KOLUM | Nabi Muhammad, muda
Ada dua insiden besar yang ditempuhi oleh Nabi Muhammad SAW dan kurang diketahui oleh ramai. Kedua-dua kejadian itu terjadi ketika Rasulullah SAW masih sangat muda. Iaitu dalam usia belasan tahun. Dua peristiwa besar ini patut menjadi pedoman kepada golongan muda, baik yang masih menuntut di pengajian tinggi; mahupun yang muda dalam lapangan politik, ekonomi dan budaya.
Peristiwa pertama itu melibatkan apa yang disebut di zaman Arab Jahiliah itu sebagai Perang Fujjar. Begini, orang Arab ketika zaman tersebut sering sahaja bergaduh, bertingkah dan berkelahi yang kemudian akan menjurus kepada perseteruan dahsyat. Permusuhan itu akan berpenghujung kepada perang.
Politik dalam kalangan suku Arab di era Jahiliah ini begitu sengit sehingga selalu, tidak jadi kerja lain - berperang. Setiap hari akan berlaku politicking. Ia mengakibatkan pasar atau kegiatan ekonomi terjejas teruk. Pasar Ukaz, Mujannah dan Dzil Majaz akan hambar dan kosong lantaran peniaga ketakutan dan menghindar dari berdagang. Apabila ini berlaku, kestabilan antara suku kaum di Hijaz itu juga tergugat. Pendek kata politicking penuh kerenah itu meletihkan semua.
Maka ditetapkan satu perjanjian atau kontrak yang mana semua suku Arab akan berusaha mengelak atau berpantang diri dari berperang pada bulan-bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Justeru, suku Arab akan melakukan gencatan politik, atau berhenti berpolitik, mungkin juga semacam pause. Ini supaya pasar yang tiga di Makkah itu dapat bernyawa. Dalam tempoh pause itu, puak kawan mahupun lawan akan berdagang dan berurusan seperti biasa; meskipun masih bermegah atau mengacah sakat antara satu sama lain dalam suasana terkawal.
Namun, kesepakatan pause ini ada empat kali pernah dilanggar. Pelanggaran ini dirujuk sebagai siri Perang Fujjar. Siri pertama itu berlaku antara suku Kananah dan Hawazan yang mana Badar bin Ma’syar mencelupar mulut membangga diri ketika berpuisi di tengah pasar, lantas terjadi pergaduhan. Siri kedua terjadi kerana seorang pemuda telah mengganggu seorang gadis dari Bani Amir. Siri ketiga pula tercetus oleh seorang pemuda suku Kananah yang menangguh-nangguh membayar hutang seorang dari Bani Amir. Pertengkaran antara mereka nyaris menyebabkan peperangan besar. Harus diingat semua suku ini semacam parti-parti berbeza yang saling bersaing dan berebut kuasa dan pengaruh di kota Makkah. Habis pantang empat bulan itu, kebiasaannya mereka akan berpolitik sesama sendiri kembali.
Nabi Muhammad terlibat dalam siri keempat Perang Fujjar yang berlangsung kira-kira tiga hingga empat tahun lamanya. Terdapat dakwaan Rasulullah SAW di usia 15 tahun, ada pula mengatakan baginda dalam umur 20 tahun ketika Perang Fujjar siri empat itu meletus.
Kejadian ini berlaku kerana Nu’man bin Manzar seorang tycoon besar menghantar rombongan ke pasar Ukaz, yang mana dagangannya adalah kulit, tali, dan kain ela. Beliau melantik Urwah ar Rijal dari suku Hawazan untuk melindungi gerombolan dagang ini. Pun, Baraz bin Qais dari suku Kananah mempertikaikan posisi yang diberi kepada Urwah itu. Ia cuba menemui Nu’man untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya ekoran tidak dilantik. Ini semacam seseorang tidak rela melihat lawan dari parti lainnya diberi habuan GLC. Rasa geram Baraz meluap lalu dia memintas armada dagangan itu di daerah Bani Marrah. Baraz pun membunuh Urwah, yang berasal dari Qays al-Aylan.
Dengan berat hati
Ketika itu kaum Quraisy berada dalam muafakat dengan suku Kananah; justeru dengan berat hati kaum Quraisy terpaksa ikut berperang dengan suku Hawazan tanpa sebab kukuh. Ini seolah-olah kaum Quraisy perlu ikut menjadi pak turut oleh kegilaan seorang dari suku Kananah yang ingin berkuasa. Padahal kita mengetahui perang atau pertikaian sesama mereka itu sangatlah trivia, tidak berpihak kepada orang tertindas dan semata-mata untuk membenarkan cita-cita satu orang untuk menjadi ketua.
Bapa saudara Nabi Muhammad SAW didesak untuk ikut berperang memandangkan kaum Quraisy menyertai muafakat dengan suku Kananah ini. Maka dengan rasa berat hati beliau terpaksa ikut serta dan bertempur sia-sia sebanyak dua kali. Baginda Nabi Muhammad SAW dibawa dalam dua perlawanan ini dan peranan baginda sangat terhad iaitu ditugaskan mengutip anak panah musuh, menghimpunnya untuk diberi kepada bapa saudaranya.
Kejadian itu tentunya dilihat oleh Nabi Muhammad SAW, dan memahamkan baginda tentang ketidakadilan dan kegilaan pertelingkahan politik (baca: politicking) yang merugikan masyarakat. Namun demikian, pada waktu itu Nabi Muhammad masih muda. Baginda belum mempunyai suara untuk mendobrak dan merungkaikan permainan politik kaum elit yang kerjanya jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.
Perang Fujjar siri keempat itu berakhir dengan kerugian buat suku Kinanah kerana apabila gencatan politik diserukan kembali, mereka terpaksa membayar pampasan ekoran kematian lebih dua puluh tentera dari sebelah suku Hawazan dari kampung atau daerah Qays al-Ayan. Inisiatif kaum Quraisy telah meletakkan pause sekali lagi berlaku agar pertumpahan darah lebih besar dapat dielakkan. Satu perjanjian atau kesepakatan politik dimeterai. Ia dinamai Hilf al-Mutayyabin. Isinya adalah untuk kembali menghormati pantang berperang dalam empat bulan, dan lebih memberi perhatian kepada keamanan.
Nabi Muhammad SAW meskipun masih muda, telah ikut serta dalam perjanjian al-Mutayyabin ini. Rasulullah SAW pernah sekali bersabda, ketika berada bersama pak ciknya ketika Hilf al-Mutayyabin ditandatangani. Sejak itu sikap Rasulullah SAW ialah seberapa boleh dan daya mengelakkan perang, dan mengutamakan pause yang dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat. Nabi malah pernah dikatakan menyatakan, baginda tidak mahu melanggar perjanjian Hilf al-Mutayyabin meskipun diberikan “unta merah”. Hari ini “unta merah” yang demikian berkualiti di era Arab Jahiliah itu mungkin disamakan dengan era Jahiliah Melayu- Mercedes, atau Vellfire. Al-Albany dalam Al-Adab Al-Mufrad menyebutkan hadis ini sebagai sahih.
Kejadian di atas mendorong pengamatan yang lebih mencerahkan buat Rasulullah SAW, yang masih muda sehingga kemudian baginda ikut serta dalam satu lagi persepakatan yang lebih penting. Saya pernah menulis mengenai insiden ini di Malaysiakini dalam kolum pertama saya pada 14 Januari 2014 dengan tajuk “Masihkah nabi suri teladan”.
Kejadian Nabi Muhammad, muda; itu dirujuk sebagai Hilf al-Fudhul atau Deklarasi Belia yang baginda menandatanganinya. Kejadian ini jauh lebih signifikan, yang menurut saya menetapkan arah perjuangan Rasulullah SAW dalam politik. Yakni politik Nabi Muhammad itu ialah politik untuk membantu orang kecil, orang susah, orang tertindas atau dalam bahasa mudah, mempertahankan hak asasi manusia golongan kecil. Dalam hal ini seorang Badwi dari pedalaman Zubaid telah hadir ke kota Mekah membawa dagangan. Ash bin Wail (bapa Amru bin Ash), seorang tokoh bangsawan Quraisy malangnya telah membeli barangan dari tangan Badwi itu tanpa membayar dengan harga yang patut.
Syair duka di depan Kaabah
Saya ingin kalian membayangkan betapa Badwi dari al Zubaid itu ibarat Orang Asli yang datang dari pedalaman Gua Musang untuk berniaga di Putrajaya. Boleh jadi juga dia seorang lelaki Penan yang membawa rotan dan madu untuk diniagakan di luar Petrajaya. Ash bin Wail ini ahli korporat terkemuka, dia percaya oleh kebangsawanannya, ia tidak pun perlu memenuhi harga yang diletakkan oleh Badwi itu.
Lelaki Badwi itu rasa tertipu dan teraniaya. Satu-satunya yang boleh dilakukannya adalah bersyair di hadapan Kaabah sehingga akhirnya ramai mendengar dan mereka turut berasa terpanggil oleh kedukaan itu. Sekumpulan anak muda dari kelompok menengah dan bangsawan Quraisy yang rasa punya harga diri berasa perlu mengambil perhatian akan kejadian ini. Mereka tidak mahu menjadi seperti armada Bani Kinanah dan Hawazan ketika Perang Fujjar lagi.
Mereka yang segera memberi respons ialah Zubair bin Abdul Muthalib dan beberapa belia daripada kelas atas bani Hasyim, bani Asad bin Abd al Uzza, bani Zuhrah bin Kilab dan bani Taim bin Murrah. Pemuda-pemuda ini kita katakan muda yang berbudi, bertara, dan mahu ikut serta secara bermaruah. Mereka lantas berhimpun di kediaman Abdullah bin Jud’an untuk membuat satu ikrar; atau semacam ‘parti’ untuk membela hak orang teraniaya, merebut dan menekan kembali penindas sehingga terpulih hak-hak kaum kecil.
Sebaik anak-anak muda ini menandatangani Hilf al Fudhul; yang disertai oleh baginda Nabi Muhammad, muda; mereka langsung bergerak bersama-sama menuju ke villa Ash bin Wail. Tujuan anak muda itu satu, mereka menuntut supaya hak lelaki orang asli kaum Badwi ini diberi dengan adil. Demikian kuat landaan kaum muda tersebut, Ash bin Wail naik seram dan terpaksa akur melunas bayaran yang tidak terpenuh sebelumnya. Ini merupakan bukti yang golongan seperti Ash bin Wail pun boleh ditundukkan jika muda, berhimpun dalam satu blok.
Dua kisah Nabi Muhammad, muda; ini tentunya menjelaskan kepada kita betapa keperibadian Rasulullah saw itu tidak pun seperti hinaan dan nistaan Charlie Hebdo. Kita hendaklah tidak terbodoh melakukan keganasan. Sebaliknya, kita iaitu orang Islam boleh mendalami pelbagai episod sejarah Nabi Muhammad SAW dan memasyhurkannya kembali. Kita mesti melawan dengan maklumat dan ilmu, dan gigih mempromosi kebenaran tentang Rasulullah SAW. Kita tidak boleh menyalahkan Emmanuel Macron. Dia bukan orang Islam. Dia tidak tahu. Kita yang tahu dan Islam mestilah menjadikan dia faham. Membunuh dan mengerat kepala orang tidak membantu apa-apa untuk meningkatkan kefahaman kepada Islam. Kita hanya mengulangi perbuatan Arab Jahiliah.
Keduanya, pengajaran jelas dari dua insiden sirah di atas ialah anak muda mesti bersepakat untuk melawan ketidakadian. Anak muda mesti mencari jalan merungkai politik lama, politik orang tua, politik kaum elitis yang hanya memikirkan kepentingan, keuntungan dan agenda masing-masing sahaja. Kita kini tahu baginda Rasulullah SAW sama sekali tidak akan berada di belakang kaum penindas, apatah lagi menulis surat sokongan untuk mengisi habuan tertentu.
Muda, yakni Nabi Muhammad, muda; telah memihak kepada orang kecil tatkala itu. Jangan jadi pemuda lepas-pas saja keburuan GLC seperti zaman Perang Fujjar. Jangan pula jadi armada kesuntukan surat sokongan seperti suku sakat Ash bin Wail.
Dua perjanjian iaitu Hilf al-Mutayyabin dan Hilf al Fudhul telah menguatkan pendirian Nabi Muhammad, muda. Ini juga menjadi bukti dan hujah, muda bukan mesti melawan bergasak saja. Ini hujah sirah saya bawa. Dua perjanjian atau pause yang dipilih untuk disertai Nabi Muhammad itu adalah pilihan untuk menolak kerangka fikir lama dan tua. Baginda telah bersikap dengan tidak memilih untuk bersama-sama dengan kaum keparat elitis.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai