanya. Maka kamu tidak akan mendengar selain daripada rakyat. Maka mengapakah kamu mengundur meninggalkan medan perang dan menjadi pengecut? Apakah yang telah kamu lakukan, duhai bedebah bacul?

“Persoalannya bukan siapa yang mempengaruhi kamu; tetapi siapakah yang memberi kamu keberanian?”

Kami mengerti jika beras, gula dan garam tidak mampir di tangga rumah. Kami biasa susah. Andai Tuhan memberkati, moga ada 99 orang Ebit Lew (bawah) akan bertandang di anjung kediaman esok lusa. 

Kerja mengagih makan dan minum itu boleh dilakukan para dai sepertinya. Yang kami minta untuk kamu, wakil rakyat ialah melakukan kerja kamu dalam ruang demokrasi iaitu berdiri dan bertempur di medan perang. Pertempuran itu di saat musuh negara terdiri daripada penyangak dan kleptokrat menyerbu dan kamu sudah memikirkan untuk melawan sesungguh kudrat.

‘Kamu berakal’

Kamu adalah wakil rakyat. Beza kamu dengan babi ialah kamu berakal. Babi tidak begitu, ia hanya menyungkur. Di saat terdapat tuntutan penggunaan akal apakah pertimbangan rasio kamu?

Saidina Ali mengatakan, “Akal adalah naluri, sedangkan yang mengasuhnya adalah berbagai pengalaman.” Ketika itulah, di saat genting kamu diperlukan membuat keputusan; apakah yang kamu lakukan sebagai wakil rakyat? Tentu kamu akan memilih naluri berasaskan pengalaman yang kamu ceramah-ceramahkan kehebatannya dalam pelbagai rapat. Bahawa kamu tahu yang kamu lakukan ini benar, dan jika kamu tidak melakukannya kamu akan menyebabkan kekalahan bertimpaan.

Tapi kamu bodoh, di saat muncung senapang teracu. Kamu kecut.

Saidina Ali mengingatkan, “Akal adalah rakaman terhadap berbagai pengalaman.”

Kamu sudah menimba pelbagai pengalaman beberapa penggal, maka mengapakah kamu humbankan ke sisi dan mengambil firman kebohongan dan titah tidak berpelembagaan?

Ada yang mungkin melakukannya dengan tidak sengaja. Benarkah mereka berdiri berjuang secara tidak sengaja? Tidak, tidak tentunya. Tidak ada yang berlaku di dunia ini dengan tidak sengaja. Kata Saidina Ali lagi, “Pertalian paling berharga adalah akal yang berpasangan dengan kemujuran.”

Tahukah kamu kekalahan bergasak di medan itu bakal memberi nahas selama beberapa dekad lamanya buat rakyat? Bahawa satu kali dihempuk tak berdaya bangkit bermusim lamanya. Setiap saat dan detik kamu di situ, kamu adalah wakil rakyat.

Kamu bukan selain darinya. Tahukah kamu, kata Khalifah Umar Abdul Aziz bahawa seekor unta yang patah kakinya kerana terjeblos dalam jalan yang berlubang akan menghantar pemimpinnya ke nuraka. Di manakah kamu wakil rakyat?

Ada keperluan kamu melakukan reformasi. Yang perlu dilakukan ialah reformasi dalam khemah kamu sendiri; lengserkan kebodohan yang mencekak dari kolar baju kamu duhai wakil. Kemudian barulah kamu datang kembali menawarkan pemulihan untuk negara yang sudah musnah akibat perang yang tidak kamu wakili. Mungkin ia memakan masa dua penggal. Sementara itu biarlah kami menghantar kamu ke nuraka.

Tak usah berbicara dengan kami wahai pengecut bodoh. Tak usah menjelaskan. Kamu bodoh. Kamu bacul. Kamu bodoh. Kamu bacul. Kamu bodoh. Kamu bacul. Kamu bodoh. Kamu bacul. Kamu bodoh. Kamu bacul. Kamu bodoh. Kamu bacul. Kamu bodoh. Kamu bacul. BB. Bodoh bacul. Bacul Bodoh. Kamu!

Jika kamu menonton empat musim The Crown yang ditayangkan di Netflix, mengenai berdiri duduknya politik antara Ratu Elizabeth dan perdana menterinya, kamu akan segera mengetahui satu mesej jelas yang ingin dihantar: 

Keluarga Lilibet adalah manusia biasa, yakni mereka tidak kudus; justeru zina, skandal, helah, percekcokan, anak haram, kedengkian, kecemburuan dan haloba adalah bahagian dari hidup keluarga diraja Inggeris. Drama empat siri itu menunjukkan Istana Buckingham bukan Kaabah. Elizabeth yang bukan Nabi, pada satu ketika berkata kepada perdana menteri dari Parti Buruh, “Beta tidak memilih”. Dia seorang ratu yang mengetahui duduk letak perlembagaan, itu meskipun Elizabeth diketahui selesa dengan pemimpin dari Parti Konservatif yang mengampunya.

Siapa beri keberanian?

Benarlah, “Persoalannya bukan siapa yang mempengaruhi kamu; tetapi siapakah yang memberi kamu keberanian?” Di zaman tidak ada lagi Nabi, sabda sesiapa pun tidak harus kamu dengari. Hanya Rakyat. Kamu adalah wakil rakyat. Kamu berakal dan ia naluri dari pengalaman.

Dan kamu bukan babi, kamu berakal. Selalu akal dihubungkan dengan otak. Jacob Jelsing yang dipetik dalam makalah karangan Kathryn Phillips “Learning from Pig Brains” terbit di Journal of Experimental Biology 2006 halaman 209 mengatakan otak babi lebih kecil dari manusia.

Walaupun kadang babi setara pandai dengan insan. Akal tetap membuatkan manusia mempunyai ciri terbaik mengatasi haiwan. Apabila rasio diperlukan, di sinilah manusia memilih untuk melakukan sesuatu yang berani, dan tidak mudah dipengaruhi. Apatah lagi ketika kamu di medan perang yang memerlukan ketajaman fikiran dan daya analisis serta penggunaan akal yang cemerlang. Kamu wakil rakyat, bukan wakil babi. Tentu, kamu harus lebih baik daripada haiwan; dapat segera menaakul dan membuat keputusan yang jitu.

Kamu berakal. Kamu wakil rakyat. Selalu akal dihubungkan dengan otak.

Di mana otak kamu? Atau, ada otakkah kamu?

“Persoalannya bukan siapa yang mempengaruhi kamu; tetapi siapakah yang memberi kamu keberanian?”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.