Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Ustaz bisnes

KOLUM | Ada seorang ustaz yang menjual minyak wangi. Beliau agak terkenal dalam kalangan penceramah. Selalu juga beliau muncul di kaca tivi dan juga radio.

Wangi-wangian yang beliau jual juga kelihatan agak bergaya. Dibotolkan bahan itu dengan menarik dan pembuatannya kelihatan sangat profesional.

Setiap kali kebetulan duduk dalam ceramah ustaz itu, kami akan menunggu bila masanya beliau akan menyebut mengenai perniagaan yang dijalankannya.

Biasanya jika ada mana-mana ustaz yang berniaga, pada akhir ceramah mereka, akan diiklankanlah produk tersebut kepada para jemaah. Ia adalah usaha kecil-kecilan yang tidak menggangu sesiapa pun.

Namun setakat hari ini belum pernah kami dengar ustaz yang berniaga minyak wangi berkenaan mengiklankan minyak wanginya dalam mana-mana ceramah beliau.

Kami jadi lebih menghormati beliau kerana itu.

Memanglah tidak menjadi kesalahan untuk orang agama menjalankan perniagaan. Kami sendiri pernah kenal seorang tokoh yang kuat dalam berkerja untuk agama dan pada masa sama menjalankan perniagaan menjual dan membaiki jam.

Ramai tokoh agama yang menjalankan perniagaan dan ramai antara mereka tidak mengaitkan apa juga perniagaan masing-masing dengan amalan agama.

Menumpang keajaiban

Tidak kedengaran daripada para ustaz terbabit - misalnya - betapa jam tangan yang mereka jual itu telah dibacakan ayat-ayat yang menghalang bala.

Mereka ini adalah orang yang tahu beragama.

Tidak ada keperluan bagi mereka yakni para ustaz yang berniaga untuk menumpang keajaiban yang ada pada ayat-ayat tuhan demi mendapatkan sedikit laba berniaga.

Mereka faham bahawa orang yang beragama akan jadi lebih amanah dan lebih tertib apabila menjalankan perniagaan. Maka dari situlah datangnya keberkatan dalam agama dan perniagaan mereka.

Musim menjual air yang dijampi untuk menerangkan hati, kismis yang mencerdikan atau buah kana yang menyembuhkan kanser mungkin perlahan-lahan semakin lenyap.

Namun setelah lama hilang - atau sekurang-kurangnya tidak lagi diperkatakan - kini timbul pula kumpulan yang mengambil peluang daripada kesungguhan masyarakat mendekatkan diri dengan agama.

Orang yang mengamalkan agama dan pada masa sama menjadi jururujuk orang ramai mengenai hukum-hakam adalah manusia yang dipandang tinggi sejak dulu. Mereka adalah teladan baik kepada masyarakat.

Tidak ada kepentingan kepada mereka untuk menjerumuskan diri atau merendahkan ilmu mereka dengan masuk ke ruang perniagaan dengan menggunakan agama sebagai sandaran.

Kegilaan pada simbol

Mereka mungkin boleh menggunakan keperibadian mulia untuk menarik orang ramai kepada apa pun jenis perniagaan yang diusahakan. Tidak ada keperluan mengadakan dalih atau dalil bagi menumpang keagungan tuhan sebagai daya penarik.

Firman tuhan bukan untuk diniagakan dan menampal ayat sebiliun dinar di dinding perniagaan juga bukan jalan benar untuk menjadi kaya-raya.

Menjadi kesalahan besar apabila kita - sebagai orang yang beragama - melemparkan diri sendiri ke dalam dunia penjualan azimat, misalnya.

Mengatakan simbol itu atau ini menjadikan kita lebih dekat dengan agama adalah sesuatu yang amat malang. Agama kita sejak sekian lama bersungguh-sungguh menghapuskan kegilaan manusia kepada pelbagai simbol.

Tidak ada kuasa pada sesuatu apa pun. Kuasa mutlak hanya pada tuhan Yang Maha Kuasa.

Mencintai pesuruh-Nya bukan dengan menggayakan apa saja simbol, sebaliknya dengan beramal mengikut segala suruhan tuhan dengan cara yang diajarkan oleh baginda.

Ambillah agama dengan sepenuhnya dan tinggalkan kerja-kerja mengambil keuntungan yang kita yakin akan menambah makam diri melalui jalan memperdagangankan agama.

Kita yang hari ini perlu berhati-hati. Jika tidak, mana tahu satu hari nanti ada anak-anak kita menganggap batu bersurat di Terengganu sana adalah suci dan menyembahnya adalah jalan mendekatkan diri kepada tuhan.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara luka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.