KOLUM | Usman di negeri Jebat menderhaka
Tulisan ini dikarang di Bukit Baru, Melaka, selepas darurat yang diinginkan kerajaan tidak diizin untuk diisytiharkan. Raja-raja Melayu yang bersidang di Istana Negara memutuskan demikian.
Covid-19 dihadapi dengan kebijaksanaan, bukannya perundangan yang sedemikian. Dan tidur malam pun sangat nyenyak.
Beberapa hari sebelumnya, saya membaca kembali karya-karya tentang zaman darurat (1948-1960). Antaranya buku tulisan SN Abdullah Hussain, Sebuah Perjalanan, SN Usman Awang (Turunnya Sebuah Bendera), Margeret Shennan (Our Man in Malaya) dan lain-lain. Baca tebuk-tebuk.
Meskipun darurat zaman Inggeris berbeza dengan zaman kerajaan tebuk atap, kesannya tetap sama. Ramai yang menanggung kepayahan dan mereka ialah rakyat biasa.
Sebutlah darurat apa pun. Darurat pentadbiran, darurat kesihatan atau istilah lain yang dicipta untuk mengabsahkan tindakan, ia adalah proses pembodohan rakyat.
Sebuah cerpen yang bertajuk Undang-undang Darurat tulisan Usman Awang pada 1955 adalah gambaran suasana waktu darurat suatu ketika dulu. Ia berkisar mengenai kisah pekerja ladang getah bercerita tentang tiga rakan mereka yang ditangkap polis. Bedah, Timah dan Munah ditangkap kerana membawa dua ketul ubi rebus ke kawasan larangan.
Kak Tipah membawa ubi parut untuk makan tengah harinya, Nenek Limah membawa pulut urap dan Timah - seorang gadis miskin - membawa keledek juga ditangkap atas kesalahan yang sama.
Usman menulis dalam cerpen itu: "Beginilah kita orang miskin ni….. Orang yang membuat undang-undang itu bukankan memikirkan itu semua. Apa dia tahu tentang susah kita. Orang buat undang-undang untuk menyenangkan, tapi ini tak, menyusahkan orang. Yang susah ini orang miskin pula."
Hidup harmoni walau berbeza
Kisah itu mengingatkan kita tentang rakyat biasa yang didenda atas kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD). Ketika yang sama ada pihak yang terlepas atau dilepaskan. No further action.
Usman ialah antara susuk penulis yang pernah tinggal di Melaka semasa darurat. Penghujung Dis 1946, Usman melaporkan diri untuk bertugas sebagai mata-mata. Hatinya teruja bertugas di negeri Hang Jebat menderhaka ini.
Hembusan angin Selat Melaka kuat di Bandar Hilir terasa menampar-nampar pipi. Tiada beza dengan rasa elusan dengan angin Laut China Selatan di Kuala Sedili, kampung halamannya.
Sebagai mata-mata, Usman dibekalkan sebuah cota atau tongkat yang akhirnya menjadi salah satu nama penanya, Tongkat Warrant. Usman berbasikal untuk membuat rondaan keselamatan bagi memastikan undang-undang dikuatkuasakan.
Keadaan politik memang rusuh. Kekalahan Inggeris di tangan Jepun memberi semangat. Apabila perang tamat, Inggeris tidak semudah itu mengurus Tanah Melayu yang mula bergolak.
Di berek polis Jalan Kaba, Usman menyaksikan sendiri masyarakat hidup harmoni antara kaum dan agama. Masjid, gereja dan tokong hanya bersebelahan atau berhadapan. Masyarakatnya lebih terbuka. Melaka adalah salah satu Negeri Selat yang ditadbir Inggeris.
Setelah Jepun berundur, semangat perjuangan menuntut kemerdekaan sangat tinggi. Orang Melayu mula menggerakkan tenaga dan semangat untuk melawan Inggeris. Malayan Union mesti ditentang.
Namun sebagai anggota keselamatan, Usman bertugas untuk memastikan undang-undang semasa - maknanya undang-undang penjajah - dilaksanakan.
Di Melaka inilah, karya Usman pertama kali dinukilkan. Puisi pertamanya bertajuk Selat Melaka dan kedua, Bingkisan. Itulah dandanan kata-kata yang menghimpunkan segala rasa dan pengalaman Usman selama ini.
Karya-karya yang ditulis sewaktu di Melaka kebanyakannya berkisar persoalan hidupnya sebagai anggota polis. Antaranya, Kalau Ajallah Sampai…..!!, Mulanya Dia Menjadi Mata-mata, Cinta Di Negara Hang Tuah, dan Surat Dari Seorang Mata-mata.
Usman menyertai pasukan polis yang ditubuhkan sebahagiannya bagi mengalahkan komunis yang berseteru dengan Inggeris. Dalam suasana komunis adalah hitam dan Inggeris adalah putih, Usman bertugas dengan penuh resah dan gelisah.
Tahan seorang guru berbasikal
Ini kerana dalam komunis, ada juga anak tempatan yang idealis berada di dalamnya. Mereka jujur dalam berjuang dan memiliki idealogi sendiri.
Di rumah pasung, ramai anak muda disumbat ke dalam lokap yang dikawal Usman sendiri. Antaranya, Bung Karim, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) Melaka dan Wahi Anwar. Apabila dararut diisytihar pada 1948, jumlah tahanan semakin bertambah.
Pusat Tahanan di Tanjung Beruas menghimpunkan ribuan pejuang dan orang yang disyaki menentang Inggeris.
Rashid Maidin, Ahmad Boestamam, Ustaz Yahya Nasim, Cik Muda dari Terengganu, Cikgu Hamid dari Kelantan antara tahanan di situ. Penjara memang menjadi rumah kedua bagi pejuang-pejuang bangsa.
Dalam catatan Abdullah CD, anggota polis yang melepaskannya dalam suatu sekatan jalan raya selepas dia melarikan diri daripada tahanan Inggeris ialah Usman.
Tidak dipastikan kebenaran dakwaan itu. Usman juga pernah melepaskan seorang guru yang berbasikal tanpa lampu. Suatu ketika dulu basikal memang disyaratkan dilengkapi lampu.
"Ini salah," kata Usman lembut. Guru itu mengaku. Guru itu adalah Ghafar Baba yang akhirnya menjadi kenalannya.
Di Melaka, Usman berada di dua dunia. Separuh dirinya adalah mata-mata yang bekerja menyara kehidupan. Separuh lagi masih kosong. Usman mencari sesuatu bagi mengisi separuh dirinya yang mencari-cari makna kehidupan sebenar.
Dalam pencarian itu, Usman bertemu dengan Cikgu Alimin Muhamad yang mempunyai khutub khanah. Di situ separuh diri Usman mula terisi. Buku-buku dan pemikiran intelektual Usman secara diam-diam terbentuk dari pergaulan dengan Cikgu Alimin yang merupakan pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Usman menulis sajak bertajuk Korban Tanah Air selepas rakannya terkorban dalam satu pertempuran dengan komunis di Alor Gajah. Tragedi yang berlaku di depan matanya itu dirakamkan dalam karyanya yang lain bertajuk Tulang-tulang Berserakan.
Tulis Usman: "Tubuh itu terkopak. Tangan kiri hampir putus. Manakala pahanya bersarang dibalut darah yang mukan merah lagi tetapi pekat kehitaman."
Nyata kehidupan Usman sebagai mata-mata tidak menyenangkan dia. Tambahan apabila Usman dipanggil oleh ketuanya untuk ditegur kerana tidak menyaman dan membuat tangkapan. Ini dicatat oleh Keris Mas yang banyak menggalakkan Usman Awang memasuki dunia penulisan.
Bagaimana untuk Usman menyaman peniaga-peniaga tepi jalan yang hidup mereka bergantung kepada mata pencarian itu? Usman menyelami kehidupan rakyat marhean bertarung hidup di zaman darurat.
Di Melaka juga, Usman turut bersama-sama yang lain mengasaskan Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) pada 1950. Persatuan itulah yang akhirnya membawa Usman ke dunia penulisan secara lebih serius.
Usman berkesempatan berkawan dengan penulis-penulis yang lebih berpengalaman seperti Keris Mas, Awam-il-Sarkam, Jymy Asmara dan sebagainya.
Akhirnya pada 1951, Usman meletak jawatan sebagai mata-mata. Usman ke Singapura mencari pekerjaan dalam syarikat surat akhbar. Dia pergi dengan Jamil Sulong yang dikenali di Melaka semasa bergaul dengan kumpulan bangsawan.
Melaka ialah negeri Usman meninggalkan kerjayanya sebagai anggota polis. Di negeri itulah Usman mendapat keberanian hidup sebagai penulis sepenuh masa.
Saya masih di Melaka. Mencari makna Syed Sheikh al-Hadi, Usman Awang, Ghafar Baba, Rashid Maidin dan A Samad Said yang pernah mengirup udara di sini.
MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei serta buku dan sekarang sebagai koodinator Melaka 5 Minit yang menerbitkan video dokumentari di media sosial.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai