Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Sebuah kampung bernama Degong

Kampung ini terletak kira-kira 25km dari bandar Teluk Intan dan mempunyai sejarah yang jarang dikongsi umum. Itu Degong. Sekali dengar, macam gong saja bunyinya.

Memang nama kampung ini diambil daripada perkataan gong yang digunakan sebagai alat pengumuman kepada seluruh kampung.

Degong mempunyai stesen kereta api dan merupakan ‘pusat’ kepada kawasan sekitarnya. Degong selalu menerima pembesar negeri dan tokoh dari luar.

Ini cerita lebih 40 tahun lalu. Tunku Abdul Rahman dan Dr Burhanuddin al-Helmy pernah ke sini sewaktu berkempen untuk pilihan raya umum (PRU) 1959.

Kampung ini merupakan pintu masuk ke kawasan petempatan dan sawah padi di sekitar Sungai Manik. Ia kira-kira seperti KL Sentral di Kuala Lumpur sekarang.

Selain kereta api, sungai menjadi alat perhubungan yang membolehkan penduduk bermobilisasi. Berdasarkan peta Daerah Hilir Perak yang dikeluarkan oleh Survey Department, Singapura pada 1923, Degong boleh dihubungi dengan jalanr raya ke Kampar dan seterusnya ke Ipoh.

Sewaktu Yahya Subhan menjadi wakil rakyat DUN Sungai Manik pada 1959, keretanya dipakir di kampung inilah. Dari situ, dia berbasikal ke rumahnya di Parit 10 Chikus.

Jalan basikal itu bersebelahan landasan kereta api. Ketika itu tiada jalan besar menuju Chikus. Yang ada hanya lorong untuk pejalan kaki dan berbasikal.

Berdiri tepi gerabak

Degong ialah pekan bagi orang Melayu berekonomi sebelum perang hinggalah tahun 1970-an.

Mereka lebih senang ke Degong berbanding ke Teluk Anson (nama lama Teluk Intan) atau Langkap yang lebih hampir. Para peniaganya pelbagai kaum. Degong merupakan kampung yang didiami majoriti orang Perak, sedikit Mandailing, Jawa, India dan Cina.

Orang Cina dan India berniaga di deretan kedai 12 pintu berdepan dengan landasan kereta api. Hidup mereka harmoni walaupun selepas Perang Sungai Manik.

Ah Man, Ah Yob, Ah Koi dan Ah Bee berkedai runcit. Si Cina Panjang pula membuka kedai basikal. Chokran - peniaga India yang membeli getah dan kayu - pula berkedai runcit sambil menguruskan kedai kopi. Ada seorang lelaki India membuka gunting rambut.

Pak Osman buka kedai minum dan Pak Arif buka kedai gunting rambut.

Deretan kedai 12 pintu itu terletak berhampiran Stesen Kereta Api Degong itu milik orang Cina. Sewaktu melalui Degong dengan kereta api dulu, saya suka berdiri tepi pintu gerabak.

Apabila kereta api berhenti, orang kampung mula mengangkut barangan ke dalam perut gerabak. Durian, sayuran dan bakul-bakul lain. Kereta api berhenti sekejap sahaja. Kelam-kabutlah mak cik-mak cik mengemas barangan mereka.

Penuh gerabak itu dengan barangan orang kampung. Wisel penjaga stesen kemudian dibunyikan sebagai tanda perjalanan kami boleh disambung semula.

Aroma ayam masak kicap mak pun sudah terasa. Terliur. Rindu.

Pernah sultan Perak datang ke kampung itu, maka gong akan dipalu untuk maklumkan keberangkatan rombongan baginda tiba. Orang kampung pun keluar beramai-ramai menyambut.

Gong itu diletak di pintu masuk kampung. Tapi entah ke mana gong itu kemudiannya. Harap ia tidak dijual di kedai besi buruk. Hanya bangsa maju yang boleh menghargai warisan dan tinggalan sejarah.

Panglima Nayan ghaib

Ahmad Boestamam juga pernah tinggal di Degong. Dia menoreh getah untuk menyara perjuangan. Tahunnya tidak dapat dipastikan. Ahmad Boestamam pernah bertanding di parlimen Hilir Perak atas tiket Pekemas menentang Cikgu Bakar, cikgu sekolah rendah saya.

Cikgu saya menang dengan majoriti lebih 10,000.

Pada masa itu, PAS ada dalam BN. Semasa PRU 1978, Pekemas bertanding di DUN Sungai Manik dengan menampilkan anak didik Ahmad Boestamam, Shahruddin Dahalan, sebagai calon.

Ketua kampung pertama Degong ialah Muhamad Baki. Kemudian Muhamad Nawi Buyong. Muhamad Nawi juga merupakan ketua Home Guard Degong yang berpangkat sarjan.

Semasa dia memimpin Home Guard pada 1952, pasukan mereka pernah bertempur dengan tentera Bintang Tiga di kampung itu. Tiga orang anggota Home Guard terkorban. Salah seorang ialah Muhamad Nawi yang berpangkat prebet.

Anaknya yang bernama Aziz pernah menjadi ketua kampung antara 2005 - 2018. Tempat pertempuran itu sekarang berada di Degong Dalam, kira-kira 2km dari Kampung Degong sekarang.

Muhamad Arifin Mohd Saraf pula merupakan pimpinan PAS ranting Degong yang pernah menjadi ketua kampung pada pengujung 1950-an hingga 1969. Dia dilantik walaupun PAS tidak pernah menang di sini.

Selepas itu, Muhamad Atta Muhamad Yunus berkhidmat sebagai ketua kampung. Dia berkhidmat antara 1969 hingga 1972. Kemudian Kadri Dahlan pula dilantik menjadi Ketua kampung selepas itu hinggalah 2005. Berpuluh tahun juga dia menjadi ketua kampung.

Perang Dunia Kedua bermula pada 1941 hingga 1944. Selepas itu, negara kekal tidak aman. Zaman lepas perang lebih mencengkam kehidupan. Perang Sungai Manik, darurat dan ancaman Bintang Tiga adalah antara cerita duka yang dilalui.

Zaman kemelesetan ekonomi pula hadir membawa kesengsaraan rakyat. Zaman inilah yang memahat pemikiran politik masa kini. Biarpun generasi lama sudah semakin berkurang.

Salah seorang nama terkenal di Degong ialah Tok Mat Kedah atau nama sebenarnya Pandak Muhamad Ali. Dikenali sebagai Tok Mat Kedah kerana dia lahir di Kedah sebelum merantau ke Degong serta menetap di situ.

Tok Mat Kedah meninggal dunia pada 1965 dan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Labu Degong.

Seorang lagi ialah Panglima Nayan. Dia berasal dari Sungai Manik dan dikenali sebagai salah seorang anggota perang sabil yang kebal. Peluru tidak menembusi kulitnya. Namun akhirnya, rahsia kelemahan Panglima Nayan diketahui Bintang Tiga.

Ada orang Melayu yang berkhianat membocorkan rahsia kekebalannya.

Panglima Nayan ditangkap dan diikat dengan tujuh benang pancasila. Oleh kerana kekebalannya, Bintang Tiga merendam Panglima Nayan ke sungai untuk menamatkan riwayatnya.

Selepas itu, Panglima Nayan ghaib tanpa khabar berita. Mungkin Panglima Nayan adalah dari suku Banjar.

Melayu kerja dengan Jepun

Ada juga orang Melayu Degong yang tidak percaya dengan amalan air jampi yang membolehkan seseorang itu kebal. Antaranya Alang Idris Muhamad Ali.

Katanya air jampi itu cuma membuatkan seseorang dirasuk emosinya. Dia menolak untuk terlibat dalam serangan ke kampung-kampung Cina. Tidak diketahui puncanya dia berpendirian begitu.

Akibatnya, Alang Idris difitnah sehingga menyebabkan ditangkap oleh Inggeris dan dihukum penjara selepas itu.

Di Degong ketika zaman Jepun, ramai juga yang dipercayai mempunyai ilmu kebal. Antara Osman Rimau, Yusuf Kimi, Tok Jago, Tok Mat Kedah, Tok Alang Kendo dan Tok Kulup Kedah.

Tok Alang Kendo dan Tok Jago berasal dari Bandar, Pasir Salak. Tok Mat Kedah dan Tok Kulup Kedah berasal dari Kedah.

Tetapi tentera Jepun tidak kisah pun kau kebal atau tidak. Semua dibedalnya. Tidak diketahui sama ada mereka turut bekerjasama dengan Jepun atau melawan Jepun. Jika tidak, apa guna ilmu kebal?

Bapa sidang Kadri Dahlan meninggal dunia akibat ditembak oleh Bintang Tiga. Ketika itu, Bintang Tiga menangkap sesiapa saja yang disyaki sebagai orang yang menyokong Jepun sewaktu pendudukan Jepun. 

Ketika itu ramai orang Melayu bekerja dengan Jepun. Jepun pula pada waktu itu adalah kerajaan. Macam sekarang, PH atau PN jadi kerajaan, takkan kau nak berhenti kerja apabila perdana menterinya bertukar. Khabarnya, kita akan dapat kerajaan baru. Entahlah.

Apabila Jepun menyerah, ada kelompangan pihak berkuasa di tanah air. Inggeris sudah cabut lari semasa kedatangan Jepun dulu. Maka, Bintang Tigalah yang mengambil alih mengisi ruang yang ada itu.

Ini kerana Bintang Tiga adalah sekutu rapat Inggeris semasa zaman Jepun menduduki Tanah Melayu. Bintang Tiga ketika itu ibarat tangan kiri Inggeris.

(Siapa 'tangan kanan' Inggeris? Itu perlu dijelaskan dalam kesempatan lain.)

Ini menyebabkan ramai penduduk kampung melarikan diri dari rumah masing-masing untuk mencari perlindungan. Hanya beberapa orang sahaja yang kekal di kampung. Antaranya Tok Mat Kedah yang siap menanti komunis datang.

Komunis tidak datang hingga darurat diistiharkan.

Bintang Tiga biasanya datang ke rumah sasaran pada waktu malam dan membawa pergi sesiapa saja yang dianggap sebagai penyokong Jepun. Jepun pada masa itu kerajaan yang memerintah. Sultan dan Raja-raja Melayu pun berkerjasama dengan Jepun. Bintang Tiga tidak usik Raja-raja Melayu.

Orang kampung biasa-biasa sahaja yang menjadi mangsa elit berkuasa. Dari dulu sampai sekarang.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.