Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Kafe hispter Kuantan

Kuantan mengambil masa yang agak lama untuk menyertai pedati dengan melahirkan budaya kafe hipster.

Apabila bandar lain seperti George Town serta Ipoh - malah Kuala Terengganu - memeluk erat budaya generasi now apabila kedai-kedai kopi saling bertanding hiasan dalaman selain menu makanan, Kuantan masih tenang tidak peduli.

Walaupun Kafe Seni Tjantek bermula seawal tahun 2000 namun penerimaan masyarakat setempat terhadap kafe berkenaan amat tidak memberangsangkan.

Ramai mengakui bahawa Tjantek itu memang cantik namun masyarakat memandang ia seolah-olah sebagai sebuah kedai arak.

Hiasan dalamannya masih aneh kepada orang ramai menyebabkan mereka hanya melihat Tjantek dari jauh saja.

Namun demikian sekitar lima tahun ini, sebuah demi sebuah kafe hipster dibuka di kawasan Jalan Besar Kuantan.

Selepas Tjantek, ada Kuantan Pickers Dan Kedai Kopi memberanikan diri membuka perniagaan. Ia sebenarnya boleh dikatakan sebagai pencetus revolusi baru perniagaan kafe berhias cantik di Jalan Besar.

Sebelum itu, Kula Cakes terlebih dahulu menjalankan perniagaan tetapi kerana tempat duduk yang terhad di kedai yang terkenal dengan hidangan mango cheese itu, ianya lebih dikenali sebagai kedai kek pandu lalu.

Kini Kula Cakes adalah satu jenama yang sangat terkenal.

Kuantan Pickers Dan Kedai Kopi membuka mata orang tempatan betapa selain menu makanan yang sedap, persekitaran ruang niaga juga memainkan peranan penting untuk menarik pelanggan.

Setelah itu satu persatu kafe hipster dibuka. Antaranya Watak Kopi, Akar Coffee, KotakKalam, Lena, Kopi & Tea, Coastal Store serta banyak lagi.

Tak fikir orang lain

Beberapa buah kafe juga masih dalam pembinaan seperti Kafe Muka. Musang Dan Buaya Cafe yang terkenal itu juga bercadang untuk membuka cawangannya di kawasan berkenaan.

Kedai ais krim Akak Lesong Pipit juga katanya sedang mencari ruang kedai yang bersesuaian di Jalan Besar itu.

Kawasan Jalan Besar kini menjadi tarikan apabila hampir setiap malam ia penuh dilanggan oleh penduduk setempat dan pelancong. Secara peribadi kami mendapati ia adalah satu perkembangan yang baik.

Kedai-kedai di bandar lama Kuantan ini - sebelum ditakluk oleh peniaga generasi baru - pernah ditinggalkan terabai kosong. Maka kawasan berkenaan menjadi amat suram.

Kini kawasan tersebut merupakan kawasan mesti singgah kepada pelancong dalam dan luar negara.

Namun apa yang selalu menganggu kami apabila melanggani kafe-kafe berkenaan ialah sifat tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Mereka akan memandu dengan amat laju tanpa memikirkan keselamatan orang ramai yang ada di kawasan berkenaan.

Mendahului bandar lain

Mungkin mereka sengaja berbuat demikian kena Jalan Besar itu dihimpit kiri dan kanannya oleh deretan bangunan batu. Apabila tiba di kawasan tersebut mereka sengaja menekan pedal minyak dan melepas geram untuk mendengar ngauman dan gema ekzos kereta motor masing-masing.

Mereka ini semua gila.

Telah berlaku beberapa kemalangan maut di kawasan berkenaan terutama di selekoh berhampiran dengan kedai serbaneka di situ.

Adalah lebih baik sekiranya sepanjang jalan berkenaan dicat dengan garis-garis kuning yang timbul bagi memaksa kenderaan yang lalu-lalang di situ diperlahankan.

Atau jika seluruh kawasan berkenaan diliputi dengan jalan yang menggunakan interlocking block concrete juga boleh membuatkan pemandu memperlahankan kenderan masing-masing selain menimbulkan mood yang bersesuaian dengan kawasan berkenaan.

Lampu-lampu jalan yang lebih terang juga akan membantu menjamin keselamatan mereka yang meladeni kawasan tersebut.

Sumbangan kafe-kafe itu seharusnya dihargai dan diberi sokongan oleh semua pihak.

Selain dari itu, kami juga mendapati kawasan taman yang dikenali sebagai Laman Teruntum di pinggir Sungai Kuantan itu mempunyai potensi sebagai taman arca yang pertama di Kuantan.

Grafiti dan mural sudah menjadi terlalu lumrah. Maka jika laman berkenaan dijadikan taman arca yang menempatkan karya para seniman tempatan, tentu ia akan menjadikan Kuantan sebuah bandar yang mendahului bandar-bandar lain di negara ini.


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.