KOLUM | Tua elok dirotan
Awal minggu ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah memperihalkan beberapa aspek mengenai sebuah parti baharu yang belum jelas masa depannya. Beliau membincangkan rancangan tersebut dalam satu webinar anjuran Iseas-Yusof Ishak, Singapura. Parti tersebut, yang buat masa ini dikenali sebagai Muda, menurut beliau akan menampilkan calon politik muda dari segi usia dan juga ideanya. Dalam erti kata lain, Muda yang dimaksudkan adalah segar.
Ura-ura Saddiq (28 tahun) menubuhkan partinya sendiri ini begitu kuat kedengaran setelah beliau tidak kelihatan bersama-sama mentornya Dr Mahathir Mohamad ketika kelahiran parti Pejuang di pilihan raya kecil Slim River baru-baru ini. Saddiq dalam banyak forum dan wawancara berhasrat untuk mengetuai satu gerakan politik anak muda. Beliau memetik parti Future Forward di Thailand dan En Marche di bawah Emmanuel Macron di Perancis sebagai contoh. Sasaran Muda adalah 7.8 juta pengundi muda menjelang 2023 kelak.
Ketika PH berkuasa, beliau telah pun mendapat pujian besar dalam kalangan anak muda atas usaha menurunkan had minimum umur pengundi kepada 18 tahun.
Cita-cita Saddiq ini kian mendapat momentum memandangkan rakyat Malaysia tampak mulai keletihan oleh dunia politik yang hanya berlegar antara nama-nama Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Mohamed Azmin Ali, Lim Guan Eng dan Abdul Hadi Awang. Mood semasa ialah untuk menggantikan mereka semua.
Meskipun gelombang Muda yang dibawa Saddiq ini kian kuat, terdapat beberapa pertimbangan penting yang mungkin perlu diperhatikan oleh beliau. Inilah antara perkara yang ditimbulkan ketika diskusi mengenai Muda dalam webinar anjuran ISEAS-Yusof Ishak tersebut.
Pertama, Muda tidak boleh mengkesampingkan satu hakikat bahawa anak muda juga terdiri dari mereka yang menyokong idea-idea kumpulan kanan seperti gagasan ketuanan Melayu-Islam. Dalam erti kata lain, anak muda juga cenderung konservatif dan dalam realpolitik Malaysia, ini bermakna mereka akan memilih Umno dan PAS sebagai suara mereka. Sadiq bagaimanapun menyatakan dalam webinar tersebut, strategi Muda adalah untuk tidak merebut atau memancing sasaran di atas. Mereka akan lebih memberi tumpuan kepada anak muda pelbagai kaum yang terbuka. Akan tetapi, satu hal yang mungkin menimbulkan pertembungan antara Muda dan parti lain yang oposisi ialah parti sedia ada seperti PKR, DAP, Amanah dan Warisan juga memiliki taruhan anak muda (baca: segar) yang lebih dikenali ekoran mereka telah melalui proses rekrut tertentu. Ambil sahaja DAP yang tidak pernah kering dari sambutan anak muda pelbagai bangsa. Adakah Muda akan bertembung dengan pemimpin muda dari DAP dan PKR yang sepatutnya menjadi sekutu mereka ketika pilihanraya kelak?
Satu lagi persoalan yang diketengahkan ialah cabaran yang perlu ditangani oleh Muda sebagai parti pelbagai kaum. Parti Muda perlu menjawab serta menyediakan pelan solusi yang sukar untuk pelbagai isu menduri dalam daging seperti pendidikan vernakular, masalah kemiskinan, tekanan dan desakan tertentu kumpulan kanan Melayu-Islam, pemulihan demokrasi dan lebih penting isu-isu ekonomi yang terjejas ekoran pandemik. Semua ini akan kekal menghantui rakyat. Lebih malang, isu-isu ini nampaknya tertompok pada kaum tertentu. Misalnya dalam masalah pendidikan vernakular, yang paling lantang menagih pengiktirafan ialah kumpulan pendidikan Cina. Jika Muda menyetujui dan akur terhadap tuntutan mereka, Muda akan pula berdepan dengan kumpulan pendidikan Melayu yang menentang keras. Apa pelan jangka panjang Muda untuk melunakkan kedua-dua kelompok ini agar duduk berbincang? Dan masalah demi masalah lain menanti bagaikan bom jangka.
Namun demikian, buat masa ini; idea Muda ini amat segar dan untuk rakyat Malaysia yang letih dengan politik abah-abah, pak long-pak long dan pak su-pak su; Muda dapat dikira berpotensi untuk merebut perhatian kaum belia.
Poros baru
Ada satu penyebab Muda akan menjadi poros baharu. Sebab itu terletak pada kaum tua. Begini, retorika yang dihamburkan oleh Muhyiddin Yassin sebagai seorang abah dengan rotan mungkin diterima baik oleh pengundi saluran satu. Namun demikian, analogi abah dengan rotan ditertawakan oleh pengundi muda dan berpendidikan yang beranggapan seorang abah dengan rotan adalah abah yang ketinggalan zaman, lapuk, pendera, tidak berfungsi dengan baik, tidak kreatif dalam mengasuh dan seribu satu pola negatif.
Retorika abah dan rotan pasti memakan diri. Cerita-ceriti bahawa diri satu masa lalu menjadi manusia kerana membesar dengan dirotan sudah cukup basi dalam kalangan anak muda yang terbiasa dengan pendidikan atau pengasuhan secara kreatif. Rotan selalunya gambaran abah yang tiada hala.
Ucapan terbaru oleh perdana menteri dalam kuarantin hanya mendorong lebih banyak kritikan. Perkembangan teknologi dan meluasnya penggunaan media sosial membolehkan tindak-tanduk anak buah abah dalam kabinet ditekuni. Seorang yang balik dari Turki dan tidak dihukum. Seorang lain yang melagak ala tok guru dan berkeliaran ke sana sini menyebarkan Covid ke lima buah negeri dan tiga buah universiti. Seorang lagi pula yang suka membuat keputusan saat akhir dan ternyata tidak cekatan dalam berurusan. Seorang lagi yang meniup kek dengan pancuran mercun di kelab golf. Semua ini sedang dinilai oleh anak muda pelbagai kaum. Rayuan dan bujukan ‘abah akan rotan’ menimbulkan kejengkelan yang memualkan.
Anak muda tahu jika tua cakap tidak serupa bikin.
Di tengah ketidakcekapan pentadbiran Bapa Rotan inilah hashtag kluster menteri mendapat sambutan. Di sela sambutan itu, rasa jemu kepada politik tua atau politik lama membuak-buak. Rasa menyampah dan meluat itu mendorong anak muda, atau mereka yang sebelum ini enggan terlibat dalam politik mendapat semangat lain yang tidak terjangkakan.
Semangat itu sukar ditafsirkan dengan kata-kata kerana ia menjadi emosi yang bergumpalan iaitu keinginan menggantikan yang tua kerana tua itu kutuk, dan tua itu penuh aniaya, malah tua itu khianat. Semua itu melesat pula dalam bentuk tenaga yang kuat dan menanti masa untuk dimuntahkan.
‘Tua kutuk’
Dalam masa beberapa minggu lagi kita akan melihat politik tua menjadi semakin tidak keruan, dan semakin ditolak oleh generasi pengundi bukan saluran satu. Sedikit sahaja masa diperlukan supaya yang tua ini dikutuk dan tidak mustahil kaum muda akan mengambil kesempatan ini melakukan perubahan yang penting untuk negara ini.
Citra politikus licik bermuka-muka tanpa pelitup muka berlakon sebagai agamawan tua yang menyusahkan siswa dan anak-anak kecil sehingga bayi semakin berbekas dalam retina mata anak muda ini. Lama kelamaan muda dalam parti oposisi mendapat gam pelekat yang diperlukan. Mereka tidak perlu lagi menimbang nama dan bendera parti. Sebab musuh terlihat serupa iaitu tua yang melintang pukang, maka muda harus melintang patah.
Perlahan-lahan dorongan semakin kuat. Semakin ramai rakyat bersedia menerima idea Muda. Buat sementara realpolitik seperti isu perkauman, sekolah vernakular, rekrut antar-parti dan kerepotan golongan konservatif akan dilupakan. Ini kerana suara muda semakin kencang kedengaran, yang sukar dibuat pekakkan. Malah sukar membisukan muda.
Maka, politik menyalahkan rakyat sebagai punca atau sebab; padahal yang tua-tua itulah kelihatannya menjadi sebab kepada malapetaka di negara ini jelas semakin bersemarak.
Analogi abah dan rotan tiba-tiba dipersenda. Sebulat suara nampaknya muktamad mereka mengatakan “Sudahlah tua, tua wajar dirotan”.
Tua tak reti bahasa. Tua kutuk.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai