Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Dongeng merdeka

Merdeka ialah suatu dongeng buat masyarakat yang berasakan tanah airnya dijajah kuasa asing. Lalu penceritaan derita tanah air yang dijajah dimulai dengan robohnya kota Melaka pada 1511 dek serangan Feringghi.

Kemudian ditambah pula dengan serangan Belanda dan campur tangan Inggeris ke atas negeri-negeri Melayu.

Terpahat kematu dalam pemikiran orang Melayu mengenai Perjanjian Inggeris Belanda 1824, Perjanjian Pangkor 1874 dan segala apa perjanjian lain yang ada untuk dirasakan bahawa tanah air tercinta ini dijajah, bangsa ditindas dan agama terancam.

Lalu, seluruh telunjuk rakyat dihala kepada kuasa asing sebagai punca kemiskinan dan kemunduran tanah air serta malang ummah.

Maka ditanamkan dongeng bahawa hari merdeka ialah hari kemenangan menghalau Inggeris dari tanah air; hari bangsa dan agama didaulatkan.

Kerangka dan konsep ‘asing’ (other) yang terbina dalam pemikiran masyarakat hanya berasaskan perbezaan warna kulit, agama dan bahasa saja. Orang Melayu berbeza agama dan kulit dengan Feringghi, Belanda, Inggeris dan Jepun. Mereka inilah yang disebut sebagai ‘kuasa asing’.

Nyata tafsiran "asing" hanya berkisar aspek itu saja. Tafsiran sebegitulah yang menutup masalah agihan kemakmuran yang tidak seimbang dalam masyarakat.

Kekalahan Inggeris dan sekutunya kepada Jerman dan Jepun pada awal Perang Dunia Kedua menyuntik semangat melawan Inggeris dalam kalangan pribumi termasuk di Malaya.

Teriakan bersahut-sahutan

Inggeris boleh ditewaskan. Selama ini, Barat dilihat sebagai raksasa asing yang tidak mampu untuk pribumi tewaskan.

Pada masa tersebut, kuasa-kuasa imperial menghadapi tekanan daripada para intektual Barat liberal seperti Arnold Toynbee yang mendesak supaya diberikan kebebasan tanah jajahan.

Gelombang gerakan liberalis di Eropah ibarat serangan dalaman yang melemahkan kuasa kolonial. Terdapat juga pegawai-pegawai kolonial menyokong gerakan berkenaan.

Apabila British terpaksa bersetuju memberi kemerdekaan kepada anak tempatan Malaya pada 31 Ogos 1957, satu sambutan besar-besaran diadakan di seluruh tanah air. Teriakan "merdeka!" bersahut-sahutan.

Ketika itulah diperkenalkan lagu Negaraku, bendera Persekutuan Tanah Melayu dan perlembagaan diwujudkan sebagai panduan bernegara. Sejak itu, saban tahun ia diraikan.

Indonesia yang lebih awal merdeka pada 1945 membakar semangat perjuangan menuntut kemerdekaan ke negara-negara jiran tetangganya termasuk Malaya ataupun Persekutuan Tanah Melayu.

Naratif pensejarahan nasionalnya dipersembahkan secara sistematik oleh regim yang berkuasa sehingga menghakis makna kemerdekaan yang lebih luas lagi. Naratif merdeka yang berdekad-dekad tertanam telah menyongsong pemikiran masyarakat ke jalur jumud.

Kenyataan bahawa negara kita dijajah perlulah dinilai semula. Dari satu sudut, pandangan Prof Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Zainal Kling pada 2011 adalah benar.

Sayangnya, ketika pandangan itu dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat, idea itu ditolak.

Izinkan saya memperhalusi secara ringkas idea tersebut.

Bukan bela rakyat kebanyakan

Campur tangan Inggeris di kebanyakan negeri-negeri Melayu datang dari peranan para pembesar istana yang berkuasa ketika itu. Francis Light mendapat Pulau Pinang hasil daripada perjanjian dengan Sultan Kedah - meskipun Light menggunakan tipu muslihat selepas itu. Itu persoalan lain.

Di Perak, Sultan Abdullah sendiri mengutus surat kepada Gabernor Negeri Selat, Andrew Clarke, untuk datang campur tangan mentadbir di negeri berkenaan.

Di Johor, Sultan Hussein Syah sendiri yang menjemput Stamford Raffles. Akhirnya Singapura terlepas, baginda sendiri terbuang ke Melaka. Usaha itu dipermudahkan dengan peranan pembesar lain dan saudagar Cina yang memiliki kepentingan bersama.

Itu semua sekadar contoh. Perlu diingat, tulisan ini bukan sebuah artikel sejarah. Ini artikel bangkitkan kesedaran.

Kuasa asing ini dikatakan ‘menjajah’ tanah air hasil kerjasama pembesar tempatan yang mempunyai kepentingan bersama. Inggeris berperanan sebagai ‘pelindung’ kepentingan-kepentingan bersama golongan bangsawan. Mereka bukan melindungi rakyat kebanyakan yang terus dibelenggu kemiskinan dan kemunduran.

Lalu saban tahun, para pemimpin pascamerdeka melaungkan idea pembangunan, kemajuan dan segala macam istilah yang menimbunkan kebebalan masyarakat.

Sewaktu Belanda menjajah ‘Indonesia’, keluasannya tidak seluas Indonesia sewaktu diisytiharkan ‘merdeka’ oleh Sukarno. Sukarno berkata Indonesia itu wilayahnya adalah "di mana pohon nyiur melambai". Timor Timur tidak pernah dijajah oleh Belanda. Begitu juga Acheh, Riau dan beberapa kerajaan kecil masih memiliki kedaulatan.

G J Resink dalam bukunya Bukan 350 Tahun Dijajah menjelaskan hubungan Belanda dengan keraton adalah sebagai satu bahagian dalam dunia diplomatik. Semua institusi keraton dikekalkan selama Belanda menguasai ‘Indonesia’.

Ini kerana golongan keratonlah yang menjadi kaki tangan semua dasar pemerasan Belanda ke atas bumi ‘Indonesia’.

Belanda menyedari melalui kerjasama mereka dengan keraton tempatan, lebih banyak khazanah di tanah subur Nusantara itu dapat diangkut ke Belanda. Institusi keraton memiliki citra yang sarat metos dalam pemikiran masyarakat pribumi.

Dongeng dan metos itulah mengekalkan kuasa pembesar pribumi dan rakyat biasa terus sengsara. Inilah inti pati daripada novel Max Havelaar karya Multatuli ataupun Eduard Douwes Dekker yang ditulis pada 1868. Tulisan Abdullah Munsyi juga mempunyai ciri-ciri yang sama.

Jaga sensitiviti masyarakat

Cuma Sukarno menghapuskan institusi keraton. Ini kerana tiada bezanya antara kekejaman sebahagaian pembesar keraton dengan kekejaman Belanda. Mereka hanya memperkudakan rakyat demi tembolok sendiri.

Hanya keraton Jogjakarta dikekalkan kerana penyertaan keraton tersebut dalam revolusi, tetapi kedaulatannya sudah tiada.

Malaya yang mempunyai sembilan sultan dan raja kekal berdaulat dari dulu hingga sekarang. Ia memiliki kuasa, wilayah dan memperolehi kesetiaan daripada rakyat jelata.

Ya, benar para raja serta Sultan ‘tidak bebas’ memerintah tetapi takhta dan segala kebesaran dan kemegahan istana tidak pernah terusik.

Kecuali Sultan Abdullah, sultan Perak yang terlibat dalam pembunuhan residen British, JWW Birch. Baginda dilucutkan kedudukannya sebagai sultan ketika itu.

Satu lagi kes ialah Sultan Ali Syah, sultan Terengganu yang dilucutkan kedudukannya oleh Inggeris kerana menentang Malayan Union dan masalah dalaman istana sendiri. Sultan-sultan lain kekal bertakhta.

Ini termasuklah jawatan dan kemudahan para pembesar negeri pada ketika itu.

Namun sejarah mencatatkan ramai pejuang yang menentang pakatan elit itu dihukum dan dibuang. Hatta ada yang dihukum mati di tali gantung. Hukuman itu diberikan oleh para pembesar negeri sendiri.

Semaklah apa yang berlaku kepada Tok Janggut, Datok Bahaman dan nama-nama lain yang seumpama dengan mereka. Elit kelas atasan hidup atas dongeng dan metos kerajaan, manakala rakyat bawahan terus bertungkus-lumus bekerja separuh mati dan hidup dalam miskin serta mundur.

Pada setiap tanggal 31 Ogos, upacara menyanyikan lagu Negaraku, kibarkan bendera dan kobaran semangat merdeka akan diadakan - itukah merdeka?

Mulai 2018, tiada lagi sambutan hari kemerdekaan dibuat oleh kerajaan. Ia diganti dengan hari kebangsaan. 

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, ini adalah untuk menjaga sensitiviti masyarakat dan hubungan antara negeri. Dan ia diteruskan pada tahun 2020.

Lalu, apa itu merdeka? Apa itu kebangsaan? Siapa yang terus kekal merdeka dan dijajah?


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.