KOLUM | Belot pada tanah air
“Abe kito anak Besut berjiwo Kelate.”
Dalam nada bergurau sahabat kami Salman Sulaiman menulis begitu mengenai seorang lagi kenalan kami, Mohd Dahri Zakaria.
Walaupun berasal dari Pahang, jika kita ini ditakdirkan duduk berbual, kamu akan dapati loghat yang kami tuturkan lebih berbau Terengganu.
Sememangnyalah kami tidak begitu arif dalam menggunakan loghat Pahang.
Boleh jadi kerana Kuantan sangat berjiran dengan Terengganu dan hampir separuh daripada penduduknya mempunyai pertalian darah dengan orang negeri itu, maka perkara ini tidak dapat dielak.
Namun demikian, kesetiaan kami semestinya kepada Pahang.
Tidak rela bagi kami untuk mempersembahkan diri sebagai anak Terengganu. Apabila terbaca gurauan Salman kepada Dahri, kami menganggap ia sebagai suatu pembelotan.
Mana mungkin kita yang dilahirkan dan membesar di satu tanah lalu menyatakan kesetiaan kepada satu tanah yang lain?
Walau bagaimana buruk sekalipun tanah kelahiran itu, menjadi kewajipan kepada kita untuk mempertahankannya.
Perkara yang sama juga semestinya menjadi pegangan apabila kita mengaku bahawa Malaya ini adalah negara yang kita cinta.
Menunjukan protes terhadap kebiadaban politikus tidaklah mesti dengan menerbalikan bendera negara. Menyokong atau menentang sesuatu partai politik mestilah dihadapkan kepada partai berkenaan saja tanpa mensabitkan kesejahteraan negara ini.
Kita semua sepatutnya bersatu mempertahankan negara ini daripada segala kejahatan orang politik yang selamanya akan menggunakan alasan agama, bangsa dan negara ini demi kegemilangan politik mereka.
Selama mana mereka berbuat baik mengikut hukum kehidupan yang benar, maka selagi itulah mereka kita kekalkan mereka dalam pemerintahan.
Lantas apabila kita melihat mereka mula berdolak-dalik, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mengkritik mereka pula. Bukannya menyokong membabi buta hanya kerana mereka adalah manusia politik pujaan kita.
Bergaduh sesama kita hanya akan menguntungkan mereka yakni politikus dan parti berkenaan. Lalu berhentilah menjadi si bodoh yang menyokong siapa saja yang pandai menanam janji.
Dahri mungkin berbangga dengan Kelantannya namun jika beliau melihat jauh ke dalam, kami pasti beliau akan malu kepada dirinya sendiri.
Manakan tidak, makan hasil bumi ini lalu setelah kenyang, dibuangnya tanah yang banyak berjasa ini.
Negara ini milik kita. Pertahankan ia daripada kerakusan politikus. Jangan kita sampai mati hati dan saling membenci. Kita bimbang jika kita berterusan bangga dengan keturunan, akan sampai masanya nanti kita ini berbunuh sesama sendiri.
ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai