KOLUM | Bersenjata dalam kampung
Artikel ini adalah sambungan artikel terdahulu yang bertajuk Kampungku sebelum merdeka yang disiarkan di sini sebelum ini.
Dalam buku Prof Dr Cheah Boon Kheng yang bertajuk Komrad Bertopeng, dicatatkan bahawa Rashid Maidin dilahirkan di Teluk Anson. Namun dalam catatan Rashid sendiri, dia menyatakan tempat kelahirannya ialah di Gunung Mesah, Gopeng.
Rashid dilahirkan pada 1917 iaitu pada tahun berlakunya Revolusi Bolshevik di Rusia. Namun asal-usul keluarga Rashid ialah dari Sumatera dan mereka berketurunan Rawa (Rao).
Dia diberi tugas bersama Terdiri (mungkin nama panggilan) untuk mengubah keyakinan orang Banjar supaya tidak membenci komunis melalui perasaan keagamaan mereka.
Perisik polis Inggeris melaporkan pertemuan yang diadakan di rumah Rashid. Ia dikatakan turut dihadiri seorang anggota komunis berbangsa Jawa bernama Satso atau Sabtu, seorang bekas tahanan politik Digoel (Indonesia), dan seorang jurucakap, Alimin, seorang komunis Indonesia.
Dilaporkan juga bahawa Satso tidak puas hati dengan kejahilan orang Melayu tentang komunisme dan dia berjanji mengirimkan orang Jawa bagi membantu penyusunan bahagian Melayu Parti Komunis Malaya (PKM).
Menurut Cheah lagi, selepas itu banyak kegiatan komunis dilaporkan bergerak dalam kalangan orang Melayu di Melaka.
Kegiatan Komunis Melayu di Tanah Melayu banyak digerakkan oleh Sutan Djenin, seorang komunis veteran Indonesia yang melarikan diri ke Tanah Melayu dari Jawa selepas kegagalan pemberontakan Parti Komunis Indonesia (PKI) pada 1926-1927.
Ketinggalan berbanding kaum pendatang
Ketika itu, pimpinan komunis Indonesia seperti Alimin, Musso dan beberapa lagi tinggal di Tanah Melayu. Namun selepas itu mereka kembali ke Indonesia.
Cuma Sutan Djenin sahaja yang masih di Tanah Melayu hingga darurat diisytiharkan pada 1948. Semasa darurat, dia ditangkap Inggeris dan dihantar ke Indonesia semula.
Dalam tempoh Sutan Djenin berada di Tanah Melayu, dia berusaha menubuhkan PKM Melayu yang berasingan dengan PKM ‘Cina’. Tan Malaka dalam tulisannya, Aksi Massa, menyebut tentang keperluan gabungan dunia Melayu memperkukuhkan daya saing politik dan ekonomi bagi menangani kuasa imperialisme Belanda dan British.
Tan Malaka sendiri berada di Tanah Melayu sebanyak empat kali dan menyaksikan orang Melayu ketinggalan berbanding dengan kaum pendatang.
Gagasan nasionalisme Tan Malaka adalah satu bentuk kepentingan strategik bagi menyatukan dan memperkukuhkan ‘Kesatuan Melayu’ yang perlu diterajui oleh masyarakat Indonesia sebagai “pemimpin yang dipertanggungjawabkan".
Pemikiran gagasan Kesatuan Melayu itu dilihat sebagai langkah awal mewujudkan wilayah Melayu yang merdeka, bebas daripada cengkaman imperialisme dan kawalan bangsa-bangsa lain.
Namun usaha tersebut tidak dapat diteruskan walaupun baru bermula. Pada masa sama lahir sebuah pertubuhan baru yang bernama Parti Sosialis Melayu Kebangsaan (Malay National Socialist Party) pada April 1946.
Risalah mereka tersebar meluas terutama di Selangor. Ia menyatakan bahawa pertubuhan itu memberikan kesetiaan kepada sultan dan menyokong Umno.
Antara Stalin dan Trotsky
Dipercayai risalah tersebut ditulis oleh Sutan Djenin walaupun tiada bukti ditemui.
Sutan Djenin ketika itu sering bersama Rashid dalam program-program parti. Sehinggalah pada 8 Mac 1948 keluar berita di Utusan Melayu menyiarkan kenyataan Rashid bahawa Sutan Djenin sudah tiada kaitan dengan PKM.
Memang ada perselisihan di antara mereka. Pemikiran Sutan Djenin adalah selari dengan pemikiran Tan Malaka yang lebih kepada Trotskyist.
Meskipun dari parti yang sama dan menentang penjajah tetapi Rashid dan Sutan Djenin mereka mempunyai jalur pemikiran yang berbeza. Bahkan hal yang sama juga berlaku di dalam sejarah Parti Komunis Rusia antara kelompok Joseph Stalin dengan Leon Trotsky.
Ia kemudian menyebabkan Trotsky hidup dalam buangan dan mati dibunuh. Begitu juga di Cuba dan Indonesia.
Ideologi komunis di Indonesia diasaskan oleh Tan Malaka, seorang intelektual yang berasal dari Sumatera. Dia hidup dalam buruan kolonial Belanda dan kemudiannya Inggeris. Dia belajar di Belanda, Rusia dan pernah tinggal di Singapura dengan identiti seorang Cina bagi mengaburi Inggeris.
Semasa pendudukan Jepun, Tan Malaka ke Pulau Pinang dan kembali ke Medan setelah ia ditinggalkan lebih 20 tahun.
Pemikiran sosialism marxism dibawa Tan Malaka - yang merupakan antara watak nasionalis Indonesia - banyak mempengaruhi gaya pemikiran politik aliran kiri atau radikal Melayu pada waktu sebelum Perang Dunia Kedua.
Menurut Ahamad Jama’ Amin Yang dan Mohd Samsudin dalam kajian mereka bertajuk Polemik Aliran Sosialis Marxisme dalam Gerakan Nasionalisme dan Pembangunan Politik Radikal Melayu, 1925–1948 telah wujud pertubuhan Parti Seluruh Melayu (All-Malay Party) pada Mei 1932 yang memberi pendedahan kepada orang Melayu untuk terlibat dalam gerakan politik.
Parti itu lebih awal ditubuhkan berbanding Kesatuan Melayu Muda (pada 1938). Parti Seluruh Melayu diasaskan Bassa seorang bekas anggota PKI. Dia juga dikenali sebagai Abdul Rahman Wadoed.
Tubuhkan Parti Murba
Parti tersebut dilihat juga sebagai parti politik terawal di Tanah Melayu yang memberi perhatian kepada penyertaan orang Melayu saja. Ia tidak dipengaruhi orang Cina dan dilihat mempunyai persamaan ideologi dengan Parti Republik Indonesia (Pari) yang ditubuhkan oleh Tan Malaka.
Antara idea Tan Malaka ialah nasionalisme Melayu dan pan Islamism untuk menentang kuasa kolonial. Sebagai seorang yang pernah bersama Sarekat Islam, pemikiran Tan Malaka nyata melewati kerangka politik parti.
Wujud perbezaan itu menyebabkan dia tidak sependapat dengan kepimpinan PKI. Justeru dia menubuhkan Parti Murba.
Memoir Rashid yang diterbitkan sebelum dia meninggal dunia boleh dirujuk sebagai jalan memahami sejarah perjuangan orang Melayu selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Rashid mencatatkan bahawa dia menghadiri sekolah Parti Kem Semalaya di Lubuk Kawah selama dua minggu. Selepas itu dia ditugaskan PKM untuk membentuk pasukan bersenjata di Sungai Manik.
Sesuai dengan tugas itu, Rashid mencatatkan dia berpindah ke Labu Kubong, Sungai Manik lalu mengusahakan tanah bagi menyara kehidupan sambil menunggu arahan selanjutnya oleh pihak parti.
Secara lebih tepat, Parit 17B, Kampung Sungai Lampam dijadikan kampong kediamannya dan menyara kehidupan sebagai tukang gunting rambut di sebelah kedai runcit di kampung itu.
Sebuah surau di Parit 18B digunakan oleh Rashid sebagai markasnya menghimpun anak-anak muda tempatan untuk menyemai semangat antipenjajah bersama ideologi yang dibawa.
Surau itu sudah tiada lagi sekarang. Sehingga tahun 60-an, surau itu masih berfungsi namun setelah ramai yang berhijrah, ia ditinggalkan dan penduduk setempat memilih ke masjid yang berhampiran sahaja.
Pasukan bersenjata yang ditubuhkannya dianggap agak konservatif dan ketinggalan zaman. Justeru apabila darurat diistiharkan ramai anggotanya ditangkap Inggeris, termasuk Rashid sendiri.
Rashid melarikan diri dari Pusat Tahanan Tanjung Beruas, Melaka pada 1952 setelah ditahan selama empat tahun. Sejak itulah Rashid memulakan perjuangannya secara bersenjata dengan PKM di hutan.
Dia tidak pernah kembali ke negara ini sehinggalah termaterinya Perjanjian Damai di Hatyai.
Selepas Perang Sungai Manik, perjuangan Bintang Tiga ditolak oleh penduduk tempatan dan sukar dijejaki kesan-kesan tinggalan perjuangan Rashid. Tambahan pula selepas darurat diisytiharkan, Inggeris menubuhkan pasukan Home Guard dan Auxillary Police bagi membantu Inggeris melawan komunis.
Ramai lelaki dan juga perempuan kampung menyertai pasukan bersenjata itu.
MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai