Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Hizbut Tahrir

Baru-baru ini, jabatan mufti Negeri Johor telah mengeluarkan satu ketetapan bahawa Hizbut Tahrir adalah gerakan yang diharamkan di negeri itu. Dikatakan juga bahawa Hizbut Tahrir mempunyai pandangan agama yang luar dari kebiasaan di Malaysia.

Dalam tahun 2015 yang lalu, ketetapan yang sama telah dikeluarkan oleh jabatan mufti negeri Selangor. Ketika itu, pihak Hizbut Tahrir telah menyatakan perasaan tidak berpuas hati terhadap ketetapan tersebut.

Di awal saya pulang dari luar negara, Saya telah terlibat dengan jawatankuasa Dewan Ulama PAS negeri Selangor. Ketika itu, saya berusrah dengan ketua Dewan ulama PAS, allahyarham Ustaz Harun Taib.

Antara pesanan ketua Dewan Ulama PAS kepada saya ketika itu adalah, beliau berpesan agar saya sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan serangan dari pihak luaran PAS terhadap beberapa ijtihad PAS. Makanya, semasa ulama muda Umno yang ketika itu menyerang ijtihad PAS ekoran keterlibatan dengan demonstrasi, atas tajuk melarang melakukan kritikan terhadap pemimpin negara di ruang awam, saya antara yang bersedia untuk berhadapan dengan wakil mereka, Dr Fathul Bari yang merupakan kawan baik saya.

Dalam awal 2011, pendokong-pendokong Hizbut Tahrir telah menyerang ijtihad PAS dalam isu keterlibatan PAS dengan demokrasi. Saya antara yang diserang melalui Facebook. Pendokong gerakan yang berasal dari Palestin itu, mereka tidak berhujah dengan baik, sebaliknya menggunakan pendekatan troll dan menganjing.

Memandangkan itulah pendekatan mereka, maka saya telah menawarkan untuk berhadapan dengan mereka secara wacana ilmiah dalam isu yang dibangkitkan mereka. Ternyata mereka bersedia untuk berwacana secara sihat dengan mereka telah menghantar seorang pemimpin tertinggi di peringkat Malaysia dan kami berwacana hampir lima jam bertempat di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Apabila saya berhadapan dengan mereka, antara yang saya dapati pada pemikiran tersebut hari ini adalah; mereka mudah menuduh orang yang berbeza dengan mereka sebagai melakukan dosa dengan hanya hujah yang cukup "simplistik". Contohnya, kesimpulan mereka berkenaan haram demokrasi, hanya dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari pemikiran sekular, dan berasal dari Barat, di samping tidak pernah wujud dalam pengalaman Nabi Muhammad.

Kesimpulan yang mereka buat ini cukup bercanggah dengan pendalilan agama dan logik. Ini kerana dari sudut persejarahan pun, demokrasi lebih awal lahir berbanding pemikiran sekular. Seperti mana kita tahu bahawa pemikiran demokrasi itu bermula di era Plato, Aristotle dan Socrates - sebelum Zaman Nabi Muhammad. Sedangkan sekular lagi lahir selepas zaman kegelapan Eropah, iaitu selepas zaman Nabi Muhammad, malah selepas era imam mazhab-mazhab Islam.

Tak masuk akal

Dengan sebab itu, kepercayaan mereka bahawa sekular datang dari pemikiran demokrasi, sudah pasti ia tidak masuk akal.

Demikian juga dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari Barat, sedangkan tidak semua perkara yang datang dari orang bukan Islam (seperti Barat) adalah sesuatu yang dilarang dalam agama. Contohnya penerimaan Nabi terhadap idea gali parit keliling kerajaan Madinah ketika berhadapan serangan musuh dalam sejarah perang Khandaq, sedangkan idea tersebut bermuarakan dari pengamalan orang Majusi di Parsi.

Alasan bahawa ia tidak diamalkan pada zaman Nabi Muhammad juga amat simplistik. Sedarkah mereka bahawa ketika para sahabat membentuk kerajaan, malah dinasti-dinasti besar pun, pengamalan mereka tidak pernah dilakukan oleh Nabi.

Bagaimana pun, demokrasi antara perkara induk yang dibangkitkan oleh mereka. Sebenarnya, di sana terdapat banyak lagi wacana yang dikemukakan oleh mereka yang menyebabkan jabatan mufti di beberapa negeri ini terpaksa memfatwakan mereka sebagai gerakan yang dilarang dalam negeri masing-masing.

Sebelum jabatan-jabatan mufti ini, saya sendiri sudah menampilkan kebimbangan terhadap fikrah gerakan Hizbut Tahrir ini. Dengan sebab itu, saya sudah menulis sebuah buku yang bertajuk Negara Demokrasi vs Negara Hizbut Tahrir sebagai bacaan rakyat Malaysia.

Sebenarnya gerakan Hizbut Tahrir ini, tidak semata-mata wujud di Malaysia. Gerakan mereka boleh dikatakan hampir bergerak di seluruh dunia. Yang lebih menarik untuk diketahui, gerakan mereka tidak pernah boleh bergerak kecuali di negara-negara demokrasi.

Rashid Ghanoushi antara individu yang pernah menjadi mangsa serangan kelompok Hizbut Tahrir ini. Tokoh gerakan Islam dari Tunisia itu pernah berhadapan dengan kelompok ini dari sudut penghujahan. Cumanya, cara Ghanoushi berhadapan dengan mereka tidaklah seperti Malaysia.

Saya kira, rakyat Malaysia perlu mengenali Hizbut Tahrir ini. Ini kerana, mungkin saja mereka wujud dalam kalangan kita; mungkin sahaja mereka adalah anak kita, ibu kita, bapa kita atau adik-beradik kita.


WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.