KOLUM | Temasya kandang lembu kampungan
Temasya itu temasya lembu kampung di sebuah kandang. Temasya bermula pada hari yang cukup basah. Hujan sudah turun dari petang kelmarin, menjirus sesekali dengan banyak; dan kadang merintik tetapi kembali melebat buat sejam dua. Pada lubang-lubangan di jalan, air akan bertakungan melecak dan bergenangan di situ selagi tiada disapa matahari.
Pun temasya itu akan tetap bermula kalau hari cukup kontang, kering dan gersang. Temasya itu tidak mengira cuaca. Cuma, pada hari yang basah, temasya tersebut akan menjadi lebih menjengkelkan. Kalau temasya itu terjadi pada hari yang agak panas terik, mereka yang terlibat akan melekit berpeluhan.
Bulu-bulu di tubuh akan menangkap dan menyimpan titis peluh masam. Ia lantas akan mengapung bau semacam bacin. Terdapat hama terperangkap pada celah-celah masam tersebut. Temasya akan sedikit tergendala. Temasya yang sepatutnya menjadi temasya akan serasa tidak bermaya.
Temasya adalah sesuatu yang ditayang, dipentas, atau dipertunjukkan; sebagai sesuatu untuk menghibur hati. Temasya itu adalah sandiwara. Ia adalah untuk tontonan.
Dahulu kala antara temasya yang menjadi permainan adalah temasya laga lembu. Inilah kisah temasya lembu kampungan. Temasya haiwan, mungkin elok kalau kita eja sebagai hewan. Kerana bunyinya jauh lebih binatang di situ.
Binatang ini adalah binatang kampungan.
Kita melihatnya sebagai temasya hewan kampungan kerana mereka yang mahu dinilai sebagai kampungan. Bukan kita sengaja panggil mereka kampungan. Mereka bangga menjadi Abah. Pak Long. Pak Andak. Di kampung, dengan mentaliti kampungan tersebut gelar-gelar seperti Pak Long, Pak Ngah, Pak Uda dan segala pak dan mak itu mempunyai pemberat tersendiri.
Ia, gelar-gelar itu menjadi satu momokan. Kita biasa dengar, ayat seperti ini; ‘Pak Long kau yang tinggal di Pagoh itu dah berbunyi bila kau nak kahwin’; atau ‘Mak Ngah Ilah kau yang tinggal di sempadan Golok itu dah tanya bila bini kau nak beranak, dia kenal baik Bidan Ampang itu boleh tolong turunkan rahim sikit.’ Dan seribu satu macam lorat kekampungan lain.
Hewan. Binatang. Kandang.
Manning Nash dari Ohio University dalam ‘Peasant Citizens: Politics, Religion, and Modernisation in Kelantan, Malaysia’ (1974) menyebut perihal temasya kampungan ini. Memang, temasya kampungan ada baiknya. Kata Nash, yang baiknya seperti gotong-royong, dan berusaha sama. Itu kita pun suka.
Akan tetapi yang buruknya ada juga pada temasya hewan kampungan ini; ia membawa kepada kuasa mutlak (Abah, Pak Long, Ketua Kampung, paling jelek Lebai), ketaatan penuh kepada ketua atau di kampung sebagai tuan tanah (yakni feudalisme), dan paling malang kemalingan atau perompakan yakni lanun. Malangnya ciri-ciri buruk itu jauh lebih mendasar dari ciri baik.
‘...one stressing cooperation, gotong royong, usaha (labour), and conformity, the other stressing courage, power, initiative, individualism, adventure, absolute loyalty to the ruler, and pillage. The former value system was to be found among the agrarian subjected section of Malay society. The latter value system was upheld by the rulers and their courts, their dependents and their hirelings. The larger section of Malay society was influenced by the latter.’
Ini menjawab mengapa hewan itu berbantah, menyampuk, bertempik, mengungka dan memonyet, atau menguak seperti lembu; moo moo moo. Perangai hewan kampungan moo moo inilah yang dibawa masuk ke kandang yang bersidang pada hari basah dan lecak itu. Kandang bersidang tanpa mengira cuaca termasuk panas dan terik. Kandang yang penuh ungka dan monyet babun berbuntut merah. Kandang yang moo moo.
Hewan apabila memilih ketua kawanan dalam kandang mereka akan merampas begitu sahaja. Mereka akan mengusir hewan lain dan kencing di suatu sudut sebagai tanda. Demikian telatah hewan bila memilih ketua. Bila tiba masa membaham, mereka akan meluru kepada petak makanan, bersenggol dan tolak menolak tanpa adab dan akhlak.
Tatkala gasang mereka akan mengawan di hadapan-hadapan. Ketua hewan yang beroleh keketuaan tanpa undi-undian kerana hewan tidak kenal undi-undian akan tersengih-sengih melihatkan. Tidak ada tanda atau perhatian untuk mencegah aksi kandang itu kerana dia sendiri adalah bahagian dari kandang.
Temasya hewan kampungan memang memilih jalan kampung. Sebab kepala otak kampung sahaja yang akan memuja perangai kekampungan. CER Abraham dalam satu kajian kes di kampung menulis sebuah kajian akademik dengan tajuk ‘Telok Bahang Fishing Village, Penang, A Case Study With Special Reference to Race Relations’ (1973) menyiasat perihal otak kampungan ini.
Cara untuk mengawal otak kampungan ialah dengan menekankan kod keluarga tradisional. Apa kod keluarga tradisional?
Abah. Pak Long. Pak Andak. Mak Uda. Mereka yang suka mencabul kehidupan peribadi dengan soalan-soalan ‘kenapa belum kahwin, tak minat lubang ke’ atau ‘kenapa belum beranak, tak jumpa lubang ke’.
Abraham menulis; ‘...stresses the family code, a cluster of near equals, a group of co-religionists, cultivation as occupation, and finally darah [blood] as the bond of common humanity.’
Tentu Insan benci perangai dan telatah kampungan abah-abah itu. Tetapi tidak berdaya melanggarnya. Mengapa? Kerana diikat oleh nilai tradisi kampung-kampungan. Perangai kampung inilah yang terhantar ke bandar. Atau perangai kampungan Pasir Salak inilah yang terbawa-bawa ke pejabat di pekan. Perangai kampungan Baling, Jelebu, Padang Rengas, atau Arau.
Dalam temasya hewan kampungan untuk memilih wakil di kandang memang ada temasya pemilihan.
Syed Husin Ali dalam kerja monumentalnya ‘Patterns of Rural Leadership’ (1968) menyatakan pemilihan ini sangat eksklusif. Yakni mereka memilih sesama mereka sahaja. Adakah kita pernah lihat lingkungan atau rantaian yang lain dari mereka? Itu menjelaskan mengapa kita terpaksa menghadap muka yang sama berkali-kali. Muka yang menguak moo moo itu juga. Lembu yang serupa.
‘...the elections are participated only by people who have some connections which will give them voting rights. in other words, they are exclusively elections without involving the whole mukim or even kampung.’
Jadi kandang hewan akan dikuasai kandang hewan jika kita tidak membersihkan najis kandang ini. Kandang yang kotor dan berkuman boleh menyebabkan ada jangkitan penyakit lembu gila. Apabila lembu gila ini kita ratah dan kita makan dalam temasya Aidil Adha kelak, kita akan mendapat penyakit pula.
Kita bukan hewan. Kita juga bukan haiwan. Kita, yakni anda adalah Insan. Punya maruah dan kehormatan. Kita perlu mendidik kampungan agar jangan jadi kampung. Nilai tradisional kampung yang baik kita ambil. Nilai kampungan yang menjengkelkan kita buang. Episod kandang yakni temasya haiwan kampungan yang berlaku pada hari bersidang yang basah-basah lecak itu cukup menjadi petunjuk.
Kita insan menolak temasya haiwan kampungan dalam kandang. Jerit kuat-kuat biar bersipongan: Kita insan menolak temasya haiwan kampungan dalam kandang.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai