KOLUM | Pandemik dan sastera
Sudah hampir setahun pandemik Covid-19 berlaku di seluruh dunia dan mengubah kehidupan secara amnya. Tidak kira siapa, status, pekerjaan dan usia, semuanya menghadapi akibat yang sama.
Pandemik Covid-19seperti epidemik dan peperangan sebelum ini, akan memberikan inspirasi dan ilham yang sebaiknya kepada penulis. Pengarang besar menghasilkan karya mengenai pandemik sebelum ini dan menggunakannya sebagai simbol untuk bacaan semua.
Koronavirus baharu itu akan menjadi sebahagian latar sastera dan imaginasi kemanusiaan seperti peperangan, wabak dan pandemik lain dalam sejarah. Terus menaungi kehidupan sebelum kiamat.
Dalam keadaan begini, penulis terus menghasilkan karya, memanfaatkan teknologi dan masa dengan membudayakan normal baharu yang berlaku sekelip mata. Terus memeriahkan dan mengimarahkan sastera, seni dan budaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sewaktu PKP, karyawan terus berkarya dan berkongsi pengalaman dengan pembaca dan mula mencari peluang dalam talian. Dunia penulisan tiada terhad dan memerlukan langkah panjang untuk terus subur.
Tulisan ini lebih berkisar tentang penulisan dan tidak menyentuh sastera yang lain seperti teater, drama dan filem yang lebih luas.
Dilihat secara proaktif dan terbuka, peluang terus mencakupi pelantar media sosial yang bersesuaian. Media sosial membuka pelbagai ruang sastera, bicara seni, diskusi karya kendiri dan peluang peluang berkolaborasi dengan karyawan lain.
Boleh dikatakan ada empat cabaran besar yang membuatkan dunia sastera dan penerbitan buku tenggelam timbul.
Cabaran dari sudut ekonomi penulis yang berkecamuk, cabaran dunia digital yang melanda, cabaran dunia politik yang tiada tahu hala, cabaran epidemik Covid-19 dan PKP yang menghantui.
Empat serangan tiba-tiba melempar dunia sastera dan penerbitan buku sehingga hampir semua pemainnya terkial-kial mencari status yang merudum.
Sekarang kacau bilau merempuh dunia sastera dan penerbitan buku yang membuat fikiran terus sejenak menerawang dan mencari jalan keluar dari permasalahan.
Waktu ini dengan kemunculan teknologi yang mendadak seperti e-buku benar-benar mengubah kehidupan di tambah dengan pandemik. Dengan muncul warga digital atau online di serata dunia yang menyebabkan e-buku mengatasi buku bercetak bukan lagi kehairanan. Buku terus merudum di pasaran.
Era dan zaman telah berubah. Kita sudah mahu merninggalkan 2020 dan wawasan yang dilupakan.
Ternganga
Apalagi dengan pandemik terus menutup kedai-kedai buku yang tidak beroperasi. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ditangguhkan dan apa jadi pada KLWBC 2020 (Kuala Lumpur World Book Capital 2020) tiada ramai yang ambil tahu.
Selalu PBAKL mendapat sambutan meriah tetapi kali ini pemainnya ternganga. PBAKL ditangguhkan dan begitu pasaran buku yang sudah dicetak untuk jualan, terus berbungkus di stor.
Apalagi suasana politik negara yang masih berkecamuk dengan pertukaran kerajaan. Para pemimpin bergaduh di pentas politik dan orang sastera turut tergendala dengan pertanyaan, kearah mana?
Begitupun orang sastera baik terus bermimpi dari terjaga dengan kejutan. Orang politik tidak peduli dengan orang sastera sejak merdeka.
Kacau bilau terus menghantui dengan orang politik dan pandemik, sehingga cabaran ekonomi turut merangkumi para penulis. Dengan dunia digital penulis mesti berubah dan melihat peluang.
Dunia digital dan e-buku diisi oleh penulis baru tetapi tidak dunia sastera sepenuhnya. Novel-novel terus berkembang dengan bahasa yang lebih sesuai untuk pembaca sekarang.
Dunia sastera dikecilkan apabila generasi baharu sudah jatuh dengan Internet, siber dan digital untuk berkembang dengan elektronik atau e. Yang pasti semuanya ada di alam maya tanpa perlu membeli buku, majalah dan akhbar yang tidak lagi laku.
Kita boleh melihat Utusan Melayu telah terbuang dan bangkit kembali tanpa pengisian sastera. Utusan Malaysia hanya akhbar memaparkan berita, tidak lebih dari itu.
Maka dunia sastera terus tenggelam apabila Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terus tiada. Saya memenangi sembilan HSKU.
Sebenarnya, karya sastera dan kreatif tidak dihasilkan dari ruang yang kosong dan terbiar. Karya mempunyai asas yang lahir dari dalaman penulis dalam membicarakan tentang sesuatu perkara yang melingkari kehidupan manusia sejagat. Selepas 100 tahun dunia telah melalui banyak krisis pandemik, tetapi karya yang memaparkan tentang realiti semasa amat terhad dan kurang.
Karya sastera memainkan peranan tersendiri dalam memberi pengajaran sejarah melalui lakaran karya-karya kreatif. Karya adalah ekspresi penulis tentang keadaan masyarakat atas sifat tanggungjawab sosial bagi membantu meleraikan ketegangan.
Memberi ruang luas pengkaryaan dunia sastera agar tidaklah terpinggir sunyi dan menyepi mendiamkan diri. Masyarakat sastera yang membudayakan normal yang baharu boleh mengimarahkan perkembangan sastera dengan sebaiknya.
Sememangnya utilisasi pelantar maya yang tersusun untuk memperkemaskan sastera merupakan tanda aras baharu lahir dalam gelombang pandemik Covid-19.
Cukuplah khalayak menghubungkan orang sastera sebagai golongan yang mahukan dan berusaha untuk publisiti semata. Sebaliknya bersedia untuk menerima perjuangan penulis sebagai barisan hadapan yang berharap agar ‘kita jaga kita’.
Dasar Sastera Kebangsaan
Koronavirus baharu itu akan menjadi sebahagian belakang sastera dan imaginasi kemanusiaan seperti peperangan, wabak dan pandemik lain dalam sejarah yang berlaku.
Begitu dengan Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) selepas lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan. Diharapkan DSK sudah membuka lebih banyak peluang kepada penulis, sasterawan dan para karyawan, penerbitan buku dan e-buku.
Kita mengharap belanjawan 2021 akan memasukkan karyawan dan karya sastera. Tiada penerbitan buku dan e-buku seperti pemberian baucer kepada para pelajar dan pengajar. Malangnya tiada.
Tiada peruntukan disediakan bagi mengangkat sastera kebangsaan yang terus tercicir daripada perkiraan dan pertimbangan para pembuat dasar di Putrajaya. Boleh dikatakan punca kuasa bidang kesusasteraan terus dipermainkan antara kementerian dan jabatan yang berbeza. Lantas pendukung kesusasteraan dalam kalangan rakyat biasa bersemuka dengan ketidaktahuan dan kekeliruan untuk memohon perlindungan dan bantuan.
Mungkin dasar sastera kebangsaan tidak penting bagi negara dan pemimpin yang bertukar ganti.
Bagi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat agak terkedepan dengan mengendalikan acara kesusasteraan pada setiap hari Rabu dan Sabtu. Duduk membincangkan pelbagai topik sastera yang boleh diikuti khalayak secara dalam talian. Memang membanggakan sebab walaupun UAE begitu maju dari aspek ekonomi, namun mereka masih menitikberatkan aspek-aspek sastera.
Setiap tahun diadakan Emirates Literature Festival (bawah) dengan acara yang sungguh hebat dan hadiah sastera yang menarik.
Kini bertambahnya penerbitan buku antologi terbitan pihak persendirian yang berkonsepkan pembiayaan bersama atau crowd funding terus menular. Semakin ramai penulis mendapat peluang menerbitkan karya sesama sendiri.
Untuk konsep baharu yang diperkenalkan semua penulis boleh mengirim karya dan membuat prapembayaran sebagai kos belian wajib untuk setiap buku.
Walau begitu tidak dapat menjamin kelangsungan sastera tinggi yang boleh diterima sebagai tahap sastera kebangsaan. Pastinya menggunakan kriteria yang lebih ketat untuk penilaian dan penganugerahan sastera dan ini sukar untuk diukur.
Penulis mapan biasanya tidak memasuki kelaziman baharu penerbitan dan ini makin menjurangkan. Ternyata sekarang jumlah karya dari bercetak amat kecil untuk dinilai. Walhal realitinya jumlah karya yang tersiar dalam elektronik begitu banyak dan meluas sekali. Tidak semua karya dalam elektronik layak dinilai sebab hanya karya yang tersiar dalam terbitan yang berdaftar dengan ISBN atau ISSN.
Dalam belanjawan tiada peruntukan seperti baucar untuk buku dan e-buku dalam pandemik Covid-19 yang terus melanda.
Sastera akan terus hidup berkembang namun hanya sekadar hidup dan bukan dinamik. Masih terus mencari tanda aras baharu sastera kebangsaan. Perhatian khas daripada kerajaan yang memerintah tidak kira siapa, sangat perlu diberikan kepada dunia sastera, penerbitan buku dan e-buku.
DBP 64 tahun
Belanjawan negara bukan hanya kepada industri hiburan yang melampau batas, drama dan filem yang banyak untuk rakyat.
Bercakap mengenai sastera, kita tidak lupa pada 22 Jun 2020, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut ulang tahun ke-64. Umurnya sama dengan kemerdekaan negara. Apalagi Malaysia sebuah negara yang memiliki satu institusi yang selengkap dan sebesar DBP.
DBP menerima nasib kurang perhatian apabila sastera dan pendukungnya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan. Begitu ramai orang sastera yang bergantung harapan pada DBP dalam komuniti, pengembangan, penerbitan dan pemasaran karya saban tahun.
DBP gagal memenuhi kehendak orang sastera maka berlakulah serangan kritikan demi kritikan yang menggasak mencari jawaban. DBP perlu terus diberi peruntukan yang munasabah bagi memenuhi harapan orang sastera yang kebanyakannya hidup dengan semangat sukarela. Mereka amat mengharapkan bantuan daripada DBP untuk menjalankan aktiviti. Kita berharap peruntukan DBP tidak dipotong untuk membantu pelbagai persatuan kebudayaan.
Dr Awang Sariyan sebagai pengerusi jawatankuasa pengelola DBP yang baharu memberikan keyakinan masyarakat terhadap DBP sebagai penguasa bahasa yang berani dan dinamik. Tidak sekadar pendidik bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Akta DBP.
Kita masih ingat yang pegawai DBP pernah mempunyai semangat yang hebat. Mereka sangat dihormati oleh masyarakat apabila warganya turut mempertahankan bahasa Melayu dalam isu Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1967 ketika kerajaan memungkiri janji.
Peristiwa yang dikenali sebagai Keranda 152 ini didokong oleh orang kuat DBP.
Maka adakah DBP masih relevan lagi ketika pandemik dan belanjawan yang kurang mesra sastera?
Saya percaya DBP masih terus relevan!
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai